Followers

Friday, December 30, 2011

Anwar Bukan Mandela.

Berbaloikah keamanan Malaysia terkorban kerana 'hotdog' seseorang?


Angin bertiup kencang bahawa 090112 meupakan tarikh akan berlaku perarakan demonstrasi pengikut Anwar 'jika' Anwar di dapati bersalah. Shamsul Iskandar dan AMKnya sedang bersiap-sedia menyediakan pengikut untuk menunjuk perasaan pada tarikh berkenaan. Dalam twitter, ada pengikut Anwar menyamakan Anwar dengan Nelson Mandela yang telah dipenjarakan selama 27 tahun kerana menentang rejim Pretoria.

Malaysia sedang dipersiapkan untuk menuju ke anarki. Dan ini memang kepandaian seorang agitator, pemimpin jalanan yang menyalahkan semua orang kecuali dirinya sendiri. Sementara Mandela dipenjara kerana menentang dasar apatheid iaitu dasar yang menindas kaum kulit hitam, Anwar sebenarnya baru dibicarakan dan belum didapati bersalah. Anwar bukan menentang kerajaan kerana penindasan sesuatu kaum, atau ketidakadilan kepada etnik minoriti. Anwar hanya ingin menyelamatkan tengkuknya.

Darah muda yang kebanyakkannya dipandu oleh hati, bukan otak dibakar semangatnya. Ada sesuatu mengenai orang muda yang digemari oleh pencetus anarki. Ini kerana mereka adalah anak-anak kita. Jika mereka berjaya diseret dan jika kerajaan terpaksa menggunakan kekerasan terhadap mereka, maka simpati ibubapa dan mungkin anggota keselamatan yang bertugas boleh membantu golongan pencetus huru hara ini.

Polis mahupun askar tidak akan sampai hati menggunakan kekerasan terhadap anak-anak muda - mahasiswa atau murahsiswa atau mat rempit. Dan jika kerajaan terpaksa menggunakan kekerasan, maka pencetus anarki akan berjaya menjadikan golongan bapa-bapa menyebelahi 'perjuangan' mereka kerana simpati.

Namun Anwar bukan Mandela. Punca atau just cause perjuangan dua manusia itu tidak sama. Seorang menyelamatkan bangsanya dari di diskriminasi. Seorang menyelamatkan dirinya dari dipenjara kerana memiliki tabii yang aneh.

Saya masih percaya pada demokrasi. Andaikata kerajaan yang ada sangat kejam, tukar melalui pilihanraya. Kita tidak perlukan kebodohan ini.

Wednesday, December 28, 2011

Imam Mahadi, Nabi, Godfather dan Yahudas

Badrul Amin telah mengangkat taraf Anwar Ibrahim sebagai Imam Mahadi. Tokoh penyatu dunia Islam ini kononnya berada di Malaysia. Dia adalah tidak lain tidak bukan Anwar Ibrahim. Helen Ang dalam posting terbaru bertajuk Pakatan punyalah ramai pengikut 'personality cult'. telah mengutuk sistem PKR yang tidak mencerminkan demokrasi.

Begitu taksub pengikut PKR, Ketua Umum mereka tidak dipilih ahli. Presiden pula, isteri Ketua Umum juga tidak bertanding. Anak perempuannya, Nurul Izzah menjadi Naib Presiden. Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Dato' Mansor Othman mencadangkan adik Nurul Izzah, Nurul Nuha untuk bertanding di satu-satu kawasan parlimen. Dalam parti, dia dipersiapkan untuk memegang sayap Puteri Reformasi.

Ini dia dinasti Imam Mahadi yang sering mengutuk UMNO pengamal nepotisme dan crony. Sesiapa yang tiada darah Anwar, tidak mungkin pergi jauh dalam PKR. Masa depan Malaysia berkisar sekitar masalah anak beranak keluarga Anwar Ibrahim.

Belum lama dahulu, seorang fanatik PAS mengangkat darjat Nik Aziz seumpama Nabi. Apa lagi yang boleh menyebabkan manusia fanatik kepada seseorang pemimpin jika bukan kuasa 'divine'(comedy). Dalam DAP pula, Godfather dan warlord bertempur dan Maharaja Lim mendiamkan diri. 

Jadi inilah lelucon demokrasi yang menuntut BERSIH. Menuntut kononnya hapuskan 'gutter politic' dan menuntut ketelusan. Saya masih tidak dapat melupakan Tan Sri Lee Lam Thye, seorang MP yang sangat cemerlang namun terpaksa keluar dari perjuangan DAP kerana dasar kuku besi dinasti Lim.

Namun mereka tidak diam dari masalah dalaman. Chegu Bard dalam twitternya merungut dia telah dipermainkan oleh budak-budak AMK juga yang mendedahkan bahawa beliau adalah pemegang akaun twitter bernama @AMK Rembau. @AMK Rembau telah mengeluarkan kenyataan menghina YDP Agong semasa isu BERSIH 2.0. Sila baca posting PISAU dalam tajuk AMK Dedah Chegu Bard Hina DYMM YDP Agong.

Disebalik tokoh-tokoh 'suci' dan berkuasa seperti Imam Mahadi, Nabi dan Godfather, rupanya PKR dilanda Yahudas yang menjual nabi Isa kepada kerajaan Rom. Ada pembelot dalam PKR yang mencantas sesama sendiri.

Apa tindakan Imam Mahadi? Tidak ada apa-apa selagi bukan dia yang terseret. Chegu Bard telah ditahan polis ekoran laporan polis itu. Dan semua pengikut Imam Mahadi adalah 'expendable'. Dan cult politik ala-ala 'Guyana Tragedy' ini sangat tidak sesuai dengan amalan demokrasi.

Wahai Imam Mahadi, satukan dahulu Chegu Bard dan Shamsul Iskandar sebelum kamu berangan nak menyatukan umat Islam seluruh dunia.

Boom De Ya Da






Selamat Tinggal 2011!

Monday, December 26, 2011

Ini Sebenarnya Assabiyah.

UMNO dikritik PAS kerana kononnya assabiyah, kerana semangat kebangsaan dan tidak membawa fahaman Islam. Saya pernah mengulas panjang tentang Assabiyah ini.Jika berminat, boleh baca semula di sini.

Tak perlu saya ulangi artikel berkenaan. Yang pasti, PAS semakin mendustai pengundi Melayu di Malaysia.Mengapa saya berkata demikian? PAS mengelirukan ummah dengan memecahbelahkan keutuhan penyatuan Melayu. Pada awalnya PAS mendakwa UMNO tidak Islamik kerana berkerjasama dengan bukan Islam. Sekarang mereka lebih dari bahagia bersama DAP, hingga menimbulkan keresahan dikalangan ahli parti mereka yang masih ingin PAS menjadi 'asli'.

Selepas itu, mereka menukar dari pejuangan menubuhkan negara Islam kepada negara kebajikan. Sejak akhir-akhir ini pula PAS banyak menembak pimpinan BN pasal rasuah. Kononnya mereka ingin membersihkan Malaysia ini dari rasuah. Sama saja apabila sudah mendapat kuasa.

Dan ini sebenarnya assabiyah. Jika PAS ikhlas, ubah ini dulu. Pertama kerajaan Kelantan PAS perlu ubah undang-undang tanah negeri Kelantan yang tidak membenarkan orang luar Kelantan memohon tanah. Assabiyah PAS yang ini bertentangan dengan Islam kerana hanya mengutamakan kepuakan yang sempit. Sepatutnya PAS perlu membenarkan orang-orang Islam bukan hanya dari bangsa Melayu, dari bangsa apa saja kerana PAS memperjuangkan Islam, bukan bangsa. Kununnya!

Tapi semangat kepuakan PAS dari Kelantan ini masih seperti zaman jahiliiyah apabila tidak membenarkan saudara seIslam mendapat kelebihan yang sama. Tolak perjuangan bangsa, tapi masih mementingkan perjuangan kepuakan yang sempit.

Ini sebenarnya assabiyah.

Saturday, December 24, 2011

Antara Hasan Ali dan Shaifudin Abdullah.

Hari ini hari Sabtu. Selalunya saya tidak menulis hal politik. Tapi selepas tamat siri Mikawa-bushi, saya tidak terfikir untuk menulis tentang apa lagi. Ada sesuatu yang menarik bermain dalam fikiran saya sehari dua ini. Elok juga jika kita sorotinya.

Sudah ramai blogger menulis tentang fenomena Hasan Ali. Hasan Ali sudah menjadi dilema kepada PAS. Tokoh seperti Hasan Ali begitu mudah mendapat sokongan grass root. Mungkin beberapa elitis PAS yang sekarang ini sedang ghairah berevolusi untuk menjadi liberal dalam PAs tidak menyenanginya. Namun beberapa puak dalam PAS yang merasakan PAS sudah tersasar jauh dari perjuangan asal mereka sangat bersetuju dengan Hasan Ali. Saya yakin puak ini datangnya dari grassroot.

Sementara itu pula, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi pula menghadapi situasi yang hampir sama dalam UMNO. Hasan Ali dimusuhi oleh partinya kerana mengajak PAS kembali ke pangkal jalan. Saifudin pula bermasalah dengan partinya kerana menganjurkan 'politik baru', yang mana mungkin kurang difahami oleh grassroot UMNO.

Banyak perkara boleh saya komen tentang kedua-dua tokoh itu. Namun di sini saya ingin komen bagaimana UMNO dan PAS menangani kedua tokoh yang wayward dari aspirasi parti secara keseluruhannya.

Nik Aziz menegur Hasan Ali kerana memberi ruang untuk media musuh, iaitu TV3 menemuramahnya. Saya pelik kerana antara tuntutan BERSIH 2.0 adalah hak mendapat coverage dari media perdana. TV3 sudah memulakan dengan memberi peluang kepda Hasan Ali. Mursyidul Am mengeluarkan komen supaya lain kali Hasan Ali perlu 'snub enemy media'. Apa sudah jadi?

Sementara itu, Saifudin pula selalu menulis artikelnya dalam Malaysiam Insider. Malah dalam twitternya beliau pernah merungut Utusan Malaysia tidak menyiarkan artikelnya. Tapi tidak ada seorang pun pemimpin UMNO menegur Saifudin supaya 'snub enemy media'. Mungkin ada beberapa budak-budak blogger yang nakal membuat provokasi tetapi bukan datangnya dari PM atau TPM.

PAS sudah mengeluarkan 'gag order'nya dalam menangani masalah Hasan Ali. Namun PAS tidak berupaya membuat Hasan Ali menutup mulutnya. Sementara UMNO tidak mengeluarkan sebarang 'gag order' minta Saifudin tidak bercakap walaupun kadang-kadang Saifudin tidak mengikuti aspirasi partinya.

Saifudin juga selalu ditemuramah oleh Malaysiakini. Pemimpin UMNO tidak ada masalah dengannya.

Inilah kisah dua tokoh politik yang menjadi 'binatang jalang dari kumpulannya yang terbuang'; meminjam ungkapan Chairil Anwar dalam sajak 'Aku'. 

Politik Malaysia semakin menjadi lucu. Mari kita hiburkan hari kita dengan lagu Louis Armstrong dalam lagu yang diparodykan ini, untuk mengatasi kelucuan politik Malaysia.




Selamat Menyambut Cuti Krismas.

Friday, December 23, 2011

Semua Revolusi dimulakan Mahasiswa?

Bercakap tanpa penyelidikan adalah penyakit umum Malaysia hari ini.


Seorang penyokong PKR, Ibnu Hurairah telah tweet dalam twitternya seperti diatas. Menjadi amalan sekarang ini orang suka mengeluarkan kenyataan tanpa melakukan penyelidikan. Lebih teruk, tanpa mengetahui sejarah dan fakta.

Revolusi Industri berlaku pada tahun 1800 dimulakan oleh golongan pemodal. Freedman memanggilnya Global 1.0. Revolusi Perancis berlaku tercetus oleh golongan petani yang marahkan raja mereka kerana bermewah-mewah sementara rakyat kebuluran. Revolusi Amerika tercetus apabila golongan pembayar cukai marahkan kerajaan British yang mengenakan cukai yang tinggi ke atas mereka. Revolusi 1911 di China tercetus oleh Sun Yun Set, seorang doktor menggulingkan kerajaan Manchu. Revolusi Bolshevik di Rusia dicetuskan oleh golongan pekerja, atau proletariat.

Mana mahasiswanya?

Seingat saya(correct me if I am wrong), hanya Revolusi Budaya oleh Mao Tse Tong yang menggunakan pelajar. Itupun kurang tepat kerana sebenarnya Mao telah menggunakan budak muda - pelajar atau 'mat rempit' - bagi menentang generasi ibubapa pemuda-pemuda berkenaan. 

Lagi sekali, mana mahasiswanya?

Peristiwa Tianamen Square bukan revolusi. Walaupun ia berlaku zaman Deng Xiopeng tetapi reformasi ekonomi China sudah berubah sejak matinya Mao. Seperti yang kita tahu, Deng merupakan reformer yang membawa semula fahaman 'pasaran bebas' ke China hingga pernah dilabel oleh Mao sebagai 'capitalist roader'. 

Hampir seluruh revolusi dimulakan oleh golongan intelek. Itu saya setuju. Namun di Malaysia, menjadi sekadar 'mahasiswa' bukan satu benchmark mereka seorang intelektual. Malah saya makin setuju dengan buku Syed Hussein Al-Attas dalam 'Intelektual Masyarakat Membangun', kita semakin melahirkan lebih ramai 'orang-orang bebal' dalam masyarakat walaupun belajar tinggi.

Ini dinamakan sindrom 'bebalisme'.

Wednesday, December 21, 2011

Mahathir dan Mourinho.

Saya percaya Tun Dr. Mahathir mempunyai persamaan dengan Jose Mourinho, manager Real Madrid. Kedua-duanya orang yang calculative. Every each of their act is deliberate. 

Jose Mourinho akan bertindak berdasarkan objektif - apa matlamat yang ingin dicapainya. Begitu juga Tun Dr. Mahathir. Segala perlakuan - drama, act, kenyataan - berpaksikan matlamat mereka.

Bahkan ketika memimpin Chelsea, Jose Mourinho pernah berperang mulut dengan refree, melakukan 'mind game' dengan pengurus pasukan lain, malah kadang-kadang sengaja provoke lawan dengan melancarkan serangan psikologi. Sementara lawannya akan off-balance, dia secara berstrategik menghampiri matlamatnya.

Antara stroke of genius Mourinho ketika menjadi pengurus Chelsea adalah mengurangkan tekanan kepada pemainnya dengan memprovoke media massa untuk menyerangnya. Apabila media memberi perhatian kepadanya - malah dia dilabel sebagai 'Man of War' - ini mengurangkan tekanan kepada pemainnya. Pemain Chelsea boleh bermain tanpa tekanan kerana segala pressure - dari media massa, dari manager lawan, dari refree - tertumpu padanya. 

Memang beliau menjadi tidak popular tetapi hasilnya Chelsea berjaya menjulang Piala Liga Inggeris dua tahun berturut-turut.

Saya tak tahu mengapa akhir ini cyber trooper PR menghentam Tun Mahathir. Namun sebagai leader yang sudah bersara, ia tidak akan merugikan beliau. Tuduhan Anwar bahawa Tun Mahathir membuat pinjaman dengan Bank Dunia baru-baru ini tidak menguntungkan PR pun.

Malah dengan cekatan, Tun Mahathir berjaya membuktikan Anwar pembohong, dan sekaligus Anwar makin nampak dungu. Jika ibarat perlawanan bola, sejak Tun Mahathir menjadi PM hingga beliau bersara, pertembungan Anwar-Mahathir ini dimenangi oleh Tun dengan 0-13. 

Sementara Anwar membanting tulang membuang masa menyerang Tun Mahathir, ianya mengurangkan tekanan kepada Najib dan BN keseluruhannya menjelang PRU ke 13. Mengulangi tahun 1998, Anwar akan cuba mewujudkan suasana huru hara dengan menghasut anak muda turun berdemo menjelang 9 Januari 2012. Ada yang menyifatkan Gerakan 901, macam bunyi fancis Hot Dog pula

Terkapai-kapai kelemasan, Anwar tersalah pilih sasaran. 

Tuesday, December 20, 2011

Anwar Makin Kehilangan Pengikut.

Dipecat pada Sdptember 1998, Anwar Ibrahim telah mendapat simpati ramai orang-orang Melayu. Seperti biasa bagi orang Melayu, sentimen dan simpati memainkan peranan lebih penting dari rationality.

Ketika itu saya berusia 26 tahun. Ramai rakan-rakan saya bersimpati dengan Anwar. Tiba-tiba segala menjadi sensasi. Golongan yang tak minat politik mula mengambil tahu soal politik. Malah ada antara rakan-rakan saya turut serta dalam gerakkan 'Reformasi'. Ada yang turut turun ke jalanan dan bertempur dengan polis.

Di mana-mana apabila saya berhujah dengan rakan sebaya, ketika itu ramai yang menyokong Anwar. Saya hanya beberapa kerat yang tidak menyokongnya - walaupun ketika beliau didalam UMNO.

Kononnya gerakan massa Anwar akan melihat Malaysia bakal menjadi seperti Indonesia. Pembenci Tun Mahathir berharap TDM akan dijatuhkan oleh rakyat seperti Suharto di Indonesia.

Pada PRU 1999, BN dibawah pimpinan Tun Mahathir menang dengan dua pertiga tapi dibantu oleh undi kaum Cina. Melayu memprotes kerana Anwar. 

Selepas 13 tahun insiden Anwar dipecat, saya imbas semula rakan-rakan saya yang dulunya fanatik Anwar. Mereka sekarang semuanya sudah hampir mencecah 40an, bukan lagi pemuda berusia 26 tahun yang rindukan 'spirit of adventure'. 

Mengejutkan, 8 dari 10 sudah tidak meminati Anwar. Anwar bagi mereka hanya pencetus ketegangan dan pengacau keamanan. Ini membuktikan, sokongan anak muda terhadap apa saja yang berbentuk 'memberontak' hanya didorongi oleh semangat pertualang darah muda mereka. Nampak lebih mencabar dan cool menentang authority.

Kawan-kawan saya yang dulunya fanatik Anwar sekarang sudah bekerja, berkeluarga, ada antara mereka menjadi businessman yang berjaya dan bergaji besar. Mereka inginkan keamanan, bukan kehuru-haraan dengan politik yang tidak stabil.

Anwar makin terdesak. Beberapa orang kuat partinya juga telah meninggalkannya. Keadaan Anwar sekarang ini seperti Hitler yang diserang oleh Tentera Bersekutu dari Barat, dan Tentera Merah dari Rusia.

Apa yang Hitler buat sebagai 'last gamble'nya? Hitler yang sudah kehilangan tentera professionalnya menggunakan tentera kanak-kanak. Sesiapa saja boleh mengangkat senjata, malah semuda 16 tahun diletakkan untuk bertempur dengan Tentera Merah yang semakin menghampiri Berlin.

Menjelang 9 Januari, nasib Anwar akan ditentukan. Anwar tidak mempunyai 'legal defense' yang baik. Anwar cuba menggerakan bidak-bidaknya diluar mahkamah. Azmin Ali akan memecahkan tembok penjara dan mengeluarkan Anwar.

Shamsul Iskandar, Chegu Bard dan Tian Chua menggunakan gerakan pelajar untuk melawan kerajaan. Dihantar SMM ke pejabat UMNO bagi menurunkan gambar PM Najib, diperkarangan Pejabat UMNO sendiri.

PKR mendakwa dengan mendapat sokongan mahasiswa maka mereka adalah gerakan masa depan. Masalahnya, apabila mereka dewasa seperti rakan-rakan saya yang dulunya fanatik Anwar, mereka bukan lagi anak muda yang sanggup diperkudakan dengan politik jalanan. Mereka adalah bread winners kepada keluarga mereka. Pertimbangan mereka juga akan jadi lain.

Dan Anwaj akan makin dilupai.


Sunday, December 18, 2011

Mikawa-bushi 9.

Hingga posting yang ke lapan, mungkin pembaca tertanya-tanya mengapa pozting ini dinamakan Mikawa-bushi. Hingga kini, segalanya berkisar sekitar keshogunan Tokugawa, dan Ieyasu sebagai faoundernya merupakan focal point dalam posting ini.

Bushi boleh diterjemahkan seperti perkataan 'folks', atau 'orang-orang'. Mikawa-bushi maksudnya orang-orang Mikawa. Mikawa merupakan daerah dimana Tokugawa mewarisi dari nenek moyangnya. Namun tempat itu beserta Ieyasu sendiri merupakan hanya vassal kepada seorang lagi daimyo dari Suruga iaitu Imagawa Yoshimoto.

Selepas kematian Imagawa Yoshimoto ditangan the young upstart iaitu Oda Nobunaga, clan Imagawa telah terhapus sama sekali. Kesannya kepada sejarah adalah terbebasnya anak muda bernama Kechiyo Matsudara. Beliau kemudiannya menukar nama kepada Ieyasu Tokugawa dan dari Mikawa beliau membina clannya yang kecil berkembang menjadi orang nombor satu di Jepun.

Sekembali ke Mikawa selepas terselamat dalam Battle of Okezahama, Ieyasu menemui seorang pengikut bapanya. Orang itu bagaikan penyimpan rahsia keluarga Matsudara. Beliau membawa Ieyasu ke rumahnya dan menunjukkan segala emas dan fund keluarga Matsudara yang disimpannya untuk kemajuan pokitik Ieyasu. Sekarang ianya diserahkan kepada Ieyasu untuk memulakan empayarnya.

Ini dinamakan semangat 'orang-orang' Mikawa atau Mikawa-bushi. Beliau tetap amanah dalam menjaga warisan bekas tuannya. Beliau tidak menggunakan untuk kepentingan peribadi. Tidak seperti orang Monggol yang meninggalkan Temujin selepas kematian bapanya, kesetiaan adalah segalanya dalam dunia samurai, terutama orang-orang Mikawa.

Setelah Ieyasu mula cemerlang, dan meluaskan kawasannya ke beberapa tempat strategik, hingga beliau menjadikan Edo sebagai pusat organisasinya, the spirit of Mikawa-bushi masih lagi tulang belakang kepada kejayaannya. Antara generalnya yang terkenal seperti Honda Tadakatsu merupakan asalnya orang Mikawa, penyokong Ieyasu semenjak beliau remaja.

Kepada pembaca novel Shogun oleh James Clavell atau penonton filem yang di adaptasi dari novel berkenaan, Honda Tadakatsu merupakan orang kanan Ieyasu, dikenali dengan nama 'The Iron Fist'.

Setelah kekalahan Ishida Mitsunari di Sekigahara pada tahun 1600, dua tahun kemuadian Tokugawa Ieyasu telah mengepung Osaka Castle, dimana tinggalnya waris Hideyoshi, Hideyori. 

Ieyasu mengambil masa dua tahun selepas kemenangannya di Sekigahara kerana beliau perlu menyusun semula daimyo-daimyo pasca Sekigahara. Mana-mana daimyo yang menyokongnya sebelum Sekigahara, diberikan tempat yang strategik dan dekat dengannya di Edo(Tokyo moden). Mana-mana yang menyokongnya selepas Sekigahara diletakkan ditempat yang kurang strategik dan jauh darinya.

Dalam hal ini, ada tiga clan yang tidak berpuashati, iaitu clan Mori yang berpaling tadah, clan Shimazu dan clan Chosokabe. Mereka tidak berpuashati kerana dipindahkan dari kawasan mereka yang strategik ke tempat yang kurang strategik. 

Ketiga-tiga clan ini tidak menyokong Keshogunan Tokugawa dan mewujudkan pemberontakan dan penentangan terhadap dinasti itu hingga era Meiji. Ketika pertempuran berlaku antara Tentera Imperial dan samurai Shogun 250 tahun selepas Sekigahara, waris ketiga-tiga suku itu turut memainkan peranan dalam menjatuhkan Keshogunan Tokugawa.

Di Osaka Castle, samurai Ieyasu sudah mula mengepung Hideyori. Waris Taiko, Hideyoshi antara hulubalang perang yang digeruni semasa hidupnya menjadi tidak berdaya menentang Tokugawa Ieyasu. Ibu Hideyori cuba menjadi orang tengah dan memujuk Hideyori supaya berdamai dengan Tokugawa Ieyasu.

Sudah tentu kedudukan Hideyori bukan lagi pewaris 'master of Japan' seperi bapanya selepas Sekigahara tetapi beliau mohon nyawanya diselamatkan dan dibiarkan mentadbir Osaka sebagai daimyo biasa. Tokugawa bersetuju dengan semua syarat Hideyori.

Apabila gate dibuka, samurainya tetap menyerbu dan menyerang Osaka Castle. Walaupun Hideyori cuma anak muda yang naif, namun sikap berhati-hati Ieyasu tidak boleh membenarkan anak muda itu berkembang sebagai focal point kepada group yang tidak puashati kepadanya.

Hanya masa menentukan Hideyori akan menjadi ancaman kepada dinastinya seperti moyangnya, Minamoto Yoritomo menjadi ancaman kepada suku Taira. Dan suku Taira langsung terhapus dalam politik Jepun apabila Minamoto membalas dendam kematian ayah mereka yang dibunuh oleh Taira Kiyomori. Kesilapan Kiyomori adalah menyimpan dua orang anak musuhnya. Kesilapan yang sama tidak ingin diulangi oleh Ieyasu. Dengan berat hati, beliau menjatuhkan hukuman bunuh kepada Toyotomi Hideyori.

Legend mengatakan setelah kematian Hideyori, Ieyasu takut termakan sumpah. Sebagai Council of Five Elders, Ieyasu telah bersumpah untuk melindungi anak bekas sekutunya. Sebaliknya, beliau mengenepikan sumpah itu untuk kepentingan politiknya.

Ieyasu menulis beribu-ribu nama Buddha bagi menebus salahnya.

Ini merupakan posting terakhir dalam siri Mikawa-bushi. Keshogunan Tokugawa bertahan selama 250 tahun. Ieyasu sendiri menjadi Shogun hanya selama dua tahun, kemudian turun takhta untuk anaknya. Namun Ieyasu masih merupakan mastermind walaupun selepas beliau 'bersara'. Beliau sebenarnya pembina Keshogunan Tokugawa yang sebenar.

Keshogunan Tokugawa membawa keamanan kepada Jepun. Selama 250 tahun Jepun tidak berperang sesama sendiri lagi walaupun ada pemberontakkan kecil seperti pemberontakkan Satsuma. Tokugawa juga melaksanakan dasar tutup pintu dan menghalang hubungan dengan Gai-jin atau orang asing. Hubungan antara Jepun dengan dunia luar melalui gai-jin yang dibenarkan seperti peranan yang dimainkan oleh Adam Will, seorang kelasi kapal Belanda yang diberi status Hatamoto. Dalam novel Shogun, beliau adalah anjeng-san.

250 kemudian, kedatang Comander Perry dengan kapal stimnya mengubah segala. Orsng-orsng Jepun barunsedar betapa mereka terlalu lama terkongkong dibawah rejim Tokugqwa dan terlalu mundur. Lantas muncul gerakan yang minta kembali semula kuasa kepada Maharaja. Selama ini Shogun kononnya memerintah bagi pihak Maharaja.

Pertempuran berlaku antara tentera moden imperial dengan samurai Shogun. Kemenangan berpihak kepada tentera Imperial. Ketenteraan Jepun telah dirombak, memberi peluang kepada semua golongan untuk menjadi tentera, bukan hanya kelas samurai. Maka berakhir pemerintahan samurai di Jepun yang mendominasikan arena politik selama seribu tahun.

Era itu dikenali dengan Era Meiji. Menakjubkan, walaupun ketinggalan kepada Barat selama 250 tahun, namun Jepun mengejar Barat hanya selama 45 tahun. Barat sendiri mengambil masa 150 tahun untuk maju dari orang Islam.

"Your character is your destiny".




Wednesday, December 14, 2011

Menjelang PRU ke 13.

Angin PRU ke 13 sedang bertiup kencang. Kedua-dua pihak - Pakatan dan Barisan - sedang merancang strategi akhir masing-masing. Kedua-duanya sedang memperkemaskan dan memantapkan jentera. 

PRU ke 13 merupakan ini 'different ball game' kepada kedua-dua pihak. Tidak seperti PRU ke 12, 'ketika air yang tenang dan Pak Lah sangka tidak ada buaya', UMNO leka dan dibuai mimpi mereka diterima rakyat. PRU ke 11 dengan menang majoriti yang sangat besar menyebabkan Pak Lah dan pemimpin UMNO lain dibuai mimpi indah.

Kempen ala PR ketika itu melalui blog, blast SMS, dan menggunakan internet tidak dilawan dengan berkesan oleh BN. Mereka merasakan dengan mengawal suratkhabar dan ramgkaian media perdana, BN mempunyai kelebihan. Selebihnya, adalah sejarah.

Sekarang sudah berbeza. BN juga sudah menguasai dunia cyber dengan beberapa nama besar dalam blog yang bukan hanya mampu bertahan dalam menangkis spin pembangkang, namun turun melancarkan serangan mendedahkan kepincangan PR.

Ternyata PR tidak membuat sebarang teknik baru dalam menyerang BN. Modus operandinya sama: menyerang beberapa pemimpin BN yang bermasalah, spin dan cuba mengubah persepsi pengundi. Masalahnya selepas PRU ke 12, di beberapa negeri, PR sendiri sudah menjadi kerajaan. Jelas PR mungkin berupaya mendedahkan kepincangan BN namun mereka sendiri mempunyai kepincangan, malah ada yang lebih teruk dari BN.

PR terbukti bukan alternatif kepada BN. Masih asing dan tidak membuktikan prestasi yang menakjubkan. 

PR masih dengan BERSIH, masih dengan Walk to Freedom, masih menyerang SPR, SPRM, PDRM dan sebagainya. Pengundi ingin lihat sesuatu yang lebih dari sekadar idea. Mereka ingin lihat mampu atau tidak PR mentadbir Malaysia lebih baik dari BN.

Dengan PRU ke 13 makin menghampiri kita, sukar untuk meramal apa akan berlaku nanti. Namun saya masih yakin BN masih mampu membentuk kerajaan, namun menang tipis. 



Tuesday, December 13, 2011

Hasan Ali: Mencari keredhaan Allah, bukan Parti.

Hasan Ali terus dikenakan tekanan oleh partinya sendiri. Nampak gayanya, seperti Ramasamy, Hasan Ali gagal menepati citarasa 'ulama' dalam PAS. Terbaru, beliau gagal dicadangkan sebagai calon di cawangannya sendiri. Walaupun kononnya segala terserah kepada pucuk pimpinan parti dalam menentu calon PRU ke 13, namun usaha memalukan beliau sedang berjalan diperingkat akar umbi.

DAP dan PAS memang tidak demokratik, masing-masing tidak telus dan tidak lenient dengan pihak yang tidak sependapat dengan pimpinan tertinggi mereka. Namun inilah parti yang menyokong BERSIH kononnya menuntut lebih ketelusan dan lebih demokratik. Mereka sendiri tidak demokratik apabila mendapat kuasa.

Jawapan Hasan Ali mudah. Naiwatunya adalah untuk mencari keredhaan Allah, bukan Presiden parti atau Parti. Parti hanya alat untuk mencapai matlamat. Namun begitu ramai ahli  parti dalam PAS menganggap parti mereka adalah end(tujuan) bukan mean(cara). Maka jadilah nereka hanba parti seperti kata HAMKA. Dan itu juga assabiyah.

Syabas Hasan Ali. Di parti manapun anda berada, anda layak mendapat penghormatan, malah lebih dari Mursyidul Am atau Presiden parti anda yang flip flop demi undi. Mereka tidak seperti anda, mereka mencari keredhaan pengundi.

Monday, December 12, 2011

Mafiaso Dalam DAP.

Sekembali dari menyelam dengan Lim Guan Eng, menaiki KD Tun Razak, Ramasamy, Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang berhadapan dengan kemurkaan godfather, atau Singh is King - Karpal.

Ini adalah cerita rutin perkembangan sebuah parti - mana-mana parti. Malah ia sebenarnya evolusi umat manusia apabila sesuatu puak mendapat kuasa. Pemberontakkan Taiping, Komunis China dan Rusia, semuanya bermula sebagai kononnya gerakkan rakyat. Kemudian ianya menjadi corrupted selepas menikmati kuasa.

DAP bukan lagi parti seperti golongan tua macam Karpal dan Lim Kit Siang inginkan. Begitu ramai "Johny Comes Lately" yang menyertai DAP apabila kuasa sudah muka dikecapi. Malah umat Islam selepas pimpinan Rasulullah dan sahabat Empat juga terjebak berbunuh sesama sendiri kerana berebutkan kuasa dan ghanimah.

Helen Ang memanggil DAP selepas PRU ke 12 sebagai DAP 2.0. 

Kronology 'turf war' antara Karpal dan Ramasamy dikatakan tercetus apabila Ramasamy memanggil Karpal sebagai Godfather dalam DAP(Mungkin peranan Lim Kit Siang adalah
Mursyidul Am).

Karpal membalas dengan memanggil Ramasamy sebagai 'warlord' dalam DAP. Begitu serius pertikaman lidah ini hingga ADUN Sri Delima, ahli DAP iaitu YB R. Sanisvara Nethaji telah membuat laporan polis kerana ada ancaman bunuh ke atasnya. Beliau adalah pengikut Ramasamy. Begitu juga Naib Pengerusi Cawangan DAP Datuk Keramat A.Krishnan turut mendakwa menerima ugutan bunuh.

Karpal memberi ingatan kepada Ramasamy, nikmat kuasa yang dikecapi mereka sekarang ini kerana asas yang dibina oleh veteran DAP, yang telah berkorban selama ini. Tan Sri Lee Lam Thye antara yang tidak dapat merasai nikmat itu bukan kerana telah meninggal dunia tapi kerana keluar parti akibat tidak tahan aka kuku besi rejim Lim Kit Siang.

Masalahnya DAP yang kononnya memperjuangkan Malaysian Malaysia hanya berani menghukum minoriti seperti Ramasamy dari kaum India. Kenyataan Nga tentang 'black metallic' contohnya, walaupun mendapat teguran Karpal, namun tidak diendahkan oleh kasta 'Brahman' berkulit kuning langsat beragama Kristian Cahtolic.

Ahli DAP yang minoriti seperti kaum India dan Melayu akan bermasalah berhadapan dengab kasta ini, walaupun kononnya DAP parti antarabangsa. Dalam usaha DAP menakluk Malaysia dengan menggunakan orang Melayu, tidak mustahil ramai Aspan Alias yang akan bertanding atas tiket DAP.

Namun DAP mempunyai inner sanctum mereka sendiri, dengan High Priest dan kasta Brahman menjaga Ark of Covenant mereka. Jangan mudah terperangkap.

Akhir sekali, walaupun kononnya memperjuangkan kesamarataan kaum, DAP tidak demokratik seperti didakwa. Mereka memberi kuasa besar pada Setiausaha Agung dan Politburo. Mereka tidak membincangkan soal dasar dengan akar umbi parti, apa lagi akar umbi pengundi.

Perang antara Godfather dengan warlord ini bakal menyaksikan merosot undi kaum India kepada DAP. Perlu diingat semula, pada tahun 1955, ketika UMNO boleh memenangi 50 dari 52 kerusi tanpa undi kaum lain, UMNO tetap memberi 15 kerusi kepada kaum Cina dan 2 kerusi kepada kaum India.

Siapa lebih adil?

Saturday, December 10, 2011

Mikawa-bushi 8

Sebelum saya meneruskan siri Mikawa-bushi yang ke lapan ini, saya terpaksa membuat sedikit homework untuk pertempuran di Sekigahara. Kali ini, memory saya gagal mengingat segala titik bengik dan detail bertempuran berkenaan.

Sekigahara adalah Waterloo kepada Ieyasu. Kemenangan ini seperti menangnya Duke of Wellington terhadap Napoleon di Waterloo. Ia mengubah lanskap politik Eropah yang selama dua puluh tahun didominasi oleh Napoleon Bonaparte.

Lanskap politik Jepun juga akan berubah sebaik Ieyasu memenangi Sekigahara. Generasi muda mula mempelajari semula perkataan Shogun - maknanya yang sebenar selepas Oda Nobunaga menghapuskan institusi itu.

Keshogunan Tokugawa akan bertahan selama 250 tahun, dan Jepun sudah melepasi era perang dan huru hara. Akhirnya, kuasa digenggam oleh orang yang kuat. Kelangsungan dinasti Tokugawa ini kerana asasnya teguh yang diletakkan oleh pembina dinasti itu iaitu Tokugawa Ieyasu.

Kedua pakatan - Tentera Barat dan Tentera Timur - bertemu di tempat yang dinamakan Sekigahara. Bentuk mukabumi medan tempur ini memberi kelebihan kepada Samurai Barat yang diketuai oleh Ishida Mitsunari.

Kedudukan Samurai Barat sangat strategik. Mereka berjaya menduduki Gunung Nangu dan Sasao, kedua-duanya merupakan tanah tinggi.

Sementara kedudukan Tokugawa tidak selama. Beliau menduduki Nakasendo, berhadapan dengan Ishida Mitsunari, namun sisinya terdedah kepada serangan Samurai Barat diketuai oleh Kobayakawa Hideaki yang menduduki Gunung Matsuo. 

Apabila pertempuran bermula, Samurai Tokugawa mula menyerang Samurai Barat. Mereka berhadapan dengan Ukita Hideie, Otani Yoshitsugu dan Konishi Yukinaga. Kedua-dua pihak tidak mendapat kelebihan, namun kedudukan Ieyasu dalam bahaya andainya Kobayakawa menyerangnya dari sisi.

Sun Tzu pernah mengatakan kemenangan sesebuah pertempuran itu ditentukan sebelum perang bermula. Ini yang dilakukan oleh Tokugawa Ieyasu. Sebelum kedua-dua tentera ini bertemu, Ieyasu sudah mendapat janji dari Kobayakawa dan suku Mori untuk memihak kepadanya di saat akhir. Ini kunci kepada kemenangannya di Sekigahara.

Apabila pertempuran semakin sengit, Kobayakawa masih neutral dan tidak menyerang mana-mana pihak, Ieyasu mengarahkan unit senapangnya menembak ke arah Kabayakawa bagi memaksanya membuat keputusan. Ini sangat genting, sejarah mungkin akan berubah andainya Kobayakawa setia bersama Samurai Barat.

Akhirnya, unit dibawah Kobayakawa membuat keputusan memihak kepada Tokugawa. Mereka menyerang sekutu mereka sendiri. Begitu juga dengan suku Mori yang enggan bertempur bagi pihak Samurai Barat dan hanya mendiam diri.

60000 kepala Samurai Barat berjaya dipungut. Jelas Pakatan Barat sudah tewas dan hanya tinggal anak Hideyoshi, Hideyori sahaja yang menjadi penghalang kepada cita-citanya untuk menjadi Shogun. 

Ishida Mitsunari dan sekutunya Konishi Yukinaga kemudiannya berjaya ditangkap dan dihukum pancung.

Bersambung

Thursday, December 8, 2011

UMNO masih perlukan undi kaum lain.

Dalam PAU ke 11 baru-baru ini, DS Najib telah menggalurkan kronologi yang terperinci evolusi tentang peranan UMNO dalam menyatu-padukan kaum-kaum di Malaysia. Tahun 1955 pada pemilihan Majlis Perundangan Persekutuan, bagi memilih 52 kerusi yang dipertandingkan, UMNO melalui Perikatan telah meletak 35 calon UMNO, 15 MCA dan 2 MIC. Ketika itu, 50 dari 52 kerusi berkenaan dalam kawasan majoriti orang Melayu.

Walaupun UMNO mampu bersikap tidak adil dan tamak untuk meletakkan 50 calon UMNO, namun atas sikap toleransi dan permuafakatan, UMNO bersikap gentleman terhadap sekutunya. Ini adalah kesaksamaan dan keadilan, sebelum parti mengaku KEADILAN lahir lagi. Parti mengaku KEADILAN itu hanya berpaksi minat mereka hanya membela satu insan saja, dan mengenepikan kaum minoriti seperti kaum India dalam pemilihan mereka.

Selepas PRU ke 12, semangat permuafakatan ini terancam apabila kebanyakkan orang Cina mengundi DAP. Walaupun diberi kerusi sebanyak 40, MCA hanya mampu memenangi 15 kerusi sahaja. Bermula dari situ, tuduh-menuduh, syak wa sangka dan tunding menunding jari bermula.


"Victory has many fathers," kata perpatah Itali, "defeat is an orphan".

Hakikatnya, DAP lebih bijak dari UMNO. Sementara perwakilan UMNO menghentam kaum Cina ketika ketika PAU ke 11, DAP terus memancing undi Melayu. Blogger JUST READ menulis bagaimana muak beliau mendengar perbualan dengan enam orang perwakilan yang masih percaya UMNO tetap tiang seri(pillar) BN tanpa sokongan MCA.

Dalam PRU ke 12, UMNO memenangi 78 kerusi namun BN tetap hilang 2/3 majoriti. Apa gunanya menjadi tiang seri kepada BN tetapi BN gagal memerintah? Dan matlamat akhir semua parti adalah membentuk kuasa.

Permuafakatan dalam BN antara UMNO sebagai master of the castle dengan komponen adalah vital. Saya setuju dengan sesetengah pendapat, jika komponen gagal memujuk kaumnya, BN perlu berubah dengan bermain secara total. Seperti konsep total football, pasukan bokasepak moden tidam terlalu berpegang kepada position seperti back, midfield dan striker. Back perlu naik membantu serangan, dan penyerang perlu turun membantu pertahanan.

Dalam politik Malaysia moden, pengundi Melayu, Cina, India dan lain-lain tidak boleh dipangsa mengikut kaum lagi dan hanya menyerahkan komponen menyelsaikan masalah kaum mereka. BN perlu bergerak berdasarkan teamgeist, atau 'team spirit.

Kita sudah dengar cerita DAP memberi kontrak kepada pelajar kolej umur 19 tahun berbangsa Melayu. Helen Ang mendedahkan DAP Pulau Pinang membuat dasar memberi 70 % kontrak kepada bumiputera dan kerana apa jika bukan memancing undi Melayu.

Sementarq MCA pula yang bising tentang hal yang menjadi prerogative Melayu seperti biasiswa dan sebagainya. Dan UMNO akan bertindak mengeluarkan kenyataan rasis. Ini tidak membantu BN. Dan ini yang exactly pembangkang inginkan.

Sampai masa UMNO, MCA, MIC yang mewakili banga masing-masing memikir bagaimana menyelamatkan kapal yang bocor dari mendahulukan agenda masing. Selama 60 tahun BN berkongsi kuasa, sudah tentu dalam sesebuah perkahwinan ada masa geloranya.

Namun, sandarkanlah kepada kenangan, menjadi kawan dalam perkongsian hidup bukan hanya ketika suka, juga ketika duka.




Monday, December 5, 2011

Sedih Seorang Blogger UMNO Sertai PKR.

Musli Oli mengumumkan beliau telah keluar dari UMNO. Saya terkejut dan juga sedih. Selama ini, beliau telah meluahkan perasaan, pandangan dan pendapat beliau berkaitan negara, parti dan politik melalui blog Sekali Ketuknya.

Musli Oli juga orang kuat Perkasa, yang selalunya dikaitkan dengan UMNO. Saya mengenali beliau melalui blog dan twitter, walaupun kami tidak pernah bertemu secara in person. Berita beliau menyertai PKR menyedihkan saya, kerana beliau juga seorang yang berbakat.

Namun demikian, saya tetap hormati pendirian beliau. Ini negara demokrasi, tidak sepatutnya seseorang itu jumud dengan parti andainya parti itu tidak menepati citarasa mereka. Saya tidak tahu punca beliau membuag keputusan itu, namun seperti kata-kata perpatah undang-undang dalam Latin: "Res ipsa liquitor".

"Thing speaks for itself".

Sila baca penjelasan beliau sendiri dalam blog Sekali Ketuk yang saya linkkan dalam blog Politik. Saya minta maaf kerana masalah teknikal saya tidak dapat link posting beliau bertajuk 'Mengapa Saya Keluar UMNO.'

Saya mengucap 'Good Luck' kepada Musli yang pernah sekapal dengan saya dalam perjuangan membela parti. Walaupun berlainan kapal, tetapi kita masih boleh menjadi sahabat.


Friday, December 2, 2011

Politik Kebencian Bermula Dengan Anwar

Semalam saya ke PWTC, berjumpa beberapa rakan blogger dan wartawan. Malah saya terjumpa juga dengan seorang rakan blogger yang baru balik mengerjakan ibadah Haji. Alhamdulillah, beliau selamat kembali, nampak sihat walaupun agak susut tubuhnya. Masih bersinar-sinar nur orang yang baru kembali dari Tanah Suci sebagai Tetamu Allah.

Kami berbual-bual tentang ucapan Presiden UMNO. Lima minit selepas Presiden berucap, seorang rakan wartawan yang lain telah email kepada saya ucapan dasar Presiden. Kemudian saya dapati sudah ramai yang post ucapan Presiden dalam blog mereka, saya urungkan niat untuk berbuat perkara yang sama walaupun saya perolehi ucapan itu lebih awal.

Sedang kami berbual-bual, kami didatangi oleh seorang lagi rakan blogger yang juga seorang wartawan politik. Dalam perbualan, beliau menyatakan sesuatu yang bagi saya sangat tepat. Beliau sudah lama menjadi wartawan politik, sejak zaman mula-mula Tun Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri lagi.

Menurutnya, politik hari ini berlainan dengan sebelum Anwar dipecat pada tahun 1998. Maksud lain itu adalah dari segi menanam kebencian terhadap pemerintah, pegawai kerajaan, institusi kerajaan seperti SPRM dan PDRM serta parti yang sedang memerintah. Bahkan dalam politik hari ini, Raja-raja Melayu juga turut terseret dalam politik, dan dimaki hamun dalam twitter, blog dan facebook.

Saya pernah tulis tentang dua kategori pemimpin. Satu pemimpin yang memimpin berlandaskan logik dan rasional. Kedua pemimpin yang memimpin dengan menanamkan ketaksuban terhadapnya, dan kebencian yang melampau terhadap musuhnya. Jika berminat baca semula di sini.

Anwar termasuk dalam kategori yang kedua. Beliau bukan pemimpin yang mempunyai idea tetapi pemimpin yang mempunyai karisma, pandai berpidato, nampak mesra dan mudah didekati, cepat popular dan membuat orang tertarik hati kepadanya. Beliau bukan eagle tetapi peacock.

Justeru keupayaannya menanamkan ketaksuban dan mewujudkan pengkagum ini menyebabkan ramai yang hilang rasional apabila beliau dipecat. Apalagi beliau juga seorang ahli politik yang cekap eksploit isu dan menagih simpati. Masalah peribadinya akhirnya menjadi agenda nasional.

Jika diimbas semula, sebelum tahun 1998, politik Malaysia berkisar soal parti, dan agenda setiap parti. UMNO dengan nasionalismenya, PAS negara Islam versi mereka, dan DAP dengan Malaysian Malaysianya. Bahkan apabila Tengku Razaleigh membentuk Semangat 46, politik Malaysia masih berkisar soal ideologi parti-parti dan kritikan dari pembangkang adalah kelemahan dasar kerajaan.

Walaupun Ku Li kalah dalam pemilihan Presiden UMNO, diluar parti mereka bertempur soal dasar. It is strictly business, not personal. Cuba bandingkan setelah Anwar dipecat. Balik ke tahun 1998, sebelum terbentuk PKR, saya sering berhujah dengan peserta reformasi.

Mereka akan berhujah perkara yang remeh dan peribadi, seperti Tun Siti Hasmah tidak bertudung, dalam Sri Perdana ada bilik sulit yang mana kononnya Tun Mahathir menyimpan patung buddha, soal anak-anak Tun Mahathir, Tun Mahathir menonton filem lucah dengan cucunya.

Saya pernah berbual dengan orang Semangat 46 sebelum itu, bahkan orang PAS semasa era APU, namun kritikan lebih kepada dasar Industri Berat yang cuba dibawa oleh Tun Dr. Mahathir. Saya tidak dengar cerita-cerita nonsense sebegini.

Selepas Tun Dr Mahathir, kebencian Anwar dipindahkan kepada UMNO. Jika benar dakwaan mereka ketidakadilan dilakukan oleh Tun Dr. Mahathir, mengapa kebencian itu diteruskan kepada pemimpin UMNO selepas era Tun Dr. Mahathir?

Sepatutnya Anwar meneruskan perang peribadinya dengan Tun Mahathir tanpa melibatkan 'Selamatkan Malaysia' atau 'pemimpin UMNO yang korupsi' kononnya. Dan dalam ucapan beliau sering bangga mengatakan "Saya jadi Menteri Kewangan lapan tahun."

Siapa yang melantiknya menjadi Menteri Kewangan? Selama lapan tahun beliau menjadi Menteri Kewangan dari UMNO, adakah UMNO bersih sebersih bersihnya dari korupsi yang kononnya ingin diperanginya sekarang? Setelah beliau dipecat, ajaibnya sekelip mata UMNO menjadi korupsi?

Sebagai rakyat Malaysia, saya tidak mahu memilih pemimpin dari parti yang tidak ada agenda lain selain kebencian. Ahli politik sepatutnya berbahas tentang dasar, bukan merengek seperti Anwar atau Nizar Jamaludin setelah terlucut memjadi MB.

Bermula tahun 1982, Anwar sudah banyak termakan budi UMNO. Walaupun beliau membenci Tun Dr. Mahathir, beliau tidak perlu membawa UMNO dalam politik kebenciannya. "Tidak ada orang boleh menjadi wira dihadapan orang yang berbudi ke atasnya." Kata entah pepatah mana.

Dibawah adalah video 'dari perbendaharaan lama' yang saya cilok dari blog Outsyed the Box. Yang menarik perhatian saya, ucapan Anwar ini adalah beberapa bulan sebelum beliau dipecat pada September 1998. Sejak dulu, saya bukan peminat Anwar. Dan saya hairan perwakilan boleh terhibur dengar celoteh yang tidak ada isi ini.




Saya ada seorang sahabat warga Kanada bernama Peter Borisov. Beliau bekerja di Malaysia ketika Malaysia menjadi antara 7 Harimau Asia. Dia antara beberapa orang yang tidak impress dengan Anwar, walaupun ketika Anwar dipuncak kuasanya.

Katanya, leader seperti Anwar hanya pom-pom atau 'cheerleader'. Mengimbas semula video di atas, saya sangat bersetuju dengannya.