Hujan lebat mencurah-curah pada petang Sabtu sangat luarbiasa. Pada pukul 5 petang, saya sekeluarga dalam perjalanan dari Ampang ke Shah Alam untuk melawat mentua saya yang bakal berangkat ke Tanah Suci Mekah untuk menunaikan umrah hari ini.
Hujan yang luarbiasa lebatnya menggusarkan saya. Sesekali, ternampak kilat memancar dengan cahaya yang terang dan dentuman yang amat kuat. Saya jeling melalui cermin, anak saya sedang tidur lena. Nenek saya keresahan - ketakutan - dengan bunyi kilat yang mendentum dan hujan yang teramat lebat. Walaupun baru pukul 5 lebih, langit terlalu gelap seakan-akan waktu sudah malam.
Kami ingin melalui Lebuhraya Duke. Kenderaan bergerak sangat perlahan, malah di Lingkaran Tengah jalan macet. Beberapa kemalangan kecil dan kereta rosak turut memburuk lagi jalan yang sudah sedia macet. Di Duke sendiri saya tidak berani memecut laju.
Setiba di rumah mentua, saya membuka blog dan facebook. Saya terbaca tragedi yang menimpa Rumah Anak-anak Yatim Madrasah Al Takwa telah tertimbus tanah runtuh. Saya sudah terbaca beberapa status rakan-rakan dalam FB tetapi tidak dapat detailnya.
Setakat pukul 8 malam tadi, 6 disahkan mati, 9 berjaya diselamatkan dan 9 dilaporkan masih tertimbus. Hati saya pilu - sangat pilu. Saya dapat bayangkan bagaimana perasaan mangsa secara tiba-tiba berduka setelah mereka bergembira membuat persediaan menyambut tetamu dari FINAS.
Namun saya pasrah dengan takdir Allah. Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk hambaNya. Moga Allah mencucuri rahmat ke atas roh mereka yang terkorban. Moga Allah menyelamatkan mereka yang masih tertimbus.
Saya tidak akan buat sebarang posting pada hari Ahad hingga Isnin pagi untuk berkabung.
Al Fatihah.
1 comment:
al fatihah.. salam takziah utk keluarga mangsa.. sedih juga terbaca smlm.. sedang bercuti tiba2 dgr berita sedih ni trus hilang mood..
Post a Comment