Followers

Saturday, May 23, 2009

Tempo Doeloe

Saya selalunya mengelak dari menceritakan kisah diri sendiri. Ini kerana saya tidak mahu jadi seperi Narcissuss, mitos Greek seorang yang mengkagumi dirinya sendiri, berasa dirinya tampan tetapi disebalik pakaian cantiknya, dia penuh dengan penyakit kudis buta.

Entah mengapa hari ini saya hendak tinggalkan sementara hal-hal berat, lebih hendak bersantai 'menafsirkan' perkembangan Malaysia mengikut kacamata entah generasi apa.(Penulis blog Nobisha menamakan golongan berumur antara 15-29 sebagai generasi Y).

Mungkin saya generasi 'Forest Gump' seorang lurus dan naive yang mengintepretasikan perkembangan Amerika melalui kacamata naivenya. Beliau dalam filem berkenaan yang menelefon pihak keselamatan mengadu tidak boleh tidur kerana gangguan lampu suluh, sedangkan peristiwa itu merupakan Skandal Watergate yang menjatuhkan pentadbiran Nixon.

Beliau yang melabur dalam industri komputer yang sedang pesat membangun menyatakan beliau melabur dalam syarikat buah-buahan kerana keliru dengan lambang syarikat komputer 'Apple'. Begitu banyak anekdote dalam 'Forest Gump' sebenarnya peristiwa besar yang ditilik dari kacamata persona nan grata. Begitu banyak juga 'forest gump' dalam diri kita sendiri.

'Tempo Doeloe' adalah sebuah buku Pramoedya Ananta Toer yang tidak mampu saya beli di Pustaka Antara Chow Kit ketika saya tingkatan 3. Ianya sebuah himpunan cerpen Pramoedya yang masih dieja dengan ejaan lama Indonesia; 'oe' dalam bahasa Indonesia ketika itu merupakan 'u' bagi kita. Jadi sepatutnya buku itu dieja 'Tempo Dulu' iaitu cerpen Pramoedya tentang zaman Belanda.

Begitu juga 'dj' merupakan 'j' dalam ejaan Indonesia. Nama sebenar saya adalah Shahrir seperna nama nasioanalist Indonesia: Sultan Shahrir. Ketika saya membeli memoir Sultan Shahrir, di eja dalam ejaan Indonesia: 'Mengenang Sjahrir', ramai rakan saya keliru pronoucementnya kerana 'j' bagi Indonesia adalah 'y' bagi Malaysia. Persepsi kepada perkara yang sama tetapi kerana sudut pandangan yang berbeza, kadang-kadang boleh membawa hingga tercetusnya perang. Anehkan manusia ini.

Pustaka Antara dan Minerva adalah dua pusat buku yang sering saya lawati di Chow Kit dalam tahun 1987. Ini kerana pada ketika itu tidak ada lagi KLCC, The Curve dan Midvalley. Tambahan pula saya sendiri tidak mahir berbahasa Inggeris pada ketika itu. Saya tidak melawati Times atau MPH kerana buku bahasa Melayunya kurang.

DBP adalah penyelamat saya kerana DBP banyak mencetak buku karya Pak Samad Said, Arena Wati, Shahnon Ahmad, Pak Sako, Keris Mas dan Usman Awang. Mereka merupakan penulis 'ampuh' Malaysia. Oleh kerana tidak ramai, saya akan menghilangkan dahaga saya dengan beralih ke sastera Indonesia.

Hanya Pustaka Antara sahaja yang banyak menyediakan buku-buku penulis Indonesia. Pustaka Antara ini terletak dekat dengan bangunan UMNO lama, sekarang ini dipanggil 'Budu' oleh orang politik UMNO dari Jerantut kerana adanya beberapa warong terkenal yang simple menyediakan makanan pantai timur terutamanya singgam ikan kembung dan budu dicampur tempoyak.

Ketika itu, saya tusyen di Ming, sebuah pusat tusyen terkenal. Malaysia masih belum seperti sekarang. Maklumlah, Tembok Berlin masih belum runtuh ketika itu. Sebagai peminat wayang, saya sering mengunjungi panggung Odeon dekat Medan Mara depan Pertama Kompleks.

Panggung ketika itu jauh sekali dari TGV dan GSC. Kami masih diberi kelas. Mungkin kami hidup zaman komunis Soviet dan China masih wujud. Kelas 3 depan sekali, kelas 2 belakang sikit dan kelas 1 belakang sekali. Paling istimewa kelas reserve iaitu di atas semua orang.

Bayangkan filem zaman sebelum CGI(Computer Generate Image). Antara filem menjadi cult adalah filem James Bond. Saya masih ingat bagaimana uncle saya bercerita filem James Bond yang akan keluar: 'Living Daylights' dan sudah buat persiapan membawa kami menontonnya. Tidak seperti sekarang segalanya impromptu. Menonton wayang bersama keluarga juga seperti ritual bagi sesetengah keluarga zaman itu.

Tidak ada LRT dan bas feeder. Saya membesar ketika bas mini masih bermaharajalela. Cuba bayangkan pemandangan indah sebuah kota, begitu banyak bas-bas mini berlumba-lumba berebut penumpang. Mereka sangat aggressif ketika lampu merah, mencilok di sana sini untuk cepat sampai dan mengambil penumpang baru. Bas mini tidak ada aircond dan sering penuh hingga ke tangga bas.

Oleh kerana blog masih belum wujud, saya masih ingat ketika Tun Mahathir di cabar oleh Tengku Razaleigh Hamzah, begitu banyak buku-buku politik dicetak. Ada yang pro Ku Li dan ada yang pro Mahathir. Walaupun masih ditingkatan 3 dan akan menduduki SRP, saya sudah biasa membaca 'blog-blog' politik masa itu termasuklah surat layang. Tabii ini masih sama cuma penulis sekarang menggunakan medium tanpa kertas - internet.

Saya masih ingat kerajaan sedang mencari seorang penulis politik bernama Harun Perancis. Diumumkan oleh wartaberita dan hingga kini saya tidak tahu siapa sebenarnya beliau dan kenapa beliau di cari. Kami hanya mempunyai 3 rangkaian TV sahaja.

Ketika TV3 muncul kawan saya pernah berkata bayangkan sebelum datang TV3, dunia kami macam zaman medievel. Saluran TV cuma ada TV1 dan TV2. Masa saya darjah 1, TV 1 akan bermula pukul 5 dari hari Isnin hingga Khamis. Pada hari Khamis hingga Ahad siaran Tv bermula pukul 2. Antara Isnin ke Khamis adalah penyeksaan kerana menunggu siaran Tv diawalkan.

Namun begitu, cerita drama Melayu tidak banyak. Drama Melayu hanya ada seminggu sekali ditayangkan oleh Tv1. Slot itu dinamakan 'Drama Minggu Ini'. Kami banyak terdedah kepada drama series 'omputih' seperti 'Six Million Dollar Man', 'A Man From Atlantis', 'Mission Impossible', 'Hawai Five O', drama-drama keluarga seperti 'Eight is Enough', 'Little House on the Prairie' dan 'Walton'.

Series animasi Jepun yang diterjemahkan dalam bahasa Melayu paling saya suka. Saya tak ingat tajuknya ketika darjah 1 cerita pasal Tempe sangat popular, diikuti dengan animasi 'Marcos' dan 'Sinband the Sailor.' Ketika darjah 6, hari Jumaat hari kegemaran saya kerana Sabtu tidak sekolah, lepas itu ada 3 rancangan saya suka: 'Contact', 'Woody Woodpicker' dan animasi Jepun berbahasa Melayu: 'Captain Future. Semasa di tingkatan 1, animasi 'Moby Dick' sangat saya minati.

Drama-drama Melayu membanjiri Tv1 dan Tv3 bila kerajaan menggalakkan pengusaha filem membuat drama dibawah slot 'Drama Swasta'. Ketika itu, Datuk Muhamad Rahmat menjadi Menteri Penerangan

Sekarang ini bila berjumpa kawan saya itu, saya akan katakan zaman ada tiga siaran pun sebenarnya sudah zaman gelap jika dibandingkan dengan sekarang.

Saya mula berkenalan dengan komputer semasa saya di tingkatan 1(1985). Komputer merupakan satu kelab sahaja dan tidak diwajibkan disekolah. Sejak kecil saya kurang minat berpersatuan. Bila cikgu saya hendak mencari pelajar untuk menubuhkan kelab komputer, saya cepat mendaftarkan diri.

Entah mengapa saya sudah berasa akrab dengan komputer. Saya tidak menyertai persatuan lain sebelum ko-kurikulum diwajibkan. Pembelajarannya hanya BASIC(Beginner All-purpose Symbolic Instruction Code), LOGO, Wordstar atau Wordpreccessor. Jenama komputer yang sedang top ketika itu Apple, IBM dan Amstrad.

Tidak ada window, kami pakai Ms-Dos. Tidak ada wall paper yang cantik-cantik cuma tulisan hijau atau kelabu.Computer sangat asas dan sebab saya menyertainya pun kerana teruja dan curious apa sebenarnya komputer ini.

Dalam tahun 1997, ketika komputer sudah maju, sebelum adanya Friendster, Myspace dan Facebook ataupun Yahoo Mesenger, ramai yang menggilai IRC. Kerajaan sudah mula menggalakkan sebuah rumah memiliki sebuah komputer. Saya masih ingat slogan kerajaan masa itu:" Kanak-kanak tanpa komputer kanak-kanak tanpa masa depan."

Seperti biasa saya cepat mengingat dan merakamkan dalam memori peristiwa seperti ini dan menyatakan kepada seorang rakan chat dalam IRC. Response beliau: "I don't like it. Mcm ada kelas-kelas pulak orang ni." Maksud beliau apa berlaku kepada ibubapa yang tidak mampu?

Kerajaan menggalakkan rakyatnya membeli komputer dan menyediakan kemudahan mengeluarkan EPF untuk membeli kepada siapa yang tidak mampu. Kemudiannya skim ini disalahguna, ramai yang 'membeli' tetapi hanya menyediakan bil, mengambil cashnya dan tidak membeli komputer.

Sekarang saya rasa kerajaan sepatutnya mempunyai slogan baru. "Kanak-kanak mempunyai komputer tetapi tidak berinternet merupakan kanak-kanak tanpa masa depan." Masih ramai kawan-kawan dan saudara mara saya tidak berkomputer, apa lagi berinternet. Macam mana masa depan mereka ya.

Walaupun zaman ini sangat canggih dengan kemudahan satelit dan perhubungan, kadang-kadang saya rasa saya merindui zaman yang hanya mempunyai telefon rumah sahaja. Ketika Tuanku Sultan Pahang berangkat ke Kg Bantal, Ulu Tembeling saya turut hadir dan penduduk kampung mohon baginda mengusahakan pencawang maxis.

Saya separuh lucu mendengar jawapan baginda: "Kawan suka ke sini sebab tak ada bunyi talipon lah. Tempat lain kalau kawan melawat banyak sangat bunyi talipon. Kawan nak bercakap pun susah." (Kadang-kadang baginda bertitah membahasakan diri dalam bahasa Pekan: "kawan")

Titah baginda hampir sama dengan komen rakan saya, Peter Borisov. Beliau bekerja dengan syarikat Jepun, dan bosnya sentiasa menelefonya dari Jepun untuk mengetahui perkembangan kerjanya di Malaysia. Bosnya menelefon tanpa mengira masa. Lemas dengan keadaan itu beliau memanggil telefon bimbitnya sebagai '21st Century Slavehood'.

Ada ketika kita tidak mahu telefon menganggu kita. Dek zaman teknologi maklumat ini, tiada tempat yang hampir tidak tersentuh dek komunikasi. Ulu Tembeling sendiri sudah mempunyai rangkaian maxis dan diginya, terima kasih kepada Baginda Sultan Pahang.

Satu lagu oldies yang saya suka adalah 'World is getting smaller'. Dalam lagu itu, penyanyi merungut tidak ada ruang untuk privacy lagi. Memang benar kadang-kadang saya sendiri sangat merindui 'tempo doeloe'.

Dunia sekarang sudah semakin mengecil.

11 comments:

AKK-KAY said...

uh-uh and i am one of those who was born in the tiny yet scarry world. =P but I'd consider that as 'manusia semakin malas' @ 'melayu mudah lupa' hehehe

wats on ur mind btw? rindu nak pakai baju lama eh? well, dun forget (its your teaching btw) growing up is optional ...

YANG GAMBI said...

tahun 80an, kawan kenal komputer, masa tu pakai cakera liut je..... wordstar buntuk buat keja2 surat menyurat, drive 2 a: dan b:, tak de le nak nyimpan2 gambar baik2 macam le ni....

WAFS said...

masa tu...masih zaman tengok video tape, mana ada cd lagi masa tu. semua original video. kalau nak tengok video biasanya pegi sewa kat kedai lepas tu kene pulangkan balik. Kalau koleksi video kat rumah pulak tak tau mana nak susun sebab video tape kan tebal...satu masalah pulak utk storage.

WAFS said...

if only i can build a time machine...really miss those time

WAFS said...

untuk buka komputer kene ada ms-dos. Masukkan dulu ms-dos lepas tu dah loading baru masukkan disket program yang kita nak guna.

Hajjah Noraini @Nanie said...

Apa salah nyer, sekali sekala cerita2 kisah lama, auntie suka baca part tuition kat Ming Bldg, sebab auntie pun biasa ke kelas pada tahun 1971 kat situ.

sri tribuana said...

Betul tu tak salah auntie. Cuma blog ni saya tak designkan utk tulis hal-hal persoanl. hi hi hi

McJester said...

aku ingat aku sorang jer yg minat captain future...

sukriali said...

zaman muda² mmg best~

Tok Ngah said...

Dulu kita budak2 memang le best. Budak2 sekarang kata zaman ni le best.Mana ada zaman budak2 yang tak best kecualila Matilda dlam citer The Professsional tu.......

sri tribuana said...

Ramai lagi budak2 yg rasa zaman budak2 dia x best... buruh paksa kat bangladesh, kanak2 terbiar kt columbia, aku masih ingat dlm citer Les Miserables karya victor hugo, budak2 terbiar panggil rakan sebayanya 'papa' sbb budak tu lah selalu cari makan utk diaorg walaupun mencuri.
Masa Marius buat demonstrasi, kerajaan perancis tertembak 'papa' sbb dia pun ada kt situ. 'Anak'2 dia menangis. sedih scene tu.

Ramai budak2 kat Kg Bharu KL yg mak dia pelacur dan sebagainya, tak bersekolah, x der IC tak der msa depan, are they happy?

I doubt it.