Followers

Monday, July 5, 2010

Robber Baron

Sebenarnya soal perbezaan kelas tidak ada kena mengena dengan bangsa atau kaum. Tidak ada bezanya Melayu kaya dengan Cina kaya atau India kaya. Mereka termasuk dalam golongan elit. Begitu juga tidak ada beza antara Melayu daif dengan Cina dan India miskin. Mereka masuk golongan marhein, atau bawahan.

Kita boleh lihat dalam DEB antara matlamatnya adalah membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum. Membasmi kemiskinan bukan pula bererti menjadikan mereka kaya. DEB pula digunakan - mungkin salahguna - dengan mencipta jutawan segera dari kalangan Melayu dengan dasar 'rental-seeker' dan 'patronage'. Saya sifatkan salah guna kerana sebahagian mereka mendapat keistimewaan menjadi kaya tanpa perlu benar-benar menjalankan perniagaan ataupun bersaing secara terbuka.

Seringkali kita mendengar kisah orang Melayu yang menjadi kaya dengan memegang AP, permit-permit dan mendapat konsesi berbagai seperti emas, balak dan sebagainya. Maka kaum lain akan menuduh kerajaan tidak adil kerana hanya menolong Melayu sahaja. Jika diteliti secara halus, keistimewaan ini bukan hanya pada orang Melayu, terdapat juga kaum Cina dan India yang mendapat faedah dari 'rental-seeker' dan 'patron' ini. 

Ananda Krishnan, Vincent Tan, Patrick 'Badawi', YTL Group, Tony Fernandes dan berbagai lagi menjadi kaya raya dengan hasil 'patronage' dan monopoli juga. Ananda Krihsnan menjadi billionaires hasil monopoli yang diberi oleh kerajaan kepada telekomunikasi seperti hak ekslusif satelit Measat dan ASTRO yang mana kerajaan membuat larangan tidak ada satelit lain yang digunakan kecuali ASTRO walaupun satelit private boleh didapati dengan lebih murah.

Vincent Tan mendapat faedah patronage ini apabila Sport TOTO diswastakan kepadanya. Patrick 'Badawi' dengan Monsoon Cupnya dan Tony Fernandes dengan AirAsianya. Jadi sangatlah tidak adil apabila kaum bukan Melayu menuduh kerajaan BN hanya membantu Melayu sahaja dalam berkongsi kek ekonomi. Ironinya, kek ekonomi ini pula 70% dikuasai oleh bukan Melayu. 

Memang benar wujudnya beberapa 'usahawan' Melayu yang dibantu oleh kerajaan seperti Tajudin Ramli, Halim Saad dan Allahyarham Tan Sri Yahya. Kononnya Malaysia menganaktirikan bukan Melayu kerana menolong usahawan Melayu tetapi contoh diatas kesemua kaum ditolong jika mereka difikir layak mengendalikan sesuatu perniagaan itu. Orang Melayu dimomokkan tentang cerita mereka lemah, mereka memerlukan tongkat dan kerajaan hanya menghabiskan duit cukai kaum bukan Melayu dan sebagainya.

Tidak seperti kaum Cina atau India yang tidak akan membangkitkan kekayaan kroni kerajaan dari kaum Cina dan India, orang Melayu sendiri yang bertempik mengatakan kerajaan tidak adil kerana memberi kekayaan kepada kroninya walaupun Melayu. Kroni yang sering ditekankan oleh orang Melayu adalah orang Melayu sendiri sedangkan kroni kerajaan dari kaum lain tidak disentuh.

Sebenarnya dimana-mana juga didunia ini, perbezaan kelas atau jurang pendapatan antara golongan kaya dan miskin akan menimbulkan kekecohan jika tidak dibendung. Jika kelas atasan yang kaya ini diberi lesen untuk merompak rakyat bawahan, lama kelamaan akan berlaku pemberontakkan yang memprotes perbezaaan kelas seperti berlaku dinegara-negara yang pernah menjadi komunis. 

Banyak alat, atau device yang dicipta bagi membolehkan golongan berada ini merompak golongan bawahan ini. Antara yang terkenal adalah pasaran saham, hedge fund, kad kredit, future market dan pinjaman-pinjaman dari bank-bank. Ada juga dalam bentuk perkhidmatan dan monopoli seperti ASTRO, FOMEMA, PUSPAKOM dan sebagainya. Ada yang 'haram' dari segi moral tetapi dilesenkan untuk di'legitimate'kan seperti kasino Genting dan Sport Toto dan Magnum. 

Kerajaan sebagai pengutip cukai akan menggalakkan apa saja yang boleh menguntungkan kerana secara tidak langsung mereka adalah rakan kongsi golongan ini. Setiap keuntungan kerajaan akan mendapat cukai. Perkara ini bukan hanya berlaku di Malaysia tetapi semua negara kapitalist. 

Rockerfella, Bill Gates, Warren Buffet, Andrew Carnegie yang dikatakan usahawan bukan hanya sekadar usahawan biasa yang menjalankan aktiviti perniagaan. Kekayaan mereka yang berlimpah ruah ini hasil dari manipulasi sistem dan mekanisme kapitalist menyebabkan mereka dipanggil 'robber baron'. 

Dan di Malaysia, rakyat marhein tanpa mengira bangsa dan kaum sangat terpisah dari 'robber baron' ini. Golongan marhein dalam kelasnya tersendiri. Dan robber baron juga tanpa mengira kaum dan bangsa mampu membuat apa yang mereka sangat pakar - menjadi perompak berlesen. Gelaran robber baron yang diberi oleh social scientist bukan satu kebetulan. Mereka memang benar-benar 'robber baron'.

'Undang-undang dicipta adalah untuk melindungi orang-orang yang berkuasa dan berada'. Kata Aristotles. 





No comments: