Followers

Saturday, July 16, 2011

Jurang Generasi.

Setiap hari saya mandikan anak saya, Maryam. Ada masa ibunya yang akan mandikan dia.  Saya rasa ibubapa yang lain juga demikian. Kita sebagai ibubapa membesarkan anak dengan penuh kasih sayang. Saya tidak faham perasaan ibubapa saya hingga saya sendiri mempunyai anak.

Apabila dewasa nanti, Maryam tidak akan faham perasaan sayang kami kepadanya begitu mendalam. Dia tahu kami sebagai ibubapa menyayanginya tetapi dia tidak dapat mengukur kedalamannya. Mungkin apabila dia mempunyai anak sendiri dia akan faham.

Ini adalah jurang generasi kecil keluarga kami. Mungkin jurang generasi bagi kebanyakkan keluarga lain, samada kita sedar atau tidak. Generasi akan datang tidak memahami generasi sebelumnya. Begitu juga sebaliknya. Sering pula aspirasi mereka bertentangan. Sementara ibubapa bimbang anak mereka terjebak ke kancah merbahaya, anak-anak akan rasa ibubapa out of date dan mengongkong.

Begitu juga dalam politik. Bapa-bapa Kemerdekaan seperti Tunku, Tun Tan Cheng Lock dan Tun Sambathan membina Malaysia supaya bersatu, setuju UMNO menjadi tunjang dan menjadikan perpaduan sebagai teras, Malaysia merupakan syurga kepada penduduknya. Namun generasi muda ghairah untuk mengubah equilibrium ini. Mereka tidak faham bagaimana kemerdekaan dicapai, dan bagaimana negarawan kita berusaha keras mengekalkannya.

Kata Churchill, membina sesuatu itu amat susah sementara meruntuhkannya mengambil masa sekelip mata sahaja. Kembali ke sejarah, dan kekal keharmonian negara ini. Tidak kira apa pegangan politik kita, namun mengekalkan nama baik Malaysia dan keharmoniannya tanggungjawab kita semua.

Sesiapa yang bekerjasama dengan unsur-unsur luar bererti mereka adalah pengkhianat. Raja England dipancung oleh Oliver Cromwel kerana bemerjasama dengan Ireland bagi mengalahkan puak Parlimen Inggeris. Lousi Capet, Raja Perancis dipancung oleh rakyat Perancis kerana memanggil Raja Austria menyerang Perancis walaupun Raja Austria kerabat dinasti Bourboun.

Rakyat Malaysia, tidak kira apa parti perlu menolak mana-mana puak yang bekerjasama dengan kuasa asing memburuk-burukkan Malaysia. Generasi muda jangan terperangkap dengan permainan ini. Jangan terlalu naive bahawa neo Imperialist tidak berlaku, jika tidak secara fizikal seperti di Iraq tetapi dari segi ekonomi.

Sayangi kemerdekaan kita. Sayangi Malaysia kita. Ingat, meruntuh lebih mudah dari membina. Demi masa depan anak-anak kita. Bagi saya, demi masa depan Maryam.

No comments: