Followers

Monday, March 23, 2009

Politik wang

Kita masih lagi dalam demam Pemilihan Agung UMNO (PAU). Oleh itu, saya memilih topik yang masih berkaitan dengan pemilihan UMNO.

Soal politik wang ini bukan perkara baru. Sebelum ini, golongan guru merupakan golongan yang berpengaruh dalam pemilihan UMNO dan oleh itu, sesiapa yang memegang portfolio Menteri Pelajaran(nama kementerian Pendidikan sebelum ini) kebiasaannya dilihat sebagai bakal Perdana Menteri.

Dalam era awal 90an, ekonomi Pacific Rim(Lingkaran Pasifik) dianggap sebagai Asian Miracle. Kononnya, media massa barat melabelkan ada 'Tujuh Harimau Asia' pada ketika itu. Kebetulan pula ekonomi Malaysia berkembang dengan pesat ketika yang sama. Golongan korporat menjadi primadona dan ramai juga ingin menguasai politik.

Dalam pemilihan PAU 1993, ketika pertembungan Anwar-Ghapar dimana politik wang menjadi berleluasa. Ramai korporat yang berminat dengan UMNO mula menabur wang untuk dipilih. Selepas itu, perwakilan sudah seperti penagih, sudah mula menagih wang untuk memilih calon tertentu.

Dalam soal politik wang ini, saya tidak menyalahkan calon keseluruhannya. Ini bukan bererti saya menyokong amalan ini. Dari segi apapun, politik wang sangat keji.

Realiti selepas itu tidak sama dan tidak ada cara lagi kita boleh mengubahnya. Ianya adalah evolusi sesuatu gerakan atau kenyataan hidup. Bayangkan sesiapa yang ingin memegang jawatan sekarang ini, perwakilan tidak akan pandang dengan sebelah mata jika calon mengatakan beliau hanya ingin 'berkhidmat'.

Maka muncullah tokoh-tokoh yang tidak mempunyai kredibaliti lain selain duit yang boleh menyogok perwakilan dan menang. Ini bukan hanya berlaku dalam pemilihan UMNO Pusat malah bahagian juga kadang-kadang cawangan.

Perwakilan tidak mahu ambil tahu dari mana datangnya duit itu. Duit tetap duit dan neutral dan laku untuk dibelanjakan.

Mungkin dibelakang duit itu adanya CIA, Yahudi, taukey rumah urut, taukey judi dan sebagainya tapi perwakilan tidak peduli. Yang membimbangkan kita adalah, harga yang UMNO harus bayar bila calon-calon yang kita pilih menang dan duit datang dari sumber yang menuntut 'sesuatu'.

"No one can be a hero in front of his creditor."

Dalam masa yang sama, calon juga menghadapi dilema. Jika mereka tidak buat; sudah tentu mereka kalah. Jika mereka buat, untung sabut timbul, untung batu tenggelam jika tidak tertangkap oleh Lembaga Disiplin UMNO dan sekarang SPRM.

Definasi 'politik wang' ini amat luas dan samar-samar, justeru mengundang penafsiran yang berbagai. Mungkin ini sebab ada yang bersalah dihukum dan ada yang bersalah, amaran keras. Keputusan semacam ini juga boleh menimbulkan berbagai spekulasi.

Dalam zaman moden ini, semuanya perlukan duit. Wujudkan jentera, agen, pergerakan calon, pergerakan agen dan sebagainya memerlukan duit. Tidak logik jika calon letak nama dan balik tidur sahaja. Ini memberi kelebihan pada calon yang establish dan tidak kepada muka baru.

Saya cadangkan, lantaran kita mengakui wang penting dalam kempen, kita jelaskan maksud 'politik wang'. Kita benarkan calon menggunakan wang hingga batas-batas tertentu. Kita benarkan mereka berkempen dan bertemu para perwakilan dan mengadakan jamuan tetapi tidak menyogok perwakilan secara langsung.

Kita juga perlu membenarkan calon mengisytiharkan jumlah wang yang akan mereka guna dan dari mana sumbernya.

Seperti dalam hal lain, kita boleh kawal sesuatu yang kita 'legalised'kan dari kita pura-pura ianya tidak wujud tetapi ia wujud tanpa kawalan. Lembaga disiplin UMNO hanya menilai atas kertas sahaja dan tidak mempunyai pegawai atau agen yang cukup untuk memantau seluruh bahagian UMNO.

No comments: