Followers

Sunday, March 8, 2009

Dilema Pejuang Bahasa.

Pada hari ini berlaku detik sejarah yang memedihkan hati perjuang-perjuang bahasa dan pencinta bangsa. Polis melepaskan gas pemedih mata terhadap lebih kurang 8000 orang yang berarak ke Istana Negara untuk menghantar memorandum untuk memansuhkan pelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris.

Saya merupakan seorang pencinta bahasa Melayu. Pernah satu ketika dahulu saya yakin bahasa Melayu boleh menjadi bahasa ilmu. Realitinya amat jauh sama sekali, apalagi Dewan Bahasa dan Pustaka gagal menangani masalah menglobalkan bahasa Melayu.

Bahasa Melayu gagal untuk menjadi bahasa ilmu. Banyak istilah-istilah dalam perundangan, perubatan, sains dan sebagainya gagal diterjemahkan dengan mantap dan universal.

Hakikat ini tidak ada kena mengena dengan tabii bahasa itu sendiri. Saya masih percaya(mungkin lebih berharap) bahasa Melayu mampu untuk menjadi bahasa ilmu.

Di sini kerajaan menghadapi dilema. Menunggu pakar-pakar bahasa untuk mengangkat bahasa Melayu menjadi bahasa ilmu akan memakan masa dengan karenah birokrasinya, dengan politik ahli-ahli bahasa itu sendiri dan berbagai lagi. Sementara itu dunia ilmu berkembang dengan pesatnya dewasa ini.

Tidak seperti Jepun dan Korea yang mengejar ilmu dalam bahasa mereka ketika dalam zaman revolusi Industri, realiti kini sudah berubah. Bahasa Inggeris semakin lama menjadi semakin global, malah boleh dikatakan lingua franca kepada masyarakat dunia.

Malahan, tidak keterlaluan jika dikatakan, bangsa yang patriotik seperti Jepun, Jerman mahupun Perancis terpaksa menguasai bahasa Inggeris jika mereka mahu bersaing.

Mungkin masyarakat Malaysia juga harus akur dengan hakikat ini. Sudah sampai masanya kita perlu menjadi pragmatik.

Keputusan untuk mengajar sains dan matematik dalam bahasa Inggeris bukan bertujuan untuk menidak atau memperkecilkan bahasa Melayu. Kebijaksanaan disebalik polisi itu adalah untuk menjadikan masyarakat Malaysia lebih cepat menguasai ilmu dengan menguasai bahasa Inggeris.

Mungkin sudah sampai masanya, masyarakat kita perlu menjadi seperti Jepun; mereka mempunyai dualiti dalam masyarakat mereka. Makin maju dan moden mereka mengikut model Barat, makin tradisional dan patriotik mereka sebagai bangsa Jepun.

Mereka terkenal bangsa yang mementingkan sejarah, budaya dan peninggalan nenek moyang mereka yang berakar umbikan Jepun.

Kesimpulannya, walaupun kita mewajibkan sains dan matematik dalam bahasa Inggeris, jangan diabaikan pula kepentingan anak-anak kita memahami akar umbi budaya dan bahasa Melayu. Jangan pula sampai anak-anak muda kita sudah lupakan perpatah, bidalan dan peribahasa Melayu - warisan peninggalan kebijaksanaan nenek moyang mereka.

1 comment:

Unknown said...

jadilah pejuang Bahasa Melayu..jangan jadi peruntuh bangsa Melayu...Melayu seharusnya bersatu padu dan bekerjasama dalam mentadbir sebuah Negara Islam supaya tidak ditindas oleh fahaman barat yang ingin memecahbelahkan kita..