Followers

Sunday, May 3, 2009

Ulama

Utusan Malaysia melaporkan, Timbalan Pesuruhjaya III Pas Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata hanya 'ulama' yang boleh menjadi Presiden dan Timbalan Presiden PAS. Menurut beliau lagi, sekarang bukan masa untuk menukar kepimpinan ulama dengan golongan professional.

Siapa ulama ini? Saya juga hairan. Adakah ulama merupakan kasta baru dalam Islam sedangkan Islam bukan agama berkasta. Islam bukan agama seperti Kristian yang memerlukan gereja, Bishop dan Pope bagi menafsirkan Bible.

Ketika zaman Rasulullah, pegangan umat Islam merupakan Al-Quran yang diturunkan oleh Allah S.W.T secara beransur-ansur. Jika ada apa-apa kekeliruan, Rasulullah sendiri akan memberi penerangan dan difahami oleh sahabat.

Ketika zaman Khalifah Al-Rasyidin, mereka merupakan sahabat Rasulullah dan memahami Quran dan tahu sunnah Rasulullah. Mereka adalah antara 10 sahabat yang dijamin syurga.

Apabila Muawiyah menjadi Khalifah, kemudian jawatan Khalifah ini diwarisi mengikut wangsa(dinasti) maka muncullah pemerintah yang bukan dari golongan sahabat yang memahami intipati ajaran Islam seperti sahabat Rasulullah dari golongan Muhajirin dan Ansar.

Ini menyebabkan para khalifah selepas Khalifah Rasyidin terpaksa mencari ulama pakar dalam feqah untuk membuat hukum. Percanggahan sering berlaku dari segi feqah kerana setiap ulama mempunyai pandangan berbeza tentang hukum dan persekitaran baru. Maka muncullah mazhab.

Ketika Muaz bin Jabbal dihantar oleh Rasulullah kesebuah perkampungan untuk berdakwah, beliau bertanya kepada Rasulullah bagaimana caranya jika ada kekeliruan tentang hukum. Baginda menjawab rujuk kepada Al-Quran. Jika tiada diterangkan, tanya Muaz lagi, rujuk kepada Sunnahku, jawab baginda dan jika tiada juga gunakan ijtihadmu.

Ijtihad merupakan mencari cara terbaik jika tiada penerangan dalam Quran dan sunnah. Tiada salah dan dosa jika tersilap.

Jadi adakah ulama ini hanya terdiri dari golongan orang yang mahir ilmu agama sahaja? Adakah kemahiran feqah dan usuludin melayakkan seeorang itu bergelar ulama, lantas membentuk satu kasta elit yang mana hanya mereka berhak membuat penafsiran hukum dan hakam?

Ketika Islam menjadi pusat ilmuwan, ulama silam seperti Ibnu Sinna, Ibnu Khaldun, Al-Khawzrim, Al-Jabar dan berbagai lagi bukan hanya menguasai ilmu feqah dan usuludin tetapi menguasai segala jenis ilmu. Ibnu Sinna mahir dalam perubatan hingga karyanya diterjemah dan digunakan hingga kini.

Ibnu Khaldun merupakan tokoh yang mula-mula memperkenalkan berbagai ilmu kepada umat manusia seperti geografi, siasah, sosiologi dan sejarah. Ada tokoh Barat menggambarkan beliau sebagai "right man in a wrong place and wrong time. He had no successor nor predessessor."

Bukankah kita umat Islam yang menolak sekularisme seperti apa yang berlaku di Barat ketika Zaman Gelap mereka. Bukankah Islam itu syumul iaitu tiada apa yang dikatakan 'hal dunia' dan hal akhirat. Segalanya lebur dalam Islamisasi.

Kita berpolitik, belajar, menulis, mencari nafkah, berniaga, berkahwin dan sebagainya yang dilakukan sehari-harian adalah ibadat jika mengikut ajaran Islam. Dan semua ini memerlukan ilmu.

Berniaga memerlukan ilmu perniagaan. Politik memerlukan ilmu politik. Begitulah seterusnya. Adakah semua ini hanya perlu ditilik dari kaca mata 'ulama' yang difahami oleh orang sekarang: mereka yang HANYA mahir ilmu agama terutama dari sudut feqah dan usuludin.

Jika ini berlaku dan memang sedang berlaku pun, jelaslah ini punca kemunduran umat Islam. Kerana sebahagian mereka yang didewa-dewakan sebagai ulama ini tidak mempunyai ilmu bantu yang lain. Mereka faham feqah tapi tidak faham kewangan, ekonomi, sains, matematik dan berbagai-bagai ilmu yang muncul untuk kemajuan tamadun.

Ini mengundang kita untuk meletakkan 'urusan dunia' di satu pihak, dan urusan agama dipihak lain. Jadilah kita apa yang berlaku kepada Barat dahulu: sekularisme.

Ingat Islam tidak seperti Christianity yang mana memerlukan orang tengah antara Allah dan manusia. Kita tidak memerlukan 'Pope' dalam Islam.

Seperti kata anak Nik Aziz iaitu Timbalan Ketua Pemuda Pas Kelantan, Nik Abduh, bahawa muncul ulama-ulama mi celup dalam PAS yang tidak memahami sangat agama tetapi melalui hafalan-hafalan dan bukan ilmu faqahi. Tetapi ingat untuk maju, Islam perlu mempunyai lebih dari sekadar ulama feqah dan usuludin.

Lagipun dalam Islam, sesiapa saja layak menjadi ulama atau menguasai apa jenis ilmu pun termasuk feqah dan usuludin dan tidak memerlukan institusi sekolah pondok dan sebagainya asalkan mereka sanggup belajar.

Ingat, Islam tidak mempunyai kasta. Jauh sekali kasta ulama.

8 comments:

alfian_firhan said...

Firstly, pardon I'm not going to comment this article, but I would like to express my thankful to you. Your blog help me a lot in answering today's exam (Malaysia's Political Economy)..

:-)

Wisata Riau said...

i like it ur blog...........

SukriAli said...

umat Islam pegang pada mazab:
Hanafi, Maliki, Hambali, Syafie

tapi imam² tersebut berpegang kepada apa?

sri tribuana said...

Silap tu saudara Sukri, umat Islam sepatutnya berpegang pada Quran, Hadis dan ijmak ulama

Tok Ngah said...

Benar ya apa mazhab imam yang empat itu? Bukankah jelas bahawasanya mereka semuanya bermazhab sebagaimana para sahabat. Tapi soalannya siapa nak khabarkan bagaimana mazhabnya para sahabat. Mahu atau tidak dalam titik akhirnya kita harus bertaklid tapi bukanlah bertaklid buta. Berpegang pada Quran Hadis dan ijma ulama juga benar. Imam Bukhari dikhabarkan tidak bermazhab kerana dia sendiri seorang genius yang mampu menghafal menghuraikan beratus ribu hadis maka layaklah dia tidak perlu mengikut mana2 imam. Aku? Korang? Kita ? apa cerita ? Paling tidak harus juga merujuk pada Ulama yg terdahulu dan terkini tentang takrij hadis jadi mau atau tidak kita harus juga bertaklid.............

sri tribuana said...

Saya tidak mahu terlalu membincang soal remeh semacam ini. Soal kita nk ikut pandangan siapa tak timbul asal masih dlm lingkungan ajaran Quran dan sunnah. Sahabat tiada mazhab kerana mereka memahami intipati Islam dari Quran dan Rasulullah sendiri.

Pisang Bakar said...

Mazhab Nusantara.....satu idea yang pernah diutarakan bagi kita di dunia Melayu ? Ada siapa yang hendak memulakannya....Tok Ngah syabas Barcelona

MusangTembaga said...

Ulama yang dibincangkan padahari ini adalah ulama pada pandangan PAS sahaja..Siapa PAS nak tentukan ulama?? Ulama PAS semata-mata kerana politik, bukannya perjuangan menyebarkan dakwah Islam yang sebenarnya..Kalau tidak masakan orang cina guna ayat Al-Quran dalam ceramah politik, ulama PAS kata bagus...