Followers

Tuesday, January 18, 2011

Azan, Minta Maaf dan Chu Soi Lek.

Isu protes terhadap laungan azan oleh seorang peguam yang kebetulan dari parti MCA telah mendapat reaksi yang berbagai. Ada beberapa kekeliruan di sini sebenarnya. Saya suka dengan posting Dr. MAZA tentang isu ini walaupun, seperti biasa, beliau menjadi kontroversi dan mendapat kritikan kerana pandangannya yang liberal dan tidak radikal. Baca sini.

Saya tetap dengan pendirian, mengikut lunas Islam azan perlu dilaungkan dengan kuat, terutama subuh untuk mengejutkan umat Islam bangun pagi dan bersolat. Jika untuk bukan Islam pun elok saja bangun pagi kerana bangun pagi amalan yang baik. Azan tidak sampai lima minit dan tidak akan sampai menganggu sesiapa pun.

Masalahnya, ada sesetengah masjid atau surau yang ingin menunjukkan mereka extra warak, extra alim dan extra Islamik, menggunakan mikrofon bukan tujuan untuk melaungkan azan tetapi aktiviti lain seperti berceramah, membaca Quran dan berzikir dengan kuat. Dr. MAZA dalam posting di atas telah menurunkan hadis dari Abu Said Al Khudri yang berbunyi:

“Ketika Nabi s.a.w beriktikaf (beribadah dalam masjid), baginda mendengar mereka mengangkat suara bacaan (al-Quran) sedangkan ketika itu Nabi s.a.w berada di tempat ibadah baginda. Lalu baginda mengangkat langsir dan bersabda: “Ketahui setiap kamu bermunajat kepada tuhannya, jangan sebahagian kamu menyakiti sebahagian yang lain. Jangan kamu angkat suara bacaan melebihi yang lain dalam solat” (Riwayat Abu Daud dengan sanad yang sahih)

Toleransi dalam agama sangat penting. Dalam hadis diatas adalah mustahak dalam ibadah kita tidak hingga menganggu orang lain samada orang Islam atau tidak. Kecuali azan yang bertindak sebagai pemberitahu waktu solat dan mengajak orang berjemaah, aktiviti ibadah individu seperti zikir dan lain-lain tidak perlu diperhebahkan hingga menganggu orang lain. Ada hikmah mengapa Rasulullah melarang ianya di perbisingkan.

Walaubagaimanpun, saya makin pelik dengan sikap toleransi bukan Islam pula. Suatu hari, jalan pintas yang saya lalui ada sekatan jalan kerana seorang Cina telah mati. Ia ditutup selama beberapa hari kerana berbagai ritual dan ia menganggu saya. Saya tidak protes, seperti mana orang Melayu lain tidak protes apabila acara agama seperti Thaipusam yang membuatkan jalan sibuk, kebisingan ketika malam Tahun Baru Cina dan berbagai lagi.

Kami orang Melayu sudah menjadi darah daging dalam tolenrasi dan menerima adat budaya orang lain sebagai biasa. Kami sudah dididik untuk mengalah tetapi mengapa kaum lain susah hendak faham? Hampir satu demi satu isu agama dipolitikkan.

Apabila Teresa Kok memprotes soal azan, bahkan PAS menyetujui DAP dalam soal itu. Apabila MCA memprotes soal azan, maka PAS dan PKR membantah kerana yang protes itu MCA. Tidak boleh ke kita pisahkan soal ini soal Islam, dan bangkit sebagai Islam tanpa mengambil kira parti mana yang buat onarnya. Samada Teresa Kok atau peguam MCA, mereka tetap kaum Cina yang tiada hak memprotes azan - dan hanya azan - yang sangat penting dalam Islam. Period.

Sekarang peguam berkenaan sudah meminta maaf terhadap jemaah kerana tindakan melampau beliau. Kita maafkan, kita umat Islam memang kerja kita maafkan mereka. Saya tidak setuju dalam posting Penarik Beca kononnya peguam itu beruntung kerana dia ahli MCA, mudah bagi UMNO memaafkannya. Apa jadi pada Teresa Kok? Mudah bagi PAS memaafkannya?

Lagipun, soal maaf menghina Islam ini bukan milik UMNO atau milik PAS. Ia milik Allah.

Tapi yang paling menarik hati saya adalah ulasan Chua Soi Lek. Beliau berkata pesta agama lain juga bising, tetapi orang Melayu tidak pernah protes. Sayang kefahaman Chua ini sudah terlambat. Sebagai Presiden MCA, beliau gagal educate ahlinya agar menjaga sensitiviti orang Islam dalam soal azan ini.

Jika kaum Cina dan India minta orang Melayu memahami mereka, faham juga hati dan perasaan orang Melayu. 



1 comment: