Dalam bulan puasa ini saya teringatkan seseorang. Dia bukan sanak saudara, bukan juga sahabat handai. Malah saya tidak tahu pun namanya. Sesekali terjumpa, tetapi dia menjadi sesuatu yang saya sering terfikir dalam benak saya.
Lebih kurang sepuluh tahun yang lalu, atau mungkin dalam tahun 1997 saya bekerja di Ampang Point. Lebih tepat lagi pejabat saya di Jalan Memanda, tingkat 3 dibawahnya BSN yang masih wujud hingga sekarang.
Pernah sekali saya mempunyai urusan di BSN. Ketika beratur, dihadapan saya ada seorang lelaki tua Melayu, kulit hitam,rambut keputihan dengan uban dan pakaian yang tidak terurus. Dia hanya berselipar Jepun. Sekali pandang, kita akan tahu dia seorang yang susah dan miskin.
Dia membawa buku Giro dan ingin mengeluarkan duit. Cashier menerangkan kepada beliau, simpanannya hanya ada RM 150, melebihi jumlah yang dia ingin keluarkan. Saya mendengar dia bertanya berapa maksimum dia boleh keluar. Jelas dia memang tidak memahami banyak perkara.
Entah mengapa peristiwa itu menyentuh nurani saya. Saya rasa simpati dengan nasibnya. Dia kelihatan sangat menghibakan. Selepas itu juga saya sering terbayang wajahnya yang hampa kerana tidak dapat mengeluarkan jumlah yang banyak. Ketika berurusan ada ketika dia terbatuk-batuk dan tergigil.
Saya mengesyaki dia hidup sebatang kara dan mungkin wang itu bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat. Ini kerana saya sering ternampak dari kejauhan beliau akan mengeluarkan wang setiap bulan di bank yang sama.
Sesekali sebelum tahun 2000 saya masih akan ternampak dia bergelandangan di sekitar Ampang Point. Seringnya dia hanya berseorangan. Tidak berteman. Dia berjalan dengan hanya menyeret kakinya yang berselipar Jepun. Kadang-kadang terbatuk-batuk dan tergigil. Bajunya sangat kumal dan nampak dia kurang sihat.
Bila terlihat beliau berjalan-jalan tanpa arah saya akan teringatkan dia kemudiannya untuk jangka masa yang agak lama. Akan terbayang kisah hidupnya yang jelas lara walau tanpa diberitahu.
Selepas saya tidak bekerja lagi di Ampang Point, lebih tepat lagi selepas tahun 2000 saya sudah tidak terlihat lagi kelibat dia. Saya masih sering ke Ampang Point, malah agak kerap. Dia masih saya tidak pernah ketemui. Saya sendiri sudah lupa akan kewujudan dia. Ada juga terfikir mungkin dia sudah meninggal dunia.
Dalam tahun ini, lebih kurang 4 bulan lepas, di restoren Pelita Ampang Point saya ternampak semula kelibatnya. Dia seperti dulu lagi, kurus, pakaian tidak terurus, rambut sudah makin banyak keputihan dan terbatuk-batuk. Cuma dia nampak lebih tua dari dulu(sudah hampir 12 tahun).
Saya agak sedikit gembira. Dia masih hidup. Dia sedang membeli makanan di Pelita untuk dibungkus. Mungkin hanya membeli air saya kurang pasti. Saya masih dapat merasakan nasibnya tidak berubah. Atau mungkin lebih sukar.
Teringatkan dia dan nasib malangnya, saya mempunyai dua kesedaran. Selama 12 tahun dari mula saya bertemu dengannya di BSN saya secara peribadi mengalami berbagai nasib. Ada yang mengembirakan. Ada yang menyedihkan. Ada yang terasa sangat perit hidup ini.
Walau apapun nasib saya selama ini, masih ada yang malang, malah jauh lebih malang dari saya sendiri(jika ketika saya dilanda kesusahan). Dan saya berasa bersyukur atas nikmat Allah kurniakan ke atas saya.
Kedua, saya amat kesal kerana langsung tidak cuba membantu dia ketika saya secara kebetulan bertemu dengannya. Sepatutnya, sebagai sesama Islam saya perlu menghulur bantuan setakat yang saya mampu.
Dia bukan seperti sindiket peminta sedekah yang sering berkeliaran. Malah dia tidak pernah cuba meminta sedekah pun. Dia kes kesusahan yang genuine. Dan saya amat tahu dan faham dia susah. Mengapa saya tidak terdorong untuk menghulurkan bantuan?
Dia cuma salah seorang dari beribu-ribu orang susah, merana, sengsara dan tidak dipedulikan oleh kehiruk-pikukan kota raya. Dan saya menjadi salah seorang yang tidak mempunyai masa untuk membantunya. Tenggelam dalam masalah sendiri. Walaupun saya sudah cukup sensitif untuk merasakan kesengsaraannya.
Amat memalukan.
5 comments:
aku pun baru nak cakap..oarang kita memang macam tu..boleh tengok saja laa,lepas tu kata kesiannn..lepas kita nanti pi KFC,PIZZA,MERRY BROWN pekena baik-baik punya...
pelik tetapi benar..kenapa kita malu untuk melakukan kebaikan,aku pun kadang-kadang rasa mcm tu.banyak iktibar dr kisah ni..tq SB.
Utk saudara superstarrajinikanth, saya tak tahu tentang 'org kita'.Saya cuma merasakan saya tidak cukup beramal, walaupun dh sensitif.
dr. todak, memang byk iktibar.
kesengsaraan kepahitan kesusasahan apa pun bersyukur dengan nikmat dari NYA walaupun sedikit...amin
Salam,
kita harus bersyukur apa yang ada.
fikir-fikirkan ada kalangan rakyuat ada yang lagi susah dari kita.
Post a Comment