Mungkin tidak ada intelektual Melayu yang lebih keras sikapnya terhadap Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada Dr Kassim Ahmad.

Di mata Dr Kassim, Anwar seorang ahli politik "lidah cabang", "pengkhianat negara" yang didakwa suka memfitnah dan terus terpalit pelbagai isu, antaranya dakwaan menerima dana asing.

Sebut sahaja nama Anwar, nada sarjana kontroversi itu terus bertukar keras. Beliau malah beberapa kali mengulangi hasrat untuk "meludah", "menggantung", "memancung" dan "menempeleng" ketua umum PKR itu.

NONE"Macam saya kata, Anwar ini saya sanggup gantung sampai mati. Saya sanggup tembak dia sampai sekarang. Jahat punya manusia," kata Dr Kassim ketika mempertahankan Datuk Seri Najib Razak dalam isu Altantuya Shaariibuu.

Beliau melihat isu hubungan perdana menteri dengan wanita Mongolia itu sebagai "fitnah" Anwar semata-mata.

Dr Kassim juga menambah, pihak berkuasa tidak perlu takut bertindak terhadap Anwar walaupun bekas aktivis mahasiswa itu pandai bercakap kerana dia didakwa sering berbohong.

Belum sempat Malaysiakini menemubualnya di Kulim baru-baru ini, Dr Kassim mengambil kesempatan membacakan surat dalamTheStar yang mengkritik Anwar berhubung kumpulan pemantau asing sewaktu BERSIH 3.0. 

Kasta 'ulama' dan pendewaan pada Nik Aziz
Surat itu antaranya mendakwa kumpulan pengumpul fakta asing berhubung sistem pilihan raya di negara ini sebenarnya terdiri daripada kawan-kawan Anwar sendiri.

Dr Kassim turut mengkritik keras Mursidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat. Walaupun tidak jelas apakah maksud sebenarnya, beliau menyebut tentang budaya "feudal ulama" dalam parti Islam itu.

azlanAhli akademik yang kritis terhadap "kasta" ulama dalam Islam itu juga merasakan Nik Aziz terlalu didewa-dewakan di kalangan pengikutnya.

Terus mengulas kepemimpinan bekas menteri kewangan itu, Dr Kassim berkata, perasaan tidak senang terhadap Anwar dalam Pakatan Rakyat juga boleh dilihat melalui isyarat pengerusi DAP Karpal Singh yang didakwa sengaja "tersilap lidah" dalam isu perdana menteri bukan Melayu bulan lalu.

Sementara itu, mengulas tindakan rakan seperjuangannya Senator Dr Syed Husin Ali bersama Pakatan, Dr Kassim berkata bekas timbalan presiden PKR itu "cuma terpengaruh".

"Bila Anwar kena buang (daripada Umno dan kerajaan pada 1998), dia bercakap, ribuan datang dengar dia. Lebih kurang dia kata, inilah kebangkitan rakyat. Saya kata masya-Allah, (Adolf) Hitler pun dia kumpul berjuta orang," kata bekas presiden Parti Sosialis Rakyat Malaysia (PSRM) itu.

'Satu lambat, kedua bodoh'
Dr Kassim sebelum ini pernah bersama-sama Dr Syed Husin dalam PSRM. Beliau mengepalai parti kiri itu antara 1966 hingga 1984 sebelum digantikan Kampo Radjo dan seterusnya Syed Husin.

Bagaimanapun, 'perang dingin' Dr Kassim itu mungkin bermula lama dahulu, pada tahun 1986 apabila beliau percaya Anwar merupakan pihak di belakang pengharaman buku kontroversinyaHadis: Satu Penilaian Semua.

Beliau percaya Anwar berpakat dengan "ulama" bagi menekannya walaupun bersetuju "secara prinsip" di peringkat awal. 

NONEDr Kassim juga mendakwa, sekitar 1990-an, cadangan dialognya dengan Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria berhubung kandungan bukunya tergendala apabila dihalang oleh Anwar walaupun Dr Mahathir didakwa sudah bersetuju.

Malah, dedahnya, pertemuan pertama kalinya dengan Anwar semasa beliau seorang menteri tidak memberangsangkan apabila bekas pemimpin Angkatan Beliau Islam Malaysia (ABIM) itu didakwa lewat 45 minit.

"Bila saya masuk, saya cakap. Dia dengar sepatah pun tak cakap. Itu Anwar. Dia takutlah. Dia memang takut. Takut nanti saya catit, (atau) tanya dia apa-apa. Ini saya punya pengalaman dengan Anwar, satu lambat, satu dia macam bodoh," katanya.