Followers

Monday, April 13, 2009

Pertempuran Dua 'Tahafut'.

Imam Ghazali (meninggal dunia pada 1111 Masehi) sangat bimbang melihatkan pada zamannya, begitu banyak pengaruh-pengaruh ajaran luar yang masuk dan bercampur aduk dengan ajaran Islam. Ketika itu, Islam merupakan pusat tamadun ilmu, dan berbagai ajaran-ajaran seperti pengaruh Zoroaster(Majusi), Kristian, mistik dan falsafah-falsafah Greek yang ada bertentangan dengan tauhid Islam.

Ada sesetengah ajaran ahli-ahli falsafah ini bertentangan dengan Islam, seperti ajaran bahawa dunia ini qadim, pantheism(wahdatul wujud), semesta terjadi sendiri dan tiada hari Pembalasan. Ilmu-ilmu seperti matematik dan logik tidak salah sama sekali.

Oleh kerana Imam Al-Ghazali sangat bimbang dengan keadaan orang-orang Islam yang seperti hilang punca, terpengaruh dengan sesetengah ajaran yang boleh menyesatkan mereka walaupun masih Islam, Imam Al-Ghazali menulis sebuah buku yang diberi nama: 'Tahafut Al Falasifah' atau 'Kesesatan Ahli Falsafah.

Dalam buku ini, Al-Ghazali menerangkan mengapa sesetengah ajaran falsafah dari Yunani ini boleh bertentangan dengan akidah orang Islam. Terlalu luas skopnya untuk saya bincangkan di sini, tetapi banyak ajaran sesat sekarang ini hampir menyerupai mereka seperti fahaman 'pantheism'. Wahdatul wujud atau pantheism adalah ajaran yang percaya Allah berada dimana-mana dan boleh wujud dalam makhluk.

Di Nusantara, fahaman ini di anut oleh Sheikh Siti Jenar dan Hamzah Fansuri. Ada cerita-cerita kewalian seperti Al-Mansur Hallaj yang pernah berkata: Ana haq atau Akulah Tuhan.

Ajaran-ajaran seperti ini menerobos dalam aqidah orang Muslim dan ini membimbangkan Al-Ghazali. Peranan buku Tahafut Al-Falasifah ini sangat penting kerana beliau mengembalikan akidah Islam dengan penaakulan mantik yang baik dalam karyanya itu.

Kemudiannya, pada tahun 1126 lahir pula seorang ilmuwan Islam bernama Ibnu Rushd. Beliau cendiakawan Islam yang menuntut di Sepanyol ketika Islam menguasai Sepanyol. Beliau juga lahir di Cordoba.

Ibnu Rushd apabila dewasa sangat terpengaruh dengan pemikiran Yunani seperti Aristotle, Plato dan Socrates. Banyak karya-karya mereka diterjemah ke dalam bahasa Arab oleh ilmuwan Islam dan Barat sendiripun terhutang budi kepada ilmuwan Islam. Jika tidak, pemikiran Greek ini mungkin berkubur.

Oleh kerana terlalu taksub dengan pemikiran Greek ini, Ibnu Rushd setelah membaca karya Al-Ghazali iaitu Tahafut Al-Falasifah tidak setuju dengan Al-Ghazali. Beliau berpendapat ilmuwan seperti Al-Ghazali sangat kolot dan ketinggalan zaman. Beliau berpendapat antara Islam dan ajaran falsafah Greek ini tiada bertentangan.

Beliau menulis karyanya bagi mempertahankan falsafah Greek ini iaitu 'Tahafut Al Tahafut' atau Kesesatan yang sesat. Ketika itu, Imam Ghazali sudah wafat. Pengaruh Ibnu Rushd ini tersebar luas di Eropah dari di Timur. Beliau sendiri mendapat tentangan kebanyakkan ulama Islam.

Di Eropah, Ibnu Rushd mendapat sambutan menggalakkan dan buku-bukunya diterjemahkan ke bahasa Inggeris, Latin, German dan Hebrew. Menurut Phillip Hitti, Ibnu Rushd telah mempengaruhi pemikiran Barat dari abad ke 12 hingga abad ke 16. Dalam universiti-universiti Eropah, karya Ibnu Rushd telah dijadikan sylibus wajib ketika itu.

Hingga kini pertempuran antara dua ilmuwan Islam ini dalam buku 'Tahafut Al-Falasifah' dan 'Tahafut Al-Tahafut' mencetuskan polemik dan kedua-duanya mempunyai pengikut.

Siapa yang betul, wallahualam.

2 comments:

Anonymous said...

Berat sangat nak komen tapi kalau mengikut Pak Halim, ulama atau cendiakawan Islam yang gagal di Eropah telah lari dan yang mengembangkan ilmu mereka di Nusantara yang menjadi ikutan kita di sebelah sini. Di Eropah hanya yang excellent saja mampu berkembang di sana. Jadi mungkin saudara penulis boleh komen sikit....

Baru Dapat baby

sri tribuana said...

Pada pandangan saya, ulama yang datang ke sebelah nusantara bukan yang gagal sepenuhnya tetapi ilmu mereka sekadar feqah dan tauhid sahaja. Mereka bukanlah ulama-ulama seperti Ibnu Sina, Al-Khawizrim, Al-Jabar atau Ibnu Khaldun.
Pembelajaran feqah dan sebagainya itu juga penting tetapi jika ramai saangat yang ke sini ulama sedemikian, akhirnya kita terpaksa mengenali sains dari kaca mata penjajah.