Followers

Thursday, August 12, 2010

Perihal Parti-parti Malaysia.

Beberapa hari lepas Presiden MCA Datuk Dr. Chua Soi Lek telah membuat kenyataan yang disalahfahamkan tentang Islam. Beliau sebenarnya quote pendapat blogger Outsyed the Box, Syed Akbar Ali dalam bukunya: Malaysia dan the club of Doom. Buku berkenaan 'mengkaji' kemunduran 57 negara Islam di dunia pada masa ini oleh kerana salah faham penganut tentang Islam sendiri. Akibatnya, mereka menjadi jumud dan tertinggal dari segi ekonomi dan teknologi.

Kenyataan Chua Soi Lek ini mendapat tentangan hebat dari sesetengah orang Islam yang tidak 'mengkaji' dan addicted terhadap isu sensasi. Saya tidak mempertahankan sesiapa tetapi kadang-kadang kita kena rasional sebelum bertindak dan membuat kenyataan. Kaji dulu punca masalahnya. Dr. Chua cuba untuk menyatakan Islam versi PAS itu yang membawa kemunduran dan bukan Islam per se. Sesetengah negara yang termasuk dalam kategori 'Club of Doom' itu mempunyai ciri-ciri 'Islam' versi PAS dan bukan yang mengikut Quran sangat. 

Kemudian kenyataan Dr Chua ini dieksploitkan oleh DAP apabila Khalifah Lim Guan Eng mempertahankan sekutunya PAS. Untuk kepentingan politik DAP, dan meraih undi Melayu yang keliru dengan Pakatan Rakyat, DAP sanggup 'membodek' PAS dengan mengesahkan 'Islam' versi PAS. Kita tahu ini hanya 'madah berhelah' atau kenyataan siasah kerana walau apapun, DAP tidak akan setuju dengan PAS atau apa-apa pemerintahan bercorak Islam. Jika UMNO yang kononnya sekular pun DAP tidak boleh terima, apa lagi PAS yang kononnya Islamik.

Dan dalam usaha untuk diterima oleh pengundi Cina pula, PAS cuba menunjukkan bahawa mereka Islam liberal. Islam adalah Islam dan tidak ada apa yang dikatakan liberal. Ada dua isu yang mana mendapat pujian orang PAS sendiri yang dilakukan oleh Khalid Samad untuk menunjukkan liberalnya mereka. 

Khalid Samad cuba mencari publisiti murahan, atau mengeluarkan 'PAS' dari imej 'club of doom' apabila menghadiri gereja dan menyiarkan risalah di sana. Secara peribadi saya tidak nampak ada salahnya melawat rumah ibadat bukan Islam asalkan tidak mencemar akidah kita tetapi memuji-muji dan mempolitikkan amalan sedemikian demi meraih undi bukan Islam amat menyedihkan. Islam tetap Islam dan sokongan bukan Islam perlu diraih dengan menunjukkan kehebatan Islam dari segi ekonomi, jatidiri dan keadilan; bukan dengan 'if you cannot beat them, you join them'.

Kedua, tentang lawatan Khalid Samad ke kilang Carlsberg. Baca sini. PAS bukan hanya merestui, malah berasa bangga kerana seorang wakil rakyat mereka dapat memecahkan 'taboo'(yang dicipta oleh ulama PAS juga) berkaitan dengan arak dan berani melawat kilang arak. Meminjam ungkapan Mohd Sayuti Omar: "Arak hanya boleh memabukkan dan tidak sampai merosakkan akidah!". Dan kononnya mana tau beliau boleh menukarkan kilang arak itu menjadi masjid.

Anehnya, kerajaan BN tidak pernah bising pun pasal wujudnya kilang arak dan melawat gereja. Jika perbuatan ini dilakukan oleh wakil rakyat UMNO, akan berkokoklah puak PAS tentang haramnya UMNO dan kafirnya pemimpin mereka. Jika DAP cuba menjadi MCA dalam isu Islam untuk menjadikan mereka zimmi, PAS cuba menjadi UMNO dalam usaha mereka menjadi liberal dan sekular. 

MCA membuat ramalan andainya PR memenangi pilihanraya umum ke 13, seorang dari calon PAS akan menjadi PM dan bukan DAP atau PKR.Ini kerana PAS, seperti DAP mempunyai struktur organisasi politik yang tersusun tidak seperti PKR. PAS dipilih kerana Islam dan Melayu yang mana ciri-ciri amat penting untuk memimpin negara majoriti Islam seperti Malaysia. Baca sini.

Bila MCA menyerang PAS, DAP pula membela PAS dalam artikel Why Be Afraid of PAS?. Artikel ini ditulis oleh Kee Thuan Chye dan dimuatkan oleh bapa 'Umar bin Abdul Aziz' PAS iaitu Al Fadhil Lim Kit Siang dalam blognya. Secara ringkas, DAP yakin jika pemimpin PAS menjadi PM Malaysia sekalipun, mereka boleh control PAS kerana jumlah wakil DAP dan bukan Melayu PKR yang ada melebihi PAS. Modelnya adalah Perak semasa diperintah oleh Pakatan Rakyat dibawah MB Boneka Nizar Jamaludin.

Apa yang boleh saya simpulkan, semua parti sudah berumur lebih 50 tahun kecuali PKR. UMNO, MCA, PAS dan DAP sudah lama wujud sebenarnya. Mereka sudah nyanyuk dan sudah keliru dan mengalami krisis pertengahan umur. Mereka juga mengalami krisis identiti - sudah tidak kenal peranan masing-masing. 

PAS keliru brand Islamnya, DAP keliru brand anti-Islamnya, MCA keliru kadang-kadang terhentam polisi BN yang berteraskan dominasi Melayu dan UMNO keliru mereka parti sepatutnya mempertahankan Melayu.
PKR pula parti yang dibuai mimpi kerana mereka masih kanak-kanak.

Dalam perbualan saya dengan seorang pengundi Cina yang atas pagar, beliau masih menyokong BN, tetapi seperti sesetengah penyokong UMNO beliau tidak puas hati dengan MCA. Puncanya bukan kerana ideologi tetapi menurutnya, wakil rakyat MCA menganiaya orang Cina dalam soal tanah untuk diberi kepada kroni-kroni MCA. Bagi UMNO pula, ada wakil rakyat yang berbuat demikian dalam soal projek, tanah, dan saham Felcra. Isu sama sahaja, BN tidak akan jatuh kerana ideologi, tetapi kerana kerakusan pemimpin mereka sendiri. Dan perkara yang sama akan berlaku kepada PR jika mereka memerintah nanti.

Siapa perlu kita undi? Meminjam kata-kata Umar Al Khattab: "Pilihlah yang terbaik antara dua kejahatan." Kepada umat Islam, saya mengucapkan "Selamat Menyambut bulan Ramadhan, selamat berpuasa." 









No comments: