Followers

Saturday, April 2, 2011

Buku

Saya mula menyimpan buku untuk koleksi sejak dari tingkatan 1. Bermula dengan beberapa buah buku yang saya bariskan di atas meja study saya, ada semacam perasaan yang berbaur. Hanya beberapa buah buku tolak buku-buku teks yang masih tidak layak diletakkan di rak kerana terlalu sedikit sudah melahirkan sebuah perasaan takjub. 

Makin dewasa saya, semakin bertambah koleksinya. Ia seperti pekembangan saya sendiri. Dari hanya kebanyakkan buku sastera berbahasa Melayu seperti Salina karya A.Samad Said, Al-Syiqaq oleh Shahnon Ahmad sudah mula memberati dengan karya-karya Thomas Mann hingga ke Soren Kierkeggard. Sehabis tingkatan 5, saya sudah mempunyai dua atau tiga rak. 

Kemudian koleksi makin bertambah, lebih rapid apabila saya sudah mula bekerja dan mempunyai duit sendiri. Hikayat koleksi semasa sekolah menengah adalah dengan menyimpan duit belanja, tidak makan dikantin untuk menambah koleksi. Buku sebenarnya mahal untuk dimiliki oleh pelajar. Sementara source of income saya ketika itu hanya dari duit mak dan duit bapa saudara.

Kemudiannya saya menghadapi masalah storage. Di mana perlu disimpan buku-buku yang makin lama makin bertambah banyak ini? Mula-mula ia tidak mendatangkan masalah kerana sebahagian saya simpan dirumah mak saya dikampung Jerantut, sebahagian saya simpan di apartment saya di Bukit Antarabangsa yang disewa bersama dua orang housemate bujang saya ketika itu, balik ke tahun 1997.

Dalam tahun 2000, saya kembali ke Jerantut untuk berkhidmat dengan YBM Tengku Azlan, Ahli Parlimen Jerantut.Saya tinggalkan sebahagian buku saya diapartment lama saya. Kedua housemate saya, Rizal Mushahar dan Nor Azmi Abdul Latif telah mendirikan rumahtangga, masing-masing pada tahun 1999. Ini bermakna saya ditinggalkan untuk menyewa seorang diri.

Apabila saya kembali ke Jerantut, saya benarkan seorang saudara saya yang juga orang politik Jerantut menyambung sewa apartment saya. Niat saya jika saya kembali ke Kuala Lumpur, saya ingin menyewa kembali di apartment berkenaan. Malangnya, berlaku perubahan politik dan hubungan saya dengannya makin renggang hingga kami tidak dapat bersetuju dalam banyak hal. 

Ketika saya kembali ke Kuala Lumpur pada tahun 2006, saya menuntut kembali beberapa barang-barang saya termasuk beberapa rak buku dan koleksi makalah Times. Saya tidak dibenarkan memasuki rumah itu lagi, dan beberapa buah buku sudah tidak kembali ke saya lagi.

Ada juga buku-buku saya yang tidak menjadi koleksi saya lagi apabila saya meminjamkan pada kawan-kawan. Saya katakan 'tidak menjadi koleksi saya lagi' kerana ianya tidak hilang dalam erti kata sebenar. Cuma ianya tidak dimiliki oleh saya lagi.

Seorang bapa saudara saya pernah menasihat, jangan pinjamkan buku kepada sesiapa kerana 90% ianya tidak akan kembali. Jika hendak pinjamkan, lebih baik niat hadiahkan terus.

Saya dapati ianya tidak semua benar. Ada lebih kurang empat ke lima peminjam buku saya secara regular sentiasa memulangkan semula kepada saya. Mungkin kerana hubungan terlalu intim, mungkin kerana mereka tahu saya menghargai koleksi saya atau mungkin kerana mereka mahu 'rating peminjam' yang baik untuk terus meminjam buku lain. Entahlah.

Pada tahun 2007, saya menjadi pegawai JASA Parlimen Jerantut, dan ini menyelesaikan masalah storage saya. Saya membawa semua koleksi buku saya ke pejabat JASA kerana pejabat saya luas. Setelah saya meletak jawatan pada tahun 2009, buku-buku saya tersimpan di sana hingga kini. 

Semalam saya ke pejabat lama untuk mengambil buku Romance of Three Kingdoms kerana seorang anak saudara saya ingin membacanya. Saya terkejut kerana banyak buku saya sudah dimakan bubuk. Semua koleksi yang menarik, ada antaranya yang sukar didapati lagi. 

Antaranya adalah Human All To Human, karya Friedrich Nietzsche, Magic Mountain oleh Thomas Mann, The War with Hannibal, klasik perang Punic Kedua oleh Livy, The Ideal of Samurai - koleksi beberapa code of conduts himpunan daimyo termasuk Takeda Shingen, salah satu biografi Hitler yang ditulis oleh penulis German sendiri - Joachim Fest dan banyak lagi,

Ini menyedihkan saya kerana bukan semua itu boleh dibeli semula. Ada yang sudah tidak dicetak lagi. Saya tidak dapat menulis blog selepas itu kerana tiada mood. Pada hari ini saya buat keputusan untuk menulis 'eulogy' buku-buku saya yang sudah pergi dan mungkin tidak  dapat dicari lagi.

Semuanya kerana kelalaian saya. Saya bahkan terfikir untuk menjual semula koleksi itu seperti yang dilakukan oleh Talleyrand. Talleyrand merupakan diplomat Perancis zaman Napoleon. Beliau juga pengumpul buku, seringkali menjual librarynya ketika kesempitan wang. Membelinya semula apabila kewangannya kembali stabil. Namun pada zaman itu, library di anggap lambang prestij dan boleh dijual beli. Sekarang, ditinggalkan dipejabat lama, ianya musnah dimakan bubuk dari diambil orang.

Mungkin saya perlu mengikuti perkembangan IT.Saya perlu menyimpan koleksi ini dalam E-book yang tidak menggunakan banyak ruang. Walaupun ianya bukan sesuatu yang mustahil saya lakukan, namun ianya menghilangkan mistik 'kebukuan' itu sendiri. 

Lebih maju, tapi hilang mistiknya. Bahkan Talleyrand tak terfikir library mewahnya boleh mengecut dalam sebuah E-book. 

1 comment:

Yb Raz said...

saya pula banyak koleksi majalah..majalah mastika, remaja, intrend, modified kereta..mak saya dah marah rumah bersepah hehehe.