Followers

Tuesday, April 7, 2009

Bucket List

Lebih kurang sebulan yang lepas, saya ada terbaca dalam The Star ulasan berkenaan filem In Curious Case of Benjamin Button. Saya minta maaf sebab saya tidak ingat pengulasnya.

Pengulas menceritakan beliau pernah menonton filem Ikiru arahan Akira Kurosawa. Saya ada dvd Ikiru tetapi belum berkesempatan menontonnya(maklumlah saya banyak menumpukan filem jedeiki Kurosawa seperti Ran, Yojimbo, Sanjuro iaitu filem samurai).

Menurut pengulas itu, ketika beliau awal 20an, Ikiru tidak sangat memberi kesan kepadanya. Beliau menonton kembali Ikiru ketika beliau dalam usia 30an dan memberi perspektif baru kerana Ikiru mengisahkan seorang usahawan yang berjaya tetapi mendapati dirinya tidak akan lama hidup kerana kanser.

Sementara filem In Curious Case of Benjamin Button, ia merupakan adaptasi dari cerita F. Scott Fitzgerald.

Tema kedua filem ini hampir sama: tentang kehidupan, kehilangan, penemuan dan perpisahan sebelum kita menemui ajal.

Saya baru sahaja menonton filem Bucket List. Mula-mula saya tidak tahu langsung cerita ini berkaitan apa tetapi saya terus menonton kerana ada dua pelakon yang saya minat dalam filem itu: Jack Nicholson dan Morgan Freeman.

Kedua watak ini menghadapi penyakit yang mana doktor memberi mereka jangka hayat dalam masa 6 bulan, paling lama setahun. Persoalannya, bagaimana kita menyambut kematian kita.

Ketika mendengar doktor menyampaikan berita buruk itu kepada Jack Nicholson, Morgan Freeman sedang menulis 'bucket list'nya. Bila sampai giliran Morgan mengetahui kes penyakitnya, yang juga dijangka boleh bertahan dalam 6 bulan ke setahun, Morgan yang kecewa mengoyakkan listnya.

Secara tidak sengaja, Jack Nicholson terbaca dan bertanya. Kata Morgan Freeman: dia menyediakan 'bucket list' iaitu senarai apa yang ingin dia lakukan sebelum dia mati.( Bucket List dari perkataan: " kick the bucket,' maknanya mati.)

Ini memberi idea kepada Jack Nicholson, daripada beliau meratapi kematiannya dalam masa setahun itu, elok dia melengkapkan apa yang ingin dia buat sebelum mati. Dia menambah elemen-elemen kegilaan dan keceriaan dalam 'Bucket List' Morgan Freeman seperti sky diving, membuat tatto dan lain-lain. Dia juga mengajak Freeman melakukannya.

Freeman mendapat tentangan daripada isterinya. Untuk orang yang akan mati, bersama yang tersayang adalah yang paling waras perlu dia lakukan. Jack Nicholson pula bujang dan tiada masalah dalam hal itu.

Freeman menerangkan, selama 45 tahun dia tiada kehidupan sendiri kerana menjadi ayah, mekanik dan suami. Di saat-saat akhir kehidupannya, dia ingin membuat sesuatu untuk dirinya sendiri.

Memang seronok cerita ini. Mungkin saya sudah bosan dengan letupan-letupan dalam filem barat yang sudah klise.

Apa yang menarik perhatian saya ialah, dalam kita menjalani kehidupan kita lupa hidup ini singkat. Kita sering menunda membuat sesuatu kerana kita rasa kita sentiasa ada 'masa', sedangkan kita tidak tahu bila maut menjemput kita.

Kita juga sering berbuat sesuatu bukan untuk diri kita dan memendam apa yang kita inginkan demi menjaga hati dan kepentingan orang lain.

Dalam cerita ini, Jack Nicholson mempunyai seorang anak perempuan dan bergaduh dengannya hingga mereka tidak bertegur sapa. Berbeza dengan Freeman yang akhirnya boleh kembali ke keluarganya, dia tidak mempunyai sesiapa.

Freeman menasihati dia agar berbaik-baik semula dengan anaknya sebelum dia mati. Sebagai seorang yang berjaya dan ego, beliau menolak dan hampir bergaduh dengan Freeman. Sebelum Freeman mati, beliau menulis surat kepada Jack Nicholson bukan menasihat, tetapi sebagai kawan minta Nicholson kembali berbaik-baik dengan anaknya.

Itu yang akhirnya Jack Nicholson lakukan selepas mati rakan baiknya itu. Di akhir kehidupan, bukan kekayaan dan wang ringgit menjadi penting buat kita, tetapi kedamaian di hati.

"All happy family resemble one another, but each unhappy family, unhappy its own way." - Leo Tolstoys dalam Anna Kareninna

No comments: