Followers

Saturday, May 8, 2010

Mereka Yang Dilupakan

Sudah beberapa posting saya banyak menulis tentang politik, agenda Melayu dan beberapa teori jatuh bangunnya bangsa. Kali ini saya menulis lain dari kebiasaan. Bukan tentang politik, bukan tentang raja. Bukan tentang rombakkan kabinet. Bukan tentang pilihanraya Sibu. Bukan tentang 'ulama'. Ini tentang mereka yang tidak berwajah. Mereka yang tidak dikenali.  Mereka yang tidak bernegeri. Mereka yang bukan masalah semua orang. Mereka yang dibuang oleh masrayakat dan tidak dipedulikan. Mereka yang dilupakan.

Bermula dengan posting dalam blog Tengku Razaleigh bertajuk 'Chow Kit', saya mula sedar saya perlu melaksanakan tanggungjawab menulis tentang golongan 'untouchables' ini.  Tengku Razaleigh ada menulis dalam blognya tentang 'mereka yang dilupakan' ini dalam tajuk posting 'Chow Kit'. Baca sini

Dalam kita sibuk fokus tentang politik, kuasa dan kekayaan, kita semakin hilang nilai kemanusiaan. Ditengah-tengah kemajuan kota, beberapa kilometer dari KLCC, wujudnya dunia 'underworld' yang berlainan sekali dengan dunia kita. Di Chow Kit ini berkembangnya masyarakat yang terbuang dan pincang. Kanak-kanak yang tidak berbapa hasil dari hubungan luar nikah, ibunya pelacur dan bakal menjadi pelacur jika perempuan, yang lelakinya pula samada akan berakhir sebagai 'penagih' atau 'pengedar' dadah.

Mereka tidak bernegeri kerana tidak boleh didaftar, tidak bersekolah, dinafikan haknya sebagai warganegara walaupun ibubapa mereka rakyat Malaysia. Tidak ada masa depan dan akan menjadi gangguan kepada masyarakat. Sering dibenci dan dihina. Mereka berkembang dan tidak diminati, lebih-lebih lagi mereka tiada undi. Mereka bukan masalah BN ataupun PR. Mereka bukan masalah etnik Melayu, ataupun Cina. Mereka hanya hantu yang wujud dan tidak dipedulikan.Mereka dibeli dan dijual seperti barang. Sesetengahnya gelandangan dan dijadikan peminta sedekah oleh sindiket.

Masalah siapakah mereka ini?

Saya rasa masyarakat perlu ubah sikap yang suka menghukum. Kerajaan perlu mengurangkan rigidity dalam hal pendaftaran kanak-kanak. Jika mereka lahir sebagai anak pelacur atau tiada bapa, mudahkan urusan pendaftaran mereka. Wujudkan institusi yang memelihara kanak-kanak ini sejak dari lahir hingga mereka dewasa. Berbapa atau tidak, anggap sahaja mereka anak yatim piatu dan kerajaan dan masyarakat merupakan ibubapa mereka. Kudos kepada Rumah Nur Salam yang diwujudkan oleh Dr. Hartini Zainudin. Kita perlukan ramai lagi dermawan sebegini.

Saya mendapat maklumat, tentang hal orang gelandangan atau 'homeless' di ibukota. Kebanyakkan mereka Melayu. Mereka tidak dipedulikan oleh kerajaan atau pembangkang. Malah badan agama seperti JAKIM atau JAIS yang mengawal zakat juga tidak memperdulikan mereka. Selalunya gereja yang dikeji kerana isu Allah mengambil berat tentang mereka. Gereja memberi mereka makan dan perlindungan. 

Di negara Islam, bukan saudara sesama Islam yang membantu mereka tetapi gereja dan saya percaya gereja melakukan bukan berniat jahat. Mereka hanya menghulurkan bantuan kemanusian yang mana setiap muslim sepatut melakukannya, lebih-lebih lagi penguasa agama yang hanya ghairah menangkap orang berkhalwat, orang tidak puasa, orang main ekor dan orang mengajar yang tidak bertauliah. Adakah Islam hanya bermakna menghukum dan mengeji? Soal kebaikkan dan kebajikan perlu dilakukan oleh agama lain?

Masyarakat kita merupakan masyarakat yang suka menghukum, dan melantik diri mereka sebagai wakil Allah didunia ini bagi menjatuhkan hukuman dan mengeji perlakuan sesama Islam yang cela. Mengapa ramai gadis buang bayi? Kerana takut dikeji dan dinista dan dipulau oleh masyarakat. Di Ireland, mereka mengharamkan buang anak dan kerajaan Ireland akan memberi rawatan percuma kepada sesiapa sahaja yang mengandung tanpa menanya anak luar nikah ataupun warganegara mana. Bagi mereka mustahak bayi dilahirkan dahulu tanpa menghukum dari segi moral.

Kepada 'ulama' dan orang 'Taliban' yang suka menghukum, adakah anda yang ghairah sangat mahu tubuhkan kerajaan Islam merasa lebih Islamik dari kerajaan sekular? Adakah Islam hanya bererti mengintip orang melakukan maksiat, hendak merejam orang berzina(tidak ada dalam Quran hukuman ini), dan merotan orang yang minum. Bila soal kebajikan anda kalah dengan gereja. Kemana perginya nilai kemanusiaan anda?

Baru-baru ini saya menyertai group 'Dua juta orang benci sex sebelum kahwin' dalam Facebook. Niat saya elok kerana ingin berbincang secara ilmiah dan memberi pandangan. Saya kecewa kerana rata-rata peserta hanya berbincang mahu tubuhkan kumpulan mengintip orang, menghukum orang dan mencerca orang. Malah ada yang mengutuk anak luar nikah sedangkan kesalahan itu tiada kena mengena dengan bayi berkenaan. Ini lambang masyarakat kita yang suka menghukum dan melantik diri sendiri menjaga 'keislaman' orang lain. 

Siapa yang sebenarnya patut menjaga kebajikan mereka yang dilupakan ini? Biarlah dosa mereka ditentukan oleh Allah, tetapi setiap orang Islam wajib menjaga kebajikan sesama manusia. Dan jika ada Melayu murtad kerana tertarik dengan kebaikan agama lain, akan berhimpunlah umat Melayu mengutuk perbuatan mereka. Kita tidak sedar, kita yang tidak menjaga ukhwah ini yang menyebabkan saudara kita menjadi murtad.

Sesuatu perlu dilakukan oleh NGO Melayu, penguasa agama Islam, dan juga setiap individu muslim. Sesuatu perlu dilakukan untuk membantu mereka. Jika tidak, kita semua, termasuk saya gagal sebagai muslim yang baik.

Sesuatu perlu bermula juga.

13 comments:

WARIS PAHANG said...

Orang kita suka menghukum dari mendidik

Anonymous said...

Salam Sri TriBuana,

Elok mesti bermula dan beransor. Ini persoalan untuk semua. Macam Saham Felcra juga kenapa masih ada orang yang memerlukan. Kenapa masih ada PPRT?. Jawab nya kerana Tak puas dan kenape tidak aku?.


TQ Urang Dhuluq seno.

Elfin said...

Masing2 merasakan diri masing2 beruntung..... (rasa selesa mengadili orang lain).....
Yang sebenarnya, masing2 tak kenal dek untung (tak sedar diri).... manusia dijadikan beserta dengan kelebihan dan kekurangan tersendiri....
Apapun - artikel yang baik dan terima kasih kerana mengingatkan....

SG PAHANG said...

SRI TRIBUANA,
Saya masih pelajar di IPT, kami telah mendekati gulungan 'homeless'dikotaraya KL dan membuat resarch tentang bagaimana terjadinya golongan terpinggir ini. Sebagai penemuannya kami dapati mereka ini adalah masyarakat nomad yang tidak kekal setempat. Senang datang dan senang pergi.Fenomina ini berlaku dimana2 kotaraya dunia kerana seribu satu macam sebab.

2. Dua cara dicadangkan penyelesaiannya. Pertama, DBKL, PPZ,atau GLC serta ejensi kerajaan mengujudkan asrama tempat mereka belindung. Kedua, mereka ini dikumpulkan dihantar kemana2 pulau atau kem-kem terkawal dipulih,latih,asuh,sekolah,beri kemahiran supaya berdikari dan menetap disatu2 lokasi secara kekal.

3. Ada padi semua jadi.Perancangan yang baik berdasarkan jumlah wang yang baik.Soalnya sensitiviti, adakah mereka yang bertanggung, benar2 sedar dan memikir secara mendalam serta berniat untuk membasminya.Kerja2 ini tidak semudah menekan 'keypad'. TK

sri tribuana said...

Salam Waris Pahang, apa kabar, lama x dgr cerita.
Saudara Urang Dhuluq, soal felda and felcra dh lari tajuk di sini. Elfin saya sangat bersetuju dengan saudara/ri.
Saudara Sg Pahang, setiap org ada tanggungjawab, sebagai 'penulis', tanggungjawab saya menekan keypad, dan memang senang, tak semudah saudara yang turun ke bawah. Tahniah kpd saudara yg mendahului kami semua ini. Dan terima kasih juga

AKK-KAY said...

Great job!

Insyaallah, doakan lah masyarakat kita x terus2an ada sindrom 'aku Islam kau kafir' .. tugas kita sbagai khalifah, hamba Allah utk nasihat sesama kita bukan menjadi judgemental.. Ilmu yg kita peroleh sgt sedikit, dan kerana kasih sayang Allah. It could always happen the other way round... bersyukurlah for Allah masih memberi kita insight utk sesuatu yg baik ke jalanNya, dan bimbing lah yg lain bersama. Jgn 'bengkak' dan ' bongkak' di dada kerana ilmu itu bukan milik kita, saya mengingatkan diri saya sdri juga. I hope I'll be a good muslim .

sri tribuana said...

What a surprise, for so long kayren dh tak komen. This blog miss your comment a lot.

Anonymous said...

Sri Tri Buana,

Saya tertarik dengan isu yang diutarakan mengenai mereka yang dilupakan....

Drpd posting ini saya berpdpt ia perlu dikupas dengan lebih mendalam drpd pelbagai angle dan bukan sahaja meletakkan kesalahan kepada sesetengah agensi atau pihak berkuasa.

memang benar saya nampak terdapat kelemahan wujud di pihak JAKIM, JAIS dan PPZ..semua orang dah tahu...since ages ago.....masih byk kekurgn yang perlu dibaiki...

Tetapi..........sebagai bloggers yang saya nampak sedang giat mengetengahkan isu ini saya ingin mengesyorkan Sri Tri Buana and the geng...mengadakan program khas (mengajak bloggers lain termasuk JAKIM, JAIS and PPZ) turun padang utk menarik kembali homeless (especially productive homeless) ini utk kembali berfungsi di dalam masyarakat...Setakat yang saya mengenali mereka ...ada di antaranya yang ingin berubah tetapi most of them lebih senang memilih cara hidup bergelandangan kerana sikap malas....walaupun pelbagai pihak telah cuba membantu......

whither homeless?

Anonymous said...

STB,

Harap tuan STB dapat postkan masalah masyarakat dengan lebih kerap lagi...

Ini akan membantu membaik-pulih masyarakat yang semakin parah.

Isu yg diketengahkan ini menarik utk kita semua kaji dan fikirkan bagaimanakah caranya kita boleh memberikan sumbangan terutama sesama agama agar kita tidak dipersalahkan nanti...

Sg Long...

Pirat Ktn. said...

SDR STB,
Orang ulu tembeling macamana? tak ada ke lapuran. kami nak dengar juga. Jangan pula orang ulu Tembeling itu semakin terpinggir tuan tanah gedowong berkeliaran disana. Salam mesra

DATOAZIZAN MELAYURAYADAILY said...

sri tribuana,
Kemiskinan tidak hapus selagiada dunia.Allah swt memberikan tanggung jawab pembelaan terhadap sifakir miskin itu kepada semua selain dari "mereka" seperti tanggung jawab orang hidup terhadap orang yang meninggal dunia.

2. Oleh itu, antara kita mainkanlah peranan dengan kemampuan dan kebolehan masing-masing sama keypad, pena,kertas, skrin kerana itulah setakat yang kita upaya.

Teruskanlah STB bela apa kepincangan yang nampak dimata, dengar ditelinga, terbau dihidung. TQ

Anonymous said...

Kerja2 ini tidak semudah menekan 'keypad'. saya tidak bersetuju apabila orang bercakap tentang ini. memang benar kerja ini tidak semudah menekan keypad, tapi anda di bayar gaji untuk bekerja, seharusnya anda berkerja dengan ikhlas dan cari penyelesaiannya, bukan menunding jari.kebanyakkan orang kita selalu bercakap atau berkata, 'kau ingat senang ker buat kerja macam aku' kalo anda tak sanggup atau tidak mampu, baik anda berhenti kerja sebab anda dibayar gaji, diulangi dibayar gaji untuk bekerja. seharusnya anda tahu tugas anda. bukan melepak di kedai kopi, bukan goyang kaki di ofis atau bermain FB. mungkin benda ni sukar untuk dihapuskan, tapi kurangkan peratusan kepada tahap yang paling meminima. kita buat sistem bukan sistem buat kita. dimana ada jalan di situ ada kemahuan. apa kata STB tu betul, setiap orang ada tanggungjawap. apa yang sg pahang katakan adalah betul, tapi perkataan tidak semudah menekan keypad itu saya tidak setuju.


godfather X

sri tribuana said...

Terima kasih godfather x. Saya setuju semua org ada tanggungjawab masing-masing dan berjuang dengan cara masing-masing mengikut kemampuan