Followers

Thursday, April 8, 2010

Pragmatik

Secara longgarnya, boleh kita tafsirkan pragmatik bermakna bebas dari mana-mana idea atau teori. Orang yang pragmatik merupakan orang yang tidak tertakluk kepada mana-mana acuan kecuali acuannya sendiri. Orang yang pragmatik merupakan orang yang mengambil apa saja yang baik - tidak kira dari kawan, lawan, haluan kanan atau kiri.

Mari kita renung, mengapa ummah atau umat Islam seluruh dunia menjadi terkebelakang dalam bidang sains dan teknologi. Mereka juga terkebelakang dalam perdagangan. Negara Islam yang kaya seperti Arab Saudi, Kuwait, dan Brunei merupakan pengeluar minyak. Minyak adalah sumber asli. Moron manapun akan menjadi kaya jikalau Allah kurniakan minyak di bumi mereka.

Bandingkan negara-negara Islam ini dengan India, China, Vietnam, Jepun dan Korea. Mereka boleh mengejar peradaban Barat lebih cepat dari negara Islam. Mengapa?

Jawapannya adalah pragmatik. Mereka tidak membenci apa-apa bersifat 'kekafiran' kerana istilah itu tiada dalam kamus agama mereka. Mereka hanya pengamal Budha dan Hindu dan tiada masalah untuk menerapkan kebaikan 'sistem Barat'. Mereka tidak ada rasa permusuhan dengan Barat mengikut 'tradisi Perang Salib' yang rata-rata penyakit orang Islam.

Jepun yang ditawan oleh Amerika tidak menjadikan isu sentimen 'orang kalah' ini sebagai penghalang untuk bangkit walaupun selepas pendudukan Amerika(American Occupation). Malah mereka belajar apa sahaja yang baik dari 'musuh' mereka dan muncul sebagai kuasa ekonomi kedua selepas Amerika sebaik kalah dalam Perang Dunia Kedua.

Tradisi 'Perang Salib' menyebabkan 'ulama' Islam menyebarkan Islam berasaskan kebencian kepada orang Kristian dan Eropah. Ummah masih keliru dan sering terbantut dalam mengejar kemajuan kerana terikat dengan fahaman sempit. Kita sering bertindak mengikut sentimen dan bukan fikiran rasional.

Dalam mengejar kemajuan dan ilmu, amatlah mustahak ummah membebaskan diri mereka dari pemikiran 'ulama' yang keliru dan jumud. Islam sendiri merupakan pragmatik. Justeru Quran merupakan sumber kepada pemikiran rasional. Allah memberi berbagai pengajaran di dalam Quran dan menggalakkan kita menjadi rasional.

Malangnya, ummah lebih suka merujuk kepada ulama itu dan ulama ini dalam hal-hal seharian mereka. Seperti yang saya pernah katakan, walau apapun, kitab-kitab selain Quran hanya pendapat. Terpulang pada individu untuk memakai pendapat yang mana mengikut keseleasaan mereka.

Dalam kes liwat Saiful, pengikut Anwar merujuk kepada Yusuf Al-Qardhawi bahawa Anwar tidak bersalah mengikut ulama itu. Kemudian, Saiful sanggup berjumpa 'ulama' berkenaan untuk membuktikan dia benar-benar diliwat. Secara logik, jika ada orang yang buta huruf dalam bilik berkenaan ketika kejadian yang didakwa berlaku, kesaksian beliau lebih valid dari ulama tersohor itu.

Ini membuktikan sifat rendah diri yang suka merujuk ke sana sini untuk menguatkan hujah mereka amat parah dalam dunia Melayu. Saya berani mengatakan, punca ummah seluruh dunia mundur adalah kerana mereka tidak bersifat pragmatik, dan terlalu mengikut ajaran guru itu dan guru ini dalam kehidupan sehari-harian mereka.

Baru-baru ini saya terbaca dalam group Facebook, seorang muslim telah mengungkap kata-kata Proffesor Arnord Toynbee yang meramalkan Islam akan menjadi kuasa besar dunia. Beliau juga meramalkan komunisme akan berkubur kerana ajarannya tidak berlandaskan kesucian rohani.

Memang beliau meramalkan China dan Islam akan menjadi kuasa besar dalam masa akan datang. Dan orang Islam merujuk kepada Profesor berkenaan untuk menguatkan hujahnya. Sentiasa kita kena ada orang lain untuk validify idea atau gagasan kita. Arnord Toynbee membuat andaian berdasarkan fakta-fakta yang kita sendiri boleh fikir. Ini juga sindrom rendah diri.

Seperti tagline kegemaran saya: "History was created by those who break the rule", suka saya petik pandangan Tan Sri Sanusi Junid dalam blognya berkenaan pragmatiknya Tun Mahathir ketika krisis kewangan 1997. Beliau sebagai doktor tidak terikat dengan mana-mana teori ekonomi, dan merangka penyelesaian mengikut acuannya sendiri. Sudah tentu beliau mengambil yang terbaik di sana sini untuk mewujudkan teorinya sendiri.

Ini petikannya:

" 23. Tun Dr. Mahathir ialah seorang doktor. Beliau tidak terikat dengan mana-mana teori ekonomi yang dipelupuri oleh seseorang professor terkenal dari mana jua universiti terkenal di dunia ini.

24. Jika Tun terikat atau dipengaruhi oleh teori dan pemikiran ekonomi yang ada maka beliau tidak akan berjaya menentang IMF dan Bank Dunia dengan mengendali ekonomi Malaysia secara pragmatik. Itulah sebabnya Harvard University kini menjadikan cara Tun Dr. Mahathir menghadapi krisis matawang sebagai mata pelajaran dalam kulliyyah mereka.

25. Kini Tun Dr. Mahathir sudah dianggap sebagai pakar ekonomi terulung di dunia dan telah dihubungi untuk mendapat nasihat oleh pemimpin dan pentadbir dari negara-negara luar. Sebagai seorang yang tangkas membuat keputusan yang pragmatik, dan di luar dugaan, Tun Dr. Mahathir terbukti berjaya menyekat penyangak matawang seperti George Soros yang berkelulusan dari London School of Economics, di penghujung tahun lima puluhan, dibantu oleh pakar-pakar yang ahli dalam mengkaji aliran, rajah, formula, model dan lain-lainnya."
 
Tun tidak takut dianggap sebagai orang yang sesat dalam dunia kapitalis. Dalam Times 1999, beliau menulis dalam artikel yang bertajuk: 'Call Me a Heretic' kerana beliau menyekat ringgit dari menjadi mangsa 'rogue traders' yang mana pengawalan sebegini menyimpang dari kesucian kapitalis atau laissez faire.
 
Untuk menjadi maju, ummah perlu menjadi pragmatik.

No comments: