Followers

Friday, April 23, 2010

Cabaran dan Tindakbalas

Dalam A Study of History karya Professor Arnold Toynbee, beliau mengkaji jatuh bangunnya sesuatu tamadun seperti Mesir, Mesopotamia, Greek dan sebagainya. Menurut beliau, kemajuan sesuatu bangsa itu sangat berkait rapat dengan teori 'challenge and respond'.

Jika terlalu kuat cabaran yang dihadapi sesuatu bangsa, dan bangsa itu boleh mengatasinya dengan lebih kuat lagi, maka bangsa berkenaan akan bangkit sebagai bangsa besar. Contohnya di Mesir, oleh kerana Mesir sering berhadapan dengan banjir besar Sungai Nil, akhirnya menjadikan orang Mesir sangat pakar dalam bidang astronomi dan matematik untuk mengkaji perubahan musim.

Mereka mencipta berbagai alat atau 'leverage' untuk mengelakkan malapetaka berkenaan, atau setidak-tidaknya mengurangkan kesan bencana alam itu. Dengan kemajuan sains, matematik dan teknologi, orang Mesir mampu mencipta piramid dengan ketepatan matematik dan muncul satu bangsa yang memiliki tamadun yang tinggi. 

Jika sesuatu bangsa itu pula menghadapi cabaran yang kuat, tetapi gagal bertindakbalas dengan cabaran berkenaan, bangsa itu akan pupus kerana gagal bersaing. Gagal bersaing kerana secara semulajadi seperti teori Darwin, bumi ini untuk yang kuat sahaja untuk meneruskan kesinambungan spesisnya seperti dinyatakan oleh Darwin dalam 'Natural Selection'.

Ambil contoh Red Indian di Amerika. Walaupun mereka penduduk asal benua itu, tetapi mereka gagal bersaing dengan pendatang kemudian yang lebih maju dan teratur dari segi organisasi sosial, politik dan ketenteraan. Mereka tewas berhadapan dengan Portugis, Sepanyol, Mexican dan akhirnya Aglo-Saxon. Red Indian menjadi melukut ditepi gantang dalam tanah air mereka sendiri kerana gagal bertindakbalas dengan baik terhadap cabarannya.

Jika sesuatu bangsa itu tidak berhadapan sama sekali dengan sebarang cabaran, maka bangsa berkenaan akan menjadi statik. Mereka tidak maju dan tidak mundur.

Kategori ketiga ini mengingatkan saya kepada bangsa Melayu. Semenanjung Tanah Melayu ini dirahmati Allah dengan begitu banyak galian seperti emas,timah, besi dan minyak. Satu ketika dahulu, Semenanjung Tanah Melayu dikenali dengan nama Semenanjung Emas.

Tanah di sini sangat subur, musuh kurang dan bencana alam hampir tiada. Ini mungkin develop sikap tolak ansur yang tinggi dikalangan orang Melayu lama kerana tidak ada apa yang hendak direbutkan dan dikejar. Mereka tidak perlu bersaing untuk mencari rezeki kerana kekayaan sumber bumi ini mencukupi.

Apabila British datang, mereka telah mengeksploitasi kekayaan bumi Melayu ini. Britist mendapatkan konsesi lombong emas, bijih timah, bijih besi, menanam ladang getah dan sebagainya. Kemudian British membawa kaum India dan Cina ke Tanah Melayu untuk bekerja di ladang-ladang dan lombong-lombong.

Menjadi Melayu, bangsa ini yang selama ini bersenang lenang tanpa bekerja keras untuk hidup membiarkan sahaja ekonomi dikuasai oleh orang asing. Melayu tidak rasa tergugat ketika itu apabila lombong bijih, emas dan besi diterokai oleh orang asing. Ini kerana sikap berlumba-lumba dan berebut-rebut ini tidak wujud dalam diri mereka kerana selama ini tidak ada sebarang cabaran untuk mereka hidup.

Berbeza dengan kaum yang datang mereka datang dari negara yang perlu bersaing untuk terus hidup. Ini menjadikan mereka aggresif dan sentiasa berjuang untuk terus maju. Keadaan kesusahan di negara asal mereka, dan kesusahan menjadi pendatang menyebabkan mereka develop semangat juang yang tinggi dan keinginan bersaing dan berjaya lebih dari penduduk tempatan.

Kesannya adalah ketidakseimbangan ekonomi antara kaum ini sangat besar. Sejak dahulu lagi kaum pendatang menguasai ekonomi. Manakala Melayu yang tidak terdidik untuk bersaing oleh 'culture' mereka menjadi ketinggalan dalam pendidikan dan ekonomi, hingga affirmative action melalui DEB dilaksanakan bagi mengurangi jurang ini.

Hasilnya dari segi pendidikan ramai Melayu menjadi profesional seperti lawyer, doktor, akauntan dan sebagainya. Dari segi ekonomi Melayu masih ramai yang ketinggalan kecuali yang mendapat hasil naungan dari kerajaan.

DEB juga bukan tanpa kesan jangkapanjang. Ia juga melumpuhkan kebolehan bersaing orang Melayu kerana dilindungi. Jurang antara kaum sekarang bukan lagi antara 'have' and 'have not' kerana ramai juga Melayu yang menjadi kaya hasil DEB, tetapi antara 'can compete' and 'compete not'. Melayu ternyata gagal bersaing dalam open market atau jika mereka tidak dilindungi.

Alaf baru ini merupakan cabaran bagi Melayu. Ini kerana secara perlahan-lahan kerajaan sudah tidak akan melindungi mereka lagi. Antaranya kerana desakan. Antaranya kerana kerajaan dalam era globalisasi tidak akan mampu berbuat demikian lagi.

Orang Melayu kena bangkit dan menjadi bangsa yang kuat dalam menghadapi cabaran ini. Dan kerja keras, kebijaksanaan, ukhwah dan semangat juang yang tinggi menjadi formulanya. Semuanya ditangan kita. Jika kita gagal bertindakbalas dalam menghadapi cabaran ini, jadilah kita bangsa yang pupus atau insignificant.

"Sesungguhnya, Allah tidak akan mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum itu sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri".
Quran: Surah Al-Rad Ayat 10.
 

No comments: