Followers

Wednesday, June 29, 2011

A. Samad Said.

Saya masih ditingkatan dua ketika saya memerhatikan beliau sering menaiki bas ke rumah isteri mudanya di Taman Sri Watan. Pada tahun 1986, saya bersekolah di Sekolah Seri Ampang duduk di perumahan Taman Sri Watan. Saya belum meminati karya seni berat lagi ketika itu, tapi saya berasa 'curious' terhadap insan seni yang sering melalui rumah kami di Taman Watan ini.

Beliau berjanggut dan berambut panjang. Kadang-kadang beliau berjalan kaki dengan isteri mudanya. Jika beliau menaiki bas, masa beliau 'pulang' ke rumah agak aneh. Beliau ke Sri Watan ketika kami bersesak dalam bas untuk ke sekolah dan untuk bekerja. Aliran trafik Pak Samad bercanggah dengan kami pelajar dan kebanyakkan golongan kelas 'pekerja'.

Kemudian saya terbaca ulasan novel terbarunya ketika itu diakhbar. Jika tidak silap novel itu bernama 'Daerah Zeni'. Ulasan itu membuat saya makin 'curious' terhadap insan seni yang sering saya nampak melalui depan rumah saya. Saya lihat beliau 'in person', dan 'flesh and blood',bukan dalam tv atau akhbar.

Pada tahun itu kerajaan melancarkan kempen membaca dan diadakan 'Pesta Buku Antarabangsa' di PWTC. Lantas saya membeli 'Salina', karya Pak Samad yang melonjakkan namanya dipersada antarabangsa. Buku itu telah diterjemahkan kepada berbagai bahasa.

Tidak dapat saya nafikan, 'Salina' banyak mempengaruhi saya. Melaluinya saya ikuti karya Pak Samad yang lain seperti 'Adik Datang', 'Langit Petang', 'Daerah Zeni' dan 'Sungai Mengalir Lesu'. Kemudian saya menjadi pengikut karya seni tegar. Saya mula mencerna karya-karya Shahnon Ahmad, Arena Wati, Usman Awang dan Keris Mas.

Pak Samad juga membuka minda saya untuk menyeberangi Selat Melaka lantas mencerna karya Pramoedya Ananta Toer, Budi Darma, Umar Khayyan dan Y.B Mangunwijaya. Semuanya bermula dengan 'Salina'.

Selepas saya membaca mini memoirnya: 'Dari Salina ke Langit Petang', saya membaca apa yang pernah beliau baca. Secara tidak langsung, Pak Samad memperkenalkan saya kepada dunia Ernest Hemingway, John Steinback, James Joyce dan William Faulkner.

Saya mengkagumi beliau, dan beliau tidak tahu kewujudan saya walaupun beliau lalu depan mata saya hampir saban hari. Setelah kami berpindah ke Taman Tun Abdul Razak pada tahun 1988, saya tidak nampak pergerakan beliau lagi. Namun saya tahu beliau masih dengan rutinnya yang aneh.

Seorang classmate yang tinggal di Kampung Melayu Ampang memberitahu saya, Pak Samad sering solat di Masjid Kg. Melayu Ampang. Pada satu petang saya bersolat asar di masjid yang sama. Sebenarnya Pak Samad solat asar sementara menunggu anaknya, Az yang sekolah di situ.

Ketika Pak Samad minum petang, saya memberanikan diri menghampirinya. Beliau tidak sombong, cuma beliau sering tidak 'connected' dengan persekitarannya. Seringkali kelihatan beliau tenggelam dalam imaginasinya.

Kami menjadi kenalan. Antara peminat dan yang diminati. Kemudian saya sering berkunjung ke masjid untuk solat dan berbual-bual dengannya. Ketika itu beliau baru menerbitkan novel 'Hujan Pagi', satu novel protes dunia kewartawanan yang tidak telus dan dimanipulasikan oleh orang politik.

"Wartawan sejati, tidak akan makan gaji, tanpa makan hati", kata Pak Samad dalam intro novel berkenaan. Dan pada ketika itu Malaysia menyaksikan pertembungan hebat Mahathir-Ku Li. Apabila saya tanyakan pandangannya tentang politik, beliau neutral. Beliau tidak memihak kepada sesiapa walaupun beliau tidak menyenangi orang politik.

Selepas itu dalam makalah Dewan Sastera, Shahnon Ahmad menulis dan mengkritik karya Pak Samad. Ketika itu Shahnon Ahmad 'telah kembali ke pangkal jalan' dan menjadi jaguh sastera Islam. Seperti biasa golongan sebegini, setelah menjadi Islamik akan menghukum dan menilai orang lain sebagai tidak Islamik.

Shahnon mengutuk Pak Samad dan menuduh karya Pak Samad seperti 'Hujan Pagi' dan 'Daerah Zeni' sebagai carbon copy dari Barat. Shahnon baru menerbitkan dua novel Islamnya, 'Al Syiqaq' dan 'Tunggul-tunggul Gerigis'. Kononnya menurut Shahnon, Pak Samad terlalu barat dan tidak Islamik.

Suatu hari saya ajukkan soalan pada Pak Samad kritikkan Shahnon itu. Beliau menyembunyikan 'luka'nya dan menanya pendapat saya. Namun saya tahu beliau 'terluka' dengan kritikan itu.

Beberapa tahun kemudian, Shahnon Ahmad menerbitkan SHIT, sebuah buku yang mengutuk Tun Dr Mahathir. Sebelum itu Shahnon menerbitkan 'Sultan Baginda' yang juga menyindir Dr. Mahathir. Akhirnya, menjadi sasterawan Islam, Shahnon menyertai PAS dan bertanding dan menang pada tahun 1999.

Karya Shahnon tidak kedengaran lagi selepas itu. Malah SHIT dan 'Sultan Baginda' juga gagal mengembalikan kecermelangan karya-karya awal Shahnon hingga Allahyarham Tun Abdul Razak pernah memberi julukan kepada Shahnon sebagai 'Victor Hugo' Malaysia.

Menceburi politik adalah kesilapan besar seorang insan seni. Dunia orang politik sangat berbeza dengan dunia insab seni. Walaupun Hegel bersorak kegembiraan apabila tentera Revolusi dibawah Napoleon menang dalam Battle of Jena, namun Hegel tidak pernah menjebakkan dirinya dalam politik. Apa lagi digunakan oleh mereka.

Pak Samad insan seni. Saya mahu mengenangi beliau sebagai penulis agung Malaysia, bukan sebagai seorang tua yang diarak, diberi pengiktirafan palsu selagi sesuai dengan aspirasi mereka,menyertai politik jalanan dan membaca puisi sambil mob yang buta budaya yang mungkin tidak membaca karyanya bersorak kerana sesuai dengan agenda politik mereka.

Nasihat saya kepada Pak Samad, lihatlah Shahnon Ahmad. Dunia mengenangi beliau bukan sebagai insan seni yang pernah menulis Ranjau Sepanjang Jalan tetapi sebagai ahli politik yang tidak bersih(kotor).

Pak Samad adalah khazanah seni negara. Dan saya ingin beliau kekal begitu.

4 comments:

Anonymous said...

Semoga bapak tidak membuat kesilapan pada hujung-hujung usia bapak. Saya mahu terus mengenang bapak dengan ingatan yang baik dan tidak rela bapak diperguna dan diperkudakan oleh manusia-manusia durjana spt mereka:(

Anonymous said...

woo cukup indah surat anda ini. alangkah cantiknya jika ia disiarkan media arus perdana agar ia dapat dibaca semua golongan terutama mereka yang 'malas' membuka blog atau mungkin mereka yang tak tao nak buka blog pon.

Anonymous said...

Kasihan pd pak samad, sebijak2 pak samad mencaturkan watak2 di dalam novelnya, akhirnya dirinya pula menjadi bahan percaturan manusia durjana......kasihan.........

krakatau said...

Pak Samad adalah khazanah seni negara. Dan saya ingin beliau kekal begitu.
Pak Samad sedang dpergunakan.Harap beliau akan berhati hati dengan "rakan" barunya kini.