Followers

Sunday, July 26, 2009

Siapa Salah?

Posting ini merupakan sequel kepada posting 'Siapa Betul?'. Seorang pembaca, juga sahabat saya iaitu Tok Ngah memberi penerangan tentang sensitifnya isu yang saya tulis kerana banyak fitnah yang berlaku dan berbagai versi yang ditulis tentang peristiwa itu.

Beliau juga memberi pandangan, tidak seperti peristiwa sejarah lain, peristiwa ini sensitif kerana melibatkan para-para sahabat Rasulullah.

Sejarah tidak menilai. Sejarah hanya menceritakan kebenaran apa yang berlaku dan itu merupakan intipati pensejarahan. Sejarah mencari 'truth' dan bukan 'fact' yang boleh diputarbelitkan berdasarkan evidence yang ada. Itu merupakan disiplin ilmu para sejarahwan.

Professor Arnord Toynbee, penulis 'A Study of Histroy' pernah cuba disogok oleh sekumpulan manusia bagi mengubah fakta dalam sejarahnya yang tidak memihak kepada mereka dan beliau menolaknya.

Jika sejarah berkaitan dengan para sahabat sekalipun, ianya perlu ditulis dengan sejujur-jujurnya. Sahabat juga manusia biasa seperti kita cuma iman mereka lebih tinggi kerana mereka mengikuti jejak Rasulullah semasa hayat baginda.

Saya beri contoh, ketika wafat Rasulullah, Umar Al-Khattab yang tidak boleh menerima hakikat kewafatan rasulullah bagai orang hilang akal membawa pedang ke sana ke mari hendak memancung sesiapa yang mengatakan Rasulullah telah wafat. Kejadian ini benar berlaku dan bahkan manusia seperti Umar juga ada kelemahannya dan adakah ia perlu tidak dirawikan hanya kerana beliau sahabat Rasulullah?

Walau bagaimana pun kita, kita tetap manusia yang tidak lari dari kekhilafan. Rasulullah yang mahfum juga berbuat khilaf tetapi baginda ditegur oleh Allah melalui wahyu-wahyunya. Sebab itu saya menentang orang yang terlalu taksub atau jumud dengan ulama-ulama kerana kononnya mereka ulama.

Selepas Rasulullah sudah tiada nabi lagi dan tidak mungkin ulama-ulama yang berbuat silap ini akan diturunkan wahyu ke atas mereka untuk membetulkan kekhilafan mereka. Umat Islam digalakkan berfikir secara bebas cuma perlu mengikut akidah yang ditetapkan oleh Allah dan sunnah Rasulullah.

Menurut sahabat saya lagi, banyak ulama tidak berani menyentuh soal ini dengan alasan yang sama. Seperti pernah saya hujahkan tentang siapa ulama ini dalam posting 'Ulama' saya, jika mereka menguasai ilmu yang bukan ilmu berkenaan memang layak mereka tidak berani. Ulama bukan boleh menguasai semua ilmu. Zaman ini orang yang dianggap ulama adalah orang yang mahir feqah dan usuludin.

Selayaknya ulama sebegini tidak memberi komen kerana bukan bidang mereka. Ini bidang sejarahwan dan saya dapati ramai sejarahwan Islam yang menulis tentang peristiwa hitam yang memecahbelahkan umat Islam ini. Jika kita rajin mengkaji dan membaca, banyak buku-buku berkenaan dipasaran.

Kita tidak boleh menganggap ulama tahu semua. Sebagai contoh, Al-Ghazali yang cukup terkenal dalam dunia ilmuwan Islam sangat lemah dalam menyaring hadis. Jika beliau ingin mengungkapkan hadis, beliau selalu reserve dengan mengatakan jika hadis ini tidak palsu.

Maksudnya, semua orang termasuk ulama mempunyai alchilles's heelnya. Dan semua orang boleh menguasai ilmu yang kononnya eksklusif milik ulama jika mereka rajin mengkaji. Jumud memang masalah umat Islam sekarang.

Kembali kepada tajuk asal peristiwa hitam ini, setelah terbunuhnya Uthman bin Affan, pemberontak telah menemui Ali bin Abi Talib dan minta beliau menerima jawatan Khalifah. Ali agak keberatan tetapi akhirnya setuju dengan syarat, beliau bebas membuat keputusan dan tidak tertakluk kepada kehendak pemberontak.

Setelah dibait, tugas pertama Ali setelah didesak oleh penduduk Madinah dan sebahagian besar umat Islam adalah mencari siapa sebenarnya pembunuh Uthman. Perkara ini agak sulit kerana pemberontak bersepakat mereka akan menerima hukuman kolektif walaupun pembunuhnya hanya seorang atau berdua.

Kes ini menjadi buntu dan gagal diselesaikan oleh Ali. Sebaik mendengar berita Ali diangkat menjadi Khalifah, ada dua orang yang rapat dengan Rasulullah tidak senang dan tidak mengiktirafkan kekhalifan Ali. Mereka adalah Zubair Ibnu Awwam dan Aishah iaitu isteri Rasulullah yang berada di Mekah ketika itu.

Zubair memang antara orang yang mengidamkan jawatan khalifah ini, bersama Aisyah minta Ali menyelesaikan pembunuh Uthman bin Affan. Ramai akan tertanya-tanya mengapa Aisyah terlibat dan apa yang mendorongnya.

Seperti kata sahabat saya, banyak versi tentang peristiwa ini. Dari apa yang saya baca, versi yang paling mungkin adalah kerana satu peristiwa apabila kafilah Rasulullah berhenti rehat, Aisyah yang hendak membuang air tertinggal tanpa disedari oleh kafilah. Menjadi tradisi kafilah akan ada orang yang terakhir dibelakang yang memastikan tiada siapa yang tersesat. Ketika itu, orangnya adalah seorang pemuda bernama Safwan.

Safwan menyedari Umirul Mukminin ini ditinggalkan oleh kafilah dan membawa beliau pulang ke Madinah. Bila sampai ke Madinah, peristiwa ini menjadi buah mulut orang hingga menimbulkan kemasygulan di hati Rasulullah. Di rawikan ketika itu, untuk menenangkan hati Rasulullah, Ali pernah mengatakan sesuatu yang tidak disenangi Aisyah kemudiannya. Akhirnya peristiwa ini selesai apabila turun wahyu yang mengesahkan kesucian Aisyah.

Aisyah dan Zubair bergabung dan menentang Ali di peperangan yang dinamakan Perang Jamal. Ini merupakan perang pertama dalam Islam yang telah menumpahkan darah sesama Islam yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Dikedua-dua pihak, Ali sendiri sebagai menantu Rasulullah, sahabat rapat dan Zubair juga sahabat rapat Rasulullah. Aisyah pula isteri Rasulullah. Ammar bin Yasir menyebelahi Ali, sementara seorang lagi sahabat Rasulullah, Talhah bin Ubaidullah disebelah Aisyah dan Zubair.

Semua mereka ini sahabat rapat baginda S.A.W dan sama-sama bahu membahu memerangi musyrikin dan bukan sedikit sumbangan kepada Islam sendiri. Semua mereka memahami Al-Quran dan sangat mahir hadis dan sunnah Rasulullah. Lihatlah mereka sekarang di Perang Jamal, terpaksa menumpahkan darah sesama muslimin sekarang ini. Saudara mereka sendiri!

Siapa betul dan siapa salah?

Saya tidak berani memberi pandangan tetapi Perang Jamal yang menumpahkan darah saudara seagama memang benar-benar terjadi dan bukan 'rekaan Yahudi' yang mengubah sejarah. Dalam Perang Jamal, Ali telah menjadi pemenang dan memaafkan Aisyah dan mengembalikan beliau ke Mekah.

Bermulanya hadis-hadis palsu adalah ketika era selepas terbunuhnya Uthman bin Affan. Selama ini, sahabat tidak pernah menanyakan sanad hadis tetapi apabila banyak unsur-unsur luar yang sudah masuk, fitnah bermaharajalela dan ramai munafik seperti Abdullah bin Saba' yang tanpa segan silu menggunakan nama Rasulullah dengan hadis palsu bagi memecahbelahkan umat Islam, maka bermulalah ilmu mustalah hadis.

Dalam posting seterusnya, saya akan merawikan bagaimana Muawiyah bin Abu Suffian tidak mengiktirafkan kekhalifahan Ali dan menjadikan Damsyik sebagai powerbasenya bagi menentang Ali dan munculnya golongan yang terlalu taksub Ali seperti Syiah dan golongan yang membenci semua pihak baik Ali, Muawiyah dan Amru bin Al As seperti Khawarij.

Saya juga mempunyai kekhilafan. Jika ada dikalangan pembaca mendapati fakta saya tidak benar atau tersilap, sila berikan teguran tuan-tuan.

No comments: