Followers

Thursday, November 11, 2010

Antara Mutu dan Komersialisme

Tun Dr. Mahathir pernah memberi komen tentang karya Pramoedya Ananta Toer begini:

"Para penulis kita juga boleh menjadi seperti Hemingway; atau Pramoedya Ananta Toer jika mereka menulis kerana mementingkan mutu semata-mata, dan bukan kerana komersialisme."

Sebenarnya, ini dilema klasik kepada penulis dan seniman. Seorang penulis atau seniman yang baik tidak semestinya popular ketika zamannya. Penulisan mereka, atau karya mereka tidak juga boleh menjadikan mereka kaya atau terkenal. 

Satu ketika dulu, karya Harold Robbin sangat terkenal, begitu juga dengan Sydney Sheldon dan Mario Puzo. Mereka merupakan penulis bestseller, malah Harold Robbin pernah mengangkat dirinya sebagai penulis yang ampuh.

Hakikatnya, jika dibandingkan karya Robbin seperti Lonely Lady yang terlalu banyak unsur-unsur seks langsung tidak setaraf dengan karya-karya Franz Kafka seperti The Trial dan The Castle. Malah karya-karya Robbin tidak dapat dibandingkan dengan karya Kobo Abe seperti Woman in the Dunes walaupun keduanya berunsurkan seks. Abe masih seorang pengarang sejati dan seniman; Robbin kekal sebagai penulis pop dan picisan walaupun novelnya dibaca dan dibeli oleh ramai orang.

Sememangnya penting juga sesebuah karya atau tulisan itu dikormesialkan. Kita boleh lihat bagaimana tema-tema yang kebetulan agak komersial dan adventure dalam karya Hemingway seperti The Sun Also Rise, Fiesta, Men without Women dan For Whom The Bell Toll tetapi kormesialisme mereka tidak sampai membunuh nilai-nilai estatika.

Namun seniman sejati tidak akan menulis kerana nama, kekayaan dan kemasyuran. Kena ada keihlasan dalam berkarya dan akhirnya akan diterima juga. Kita ambil contoh P.Ramlee. Beliau tidak kaya semasa hidupnya. Malah diakhir kehidupannya, beliau dicemuh, dipulau dan di boo. Oleh kerana karya beliau tidak berpaksikan komersialisme dan mementingkan mutu, akhirnya beliau menjadi legenda dan tidak ada seniman yang boleh menggantikan beliau dalam dunia perfileman.

Pramoedya sendiri merupakan contoh penulis sejati bukan orang yang mengejar nama, pangkat dan kekayaan. Kebanyakkan karya Pramoedya yang penting ditulis ketika beliau dalam penjara. Keluarga Gerilya ditulis ketika beliau dipenjara oleh Belanda, Perburuan ditulis ketika beliau dipenjara oleh Jepun. Semasa pemerintahan Sukarno, Pramoedya yang dilihat sebagai penulis haluan kiri mendapat tempat dalam jentera propaganda sosialis. 

Pramoedya tidak dapat menulis dengan baik. Karya-karyanya menjadi seperti propaganda dan ketika itu walaupun hidupnya senang, selesa dan mewah, penulisannya mengalami kemerosotan dari segi mutu. Beberapa pengkritik bergurau mencadangkan, untuk mengembalikan kegemilangan Pramoedya, campak sahaja dia ke penjara.

Selepas rejim Sukarno jatuh dan Suharto mengambil kuasa, Pramoedya antara beberapa tawanan politik yang dibuang ke Pulau Buru. Di sana, jauh dari kemewahan dan kemasyuran, selama 13 tahun menjadi buangan, Pramoedya berjaya melahirkan magnum opusnya iaitu tetralogi Bumi Manusia, Anak Semua Bangsa, Jejak Langkah dan Rumah Kaca. Professor A. Teeuw pernah mencadangkan Pramoedya sebagai calon Hadiah Nobel untuk kesusasteraan berdasarkan karya agungnya yang ditulis oleh beliau di Pulau Buru.

Di sana beliau berjaya menyiapkan empat lagi novel sejarah yang mengkagumkan iaitu Arus Balik, Mangir, Mata Pusaran dan Arok & Dedes. Kemewahan yang merosakkan penulis membuatkan seorang lagi penulis yang pernah memenangi Hadiah Nobel ini menolak kemewahan. Beliau adalah Gabriel Garcia Marquez yang terkenal dengan novel One Hundred Years of Solitude.

Seperti lirik lagu Ramli Sarip: 'Aku Menulis Bukan Kerana Nama.'

2 comments:

Anonymous said...

Salam STB,

Setuju pa yang STB hujahkan mengenai Mutu dan Komersilisma itu. Sebagai manusia sekarang matlamat nya hasilmkarya nya menghasilkan duit melalui bestsellers. Mutu dijaga , karya dapat laris dijual yang perlu pengkarya nya berinovasi sejajar cita rasa dan perubahan semasa. Matlamat manusia mati meninggal kan nama itu keperluan sampingan. Nikamt berkarya perlu di kecapi semasa masih bernafas. Sama juga penulis blog , apa lah guna nya kalau tiada yang melayari nya dan pengkomen nya. Apa lah guna makanan dihidang kalau tiada yang menjamah nya, mana kan lazatnya atau tidak?.

TQ

sri tribuana said...

kata Hamka, loyang yang disepuh emas akan terkikis dan terserlah loyangnya, kata marcus aerelius: "Benevolent without hypocasy is invincible".