Followers

Monday, August 31, 2009

August

Bulan Ogos akan meninggalkan kita. Bagi orang Malasyia, 31 Ogos merupakan tarikh keramat kerana ianya hari Malaysia dimerdekakan dari penjajah British.

Ogos merupakan bulan ke lapan dalam kalender yang telah di reform oleh Julius Caesar dan dipakai hingga ke hari ini. Sebagai diktator Rom, Julius Caesar telah menambah dua bulan dalam setahun dan mengurangkan bulan Februari kepada 28 hari, dan tahun lompat selama empat tahun ada hari ke 29.

Julius Caesar juga menambah hari ke 31 pada bulan kelahirannya, Julai. Apabila cucu saudaranya, Octavius Caesar menjadi maharaja Rom, beliau pula menambah hari ke 31 dalam bulan kelahirannya iaitu bulan Ogos untuk menyamai kemasyuran datuk saudaranya.

Ketika Octavius Caesar berumur 35 tahun dan senate menjadikannya Maharaja Rom, baginda dikenali dengan nama Augustus Caesar. Augustus atau 'August' bermakna 'the venerable' atau 'the majestic'.

Baginda juga menamakan bulan kelahirannya sebagai 'August' yang bererti 'the venerable' dan 'the majesctic'. Maka muncul bulan August dalam kalendar yang direform oleh Julius Caesar dan digunakan hingga ke hari ini.

Merdeka

Saya antara yang lahir selepas 1957. Ini bermakna, saya juga termasuk dalam golongan 'generation gap' yang diperkatakan oleh Tun Dr. Mahathir. Saya tidak merasa jerih payah bapa-bapa kemerdekaan kita memperjuangkan kemerdekaan dari penjajah British.

Namu saya sayangkan Malaysia. Di sini saya dilahirkan. Di sini saya dibesarkan. Jika apa-apa berlaku kepada tanahair tercinta ini iaitu Malaysia, saya tidak mempunyai tempat lain yang sedarah dan sedaging dengan saya. Hanya Malaysia tanahair saya dan tidak pernah terbetik untuk saya berhijrah ke mana-mana jika sesuatu menimpa Malaysia.

Malaysia adalah hak orang Melayu, orang Asli dan bumiputera. Janganlah kita malu-malu mengakuinya. Kaum yang mendatang tetap warganegara Malaysia dan mempunyai segala hak yang sama dengan penduduk asal - kecuali keistimewaan sebagai penduduk asal.

Kita bernasib baik kerana tentera-tentera dan polis-polis mengawal keselamatan penduduk negara yang kita punyai. Tidak seperti bapa-bapa kita, termasuk Leftenan Adnan, yang bermatian-matian memertahankan tanahair milik nenek moyang kita, tetapi mempertahankan kepentingan ekonomi orang British yang memiliki ladang-ladang dan estet-estet.

Apa pun hala tuju bangsa kita, Malaysia milik kita. Dan kita bangga dilahirkan merdeka dan mempunyai jiwa merdeka. Selamat hari Kemerdekaan yang ke 52.

Hidup Melayu! Hidup Melayu Hidup Melayu!

Saturday, August 29, 2009

Renungan

Selepas wafat Rasulullah, umum mengetahui Abu Bakar Al Sidiq r.a menjadi Khalifah. Pada asalnya, khalifah bererti 'successor' atau 'penerus'. Selepas Rasulullah, tiada nabi lagi kerana baginda S.A.W merupakan nabi akhir zaman. Umat Islam tetap memerlukan pemimpin dan dikalangan sahabat rapat baginda terlantiknya Khalifah.

Cabaran utama Khalifah Abu Bakar adalah memerangi orang murtad, nabi palsu dan orang yang tidak mahu membayar zakat. Umar r.a merupakan penasihat Khalifah Abu Bakar. Umar sangat terkenal sebagai seorang yang tegas tiada tandingan. Pemikirannya juga sangat tajam.

Anehnya, dalam hal memerangi orang Islam yang enggan membayar zakat, Umar r.a menasihati Abu Bakar supaya berlembut sedikit dengan mereka kerana Islam masih baru. Umar r.a bimbang ramai lagi yang akan murtad jika terlalu keras dengan mereka.

Abu Bakar r.a yang dianggap lembut pula ironiknya sangat tegas dalam segala hal melibatkan polisi baginda S.A.W sebelum baginda wafat. Khalifah Abu Bakar sangat marah dengan cadangan Umar dan mengatakan tiada undang-undang yang diubah apatah lagi baginda S.A.W baru wafat.

Oleh kerana Khalifah Abu Bakar merupakan Amirul Mukminin, sudah tentu perintah beliau terpakai. Namun demikian, masih ada yang menarik dalam cerita ini.

Umar Al-Khattab terkenal tegas dan tajam pemikirannya. Dalam satu peristiwa melibatkan tawanan perang kafir Quraish samada perlu dibebaskan, minta tebusan atau dihukum bunuh sahaja, Umar memberi pandangan mereka perlu dihukum bunuh kerana jelas menentang Islam

Dalam soal ini, Rasulullah sebagai rasul mengambil keputusan membebaskan mereka yang membayar tebusan. Turun wahyu kemudiannya yang menegur baginda dan menyetujui pandangan Umar r.a. bahawasanya kafir tawanan perang yang memudaratkan Islam perlu di hukum bunuh.

Zakat memang salah satu dari rukun Islam. Kesanggupan Umar r.a memberi nasihat demikian kepada Khalifah menampakkan beliau seorang yang berpandangan jauh. Sebagai seorang yang tegas, Umar berani menggunakan ijtihadnya jika dari segi keseluruhannya menyelamatkan Islam. Andaikata jika masalah timbul dizaman beliau sebagai khalifah, saya percaya beliau akan melaksanakan nasihat itu jika sesuai dengan zamannya.

Apa yang hendak saya nyatakan di sini adalah berkaitan dengan masalah hukuman rotan yang dikenakan kepada Kartika. Memang arak minuman yang diharamkan dalam Al-Quran. Dalam Quran, tiada hukuman khusus yang ditetapkan untuk orang yang meminum arak. Hukuman sebat sebanyak 40 atau 80 kali merupakan konvesion ulama atau qadi yang dilantik oleh pihak penguasa ketika itu.

Saya tahu isu ini jadi debat hangat dikalangan blogger dan juga umat Islam di Malaysia. Dunia juga ternanti-nanti samada ia benar-benar dilakukan atau tidak. Dari satu segi, hukuman ini jika tetap dijalankan akan memberi imej yang tidak baik kepada Malaysia sebagai negara Islam yang maju. Kita juga tahu bagaimana 'electronic herd' akan menghukum negara yang mereka anggap'barbarian'.

Jika Umar r.a boleh menasihati Khalifah Abu Bakar supaya tidak memerangi orang yang tidak membayar zakat, sedangkan zakat merupakan rukun Islam, mengapa dizaman moden ini kita tidak boleh fikirkan sesuatu hukuman yang lebih civilised dalam soal minum arak.

Saya tidak menyokong peminum arak, jauh sekali menggalakkannya.

Namun hukuman yang tidak konsisten, tiada mantik dan tiada jurisprudence merupakan bukan undang-undang. Islam mementingkan keadilan. Begitu ramai peminum arak Islam dikhalayak ramai, mengapa Kartika menjadi kambing korban?

Apa yang hakim itu cuba buktikan? Adakah kita menjadi negeri atau negara lebih Islamnya dengan merotan seorang perempuan meminum arak. Dan mengapa hanya Kartika sedang ramai yang lain melakukan? Berlaku adilkah kita jika mengamalkan sikap pilih kasih sedang dalam Islam semua orang setaraf tanpa mengira raja, menteri atau orang besar.

Dan kita akan terkejut jika kita kaji, kebanyakkan hukuman dalam soal haram tiada peruntukkan dalam Quran. Quran mengatakan haram kecuali kepada beberapa perkara yang disediakan hukuman seperti zina yang jelas dinyatakan perlu direjam dengan batu dan dirotan.

Sebahgian besar hukuman hanya dijatuhkan dengan berdasarkan budi bicara qadi atau wakil pemerintah ketika zaman silam. Dan budi bicara ini sangat merbahaya kerana tidak berpandukan logik, common sense, rules of law dan common law.

Kita ambil lagi contoh, ketika zaman Umar r.a, seseorang tertangkap kerana didapati mencuri. Umar r.a menyiasat kejadian itu dan tidak terus secara automatik memotong tangan orang berkenaan kerana dia mencuri disebabkan oleh gaji yang terlalu kecil diberikan oleh majikannya. Jika hakim itu tidak sebijaksana Umar, mungkin ramai orang Islam yang kudung tangannya.

Janganlah ulama kita cuba menjadi seperti Spanish Inquisitor ketika zaman gelap di Eropah. Dengan hanya menuduh seseorang itu pengamal sihir, dengan tiada sistem perundangan yang kemas dan terlalu banyak kuasa budi bicara paderi, begitu ramai orang-orang Kristian yang tidak bersalah dibakar ketika melakukan 'witchhunt'.

Islam bukan agama kejam. Disebalik segala hukuman dan tindakan, tolenransi merupakan kebijaksanaan dan oleh itu, Umar r.a termaktub sebagai Khalifah Islam yang paling dikagumi walaupun oleh Barat sendiri.

Islam itu adil dan adil itu Islam.

Friday, August 28, 2009

Siapakah Dia?

Dalam bulan puasa ini saya teringatkan seseorang. Dia bukan sanak saudara, bukan juga sahabat handai. Malah saya tidak tahu pun namanya. Sesekali terjumpa, tetapi dia menjadi sesuatu yang saya sering terfikir dalam benak saya.

Lebih kurang sepuluh tahun yang lalu, atau mungkin dalam tahun 1997 saya bekerja di Ampang Point. Lebih tepat lagi pejabat saya di Jalan Memanda, tingkat 3 dibawahnya BSN yang masih wujud hingga sekarang.

Pernah sekali saya mempunyai urusan di BSN. Ketika beratur, dihadapan saya ada seorang lelaki tua Melayu, kulit hitam,rambut keputihan dengan uban dan pakaian yang tidak terurus. Dia hanya berselipar Jepun. Sekali pandang, kita akan tahu dia seorang yang susah dan miskin.

Dia membawa buku Giro dan ingin mengeluarkan duit. Cashier menerangkan kepada beliau, simpanannya hanya ada RM 150, melebihi jumlah yang dia ingin keluarkan. Saya mendengar dia bertanya berapa maksimum dia boleh keluar. Jelas dia memang tidak memahami banyak perkara.

Entah mengapa peristiwa itu menyentuh nurani saya. Saya rasa simpati dengan nasibnya. Dia kelihatan sangat menghibakan. Selepas itu juga saya sering terbayang wajahnya yang hampa kerana tidak dapat mengeluarkan jumlah yang banyak. Ketika berurusan ada ketika dia terbatuk-batuk dan tergigil.

Saya mengesyaki dia hidup sebatang kara dan mungkin wang itu bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat. Ini kerana saya sering ternampak dari kejauhan beliau akan mengeluarkan wang setiap bulan di bank yang sama.

Sesekali sebelum tahun 2000 saya masih akan ternampak dia bergelandangan di sekitar Ampang Point. Seringnya dia hanya berseorangan. Tidak berteman. Dia berjalan dengan hanya menyeret kakinya yang berselipar Jepun. Kadang-kadang terbatuk-batuk dan tergigil. Bajunya sangat kumal dan nampak dia kurang sihat.

Bila terlihat beliau berjalan-jalan tanpa arah saya akan teringatkan dia kemudiannya untuk jangka masa yang agak lama. Akan terbayang kisah hidupnya yang jelas lara walau tanpa diberitahu.

Selepas saya tidak bekerja lagi di Ampang Point, lebih tepat lagi selepas tahun 2000 saya sudah tidak terlihat lagi kelibat dia. Saya masih sering ke Ampang Point, malah agak kerap. Dia masih saya tidak pernah ketemui. Saya sendiri sudah lupa akan kewujudan dia. Ada juga terfikir mungkin dia sudah meninggal dunia.

Dalam tahun ini, lebih kurang 4 bulan lepas, di restoren Pelita Ampang Point saya ternampak semula kelibatnya. Dia seperti dulu lagi, kurus, pakaian tidak terurus, rambut sudah makin banyak keputihan dan terbatuk-batuk. Cuma dia nampak lebih tua dari dulu(sudah hampir 12 tahun).

Saya agak sedikit gembira. Dia masih hidup. Dia sedang membeli makanan di Pelita untuk dibungkus. Mungkin hanya membeli air saya kurang pasti. Saya masih dapat merasakan nasibnya tidak berubah. Atau mungkin lebih sukar.

Teringatkan dia dan nasib malangnya, saya mempunyai dua kesedaran. Selama 12 tahun dari mula saya bertemu dengannya di BSN saya secara peribadi mengalami berbagai nasib. Ada yang mengembirakan. Ada yang menyedihkan. Ada yang terasa sangat perit hidup ini.

Walau apapun nasib saya selama ini, masih ada yang malang, malah jauh lebih malang dari saya sendiri(jika ketika saya dilanda kesusahan). Dan saya berasa bersyukur atas nikmat Allah kurniakan ke atas saya.

Kedua, saya amat kesal kerana langsung tidak cuba membantu dia ketika saya secara kebetulan bertemu dengannya. Sepatutnya, sebagai sesama Islam saya perlu menghulur bantuan setakat yang saya mampu.

Dia bukan seperti sindiket peminta sedekah yang sering berkeliaran. Malah dia tidak pernah cuba meminta sedekah pun. Dia kes kesusahan yang genuine. Dan saya amat tahu dan faham dia susah. Mengapa saya tidak terdorong untuk menghulurkan bantuan?

Dia cuma salah seorang dari beribu-ribu orang susah, merana, sengsara dan tidak dipedulikan oleh kehiruk-pikukan kota raya. Dan saya menjadi salah seorang yang tidak mempunyai masa untuk membantunya. Tenggelam dalam masalah sendiri. Walaupun saya sudah cukup sensitif untuk merasakan kesengsaraannya.

Amat memalukan.

Tuesday, August 25, 2009

Trading Places Bahagian 2

Saya pernah menulis dibawah tajuk 'Trading Places' dahulu. 'Trading Places' dahulu adalah pertukaran peranan antara pembangkang dan kerajaan seperti di Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Perak(ketika itu) yang mana kedua-dua pihak masih kekok dengan peranan baru masing-masing.

Pada posting ini, saya masih berminat dalam hal 'pertukaran tempat'. Pada dekad ini, nampak sangat penyokong lagi matang dari pemimpin. Jika dahulu, penyokong mengharapkan kematangan pemimpin untuk memimpin mereka, tetapi kini sudah bertukar. Sesetengah tindakan, penyokong jauh lebih matang dari pemimpin.

Sementara pemimpin bergelut dengan ego dan fahaman yang sempit, penyokong pula ramai yang lebih rasioanal dan boleh berbincang.

Saya merujuk kepada isu EXCO Kerajaan negeri Kedah iaitu saudara Mohd Radzhi Salleh. Beliau mengumumkan keluar dari PKR kerana menyifatkan parti berkenaan sudah lari dari matlamat perjuangan asalnya.

Ramai penyokong PKR melabelkan beliau sebagai 'boleh dibeli' atau 'sudah dibeli'. Rakan seperjuangan beliau, YB Zulkifli Nordin pula dengan tenang menulis dalam blognya supaya jangan lekas menghukum keputusan rakannya. Walaupun YB Zulkifli masih dalam PKR, beliau faham masalah YB Mohd Radhzi adalah kerana prinsip.

Kedua-dua mereka - YB Radhzi dan YB Zulkifli - merupakan 'rare commodity'. Dalam dunia orang mementingkan pangkat dan darjat, masih ada Melayu - tanpa mengira parti - yang memikirkan kepentingan Melayu lebih dari kepentingan peribadi.

YB Radzhi sangat bimbang melihat perpecahan Melayu sejak keputusan pilihanraya Mac 2008. Beliau antara EXCO yang tidak senang hati melihat sikap biadap wakil tunggal DAP yang memprotes penutupan kandang babi di Kedah. Jelas, walau PKR merupakan parti multi-race, tetapi semangat Melayu sesetengah mereka sangat kuat, malah lebih kuat dari pemimpin mereka Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sanggup berbuat apa saja untuk mendapat kuasa.

Menurut YB Zulkifli Nordin lagi, mereka berdua mempunyai cita-cita untuk melihat perpaduan Melayu yang mana mereka mahu pemimpin Melayu seperti Nik Aziz, Datuk Seri Anwar dan Pak Lah(ketika itu) boleh berbincang demi kepentingan Melayu.

Malang bagi kita, kedua mereka hanya pengikut dan bukan pemimpin tertinggi parti masing-masing. Saya namakan posting ini 'Trading Places' kerana bandingkan pemikiran mereka dengan pemikiran pemimpin mereka.

Datuk Seri Anwar memang jelas tidak mahu berkompromi dengan sesiapa pun jika hasrat beliau untuk menjadi PM tidak dapat dicapai. Bagi beliau, semuanya -kepentingan Melayu, keadilan,rakyat miskin, ABIM bahkan perjuangan Islam- hanya alat bagi beliau untuk mendapat kuasa. KUASA dan hanya KUASA mengisi makna kewujudan beliau.

'Tok Guru' Nik Aziz juga demikian. Ketika cakap-cakap bawahan beliau minta ada perundingan dengan UMNO, beliau menolak sama sekali. Beliau pemimpin Islam yang menolak berbincang dengan saudara seIslam dan sebangsa. Malah DAP lebih Islam dari kaca mata beliau. Beliau sanggup 'cross the Rubicon' dengan UMNO.

Kita amat berharap, kematangan yang dimiliki oleh Nasharudin Mat Isa, Zulkifli Nordin dan Mohd Radzhi Salleh itu ada pada pemimpin Melayu seperti Anwar Ibrahim dan Nik Aziz. Namun, harap hanya tinggal harap kerana pengikut jauh lebih matang dari pemimpin.

Ini realiti politik masa ini.

"An army of lions, led by a stag, would never be an army of lions."
-Napoleon Bonaparte.

Saturday, August 22, 2009

Cult

Ketika sedang sibuk menunggu berbuka puasa, saya membaca buku "World Famous Dictators' nukilan Ian Schott. Buku ini amat ringan bagi standard saya, malah terdapat beberapa fakta yang bias dan meragukan. Walaubagaimanapun, ia agak menghiburkan.

Apabila terbaca tentang Hitler, saya teringat kegilaan beberapa pemimpin, di Asia terutamanya, mencipta cult mereka. Saya dapati, pemimpin yang mementingkan kejayaan berdasarkan 'result oriented' tidak mementingkan cult mereka. Mereka mempimpin dengan wawasan dan membawa pengikut mereka menuju ke wawasan mereka.

Hitler merupakan seorang pemimpin German yang muncul ketika German baru tewas dalam Perang Dunia Pertama dan German dimalukan dengan 'Perjanjian Versailles'. Ramai rakyat German marah dan putus harapan dengan 'Perjanjian Versailles' yang terlalu menekan.

Di saat manusia terlalu kecewa dan putus harapan, jika muncul pemimpin seperti Hitler, yang mana menyentuh nurani dan batin jiwa bangsa yang tewas ini, beliau diterima tanpa bantahan. Beliau dianggap saviour atau penyelamat. Hitler pula bijak memainkan psikologi massa dan logik serta fikiran waras diketepikan.

Hitler memang seorang genius politik tetapi kemusnahan yang dibawa oleh beliau kepada rakyat German amat menakutkan. Malangnya, dari bermula sejarah NAZI yang mana Hitler mencipta cultnya sebagai penyelamat German hingga beliau membunuh diri disaat German hampir tewas, tiada siapa yang berani membantah keputusan gila Hitler. Ini semua kerana cult yang beliau cipta bahwa beliau adalah penyelamat German yang dihantar oleh sesuatu yang 'divine'.

Di Malaysia ini ada ramai juga pemimpin yang suka mencipta cult mereka. Mereka suka dipuja-puja dan dianggap sentiasa betul dan mendapat pertolongan 'ghaib' atau 'divine'.

Bila kita berhadapan dengan cult seseorang personaliti, kita akan lupa kita berurusan dengan manusia biasa yang cenderung membuat kesilapan. Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebagai hero pemimpin pergerakan pelajar mendapat 'cult'nya sebagai wira baru dunia Islam dan pembela rakyat miskin.

Kita lupa hakikat beliau cuma pelajar Pengajian Melayu yang tidak cemerlang dalam akedemik dan hanya pandai bercakap. Sejak beliau memasuki kabinet, tidak ada apa-apa yang hebat beliau laksanakan kecuali teori-teori yang tidak berasas. Tetapi, kerana dek kepandaian beliau mencipta cult beliau sebagai pejuang Islam(moden), insan kamil lagi mutakamil, kebanyakkan penyokong lupa kelemahan beliau.

Beliau dipuja dan hampir tiada cacat celanya hingga beliau dipecat dari UMNO.

Pernah Malaysia sendiri mempunyai sebuah gerakan bertopengkan Islam dan mencipta cult mereka juga. Gerakan Al-Arqam yang memuja-muja Abu Ya iaitu Ashaari Muhamad sebagai kononnya mujadid abad ke 15. Gerakan ini mendapat sambutan dari golongan bawahan hingga peringkat elit atau 'the cream of society' seperti Professor dan golongan profesional. Malah, 'the cream' pun tidak dapat berfikir waras.

Kerajaan mengharamkan Al-Arqam kerana ajaran mereka mengamalkan 'Aurad Muhamadiyah' yang memang terang-terang bertentangan dengan akidah Islam. Namun, cult Ashaari Muhammad tetap pernah mewarnai kegiatan Islam di Malaysia.

Sekarang dalam PAS, cult Tok Guru Nik Aziz sangat kuat. Apabila beliau mengatakan seseorang itu tidak Islam, maka sebahagian besar pengikut beliau akan mengatakan hal yang sama. Sebahagian umat Islam yang terlalu menyanjung dan mendewa-dewakan individu ini juga akan mengenepikan fikiran waras kerana taksub dengan cult 'Tok Guru'.

Akhir sekali, saya teringat kata-kata Imam Maliki: "Dalam Islam, tiada siapa yang pendapatnya tidak boleh disangkal kecuali orang suci dalam makam itu."

Beliau merujuk kepada baginda S.A.W

Dan seperti kata Abu Bakar Al-Siddiq ketika umat Islam panik mendengar rasulullah wafat; "Jika kamu sembah Muhamad, Muhamad akan mati, tetapi jika kamu sembah Allah, Allah kekal buat selamanya."

Jelas Islam tidak mempunyai cult dan menentang pemimpin yang suka di dewa-dewakan.

Ramadhan.

Ramadhan datang lagi.Seperti tahun-tahu yang sudah, Ramadhan yang mulia telah tiba. Umat Islam seluruh dunia akan berubah sedikit rutinnya. Bangun bersahur dan berkumpul maghrib untuk berbuka puasa bersama-sama keluarga.

Pasar Ramadhan juga banyak dibuka. Begitu meriah pemandangan sebelum kedengaran azan maghrib menandakan tamat waktu berpuasa dan tiba waktu solat maghrib.

Malam akan penuh jemaah masjid untuk menunaikan solat tarawih. Semuanya akan berlangsung selama sebulan. Umat Islam akan berjuang menahan nafsu pada siang hari. Bukan hanya makan dan minum, malah berbagai-bagai nafsu.

Bulan ini bulan yang penting buat kurma, murtabak dan berbagai juadah. Makanan yang kurang mendapat sambutan tiba-tiba menjadi keutamaan. Bubur lambuk Kg Bharu merupakan kemestian di Malaysia.

Pada bulan yang mulia ini, kurangkan umpat mengumpat dan kata mengata. Tumpukan pada puasa dan ibadat. Jika malas sangat, tidur lebih baik dari bercakap.

Saya memohon maaf kepada semua rakan dan sahabat dan kenalan semperna bulan Ramadhan ini atas kesilapan saya sebagai manusia biasa. Dan saya juga mengucapkan selamat berpuasa kepada seluruh umat Islam di Malaysia khasnya dan didunia ini.

Puasa merupakan amalan para nabi sebelum Rasulullah S.A.W. Dan diwajipakan juga ke atas kita umat yang terkemudian.

Salam.

Monday, August 17, 2009

Cermin

Maharaja Jepun mempunyai 3 lambang kebesaran: cermin, permata dan pedang. Dalam ketiga-tiga lambang kebesaran ini, cermin yang paling dimuliakan. Mengapa cermin?

Jika kita lihat sejarah Jepun, mereka merupakan bangsa yang paling cepat adapt dan berinteraksi dengan peristiwa. Pada zaman dinasti Tang, Jepun meniru kebudayaan China kerana Dinasti Tang merupakan tamadun paling maju ketika itu.

Ketika 'mahaguru' Jepun iaitu China dianggap sebagai 'Orang Sakit Asia' selepas Perang Candu dan berbagai reformasi seperti 'Pemberontakan Taiping', 'Pemberontakan Boxer' dan 'Gerakan Menguatkan Diri', Jepun meninggalkan China dan mula berkiblat ke Barat.

Pada tahun 1800an, Comander Perry memasuki pelabuhan Jepun dengan kapal wapnya, dan selama 250 tahun Jepun dibawah Keshogunan Tokugawa memencilkan diri sedar mereka sudah jauh ketinggallan. Dengan jayanya, berlaku revolusi yang menumbangkan kuasa samurai dan shogun. Mereka mengembalikan kuasa Maharaja dan membuat reformasi di bawah pemerintahan 'Meiji'.

Jepun mengejar Barat selama 45 tahun sahaja sedangkan Barat mengambil masa selama 150 tahun mencipta peradaban mereka.

Selepas Perang Dunia Kedua, Jepun sebagai bangsa yang kalah dianggap tidak mampu bangkit lagi. Amerika menduduki Jepun dan memecah-mecah korporat Jepun supaya gagal bersaing. Sebaliknya, Jepun menjadi negara kedua pertumbuhan ekonomi paling pesat selepas Amerika sendiri, mengalahkan Great Britain dan Soviet sebagai pemenang.

Apakah rahsia Jepun? Jawapannya adalah cermin. Cermin yang dianggap alat kebesaran Maharaja Jepun yang paling suci, mengatasi pedang dan permata. Cermin adalah sikap dan peribadi Jepun sebagai bangsa yang selalu mengalami proses 'self-renewal'.

Kejayaan Jepun kerana cermin merupakan perlambangan betapa pragmatiknya mereka. Mereka tidak jumud dengan pengaruh agama(Shinto dan Buddha), tidak jumud dengan tatasusila feudal, walaupun Bushido - kod kepahlawanan samurai Jepun telah mendominasikan peribadi bangsa Jepun selama 1000 tahun dari era Kamakura hingga berakhirnya Keshogunan Tokugawa. Malah mereka akan membuang segala jenis kepercayaan untuk menjadi rasional dan saintifik.

Cermin adalah muhasabah diri. Tidak salah kalah dan gagal. Bila kita melihat kejujuran cermin dan kelemahan peribadi dan bangsa kita, kita perlu tahu apa yang perlu diubah. Jumud adalah kelemahan orang Melayu juga. Terlalu meyakini susila kita betul dan tidak perlu diubah. Terlalu meyakini ajaran 'Tok Guru' itu betul dan tidak perlu pemikiran mantik dan rasioanal.

Jika cermin sudah memantulkan imej kejujuran bangsa Melayu masih lemah dan bobrok, maka perlulah diubah sikap dan cara yang tepat. Melayu sudah sampai masa kena bersikap pragmatik seperti bangsa Jepun.

Cermin-cerminlah.

Wednesday, August 12, 2009

Menyeberangi Rubicon

Jika kita sering membaca, kita sering terjumpa perkataan 'cross the Rubicon'. Perkataan ini bermaksud kita memutuskan hubungan dengan seseorang atau seperti membakar jambatan dan juga 'berputus arang, berkerat rotan.'

Tidak ada jalan damai lagi. Tidak ada manoeuvre diplomatik lagi. Dengan kata lain, 'cross the Rubicon' ini bermakna tiada lagi jalan penyelesaian melainkan seseorang atau sesuatu itu akan menjadi musuh kepada orang yang mengambil keputusan 'menyeberangi Rubicon.'

Pada 10 Januari, 49B.C, Julius Caesar telah membuat suatu keputusan yang sukar. Dengan hanya mempunyai satu legion(lebih kurang 5000 orang), Caesar membuat keputusan yang paling getir dalam hidupnya iaitu menyeberangi Sungai Rubicon dengan Legio XIII Gemina atau 13th Legion.

Julius Caesar telah menakluk Gaul selama 8 tahun dan menakluk pulau British. Gaul yang digeruni oleh Rom memang dianggap musuh semulajadi Rom. Kebimbangan Rom terhadap ancaman Gaul berakhir bila Caesar berjaya menakluk Gaul yang bertebaran sekitar Perancis dan German moden.

Kejayaan ini dicemburui oleh musuh-musuh politik beliau di Rom. Golongan optimate(bangsawan) Rom memang tidak menyenangi beliau kerana Caesar merupakan musuh Senate. Caesar bersama Crascuss dan Pompey membentuk apa yang sejarahwan namakan '1st Triumvirate' dan bekerjasama dalam melaksanakan agenda politik mereka.

Triumvirate ini menjadi tidak seimbang apabila Crascuss mati ketika menakluk Parthia. Apabila tiadanya Crascuss, Pompey mencemburui kejayaan Caesar. Selama ini Crascuss sentiasa menjadi pengimbang antara dua personaliti kuat Rom ini. Akhirnya, Pompey menyebelahi golongan optimate dan meninggalkan Caesar sebagai sekutu politiknya.

Senate memberi kata dua kepada Caesar. Kembali ke Rom sebagai orang biasa dan membubarkan tentera kerana tempohnya sebagai pro-consul sudah berakhir atau akan diisytihar sebagai penjenayah. Caesar tahu akibat jika beliau kembali ke Rom sebagai orang biasa. Beliau akan dibicarakan kerana sepanjang beliau menjadi pro-consul ketika menakluk Gaul beliau banyak mengenepikan arahan Senate dan bertindak sendiri.

Caesar cuba mengelak dari menyerang Rom. Beliau yang sangat terkenal begitu pantas menyerang musuh-musuhnya membawa hanya satu legion di sempadan Gaul dan Rom iaitu sungai Rubicon.

Caesar cuba cari penyelesaian dengan tidak menumpahkan darah. Melalui wakilnya, Curio, Caesar mencadangkan dia dan Pompey sama-sama membubarkan legion mereka. Sebaliknya, Senate memberi kuasa kepada Pompey untuk menambah lagi 2 legion yang baru direkruit. Ketika Caesar menyerang Rom, Pompey mempunyai 7 legion berbanding dengan Caesar yang hanya membawa 1 legion. Tetapi, dua dari legion Pompey pernah dipinjamkan oleh Pompey kepada Caesar sepanjang penaklukan Gaul dan kesetiaan mereka diragui oleh Pompey.

Saampai dio Rubicon, Caesar teragak-agak samada hendak menyeberangi Rubicon atau tidak. Jika beliau menyebarangi Rubicon, ini bermakna beliau telah menjadi general Rom yang menderhaka kepada Republic Rom. Beliau bukan teragak-agak kerana takutkan 7 legion Pompey. Beliau sangat faham cara berfikir Pompey yang sering ragu-ragu dan sangat berhati-hati.

Setelah puas berhujah dengan dirinya sendiri samada ingin menyeberangi Rubicon dan tercatat dalam sejarah sebagai orang yang menderhakai kesucian republik atau kembali ke Rom dan dibicarakan, akhirnya Caesar mendapat kepastian dia mesti menyelamatkan reputasinya dari diadili dan dibicarakan sebagai penjenayah.

Apabila beliau sudah sangat pasti menyerang Rom hanya satu cara bagi menyelamatkan reputasinya dari diadili oleh senator Rom yang gila kuasa, beliau mengarahkan Legion yang ke 13 menyeberangi Rubicon dan bermula Perang Saudara di Rom yang berlanjutan hingga zaman Augustus Caesar.

Rubicon menjadi lambang sebagai 'titik tolak seseorang itu memutuskan hubungan dan bertekad untuk tidak berbaik lagi dengan sesiapa, institusi dan sebagainya'. Sebelum Caesar menyeberangi Rubicon, beliau yang pasrah kepada perjudiannya menyebut kata-kata ini: "Alea icta est." atau "The die is cast" atau "Takdir sudah ditentukan".

Anehnya, 7 legion Pompey melarikan diri dari 1 legion Caesar. Caesar juga sangat terkenal dengan 'luck' atau 'Fortuna'nya.

Fortune favour the brave.

Tuesday, August 11, 2009

Menyusu Kera Di Hutan

Dalam satu perjumpaan Wacana 1Malaysia, dianjur oleh GEMPITA, seorang pensyarah dari sebuah universiti tempatan bertanyakan Tun Dr. Mahathir tentang apa pandangan kaum bukan Melayu terhadap dasar affirmative action yang diambil oleh kerajaan.

Perkataan yang beliau gunakan adalah, "put Tun in their shoe" yang maknanya minta Tun Dr. Mahathir membayangkan jika Tun menjadi kaum bukan Melayu, apa perasaaan Tun terhadap dasar 'diskriminasi' yang dilaksanakan oleh kerajaan yang seolah-olah menafikan hak kaum bukan Melayu.

Pensyarah berkenaan seorang Melayu. Dalam blog saudara Keyrodin, seseorang - juga Melayu - telah menyifatkan kata-kata yang saya petik dari Al-Marhum Tunku Abd. Rahman di dalam blog saya ini 'tidak relevan dengan zaman dan sesuai untuk tahun 1956.

Saya cukup hairan bagaimana bangsa kita berfikir. Dalam keadaan Melayu masih ramai yang ketinggalan, daif dan tidak menguasai ekonomi dibumi warisan nenek moyang mereka, masih ramai Melayu yang bersimpati dengan kaum lain sedangkan kaum mereka sendiri masih ramai yang perlu dibela.

Saya tidak hairan jika pemerintah melakukan sedikit 'concenssion' demi untuk mengekalkan kuasa dan menjadi popular kerana itu 'survival' parti-parti tertentu, tetapi jika rakyat biasa Melayu menjadi sympathizer kepada perjuangan kaum lain, memang ada yang tidak kena dengan jati diri bangsa kita.

Kaum Cina menguasai ekonomi, mempunyai monopoli dalam perjudian, penjualan arak dan hiburan dan ini bukan calang-calang industri. Jika kerajaan melindungi beberapa peluang perniagaan kepada bangsa Melayu, saya hairan jika orang Melayu sendiri minta kita memikirkan perasaan kaum lain.

Bahkan sifat yang terlalu apologetic bangsa Melayu amat menghibakan. Tolenrasi yang tidak berkesudahan, menyusu kera di hutan anak dirumah mati kelaparan, dagang lalu ditanak diambil kesempatan oleh kaum lain yang dapat menghidu kelemahan bangsa Melayu. Dan bukan satu kebetulan jika mereka berani meminta hak kita untuk sama rata atas nama liberalisasi, malah sudah berani mempersoalkan hak-hak istimewa penduduk asal Tanah Melayu.

Mereka tahu, sebahagian besar bangsa Melayu sendiri sangat bersimpati dengan mereka. Cuba bayangkan jika kita yang berhijrah ke negera China atau India, dapatkah kita simpati mereka? Mereka tidak ada masa untuk bersimpati sesama bangsa mereka lagi, apatah lagi bersimpati dengan nasib kaum pendatang.

Sedarlah kita sebelum terlewat.

Friday, August 7, 2009

Rashomon


Saya peminat Akira Kurosawa. Beliau merupakan director filem Jepun yang terkenal dan menurut Zhao Yimao(director 'The Rise of Red Lantern) Kurosawa merupakan 'world famous 'dashi' atau mahaguru dunia perfileman.

Di Barat sendiri, beliau merupakan role model kepada George Lucas(Star Wars) dan Francis Ford Coppolla(The Godfather). George Lucas yang terlalu mengkagumi Kurosawa telah menamakan salah satu studionya sebagai 'Akira Studio'. Sementara Francis Ford Coppolla pernah membiayai salah satu Filem Kurosawa ketika beliau dalam kesempitan kewangan.

Antara filemnya yang terkenal adalah 'Seven Samurai' yang diberi versi Hollywood sebagai 'Magnificent Seven'. Maka muncullah genre di Hollywood yang dikenali dengan nama 'spagetthi western' yang mana hero tanpa nama mengembara gelandangan seperti 'Fistfull of Dollars' lakonan Clint Eastwood yang meniru plot 'Yojimbo'. Yojimbo lagi sekali difilemkan sebagai 'Last Man Standing' lakonan Bruce Willis.

Salah satu filemnya yang terkenal dan sekaligus menaikkan nama beliau peringkat antarabangsa adalah filem 'Rashomon.' Seperkara yang menarik tentang Rashomon adalah setiap orang akan bercerita, malah mempercayai sungguh-sungguh cerita mereka, melalui sudut pandangan masing-masing.

Filem bermula apabila seorang petani terjumpa samurai mati dibunuh. Dalam perbicaraan, diceritakan dari sudut pandangan petani, penjahat yang merogol dan membunuh samurai, isteri samurai yang dibunuh dan akhirnya, melalui bomoh, samurai yang mati itu sendiri.

Semua watak mempertahankan diri masing-masing. Di akhir cerita, sampai sudah kita tidak tahu apa yang sebenarnya berlaku. Filem ini mengingatkan saya tentang beberapa kejadian di Malaysia akhir-akhir ini.

Kematian Teoh Beng Hock contohnya, sejak pada hari pertama lagi DAP sudah spin macam-macam cerita. Kita juga mempunyai versi SPRM, versi PDRM dan versi PKR, versi PAS, versi UMNO, versi GERAKAN dan versi MCA.

Sehalus dan setelus manapun siasatan dibuat, masih akan ada 'Rashomon' di sana sini dalam kes ini dan dalam semua hal. Kes liwat versi Datuk Seri Anwar pula dengan seluruh jentera perundangan berkonspirasi hendak menjatuhkan beliau dari tahun 1999.

Versi 'Rashomon' Datuk Seri Anwar ini agak melampau kerana polis dan kehakiman seolah-olah dibayar gajinya hanya bertujuan semata-mata hendak menjatuhkan beliau. Wah hebat 'Rashomon'.

Jadi 'Rashomon' memang ada di mana-mana. Sahabat saya, Tok Ngah juga ada menegur keyakinan saya terhadap sejarah fitnah terbesar dalam Islam selepas terbunuhnya Uthman. Juga ada 'Rashomon' dalam sejarah, bahkan sejarah Islam.

Tidak hairan mengapa Rashomon begitu terkenal. Kurosawa dikritik hebat di Jepun kerana menurut pengkritik filem-filemnya terlalu 'kebaratan'. Beliau telah meninggal dunia pada tahun 1998, hampir dilupakan di Jepun tetapi tidak di Barat dan Rashomon masih menjadi peninggalannya yang agung, jika tidak magnum opusnya.

Kurosawa juga dikenali dengan nama 'Tenno' atau 'Maharaja' dalam dunia perfileman Jepun.

Adios Rashomon.