Pagi ini saya ingin menulis sesuatu yang peribadi. Ini kerana semalam, 7 Ogos merupakan hari lahir saya yang ke 40. Dalam kad pengenalan, saya lahir pada 12hb Mac 1972. Lahir di pendalaman, iaitu Kg. Bantal mungkin alasan saya didaftar lewat dalam sijil kelahiran. Sebenarnya, saya dilahirkan pada 7 Ogos 1971, genap 30 tahun setelah meninggal dunia pujangga kegemaran saya: Rabindrananth Tagore(Tagore meninggal pada 7 Ogos 1941).
Didaftarkan lahir lewat setahun iaitu pada tahun 1972 banyak mempengaruhi perkembangan dan peribadi saya. Pertama sudah tentu saya setahun muda. Kedua, saya lewat masuk sekolah. Ketiga, saiz saya yang memang besar sejak kanak-kanak membuat saya rasa malu kerana terlalu besar untuk rakan-rakan darjah saya. Ketika sekolah rendah, saya tidak puasa kerana umur saya masih muda walaupun tubuh saya besar. Saya bawa bekal minuman ke sekolah. Saya masih kecil dari segi umur, tidak apa yang hendak dimalukan. Kemudian saya terdengar seorang budak lebih kecil dari saya berkata: "Dia tu badan besar tapi tak puasa."
Sejak itu hingga sekarang, saya tak pernah tinggalkan ibadat puasa.
Ketika saya dilahirkan, Almarhum bapa saya melawat Indonesia. Sekembali dari Indonesia, dia beri dua nama kepada ibu saya untuk ibu saya pilih. Kedua-duanya nasionalis Indonesia. Pertama Mohd Hatta. Kedua Sutan Shahrir. Ibu saya bernama Wan Sauja, dan suka nama bermula abjad S. Dia memilih nama Shahrir. Mungkin jika dia memilih nama Hatta peribadi saya juga berubah. Wallahualam.
Kedua nasionalist Indonesia itu orang Sumatera. Jika tidak silap, Shahrir dari Bukit Tinggi, Hatta dari Padang. Saya hairan mengapa Almarhum enggan menamakan saya Sukarno. Mungkin kerana ketika itu Sukarno baru melancarkan 'Ganyang Malaysia'nya. Almarhum bapa saya sendirk seorang nasionalist, dan orang politik. Namun politik zamannya bukan zaman buat duit, tapi menghabiskan duit demi perjuangan.
Selepas bapa saya meninggal dunia, saya dibesarkan oleh bapa saudara saya, Dato' Wan Abu Bakar b Wan Mohamed. Beliau ahli parlimen Jerantut dari tahun 1982 hingga 1995, dan pernah menyandang jawatan Timbalan Menteri. Beliau bapa saudara sebelah ibu saya. Namun beliau juga sepupu Almarhum bapa saya kerana ibubapa saya kahwin sepupu.
Saya benci politik ketika itu. Setiap minggu, rumah kami di Jerantut dipenuhi dengan pengikut bapa saudara saya, mesyuarat hingga ke pagi merencana itu dan ini. Tapi itu bukan penyebab saya membenci politik. Saya membenci politik kerana bagi saya dunia politik kotor, dan kepuraan. Orang menyokong kita kerana kuasa, sebaik kita tidak mempunyai, mereka dengan segara mencari tuan baru.
Setelah bapa saudara saya tidak terpilih lagi sebagai ahli parlimen, saya menyaksi dan merasa sendiri kepedihan apabila dari menjadi keluarga berpengaruh kepada orang biasa. Setahun sebelum itu, beliau masih timbalan menteri, pada hari raya sebaik selepas sembahyang raya, rupa kami dibanjiri pengunjung. Pada tahun beliau gugur sebagai ahli parlimen, selepas sembahyang raya, rumah kami sunyi sepi. Hanya keluarga terdekat sahaja yang datang berkunjung.
Kami bagaikan tidak wujud, tetapi seperti kata Tun Musa, jika masuk politik bersedialah dari diarak dan dipuja orang, rumah dan kereta besar kepada dunia sepi ditinggalkan kawan-kawan selepas tiada kuasa.
Kebencian saya terhadap politik berubah kemudiannya. Setelah saya membaca The Prince dan Kesultanan Melayu Melaka karya Prof. Muhamad Yusof Hasyim, saya berminat dengan politik. Namun realiti politik ketika saya cuba menceburinya sangat banyak berubah. Duit sudah mula berkata-kata, dan berkata-kata dengan lantangnya.
Satu perkara yang saya tak mampu untuk buat untuk kekal lama dalam politik adalah menjadi yes man dan menukar prinsip. Soal prinsip saya betul atau salah soal kedua, soalnya jika kita mula mengubahnya, di mana lagi sempadannya, atau batasannya?
Saya banyak melakukan pencaturan yang silap dan pernah dinasihati supaya ikut saja, bila sudah naik baru boleh mempunyai prinsip. Saya masih tidak boleh menerima syarat itu. Seperti kata Saidina Ali: "Jika aku ingin mnedapatkan kemuliaan, tetapi kerananya aku terpaksa melutut dan menyembah, lebih baik aku tak payah dapat kemuliaan itu."
Itu sebab antara motto kegemaran saya adalah :"Libertas virorum fortium pectora aquit" dalam bahasa latin. Dalam bahasa Inggerisnya: "Liberty stimulate spirit of a strong man".
Menoleh kembali ke belakang, dalam usia 40 tahun, saya tidak kesal jika tidak menjawat apa-apa jawatan dalam politik. Seperti kata Ku Lan,"Politic is not my bread and butter." Banyak jalan lain, rezeki lain untuk saya menyara keluarga saya, sesungguhnya saya percaya Allah Pemberi Rezeki. Saya hanya perlu berusaha.
Saya masih boleh meneruskan perjuangan, walaupun hanya melalui blog sebegini. Seperti kata Wiranggaleng dalam novel 'Arus Balik' karya Pramoedya Ananta Toer, "akan kuberikan segalanya untuk Tuban, walaupun aku tak punya apa-apa, tak punya senjata, walaupun hanya dengan secauk pasir pun aku korbankan untuk Tuban."
Zaman dua puluhan saya yang penuh dengan aspirasi dan will sudah berakhir. Zaman saya.mentertawakan dunia dengan wit dan lelucon orang berusia 30an juga sudah berakhir. "Life begin at 40" bagi saya bukan bererti saya masih muda, namun selepas menimba pengalaman selama 40 tahun kehidupan, hidup saya benar-benar baru bermula. 40 tahun yang lalu hanha trial and error, hanya latihan dan saya masih noleh melakukan kesilapan. Sekarang pada usia 40an, tidak ada ruang untuk saya berbuat silap lagi.
"At 20 years of age the will reigns, at 30 the wit, at 40 the judgement." kata Benjamin Franklin. Sekarang adalah era saya menyebarkan 'judgement' saya.
Saya ingin jadi penulis, menyebarkan idea, menulis buku sastera dan menjadi seniman.