Followers

Sunday, November 21, 2010

Hulu Tembeling: Satu Nostalgia

Beberapa hari kebelakangan ini, saya kurang menulis isu politik walaupun banyak yang saya ingin perkatakan. InsyaAllah, ada posting Isnin ini tentang 13 Mei, topik yang sudah lama saya rancang untuk digarap. 

Petang tadi saya bersms dengan abang saya. Dua keping gambar yang dihantar kepada saya menyentuh perasaan saya; memilu dan menyedarkan saya ada zaman antara saya dengannya yang telah hilang. Malah dalam sms beliau memanggil nama manja semasa saya kecil. Sangat jarang sekarang ini orang memanggil saya dengan nama itu.

Abang saya, Wan Abdul Rahman, dan saya bergambar didepan Sekolah Kebangsaan Kampung Bantal. Sekolah ini pernah melahirkan seorang Timbalan Menteri dari Kampung Bantal.




Saya dan dua abang saya amat berlainan 'upbringing'nya. Sementara saya lahir di Kampung Bantal Hulu Tembeling, abang pertama saya Wan Shamsuri dilahirkan di Kemahang, Lipis. Begitu juga dengan abang kedua saya, Wan Abdul Rahman. Wan Abdul Rahman adalah abang saya yang menghantar sms lalu mendorong saya menulis posting ini. Beliau lebih dikenali dengan nama Jamil.

Kedua abang saya dibesarkan di Kampung Bantal hingga mereka bersekolah menengah. Mereka bersekolah juga di Kampung Bantal. Sementara saya walaupun dilahirkan di Kampung Bantal, tetapi berpindah ke Kuala Lumpur sejak bapa saya meninggal dunia semasa berumur enam tahun. Saya tidak merasa apa yang mereka rasa iaitu keperitan bersekolah disekolah pendalaman.

Hulu Tembeling merupakan kampung pendalaman yang unik. Saya rasa hingga kini di Semenanjung Malaysia ini, Hulu Tembeling masih satu-satunya kawasan pendalaman yang tidak ditembusi oleh jalanraya. Bapa saya seorang tokoh yang memperjuangkan kemajuan Hulu Tembeling, tetapi tidak berkesempatan merasai jalanraya. Buat masa ini, apa yang ada adalah jalan laluan balak jika melalui kawasan Lepar, dan ada jalan keselamatan atau jalan askar dari Kuala Tahan ke Kampung Mat Daling. 

Khabarnya sudah ada syarikat yang mendapat konsesi membuat jalan dari Tuit ke Kg Pagi dan seterusnya ke Kampung Mat Daling. Khabarnya juga jalan akan siap sebelum pilihanraya ke 13. Saya sangat berharap ianya akan menjadi kenyataan kerana hingga kini, masyarakat Hulu Tembeling masih menggunakan bot sebagai pengangkutan.

Hulu Tembeling masuk dalam parlimen Jerantut(P081) dan dalam Dewan Undangan Negeri Tahan(N9). Dalam sejarah DUN Tahan, Hulu Tembeling pernah jatuh ke tangan PAS dalam pilihanraya tahun 1999. 

Terdapat satu blog iaitu blog Urag Drrulug banyak menceritakan kisah suka duka penduduk Hulu Tembeling. Blog ini sangat unik kerana melaluinya, kita boleh merasai penderitaan penduduk di sana yang sangat jauh dari kemajuan. Untuk membaca blog Urag Drrulug(Orang Di Hulu), klik sini.

Mukim Hulu Tembeling ini berada di atas Taman Negara. Untuk mudik ke sana, kita terpaksa melalui tujuh jeram. Dalam era petrol yang melambung tinggi, kos sara hidup dan pengangkutan mereka sangat membebankan. Walaubagaimanapun, penduduk Hulu Tembeling sangat penyabar dan suka meraikan tetamu. 

Ada satu perkara yang unik tentang bahasa atau accent orang Hulu Tembeling. Mereka mempunyai hubungan rapat dengan bahasa Brunei dan Borneo. Beberapa perkataan seperti 'aok'(iyer), 'masek'(apa), 'tapuk'(sorok) berasal dari perkataan Brunei, Sarawak dan Sabah. Jika di tanya orang tua, sudah tentu banyak kisah legenda bagaimana persamaan ini terjadi walaupun dari segi geografi kedua tempat ini terpisah oleh Laut China Selatan.

Walaupun Hulu Tembeling tidak ada jalanraya, namun di Kampung Bantal kerajaan menyediakan hampir keseluruhan kemudahan. Dari air JBA, bekalan eletrik TNB, klinik kesihatan, balai polis, sekolah dan terbaru pencawang telepon Maxis dan Digi. Dengan adanya line Maxis dan Digi, penduduk Hulu Tembeling boleh acces ke internet. Mereka bukan lagi katak dibawah tempurung.

Janji kerajaan untuk menyiapkan jalanraya mesti ditunaikan sebelum pilihanraya ke 13, jika tidak kemungkinan besar mereka akan mengundi pembangkang. Keluh kesah rakyat jelata Hulu Tembeling makin kedengaran hari ini. Saya sangat berharap kemajuan yang ditunggu-tunggu penuh sabar akan menjadi kenyataan.


No comments: