Followers

Monday, March 14, 2011

Neo Dilema Melayu.

Tun Dr. Mahathir menulis Dilema Melayu semasa beliau berada diluar kabinet. Lebih tepat lagi, Tun menulisnya semasa beliau  dalam 'political wilderness'. Tulisan itu merupakan keterus-terangan dari seorang patriot dan nasionalist yang merasai denyut nadi keresahan kaumnya - Melayu - yang masih miskin dan tidak ada pelajaran selepas merdeka.

Apabila beliau menjadi PM beliau tidak mempunyai alasan untuk tidak melaksanakan apa saja dengan kuasa yang ada padanya untuk menghapuskan 'dilema Melayu'. Tun Razak sudah memulakan, meletakkan Malaysia dilandasan yang betul dalam mengimbangi jurang kemiskinan antara kaum asal - Melayu - dan kaum keturunan immigrant yang kebanyakkan lebih kaya dan mampu.

Di sini terletak 'dilemma Mahathir'. Mungkin juga 'dilema Najib'. Dan mungkin juga dilema mana-mana PM selepas mereka. Sebagai orang asal, Melayu lebih santai dan lambat menangkap peluang. Jika ada yang memperolehi peluang, mereka lebih suka menyembelih angsa bertelor emas dari mengumpul kekuatan ekonomi dari segi jangka panjang.

DEB berjaya dari segi pendidikan dan melahirkan professional Melayu. Dari segi perniagaan dan merapatkan jurang ekonomi, DEB masih gagal. Target 30% agihan kek ekonomi untuk bumiputera hanya berjaya dicapai 20% sahaja. Dan DEB sudah berjalan selama 40 tahun.

Sebagai seorang yang bercita-cita tinggi, Tun Dr. Mahathir mahu segalanya berlaku dalam pemerintahannya - yang mana agak mustahil. Beliau ingin Malaysia menjadi negara industri dan kuasa besar ekonomi - bahkan beliau berani bercita-cita kuasa besar tentera. Dalam masa yang sama, Tun ingin Melayu menjadi penjana utamanya walhal Melayu berasal sangat miskin selepas merdeka.

Dilema Mahathir adalah, bagaimana beliau boleh meletakkan Malaysia sebagai sebuah negara besar jika ingin bergantung kepada skill niaga Melayu yang mana ketika beliau mula menjadi PM, sangat bergantung kepada kerajaan? Dan beliau tidak boleh menyekat ekonomi kaum Cina yang sememangnya berdaya maju sendiri sama ada ditolong atau tidak oleh kerajaan.

Untuk mengimbangi ini, beliau terpaksa menggunakan siapa saja yang mampu untuk mencapai cita-citanya meletak Malaysia sebagai negara industri dan kuasa ekonomi. Ini jawapan kepada kritikan musuh TDM mengapa beliau menolong Vincent Tan, Eric Chia, YTL dan Ananda Krishnan. Dalam masa yang sama, beliau cuba menghapuskan 'dilema Melayu' yang dikiritiknya sebelum beliau memegang kuasa.

Dan bukan tanpa masalah.

Melayu yang cuba dibantu melalui DEB mendapati program affirmative action ini adalah angsa bertelor emas yang mesti disembelih secepat mungkin untuk mendapat emasnya dengan segera. Di beri pegangan ekuiti 54 billion, hanya 2billion yang kekal. Ditubuhkan Bank Bumiputera, terlalu banyak write off hingga Bank Bumiputera terjual kepada Bank of Commerce.

Tajudin Ramli, Halim Saat dan empayar Proton adalah succes story yang menjadi 'succes 'sorry'. Mereka lenyap hanya dalam satu generasi sahaja. Masih kita gagal mencipta Robert Kuok, empayar Lim Go Tong dan sebagainya.

Sekarang ada satu masalah kepada pewaris empayar Tun Mahathir. DEB yang ternyata gagal dalam ertikata sebenar, perlu disusun semula dengan cara yang lebih halus. Melayu perlu dididik bersaing jika tidak perkara ini tidak akan ada kesudahannya. Saya masih setuju affirmative action diteruskan dalam bentuk pendidikan, namun dalam perniagaan Melayu perlu bersaing dalam pasaran terbuka.

Ini masalah kepada Datuk Seri Najib kerana yang akan menentang beliau adalah dari dalam UMNO yang selalnya mendapat faedah yang sangat besar dalam affirmative action ekonomi. Bagaimana PM ingin memberitahu orang-orang Melayu bahawa mereka tidak boleh berharap kepada kerajaan buat selamanya?

Sekarang orang bercakap tentang kebajikan generasi kedua felda. Saya tidak nampak mengapa kerajaan perlu membela generasi kedua felda sedangkan bapa-bapa mereka sudah diberi pancing. Selayaknya dari seorang yang tidak mempunyai harta, mendapat 10 ekar tanah yang ditanam sawit, sudah mampu membiayai anak-anak mereka. Anak-anak mereka sepatutnya sudah maju dari segi pelajaran dan boleh berdikari.

Jika saya ahli politik,  kenyataan saya ini akan menguburkan career politik saya tetapi saya  perlu berkata benar jika kerajaan takut. Program-program seperti beri tanah untuk generasi kedua felda tidak ada faedah dari segi membangunkan negara selain hanya mendapat 'political mileage'. 

Memang benar felda adalah kubu kuat kerajaan tetapi 'mencandu'kan umat Melayu dengan kesenangan tanpa berusaha lama kelamaan akan memusnahkan orang Melayu juga. Jika satu hari BN kalah dan kerajaan baru tidak mahu membela Melayu lagi, apa jadi kepada orangg-orang Melayu yang tidak boleh bersaing ini?

Saya hanya nampak kerajaan perlu banyak mewujudkan ramai Melayu berpelajaran tinggi - dalam bidang professional dan kemahiran. Mereka perlu dididik berniaga yang mampu bersaing - bukan hanya mendapat kontrak untuk orang Melayu kemudian di Alibabakan.


No comments: