Followers

Thursday, July 22, 2010

Apa Orang Malaysia Mahu?

Beberapa bulan lepas, saya menulis tentang apa kaum Cina mahu. Sebenarnya, apa yang mereka mahu juga sama dengan apa yang orang lain mahu. Dalam survey baru-baru ini, majoriti rakyat Malaysia mahu rasuah atau lebih tepat lagi corruption diperangi habis-habisan. Saya boleh jamin, semua rakyat Malaysia tanpa mengira pegangan politik setuju rasuah dihapuskan sama sekali. Mereka yang tidak bersetuju mungkin individu yang memperolehi laba atau faedah dari perbuatan terkutuk itu sahaja.

Apa yang berlaku di Malaysia ini adalah warisan corruption yang teruk. Di mana ia bermula sukar hendak dipastikan tetapi ianya memang wujud dan sedang menghancurkan negara. Dalam satu perbualan saya dengan seorang bekas Ketua Pengarah BPR, beliau menerangkan kepada saya, di Malaysia corruption masih dianggap aktiviti individu dan bukan institusi. Kesimpulannya, corruption di Malaysia bukan tidak terkawal.

Secara peribadi saya menganggap berlainan. Corruption di Malaysia begitu teruk di zaman Tun Abdullah. Ini kerana kurang kawalan dari bekas PM yang ke 5 ini dan membenarkan kroninya yang bernama Tingkat 4 untuk menjalankan banyak aktiviti 'tidak sihat'. Beberapa blogger seperti Parpu Kari, Another Brick in the Wall, Big Dot Com dan Rocky's Bru mendedahkan kepincangan ini.Anehnya Pak Lah ingin dikenang sebagai orang yang memerangi rasuah, SPRM kononnya merupakan 'brainchild'nya.

Paling nyata sekali, isu berkaitan dengan  Chairwoman SC iaitu Tan Sri Zarinah Anwar. Saya kira tidak perlu saya hurai panjang lebar isunya, pembaca boleh baca di blog-blog berkenaan. Apa yang ingin saya tekankan di sini adalah, beberapa warisan korupsi rejim Tun Abdullah yang di dukung oleh menantunya Khairy Jamaludin masih berleluasa dalam kerajaan, badan berkanun dan GLC. Ini perkembangan yang tidak sihat.

Datuk Sri Najib perlu segera membersihkan kabinet, GLC, beberapa rangkaian fratenity SUK dalam kerajaan, bahkan jika perlu KSN sendiri dan sesiapa sahaja yang terlibat dalam salah guna kuasa dan corruption. Selagi ini tidak dilakukan secepat mungkin, selagi itu rakyat akan menyampah walau seindah mana dan sehebat mana rancangan ekonomi PM. Kerajaan BN perlu bersih sebersih bersihnya. Dan kelihatan juga bersih sebersih bersihnya.

Ini sebenarnya apa yang rakyat Malaysia mahu, tanpa mengira kaum, agama dan parti.

Kedua, rakyat Malaysia juga minta agar karenah birokrasi dikurangkan, sesuai dengan slogan rakyat didahulukan. Secara peribadi saya mempunyai seorang rakan dari kaum Cina. Beliau terlibat dengan projek silang iaitu membina rumah kos rendah dan akan diberi tanah untuk compensate kos projek kos rendah berkenaan. Apabila mendapat tanah berkenaan, untuk compensate perbelanjaan membina rumah kos rendah, beliau begitu sukar melalui proses birokrasi seperti pindah milik, tukar syarat, pecah lot dan sebagainya. Sebagai seorang businessman, masa adalah segalanya tetapi para birokrat melambatkan proses berkenaan. Beliau yang kecewa memberitahu saya beliau akan mengundi pembangkang dalam PRU akan datang.

Kita kena lihat isu disini tanpa mengira perkauman. Tidak kira samada  Melayu, Cina atau India, semua rakyat Malaysia mahukan pentadbiran yang cekap dan mudah. Saya percaya semua kita yang pernah berurusan dengan pegawai kerajaan akan mengalami masalah karenah birokrasi ini. Menjadi tanggungjawab PM sebagai Ketua Eksekutif untuk memastikan kecekapan pegawai kerajaan sebagai top priority. 

Ketiga, kita rakyat Malaysia mahukan dasar pendidikan yang jitu,mantap, long term dan bebas dari tekanan politik, NGO dan pelampau bangsa dan agama. Pendidikan merupakan segala-galanya. Belia hari ini adalah Malaysia masa depan. Jika mereka perkasa, maka perkasalah Malaysia. Jika mereka lembik, maka lembiklah Malaysia. Secara jujur saya yang sudah mempunyai anak banyak memikir tentang sistem pendidikan kita yang banyak sangat diubah - bukan pragmatik mengikut kemajuan -  tetapi mengikut tekanan politik. 

PPSMI dan masih wujud sekolah jenis kebangsaan sebagai contoh. Mengapa dalam dunia globalisasi masih ada kaum mahu mendidik kaumnya berdasarkan adat resam dan bahasa mereka? Mana perginya jati diri Malaysia jika mereka menolak kebudayaan dan bahasa Melayu sekalipun.Mengapa kita meninggalkan dasar PPSMI sebelum ia benar-benar berjaya hanya kerana sedikit tekanan politik. Jika sepuluh tahun dari sekarang tekanan terhadap bahasa Inggeris penting, adakah Menteri Pelajaran yang entah dari parti mana ketika itu akan mengubah pula dasar? Buat kajian yang mendalam dan bina satu foundation untuk jangka masa yang lama.

Keempat, bebaskan pentadbiran dari segala bentuk pengaruh yang berbau kekronian dan campurtangan pihak yang tidak ada kena mengena dengan jawatan. Hapuskan pengaruh kekerabatan. Pengaruh kekerabatan ini sebenarnya warisan feudal dan mentaliti dunia ketiga. Tidak ada Perdana Menteri atau Presiden dari negara maju akan mendengar nasihat, atau membuat keputusan berdasarkan hubungan sebagai menantu dan isteri. Ketika J.F Kennedy menjadi Presiden, adiknya memang memegang jawatan dalam pentadbirannya tetapi di Malaysia tidak perlu ada jawatan yang formal, cukup status sebagai isteri sudah boleh mempengaruhi seluruh jentera kerajaan dan kabinet! Dalam era internet, globalisasi dan blog, rakyat bukan bodoh lagi.

Ke lima, pilih menteri kabinet yang berkaliber dan matang. Sekarang ini semua orang boleh menjadi menteri tanpa ada kriteria sebagai 'gentleman'. Itu sebab mengapa menteri tidak sangat dihormati. Buang menteri yang kekanak-kanakkan, suka bergaduh, bercakap ikut suka mulut, mencari populariti sendiri dan yang penting buang juga menteri yang corrupted dan pentingkan kroni. Buangkan juga menteri yang banyak sangat kepentingan tanpa mengira jawatan mereka dalam parti. Hatta Naib Presiden sekalipun jika mereka tidak perform.

Keenam,  pilih wakil rakyat dari kriteria yang ada unsur-unsur 'gentleman'. UMNO selalu keliru antara popular dan gentleman. Kita akui, sistem pemilihan UMNO yang lalu membenarkan unsur-unsur politik wang dan korupsi. Ini membenarkan the dungus yang berduit naik cepat dan memegang jawatan. Kumpulan the dungus ini memang banyak menguasai jawatan-jawatan penting dalam UMNO di bahagian-bahagian. Apabila mereka terpilih sebagai wakil rakyat, mereka mengekalkan imej the dungus mereka. Antaranya tidak intelek, cakap ikut suka tanpa fakta, janji bohong, dan menggunakan jawatan untuk menjadi lebih kaya dan hanya membantu kroni dalam UMNO sahaja.

Dalam satu perjumpaan, seorang menteri besar pernah mengumumkan beliau tidak kira siapa bertanding asal boleh menang walaupun perompak dan penyangak!. Di sini nampak pemimpin UMNO masih mewarisi mentaliti leader dunia ke tiga seperti di Afrika kerana secara terang-terangan mengakui beliau ada kuota penyangak. Selepas pilihanraya, memang beberapa penyangak pilihannya menang tetapi penyangak dan perompak itu terus menyangak dan merompak dan memberi imej yang buruk kepada UMNO juga.

Bukan populariti dalam UMNO menentu kejayaan calon UMNO yang dipilih oleh elit-elit perwakilan, tetapi silent majority pengundi yang tidak berpolitik yang akan menentukan masadepan parti dalam pilihanraya akan datang.

Akhir sekali, dan antara yang paling penting, kurangkan atau lebih elok hapuskan ketirisan dalam projek-projek kerajaan. Kabinet sudah memutuskan untuk secara beransur mengurangkan subsidi. Rakyat bukan tidak boleh terima, tetapi apa perasaan rakyat jelata jika mereka ikat perut, tetapi GLC terus rugi, beberapa giant corporation masih menikmati subsidi kerajaan, pemimpin bermewah-mewah, banyak function dan pertemuan yang menelan kos yang tinggi dan sebagainya. Zaman Tun Mahathir dulu ketika ekonomi merosot, elaun wakil rakyat dan menteri dipotong. Walaupun sedikit tetapi nampak adanya komitment dari pemimpin untuk susah senang bersama.

Sekarang apa yang kita dengar? Menteri itu ada rumah di London, wakil rakyat biasa bertaraf ADUN strike projek, beli kereta, bawa orang pergi Medan dan umrah. Rakyat tanpa mengira bangsa yang mana tergolong dalam kategori 'marhein' samada Melayu, Cina dan India, terbakar hatinya yang sepi. 

Sampai masa PM perlu memerhatikan apa yang sudah berlaku dikelilingnya. Jika PM keberatan untuk mengubah ini, atau tiada keberanian maka lambat laun PM yang akan diubah. 







3 comments:

Anonymous said...

stb,

Kuat dogam, kalah brave heart hari ini. Lawan brave heart lawan. Dogam hok kereta besar, rombongan,medan, bandong, umrah dan keta2 mewah-mewah tak kadar kediri tu, pembohong tu sampai bingit telinga.... hehehe.

Posting yang baik, terus terang dan berani. Aku sutong penuh.

one one no belen said...

Salam Tuan.Memang semua rakyat malaysia tak kira apa bangsa mahukan sebuah kerajaan yang bersih dari rasuh.Namun bagaimana kita nak hapuskan rasuah jika sekiranya SPRM hanya menangkap ikan bilis sahaja?sedangkan ikan jerung terlepas bebas.Dan pemimpin pemimpin tertinggi UMNO juga ramai yang terlibat.malahan hampir 99% pemimpin UMNO terlibat.Bagaimana nak hapuskannya?Mungkin kita terpaksa hapuskan UMNO dahulu?

sri tribuana said...

Salam anon 12:16, saya menyata apa saya dengar dan lihat, rakyat makin gelisah. ada yang geli saja tak sah lagi, apapun, PM kena buat sesuatu.
Salam saudara Menyegar: SPRM seharusnya bebas tetapi sering gagal dalam 'membina' kes. Hapuskan UMNO dulu tu kena tengok dulu sbb pembangkang pun belum tentu lebih baik.