Dalam Malaysia Kini, bekas buangan aktivis pelajar, Hishamudin Rais menceritakan tentang 4 Raja Terakhir pada 18 Februari 2009. Secara ringkas, beliau menceritakan tentang Maria Antoinette Pemaisuri Perancis yang telah dipancung dalam Revolusi Perancis, keluarga Romanov yang dibunuh oleh komunis, Raja Faruq yang diguling oleh rakyat Mesir dan Shah Pahlavi, Raja Iran yang terakhir diguling oleh Revolusi Islam.
Beliau mengambarkan pemerintahan beraja merupakan pemerintahan yang paling teruk dikenali oleh sejarah manusia. Malah, Maharaja Jepun yang disayangi oleh rakyat Jepun itu pun beliau panggil 'bodoh' kerana menganggap mereka keturunan Dewa Matahari.
Marah sungguh bekas aktivis pelajar ini kepada sistem beraja. Bekas "the angry young man" yang sudah tua ini masih belum menemui kedamaiannya. Masa muda beliau dihabiskan hendak membetul dunia dan beliau tidak sempat membetulkan dirinya. Gagal menamatkan pelajaran, menjadi buangan dan tidak menghasilkan apa-apa karya yang agung, cuma sesekali kita terlihat sekilas kilau kemarahan beliau yang masih belum padam kepada dunia yang tidak adil ini.
Mungkin beliau ingin katakan sistem beraja sudah tidak sesuai di Malaysia atau di dunia moden ini. Sistem apa yang sesuai? Revolusi Perancis yang memancung rajanya telah mengorbankan beribu-ribu jiwa yang tidak berdosa semasa 'Reign of Terror'. Sepanjang sejarah revolusi itu, politik Perancis tidak stabil hingga muncul Napoleon Bonaparte membina dinasti Bonaparte dari puing-puing dinasti Bourboun.
Sistem Czar di Rusia memang banyak kelemahannya.Tapi apabila komunis atau lebih tepat lagi golongan Bolshevik merampas kuasa mereka juga membunuh mana-mana golongan yang tidak setuju dengan mereka dengan sewenang-wenangnya. Stalin ketika 'great purge'nya begitu banyak me'liquidated'kan musuh-musuhnya. Atas nama rakyat Rusia kononnya, ramai yang terbunuh termasuklah musuh ketatnya Leon Trostky.
Jadi kekejaman tidak ada kena mengena dengan feudalism.
Feudalism adalah politik ekonomi zaman revolusi pertanian yang mana tanah amat penting dan golongan feudal(baron, duke, pasha, prussian junker, daimyo dan raja) yang memberi perlindungan kepada petani dan oleh kerana mereka hanya tahu berperang akan mengenakan cukai kepada petani. Jika ada kezaliman, ianya adalah seperti mana-mana sistem, akan ada kecacatan.
Di Malaysia, Raja-raja tidak berpolitik secara teorinya. Segala kesalahan politik adalah kesalahan orang politik tanpa mengira parti. Seperti kata Lord Anton, "All powers are corrupt. Absolute power corrupt absolutely." Cuma teori pengasingan kuasa sahaja yang ada rasionalnya dan itu pun masih mempunyai kecacatan.
Akhirnya, masih ada 4 raja terakhir yang akan kekal buat selama-lamanya. Raja Lekuk, Raja Kelawar, Raja Spade, Raja Diamond dalam daun terup.
No comments:
Post a Comment