Followers

Tuesday, September 8, 2009

Semuanya Bermula Dengan Salina.

Saya mula membaca sastera serius ketika saya di Tingkatan Satu. Saya, seperti kebanyakkan pelajar sezaman kurang mahir berbahasa Inggeris. Mungkin pelajar sekolah Victoria Institution, St. John dan berbagai sekolah aliran Inggeris boleh menguasai Inggeris lebih baik dari kami.

Salina karya Datuk A.Samad Said merupakan karya serius yang pertama saya baca. Sebelum ini saya ada membaca AHAD, Tenggelamnya Kapal van Der Vick tetapi yang menjebakkan saya ke karya yang bertaraf 'antarabangsa' adalah Salina.

Selepas itu saya menjadi ketagih karya-karya beliau. Saya mula membaca Sungai Mengalir Lesu, Langit Petang, Adik Datang, Daerah Zeni dan Hujan Pagi. Saya mula berjangkit ke karya Shahnon Ahmad seperti Ranjau Sepanjang Jalan, Srenggege, Sutan Baginda, Al-Syiqaq dan Tunggul-tunggul Gerigis.

Kemudian saya membaca semua karya-karya Sasterawan Negara seperti Rimba Harapan, Anak Titiwangsa dan Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur karya Keris Mas, karya-karya Arena Wati seperti Sandera, Lingkaran dan tiga triloginya: Bunga Dari Kuburan, Kuntum Tulip Biru dan Sakura Mengorak Kelopak.

Memang kemudiannya saya berjangkit ke karya-karya Pramoedya Ananta Toer, Mochtar Lubis, Budi Dharma dan Umar Khayyam dari Indonesia, tetapi kerancakkan dan kegagahan sastera Melayu/Malaysia ketika itu membanggakan saya. Lantas menjuruskan saya kepada pembaca karya serius.

Apabila saya boleh menguasai Bahasa Inggeris dengan baik, sudah tentu saya akan mengunyah karya-karaya Hemingway, Steinbeck, Kafka, Kawabata dan Mishima tetapi saya masih merindui sentuhan penulis Melayu/Malaysia yang mapan seperti Pak Arena, A.Samad Said dan sebagainya.

Saya menulis topik ini kerana saya menyedari betapa lusuhnya iklim sastera tempatan. Saya terbaca blog Dr. Musa Bakri yang menacabar sesiapa boleh menunjukkan mana kedai buku yang menjual novel Salah Asuhan dan Siti Nurbaya karya Marah Rosli.

Malah jika saya hendak membeli semula karya-karya Pramoedya, saya sudah tidak menemuinya di mana-mana kedai buku. Adakah ini kerana generasi kini tidak menghargai sastera lagi sebagai 'fine art'? Atau terlalu saintifik kah bangsa kita hingga langsung meninggalkan santapan jiwa dari penulis-penulis agung Melayu.

Bahkan, ketika di Barat masih mengkagumi William Faulkner, James Joyce, Anthony Burgess dan Saul Bellow, adakah masyarakat Malaysia mengabaikan seni dan seniman mereka sendiri. Tanpa khalayak, akan berkuburlah penulis dan para seniman.

Adakah sistem pendidikan yang kononnya mementingkan sains menyebabkan masyarakat merasakan sastera dan seni subjek yang tidak komersial.

Sebagai penutup posting kali ini, saya ingin meninggalkan kata-kata Tun Dr. Mahathir apabila mengulas tentang sastera Malaysia satu ketika dulu: "Para penulis kita juga boleh menulis dengan baik seperti Hemingway dan Pramoedya Ananta Toer jika mereka menulis kerana mutu dan mutu semata-mata bukan kerana commersialsm."

Pemikiran rasioanal seperti Tun juga menghargai 'fine art'. Terutama warisan bangsa kita.

3 comments:

YANG GAMBI said...

Salam,

Kawan pun mula membaca novel yang bertajuk 'Salina' karangan A.Samad Said, sehinggakan nama anak perempuan yang sulung kawan beri nama Salina.

Kesasteraan Melayu juga diperlukan dalam pembelajaran, tetapi kita juga memeerlukan pembangunan dari segi sain dan matematik dalam keadaan Malaysia yang sedang membangun mengikut arus perkembangan dunia. Maka adalah tidak perlu menjadikan isu PPSMI yang menyebabkan bahsa Melayu berkubur dan kesasteraan Melayu bakal dipusarakan.....

sri tribuana said...

Salam bro YG,
Kawan setuju walaupun kita mencapai kemodenan jangan abaikan seni warisan bangsa

sri tribuana said...
This comment has been removed by the author.