Followers

Saturday, January 21, 2012

Melayu dan Mitosnya.

Prof. Khoo Kay Kim mengatakan Hang Li Po dan Hang Tuah tidak wujud, atau tidak ada bukti kewujudan mereka. Terus terang saya tidak membaca kenyataan beliau, tetapi mengetahui perkara ini melalui perdebatan twitter rakan-rakan.

Blogger JUST READ juga turut mengulas perkara ini, baca Hang Tuah: What a Shame for Melaka.

Rata-rata mereka tidak bersetuju dengan pendapat Khoo Kay Kim. Begitu juga dengan pandangan Prof. Zainal Kling apabila beliau mengatakan secata technical, Tanah Melayu tidak pernah dijajah.

Sepatutnya hari Sabtu ini saya menulis tentang 'Konsep 'Bangsa' bagi Melayu' tetapi saya tundakan kerana perkara ini lebih mendesak. Ini satu contoh bahawa orang Melayu sering hilang jatidiri dan keliru dengan khazanah nenek moyang mereka.

Pertama, untuk berlaku adil kepada pakar sejarah, Khoo Kay Kim mengatakan pandangan dari sudut sejarahwan. Beliau memerlukan bukti, dan dalam disiplin sejarah selagi bukti tidak ditemui, maka sesuatu fakta hanya hipotesis. 

Menurut beliau, tidak ada dalam rekod kerajaan China  yang mengatakan perkahwinan antara Sultan Melaka dengan seorang puteri China. Dalam konteks Puteri Hang Li Po, saya percaya ini salah satu dari cara atau ethos kepengarangan penulis istana. Salah satu dari ethosnya adalah bagi meninggikan martabat raja Melaka dengan mengaitkan Melaka dengan kerajaan besar iaitu China.

Namun saya percaya Hang Li Po wujud, tetapi bukan puteri China. Ada beberapa pakar sejarah yang lain pernah memberi pendapat, kemungkinan besar Hang Li Po anak salah seorang pedagang Cina yang singgah di Melaka. Latar belakang ke'ningrat'an Hang Li Po hanyalah rekaan penulis bagi mengangkat martabat rajanya.

Dalam soal Hang Tuah dan empat lagi saudaranya, dari tahun 80an saya membaca tulisan penulis suratkhabar nyamuk, jika tidak salah akhbar Bacaria yang mengatakan Hang Tuah adalah pahlawan Cina. Ini kononnya perkataan Hang Tuah asal dari Hang Too Ah, Jebat kononnya Hang Jee Fat, dan seterusnya.

Dalam tahun yang sama, Prof. Syed Husin Al-Attas mendakwa Hang Tuah merupakan gangster Melayu, beliau tidak melakukan apa pun kebaikan kecuali membodek tuannya, raja Melaka. Saya terbaca juga dalam Dewan Masyarakat, namun saya tidak ingat penulisnya, bahawa Hang Tuah tidak ada apa-apa keistimewaan kecuali bersikap feudal.

Ini sebenarnya penyakit orang Melayu. Mereka sendiri mengasak warisan budaya mereka, memperlekeh dan meremehkannya.

Saya percaya Hang Tuah wujud. Saya percaya Hang Tuah seorang Melayu dari Pulau Duyung. Begitu juga Jebat, Leqir, Lekiu dan Kasturi. Samada seseorang akan berjaya membuktikannya atau tidak, saya percaya tokoh mitos ini wujud bukan tanpa sebab.

Dalam perbahasan twitter, saya menyampuk bahawa Cheng Ho juga bukan berbangsa Cina. Cheng Ho seorang muslim, keturunan Turki dan menurut legenda tinggi 7 kaki. Patrick Teoh tidak setuju dan membalas dalam tweet itu dengan mengatakan sejarah hanya merekodkan Cheng Ho seorang muslim, tidak menyatakan bangsanya.

Moral dari cerita ini, masyarakat Cina menyanjung mitos dan legenda mereka. Saya tidak pernah mendengar masyarakat Cina mempersoalkan kewujudan Liu Bei, Cao Cao, Guan Yu(malah mereka menjadikan beliau Dewa Perang), Zhuge Liang dan sebagainya walaupun tidak ada bukti mereka benar-benar wujud.

Dalam halnya Cheng Ho, Patrick Teoh mempertahankan keCinaan Cheng Ho walaupun beliau muslim. Di sini pemahaman kepentingan bangsa sangat berbeza antara kaum Cina dengan orang Melayu. Seperti Melayu, bangsa Cina hanya wujud selepas Shih Huang Ti berjaya menakluk enam kerajaan yang mempunyai bahasa berlainan dan bangsa berlainan.

Shih Huang Ti mewajibkan bahasa Mandarin, mengasimilasikan semua kerajaan itu dalam satu negara dan satu budaya, lantas dipanggil Cina kerana dinasti Shih Huang Ti adalah Chin Dynasty. Dan bangsa ini bangga dengan apa saja cerita mitos dan legenda nenek moyang mereka, termasuklah kisah pengembaraan Monkey King dalam epic 'Journey to the West'.

Dan bandingkan dari segi kemajuan ekonomi dan pelajaran, adakah Melayu lebih maju kerana berfikiran progressif menolak tahyul nenek moyang mereka jika dibanding dengan kaum Cina. Jepun yang super scientific mind itu pun bangga dengan kefeudalan era samurai mereka.

Namun orang Melayu baru baca buku Voltaire atau Rousseau saja sudah berani memperlekehkan legenda mereka. 






5 comments:

Wake UP! said...

Mereka yang memperlekehkan sejarah Melayu tu sebenarnya orang yang teramat bodoh kerana kita sepatutnya bersikap patriotik dan mempertahankan bangsa kita mati-matian.

Centurion said...

bukan memperlekeh tetapi untuk membezakan realiti dan fantasi.tak salah kita nak kata hang tuah tak wujud atau tidak tetapi kita perlu menghormatinya sebagai warisan bangsa kita.

Anonymous said...

Menurut Andaya (2002), Hang Tuah, Hang Jebat dan Hang Kasturi adalah pemimpin ulung kaum Orang Asli. Kekuasaan Orang Asli dalam pemerintahan Melaka serta kerajaan-kerajaan melayu yang lain mengalami kemerosotan dengan kematian ketiga-tiga tokoh ini. Pendapat ini dipetik dari Pagan Races of the Malay Peninsula, Macmillan, London 1906 karangan Skeat, W.William and C.O. Blagden.

Andaya juga memetik pendapat Juli Edo, seorang ahli antropologi dari etnik Semai yang mengatakan bahawa Hang Tuah dan Hang Jebat adalah Orang Asli. Hang Tuah ialah Orang Jakun (Windstedt, 1935). Hang Tuah dan keluarganya berpindah ke Hulu Perak selepas kematian Hang Jebat.

pukimaq said...

Homo cun ni hanya pedulikan pengliwatan.

Q said...

saya setuju dengan tulisan ini. Jika Hang Tuah dihapuskan dari teks sejarah malaysia apa lagi yang tinggal untuk org melayu berbangga dengan sejarah tamadunnya??..

Di barat, mereka begitu menyanjungi pahlawan2 Rom dan Greek walaupun separuh darinya mungkin mitos semata2..