Followers

Wednesday, August 12, 2009

Menyeberangi Rubicon

Jika kita sering membaca, kita sering terjumpa perkataan 'cross the Rubicon'. Perkataan ini bermaksud kita memutuskan hubungan dengan seseorang atau seperti membakar jambatan dan juga 'berputus arang, berkerat rotan.'

Tidak ada jalan damai lagi. Tidak ada manoeuvre diplomatik lagi. Dengan kata lain, 'cross the Rubicon' ini bermakna tiada lagi jalan penyelesaian melainkan seseorang atau sesuatu itu akan menjadi musuh kepada orang yang mengambil keputusan 'menyeberangi Rubicon.'

Pada 10 Januari, 49B.C, Julius Caesar telah membuat suatu keputusan yang sukar. Dengan hanya mempunyai satu legion(lebih kurang 5000 orang), Caesar membuat keputusan yang paling getir dalam hidupnya iaitu menyeberangi Sungai Rubicon dengan Legio XIII Gemina atau 13th Legion.

Julius Caesar telah menakluk Gaul selama 8 tahun dan menakluk pulau British. Gaul yang digeruni oleh Rom memang dianggap musuh semulajadi Rom. Kebimbangan Rom terhadap ancaman Gaul berakhir bila Caesar berjaya menakluk Gaul yang bertebaran sekitar Perancis dan German moden.

Kejayaan ini dicemburui oleh musuh-musuh politik beliau di Rom. Golongan optimate(bangsawan) Rom memang tidak menyenangi beliau kerana Caesar merupakan musuh Senate. Caesar bersama Crascuss dan Pompey membentuk apa yang sejarahwan namakan '1st Triumvirate' dan bekerjasama dalam melaksanakan agenda politik mereka.

Triumvirate ini menjadi tidak seimbang apabila Crascuss mati ketika menakluk Parthia. Apabila tiadanya Crascuss, Pompey mencemburui kejayaan Caesar. Selama ini Crascuss sentiasa menjadi pengimbang antara dua personaliti kuat Rom ini. Akhirnya, Pompey menyebelahi golongan optimate dan meninggalkan Caesar sebagai sekutu politiknya.

Senate memberi kata dua kepada Caesar. Kembali ke Rom sebagai orang biasa dan membubarkan tentera kerana tempohnya sebagai pro-consul sudah berakhir atau akan diisytihar sebagai penjenayah. Caesar tahu akibat jika beliau kembali ke Rom sebagai orang biasa. Beliau akan dibicarakan kerana sepanjang beliau menjadi pro-consul ketika menakluk Gaul beliau banyak mengenepikan arahan Senate dan bertindak sendiri.

Caesar cuba mengelak dari menyerang Rom. Beliau yang sangat terkenal begitu pantas menyerang musuh-musuhnya membawa hanya satu legion di sempadan Gaul dan Rom iaitu sungai Rubicon.

Caesar cuba cari penyelesaian dengan tidak menumpahkan darah. Melalui wakilnya, Curio, Caesar mencadangkan dia dan Pompey sama-sama membubarkan legion mereka. Sebaliknya, Senate memberi kuasa kepada Pompey untuk menambah lagi 2 legion yang baru direkruit. Ketika Caesar menyerang Rom, Pompey mempunyai 7 legion berbanding dengan Caesar yang hanya membawa 1 legion. Tetapi, dua dari legion Pompey pernah dipinjamkan oleh Pompey kepada Caesar sepanjang penaklukan Gaul dan kesetiaan mereka diragui oleh Pompey.

Saampai dio Rubicon, Caesar teragak-agak samada hendak menyeberangi Rubicon atau tidak. Jika beliau menyebarangi Rubicon, ini bermakna beliau telah menjadi general Rom yang menderhaka kepada Republic Rom. Beliau bukan teragak-agak kerana takutkan 7 legion Pompey. Beliau sangat faham cara berfikir Pompey yang sering ragu-ragu dan sangat berhati-hati.

Setelah puas berhujah dengan dirinya sendiri samada ingin menyeberangi Rubicon dan tercatat dalam sejarah sebagai orang yang menderhakai kesucian republik atau kembali ke Rom dan dibicarakan, akhirnya Caesar mendapat kepastian dia mesti menyelamatkan reputasinya dari diadili dan dibicarakan sebagai penjenayah.

Apabila beliau sudah sangat pasti menyerang Rom hanya satu cara bagi menyelamatkan reputasinya dari diadili oleh senator Rom yang gila kuasa, beliau mengarahkan Legion yang ke 13 menyeberangi Rubicon dan bermula Perang Saudara di Rom yang berlanjutan hingga zaman Augustus Caesar.

Rubicon menjadi lambang sebagai 'titik tolak seseorang itu memutuskan hubungan dan bertekad untuk tidak berbaik lagi dengan sesiapa, institusi dan sebagainya'. Sebelum Caesar menyeberangi Rubicon, beliau yang pasrah kepada perjudiannya menyebut kata-kata ini: "Alea icta est." atau "The die is cast" atau "Takdir sudah ditentukan".

Anehnya, 7 legion Pompey melarikan diri dari 1 legion Caesar. Caesar juga sangat terkenal dengan 'luck' atau 'Fortuna'nya.

Fortune favour the brave.

No comments: