Followers

Saturday, February 27, 2010

Maulidur Rasul

Selepas Isa Al-Masih, manusia berada didalam kejahilan. Pada tahun Gajah, lahir seorang insan terpilih dibumi Arab yang gersang bernama Muhammad S.A.W. Baginda merupakan putera kepada Abdullah, keturunan Bani Hashim. Baginda menjadi yatim piatu dalam usia muda dan dipelihara oleh nenda baginda, Abdul Mutalib.

Dikenali dengan nama Al-Amin lantaran kejujuran baginda yang tiada tolok bandingnya - walaupun sebelum kerasulan baginda. Ketika baginda berusia 40 tahun, baginda mula menerima wahyu apabila turun surah yang pertama iaitu surah 'Al-Alaq' yang menyeru umat manusia agar membaca - walaupun baginda sendiri buta huruf.

Allah mula menurunkan pedoman dan Kalamullah kepada umat manusia melalui Jibrail A.S kepada Muhammad Rasulullah S.A.W. Melalui Quran dan sunnah baginda, umat manusia disuluhi lampu yang terang bagaimana menjalani kehidupan yang diredhai Illahi.

Muhammad Al-Mustafa S.A.W sangat bimbang baginda akan dipuja hingga diangkat setaraf dengan Allah S.W.T seperti halnya berlaku kepada umat Isa A.S. Tapi Allah menjanjikan akan memelihara Quran dan Islam sebagai deen yang Dia redhai, dan Quran tidak mengalami apa-apa pindaan pun dari Ianya diturunkan hingga kini. Janji Allah itu pasti.

Sebagai umat Muhammad S.A.W, wajar kita menghormati hari keputeraan baginda. Kita hormati baginda sebagai Rasul, sebagai insan yang bekorban membawa kebenaran wahyu Allah kepada umat manusia. Mengadakan majlis sambutan maulidur rasul tidak salah kerana kita faham Muhammad adalah Rasul dan Allah S.W.T Tuhan yang Esa dan tiada sekutu.

Cuma saya pernah ternampak syarahan Nik Aziz dalam youtube mengatakan hubung kait kita dengan Rasulullah hanya selepas baginda menerima kerasulan, sebelum itu menurutnya "Muhammad macam budak-budak dikampung ni sahaja".

Allah tidak memilih rasulnya secara random atau "God does not play dice." Kerasulan baginda sudah ditetapkan di Luh Mahfuz dan sewajar baginda dicontohi dari zaman kanak-kanak hingga baginda wafat.

Wallahualambissawab.

Thursday, February 25, 2010

Sekolah Pondok


Tulisan ini bukan bertujuan menghina sekolah pondok. Seperti halnya yang lain, setiap sistem, pentadbiran dan modul pendidikan, mesti ada cacat celanya. Seperti biasa juga di Malaysia terutamanya, apa-apa berbau Islam seperti sekolah pondok dan 'ulama', tidak boleh dikritik.

Sekolah pondok ini memberi pendidikan 'Islam' terutama feqah. Di zaman moden ini, mereka agak ketinggalan dari segi pendidikan moden seperti fizik, kimia, biologi, sejarah, geografi dan sains sosial. Mereka diajar pelajaran 'ritual' 'agama'.

Bila tamat pengajian, mereka akan menjadi imam, guru mengaji, pembaca doa dimajlis-majlis, ketua membawa tahlil dan apa-apa urusan 'agama' yang ritual. Kadang-kadang juga, mereka ditarbiah dengan fahaman 'politik' guru mereka. Kadang-kadang mereka menjadi fanatik dan membenci semua bersifat kafir.

Ingat apabila saya kata 'kadang-kadang', maknanya tidak semua.

Mereka akan fanatik dengan kitab guru-guru dan imam-imam mazhab. Kelemahannya adalah, Islam merupakan deen dan menguasai 'ritual' agama sahaja bukan semata-mata tuntutan Islam. Saya setuju dengan kata-kata penulis Outsyed Box, Islam bukan agama tetapi deen atau way of life.

Jika pembelajaran yang berat ke 'ritual' ini tidak diimbangi dengan ilmu bantu lain, ia boleh menimbulkan orang-orang yang keliru. Gambar air botol ini saya ambil dari rakan saya yang membelinya disebuah hospital.

Anak rakan saya pula mengalami sakit leukimia. Dia membeli air yasin dan zikir dan doa ini dengan harapan dengan minum air ini akan adanya 'miracle' boleh menyembuhkan sakit anaknya. Anaknya juga mendapat rawatan moden, dan ini hanya sebahagian dari ikhtiar, katanya.

Air ini dijual RM7 sebotol.

Allah minta kita berdoa kepadaNya dan dengan izinNya Dia akan kabulkan. Dia Maha Mendengar dan dekat dengan hambaNya. Islam adalah rasional dan Islam tidak perlu 'orang tengah' seperti Pope, atau Bishop, atau Cardinal untuk menjadi perantaraan dengan Allah.

Saya nasihati dia agar membaca yasin dan sembahyang hajat dan berdoa sendiri. Beliau ragu-ragu doanya akan diterima kerana beliau jahil. Dan saya tidak tahu pula Kalamullah ini boleh dikormesialkan.

Wallahualambisawab

Monday, February 22, 2010

Kembali

Pada 8.50 waktu Dublin saya akan berangkat pulang ke Malaysia. Dari negara sejuk, kembali ke negara panas. Katanya, Malaysia mengalami kepanasan hingga March. Saya tidak pasti kerana belum menjejaki kaki ke tanahair lagi.

Kembali ke toilet yang penggunaan air yang excessive. Di Ireland toilet yang terlalu berair tidak digemari, jadi tisu adalah pilihan utama. Tapi kata orang, old habit die hard. Saya tetap degil menggunakan air yang banyak.

Orang tua-tua kata dulu 'duit macam air'. Kekadang di Malaysia sendiri 'air dah macam duit'.

Bolehlah saya kembali melunaskan rindu dendam pada teh tarik, roti canai, nasi lemak dan lepak kat kedai mamak sampai larut malam dan pagi.

Saya kembali.

Thursday, February 18, 2010

Taboo


Homosexuality adalah 'harus' diBarat tetapi tidak di Malaysia.


Memang aneh kejadian manusia ini. Allah menjadikan mereka berbagai-bagai bangsa, bertebaran atas muka bumi dan mereka membentuk adat, kebudayaan dan taboo mereka sendiri. Taboo adalah larangan, dan seringkali tidak sama antara sesuatu bangsa dan bangsa yang lain.

Ada taboo bagi sebuah bangsa tetapi tidak bagi bangsa lain. Dalam salah satu siri 'Sex and the City', Miranda bertemu dengan Steve disebuah bar, kemudian mengadakan hubungan sex sebagai 'one night stand' - satu istilah yang common di Amerika. Keesokkannya, Steve yang tertarik dengan Miranda, kembali ke apartment Miranda, mengajak Miranda minum kopi dan 'hangout' dalam usaha mengenali Miranda.

Jawapan Miranda sangat bertentangan dengan budaya Melayu/Malaysia. Bagi dia apa yang berlaku 'just sex' dan dia tidak akan minum kopi dengan 'stranger'. It is ok having sex with stranger tapi bukan minum kopi. Dalam masyarakt Melayu mungkin terbalik, kena ada 'minum-minum kopi dulu', dan lain-lain lagi, baru boleh bincang.

Pakai kasut dalam rumah bagi budaya Melayu memang kurang ajar, bagi 'Mat Salleh', pengotor. Membasuh najis dengan tangan ketika buang air besar bagi Mat Salleh, 'tak hygeine', tapi mengelap dengan tisu, hygeine.

Begitu juga dengan isu liwat. Kebanyakkan negara di Eropah dan Amerika yang beragamakan liberalisasi, sodomy adalah masalah peribadi. Malah atas nama liberalisasi banyak negara membenarkan perkahwinan kaum sejenis. Human rightlah kononnya.

Dan morality juga bergantung kepada taboo atau budaya setempat. Di Malaysia dan banyak negara Islam dan juga negara konservatif, hubungan sejenis menjijikkan. Mereka menjadikan 'public law' atas kejanggalan ini dan mempunyai hukuman terhadap sex luar tabii ini.

Saya tidak faham mengapa 50MP Australia boleh merasai mereka mempunyai hak untuk menandatangani pertisyen membantah dan minta campurtangan kerajaan soal kes liwat Datuk Seri Anwar. Dalam apa ilmu politik, diplomasi dan standard piawaian moral bangsa, agama dan negara manapun, campurtangan urusan negara lain atau 'jaga tepi kain orang' sangatlah biadap dan tidak bermoral.

Tapi semua bangsa sudah maklum keangkuhan ras putih ini. Mereka membuat berbagai peraturan, rules of law dan kononnya sangat liberal, tetapi mereka pula yang menyibuk hendak mengajar 'barbarian how to drink coke and eat Macdonald' - meminjam ungkapan Francis Fukuyama.

Dan masih ada pula dalam bangsa kita sendiri, orang-orang dalam masyrakat kita boleh menyokong sokongan luar ini untuk kepentingan puak mereka - tanpa memikirkan kedaulatan negara kita.

'Right or wrong my people, good or bad my country, go to hell with what the world going to say."

Rindunya orang 'keras kepala' macam Tun Mahathir.

Cari Makan



Kata orang tua-tua, lain padang lain belalang. Di Ireland saya ternampak cara pelik orang mengiklankan kedai mereka. Di Dublin lagi saya ternampak tetapi tak terfikir untuk merakamkannya. Ini gambar di Galway.

Bayangkan ketika saya berada di Dublin, suhu sekitar 2 darjah celcius, dan pemegang iklan itu memegang papan tanda tanpa bergerak-gerak selama berjam-jam, kesejukan hanya untuk mencari sesuap nasi.

Saya tertanya-tanya, berapa euro pendapatan mereka sehari hingga sanggup melakukan kerja yang paling membosankan ini. Mengapa tak cuba saja cari ini:

Entahlah.

Monday, February 15, 2010

Negara Islam

Islam tidak boleh dikalahkan dari luar, tetapi dari dalam. Orang Islam akan menentang habis-habisan apa sahaja yang berbentuk menindas Islam. Mereka akan leka dan ramai yang percaya dengan ajaran yang salah, tetapi atas nama Islam.

Arnord Toynbee pernah berdialog dengan Daisuku Ikeda tentang kehairanan beliau kebalnya Islam dari komunisme walaupun dinegara ramai orang Islam miskin. Sepatutnya dimana ramai orang miskin, komunis akan mendapat tempat kerana persamaan taraf tetapi tidak kepada negara Islam yang miskin. Ini kerana komunisme terang-terang menolak sebarang agama dan tidak mempercayai adanya Tuhan.

Sekarang ini ahli-ahli politik(poli-tikus?) ramai juga yang menjual nama 'Islam'. Saya sendiri berpendapat brand 'Islam' ini sering disalahguna dan overrated. Bank Islam. Negara Islam. MengIslamkan ilmu. Perubatan 'Islam'. Insuran Islam. Parti Islam.

Islam sangat indah dan mudah. Dalam Surah Ta Ha, ayat 2 Allah berfirman: "Kami tidak turunkan Quran untuk menyusahkan kamu". Rasulullah tidak pernah menyebut tentang negara Islam. Benar baginda membentuk 'ummah' ketika di Madinah, model bagaimana baginda menjalankan sebuah 'negara Islam'.

Untuk kembali ke zaman itu sekarang ini adalah mustahil, kerana pemimpin sekarang tiada sifat kenabian dan tidak ada wahyu yang akan diturunkan kepada mereka jika mereka khilaf. Bukti baginda tidak menunjukkan cara politik apa yang perlu dijalankan selepas baginda wafat adalah perlantikkan khalifah.

Baginda tidak mewasiatkan apa-apa. Selepas baginda wafat, puak Ansar sudah bersiap-siap untuk melantik pemimpin dikalangan mereka. Syadina Abu Bakar r.a dan Syaidina Umar r.a campurtangan dan mengingatkan kaum Ansar hadis nabi :"Hendaklah pemimpin kamu terdiri dari kaum Quraish". Di situ terbaitlah Abu Bakar sebagai Khalifah yang pertama sebagai orang sahabat nabi paling awal dan imam ketika Rasulullah sakit.

Tidak juga secara jelas Rasulullah melantik Abu Bakar sebagai khalifah semasa hidup baginda. Ini membuktikan Rasulullah membiarkan umat Islam berijtihad soal kehidupan sehari-hari mereka asalkan berpandukan Quran dan sunnah baginda.

Seperti yang umum mengetahui, selepas terbunuhnya Usman bin Affan dan Ali bin Abi Talib, orang yang menguasai dunia Islam atau Amirul Mukminin merupakan Muawiyah bin Abu Suffian. Semua orang juga tahu, Abu Suffian merupakan musuh utama Islam sebelum penaklukkan kota Mekah.

Sudah ribuan tahun berlalu, masih ada poli-tikus mengimpikan negara Islam seperti pimpinan Rasulullah, tanpa mereka mempunyai sifat kenabian dan panduan dari Allah - kebanyakkannya pula - para poli-tikus ini - membawa ajaran yang salah dan kemusnahan yang menzalimi orang Islam sendiri. Atas nama Islam.

Negara Islam ini menjadi 'kegilaan' dalam abad ke 20 selepas Revolusi 'Islam' di Iran, menular ke negara-negara yang ramai populasi umat Islam. Dan 'ulama-ulama' Islam akan mengeluarkan fatwa-fatwa yang sempit melarang itu dan ini, kebanyakkannya tidak ada kena mengena dengan ajaran Quran pun.

Kerana mereka ulama - dan bukan tidak bercanggah pendapat sesama mereka -maka wujudlah puak-puak dalam 'Islam' yang mengakui mereka lebih betul dari puak satu lagi. Ini permasalahan ummah sejak zaman berzaman.

Seringkali kita lupa kepada asas, Islam ertinya 'submit to God's will'. Surah Ali Imran, ayat 19: "Hanya Islam(sebagai deen- way of life) yang diterima oleh Allah." Dan banyak ayat yang menyatakan tidak ada kompromi dalam menyekutukan Allah. Ini adalah intipati kepada ajaran Rasulullah iaitu Allah itu Esa dan apa sahaja yang berlaku merupakan ketentuan Allah, kita hanya pasrah kepada ketentuanNya.

Saya pernah menemui seorang pemimpin disebuah universiti yang ingin membuat undang-undang pelajar perempuan yang tidak bertudung akan didenda. Saya menegur beliau kerana pendekatan beliau agak 'Taliban' dan beliau berpendapat, beliau yang berdosa sebagai 'pemimpin' jika pelajar perempuan tidak bertudung.

Ini contoh fahaman Islam yang sempit. Jika beliau menegur sahaja sudah memadai kerana tiada paksaan dalam Islam, tetapi beliau sangat yakin beliau berkuasa untuk menentu hal-hal peribadi seseorang sedang jelas Allah terangkan segalanya berlaku dengan kehendakNya.

Dalam surah Al Baqarah, ayat 253 Allah berfirman: "Jika Allah mengkehendaki, manusia tidak akan bertelagah, tetapi Allah menyempurnakan rancanganNya." Pemikiran 'Islam' yang sempit dan tidak merujuk kepada Quran ini boleh membawa kepada kezaliman seperti Taliban di Afghanistan. Dan sudah tentu atas nama 'Islam'.

Untuk menjadi realistik, ummah boleh dibela hanya dengan kemajuan sains, teknologi dan kekuatan ekonomi. Barat menjadi maju kerana mereka mengambil pendekatan Islam seperti zaman Enlightment dahulu ketika mereka mencari pemikiran rasional dan meninggalkan gereja dalam pentadbiran, politik dan ekonomi.

Seperti firman Allah dalam surah Al Maidah ayat 3: "Hari ini Aku telah sempurnakan deen(cara hidup) kamu, dan sempurnakan kelebihan dariKu ke atas kamu, dan Kupilih Islam sebagai deen kamu".

Umat Islam terdahulu betul kerana mereka mengikut Quran dalam pencarian ilmu, membina kekuatan ketenteraan, ekonomi dengan mengikut ajaran Quran dan bukan mengikut pendapat ulama dalam hal remeh dan ranting - kemudian bergaduh sesama sendiri.

Dalam surah Al-Zumar, ayat 18, Allah berfirman: " Mereka yang mendengar semua pendapat dan akan memilih yang terbaik. Ini golongan yang diberi pedoman oleh Allah. Ini golongan yang mempunyai kebijaksanaa.'

Itulah formula kecemerlangan orang-orang Islam silam, bukan jumud menangkap orang membawa pendapat yang tidak sependapat dengan mazhab mereka. Bacalah Quran,walaupun tafsir sebagai pedoman, bukan hanya sekadar memperindahkan lagu bacaan kerana Quran diturunkan sebagai pedoman.

Friday, February 12, 2010

Dan Akhirnya....


YB Dato Seri Zahrain Hashim


Pakatan Raya seperti 'house of card'. Sangat rapuh pakatan mereka sekarang ini. Terbaru, YB Zahrain Ahli Parlimen Bayan Baru telah mengumumkan keluar dari PKR. Beliau berbuat demikian kerana masalah dalaman PKR apabila Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guang Eng menggunakan cara ala diktator dalam pentadbirannya. 'Tidak boleh ditegur", memetik kata-kata YB Zahrain.

Sementara YB Zulkifli Nordin pula enggan menarik balik kenyataan DAP merupakan punca keretakan PKR. PAS sendiri sudah makin cuba beralih angin dari menyokong DAP yang dasarnya banyak merugikan Melayu.

Tian Chua pula menganggap YB Zahrain sebagai pembelot dalam laman sosial Facebook. Beliau melabelkan YB Zahrain sebagai 'oppurtunist' dan bukan real fighter. YB Zahrain pula keluar dari PKR tetapi tidak menyertai UMNO atau seperti katanya "independent non-UMNO MP".

Baik untuk demokrasi. Tidak perlu tuduhan beliau dibeli. Syabas!































Gong Xi Fa Chai.

Saya mengucapkan Selamat Menyambut Tahun baru kepada rakyat Malaysia berketurunan Cina. Di Ireland ini, ramai student berketurunan Cina yang tidak dapat pulang ke Malaysia kerana belajar. Saya mengucapkan selamat berjuang dan selamat menyambut Tahun Harimau. Semoga Malaysia kembali menjadi salah satu dari 'Harimau Asia'.

Minyak Dan Air.

Beliau merupakan penentang negara Islam tegar. Dalam petikan youtube semalam beliau menyelar Lim Guang Eng dan bapanya; Lim Kit Siang kerana ber'kompromi' dengan PAS tentang isu hudud, walhal 'kompromi' itu pun hanya helah bagi siapa dapat 'mengkuda'kan siapa.

Petikan di atas sudah cukup membuktikan betapa Karpal dan DAP tidak akan dapat menerima sesiapa sahaja yang hendak mendirikan negara Islam. "Over my dead body" atau "langkah mayat saya dulu". Ini membuktikan posting saya sebelum ini, dalam 'Middle Malaysia'; sememang DAP musuh semulajadi Melayu-Islam.

Mari kita lihat satu lagi amanat oleh seorang politik yang menggunakan 'Islam' bagi melabelkan sesiapa sahaja sebagai kafir. Beliau mempunyai lesen untuk berbuat demikian. Amanat ini dibuat pada tahun 1981.


Jika reason d'tat mereka untuk menentang UMNO adalah kerana UMNO mengekalkan perlembagaan 'kafir' dan UMNO mengekalkan peraturan kafir, bagaimana bekerjasama dengan DAP yang mana sudah terang lagi bersuluh menentang negara Islam. Apa rasional politik mereka?

Dalam Islam kita kena taat kepada ulil-amri kecuali jika mereka melakukan kemungkaran. Bila PAS mendapat kuasa dan menjadi kerajaan seperti di Selangor, mereka menghukum ahli mereka yang menentang arak dijual secara terbuka. Datuk Hasan Ali dikenakan tindakan apabila DAP 'berdehem' dan PAS terpaksa tunduk kerana atas semangat 'pakatan'?

Jadi apa lagi alasan PAS untuk menentang UMNO? Setidak-tidak MCA tidak akan menyentuh isu sensitif dan ini menjadikan mereka zimmi. Sudah terang PAS sanggup bekerjasama dengan DAP yang mana harbi dan menentang negara Islam. MCA tidakpernah membuat statement sedemikian.

Insaflah, minyak(DAP) dan air(PAS) tidak akan bercampur, goncanglah sekuat mana pun.











Wednesday, February 10, 2010

Karpal bukan Nik Aziz.



Pada Februari 2009, Karpal minta Anwar Ibrahim bertaubat. Lepas itu dia juga minta Lim Guang Eng dan Lim Kit Siang bertaubat kerana mengikut rentak Anwar Ibrahim. Februari 2010, Karpal bersekongkol dengan Anwar minta tunda perbicaraan meliwat. Beliau menjadi peguam Anwar pula. Pada 1997, sebelum Tun Mahathir menyingkirkan Anwar(1999) Karpal juga membuka isu 'moral' Anwar di Parlimen.

Sekarang, siapa kena nasihatkan Karpal yang mengaku 'King' ini untuk bertaubat dari mengikut Anwar. Mungkin Nik Aziz?

DAP Lagi?

Ada orang kata 1Malaysia, Wawasan 2020, Cemerlang-Gemilang-Terbilang, Kepimpinan Melalui Tauladan, Pandang Ke Timur, Malaysia Boleh dan berbagai lagi merupakan slogan. Slogan bererti bukan manifesto, atau blueprint atau 'cakap kosong' sahaja.

Pihak yang menuduh sudah tentulah pembangkang, antaranya DAP. Bagaimana dengan Malaysian Malaysia dan yang terbaru Middle Malaysia? Middle Malaysia telah dipersendakan sebagai Middle Kingdom, yang mana penguasaan kaum Cina sangat penting dalam pentadbiran.

Kononnya Middle Malaysia ini untuk semua rakyat Malaysia tetapi terbukti agenda tersembunyi mereka tetap Malaysia untuk kaum Cina. Kita faham jika perjuangan mereka untuk membela nasib kaum Cina seperti membanyakkan peluang perniagaan, biasiswa dan sebagainya seperti dilakukan oleh MCA.

Sebaliknya, DAP memperjuang perkara yang sangat sensitif kepada orang Melayu seperti soal babi, menghapuskan keistimewaan orang Melayu dan menentang negara Islam. Ini menjadikan DAP merupakan musuh semulajadi Melayu - tidak kira dari parti apa; bahkan Melayu yang tidak berparti pun.

Keegoaan DAP ini bukan hanya meresahkan UMNO, tetapi juga orang-orang Melayu dalam PKR. YB Zulkifli Nordin menyatakan Pakatan Pembangkang tidak memerlukan DAP dalam temuramah beliau dengan TV3. Menurut beliau, DAP yang menimbulkan huru hara di Kedah kerana isu babi, tetapi mengenakan tekanan kepada PKR di Pulau Pinang hingga memaksa bekas Timbalan Ketua Menteri, Fairus Khairudin meletakkan jawatan.

Sebelum ini YB Datuk Zahrain, juga dari PKR, melabelkan Lim Guang Eng sebagai diktator. Jelas sesama pembangkang DAP bukan sekutu yang disenangi. Malah YB Zulkifli menyalahkan DAP sebagai punca ramai ahli PKR yang keluar parti kerana kecewa dengan DAP sebagai 'pain in the ass' atau duri dalam daging.

Bahkan beliau menyatakan keterbukaan untuk bekerjasama dengan UMNO demi kepentingan Melayu dan Islam jika perlu.

Aneh pula, PAS yang terbahagi dua; ada pro DAP dan ada pro UMNO. Nizar Jamaludin sangat kecewa dengan keputusan mahkamah menyifatkan keputusan itu sebagai membawa kepada 'absolute monarchy'.

Selari dengan itu, Lim Kit Siang menyifatkan keputusan mahkamah sebagai "It's shameful for judiciary." Lim Kit Siang kecewa kerana di Perak, DAP berjaya memperkudakan PAS dan Nizar sebagai boneka mereka hingga boleh meluluskan tanah selama 999 tahun.

Jika absolute monarchy menguntungkan Melayu seperti di Brunei, so be it. PAS kena kenal siapa musuh sebenar Islam seperti beberapa patriot dalam PKR.

Guana 'Tok Guru' Nik Aziz: harbi atau zimmi?

Tuesday, February 9, 2010

Sultan Adil Sultan Di Sembah

Mahkamah Persekutuan telah memutuskan Zambry Abdul Kadir sebagai MB Perak yang sah. Maka tamatlah episod 'krisis perlembagaan' Perak yang bermulan dari keengganan Nizar Jamaludin dari PAS untuk meletak jawatan sebagai MB apabila tiga ADUN dari pakatan mereka 'menyeberangi Rubicon'.

Maka tamat juga episod silih berganti MB seperti kata lucuan blogger Husin Lempoyang "the MB(of Perak) change colour frequently". Sudah kekal 'black' hingga plihanraya akan datang.

Banyak respond yang diterima menyalahkan campurtangan sultan hingga BN kembali mentadbir Perak. Sultan menggunakan budi bicara baginda apabila 3 ADUN pakatan menyeberangi ke BN, dan setelah baginda memastikan mereka - walapun bebas - menyokong BN. Ini menukar balance of power yang mana BN menjadi majoriti; dan tidak kira betapa slimnya majoriti itu. Demokrasi merupakan permainan nombor atau 'siapa ramai.'

Player dalam negara demokrasi sepatutnya sudah tahu itu.

Maka mahkamah telah mengiktiraf kuasa kepada Sultan Azlan sebagai Sultan Negeri untuk melantik MBnya. 'Mohon derhaka' MB lama tidak relevan lagi. Pengajaran kepada semua parti politik, pastikan calon bertanding bukan jenis suka melompat, jika tidak, parti berkenaan juga menerima akibatnya. Sultan kekal sebagai sultan kerana baginda tidak terlibat dalam 'game of number'.

Nasihat ini juga merangkumi semua termasuk MB Zambry kerana terbukti angin berubah ke mana sahaja.

"Sesiapa yang melupakan masa silam, terjebak untuk mengulanginya."(Santayana)

Sunday, February 7, 2010

Maaf

Saya meemohon maaf kepada pembaca yang menghantar komen. Komen mereka 'hilang' walaupun setelah saya 'publish'kan. Saya akan cuba selesaikan masalah ini. Saya terpaksa menapis komen kerana ada individu tertentu menghantar komen yang melampau, bahasa yang tidak manis, jauh lari dari konteks dan menyatakan masalah peribadi. Saya lebih suka membiarkan komen tidak ditapis tetapi saya tidak ada pilihan.

Terima kasih.

Thursday, February 4, 2010

Middle Malaysia?

Saya tidak akan percaya jika ada orang yang menyayangi bangsa Melayu sanggup bekerjasama dengan DAP. Ini kerana parti ini terbukti anti-Melayu sejak zaman berzaman. Secara lojik, sesiapa yang bekerjasama dengan DAP merupakan orang yang menjual bangsanya. Atas nama 'political conssession' apa pun, atau 'your enemy is my enemy', common advesary, etc etc, DAP merupakan parti yang sangat merbahaya untuk dipercayai.

Bermula sebagai 'offspring' dari parti PAP, diterajui oleh Lee Kuan Yew, DAP terus menerus memperjuangkan Malaysian Malaysia. Bagi mereka, Malaysia untuk orang Malaysia dan tiada siapa pendatang dan tiada siapa penduduk asal. Mereka menafikan agama Islam, hak istimewa orang Melayu, ingin menghapuskan Raja-raja Melayu dan apa sahaja yang berbau Melayu.

Konsep Malaysian Malaysia tidak mendapat sambutan dikalangan orang Melayu. Mereka juga kurang mendapat sambutan dikalangan orang Cina satu ketika dulu. Sekarang kaum Cina kurang memberi sambutan kepada MCA atau BN; sudah tentu DAP merupakan jaguh mereka. Apa yang mereka perlu lakukan adalah memenangi hati majoriti senyap orang Melayu, terutama generasi muda yang tidak terlalu kuat semangat 'kemelayuan'nya.

Pertama mereka perlu 're-transform' imej mereka yang kelihatan sangat cauvanis dan 'kecinaan'. Maka konsep 'Malaysian Malaysia' diubah menjadi 'Middle Malaysia', kononnya mereka boleh berlaku adil dan saksama kepada semua rakyat termasuk orang Melayu jika mereka memerintah.

Dalam mana-mana penguasaan 'orang asing' terhadap penduduk tempatan, mereka memerlukan kuda atau 'collobarator', rakan subahat. Inggeris menggunakan pembesar dan raja Melayu, Belanda menggunakan 'talibarut' sesama Indonesia, Amerika menggunakan suku Red Indian lain untuk menguasai Red Indian lain, jadi formula DAP menggunakan PAS dan PKR.

Konsep Middle Malaysia digunakan supaya Melayu leka dan boleh menerima dasar kononnya liberal dan terbuka mereka. Benarkah?

DAP merupakan parti yang menggalakkan juga dinasti dan cronysm. Ini tidak kelihatan sebelum mereka memegang kuasa. Lim Kit Siang dan Lim Guang Eng menjadikan DAP sebagai batu loncatan untuk menjalankan agenda dictator mereka.

Datuk Zahrain dari rakan PKR menggambarkan Lim Guang Eng sebagai diktator. Dan Tan Tee Bee, ahli parlimen Nibong Tebal, juga dari PKR, tidak menyukai gaya diktator ahli politik dari DAP ini. Jelas dua beranak - Lim Kit Siang dan Lim Guang Eng - mengamalkan corak diktatorship dalam pemerintahan mereka.

Tan Sri Lee Lam Thye melepaskan jawatan dan bersara dari politik dan keluar dari DAp kerana tekanan yang diberi oleh Lim Kit Siang. Sekarang rakan 'niaga' mereka sendiri - PKR - sudah merasa bahang gaya kepimpinan 'tidak menerima pandangan orang' oleh dua beranak ini.

Middle Malaysia? I doubt it.

Tuesday, February 2, 2010

Jalan Getir


Akhirnya kes liwat Saiful Azlan Bahari ke muka pengadilan. Setelah puas menggunakan taktik tunda akhirnya Anwar menghadapi juga perbicaraan. Perbicaraan ini bagaikan ulangan perbicaraan kes liwat 1998. Ia bukan hanya trial jenayah, ia juga merupakan trial masa depan politik Anwar dan PKR.

Setelah bersumpah di masjid dengan bersaksikan Quran, Mohamad Saiful Bahari terus menjadi tumpuan. Beliau sudah menunjukkan keberaniannya bersumpah cara muqabalah, sekarang beliau bersedia untuk menghadapi perbicaraan mahkamah 'dunia' pula. Belum diambil kira 'amount of pressure' dari pengikut Anwar lagi yang sudah dari awal spin 'theory conspiracy', satu modal yang di recycle.

Anwar hadir dengan rombongan yang besar, termasuk beberapa Menteri Besar seperti Nik Aziz dan Khalid Ibrahim dan Lim Kit Siang, pemimpin de facto DAP. Sementara Saiful pula hadir dengan bapa, lawyer dan beberapa orang sahaja. Menurut laporan beberapa blogger, beliau kelihatan tenang menghadapi tekanan ribuan penyokong Anwar.

Secara kebetulan, beberapa isu menarik sedang melanda Pakatan 'Rakyat' sekarang ini. Kritikan Zahrain Mohd Hashim seorang ahli Parlimen PKR, cara diktator Lim Guang Eng mentadbir Pulau Pinang, pertelingkahan antara Zulkifle Nordin dari PKR dan Khalid Samad dari PAS tentang isu Allah menampakkan pakatan sudah menjadi haru biru. Mereka tidak solid seperti BN dalam hala tuju 'perikatan'(alliance) mereka.

Walauapapun, nasib Anwar akan ditentukan dimahkamah samada beliau dapat menjadi PM atau tidak setelah 16 September 2008 gagal. Kita saksikan ketentuan Illahi.