Followers

Sunday, September 13, 2009

Al-Imam

Posting ini berkaitan khusus dengan konsep kepimpinan atau pemerintahan Islam. Selepas baginda S.A.W wafat, baginda tidak menunjukkan kepada siapa kepimpinan umat Islam selepas kewafatan baginda secara tuntas. Melalui tingkahlaku, baginda mengamanahkan Saidina Abu Bakar Al-Siddiq r.a menjadi imam ketika beliau sakit.

Selepas baginda wafat, Abu Bakar r.a menjadi khalifah dan bukan tanpa saingan. Puak Ansar juga bermesyuarat untuk melantik pemimpin dikalangan mereka sehingga mereka diingatkan "hendaklah pemimpin terdiri dari bangsa Quraish'. Maka terlantiklah Abu Bakar sebagai 'khalifah' yang bermaksud 'penerus'.

Ini bererti Rasulullah tidak menerangkan bagaimana pemerintahan umat Islam perlu dilaksanakan secara tuntas. Melalui hadis baginda dan ijtihad dan ijmak umat Islam ketika itu, maka wujudlah khalifah yang bererti 'penerus'.

Khalifah atau 'penerus' ini tidak mempunyai sifat-sifat kenabian. Mereka cuma sahabat yang memahami pemikiran rasulullah dan akan bertindak berdasarkan sunnah baginda. Ini menerangkan mengapa dalam pemerintahan Abu Bakar r.a yang singkat, beliau tidak membuat sebarang ijtihad terhadap polisi Rasulullah S.A.W sebelum baginda wafat.

Abu Bakar Al-Siddiq merupakan 'penerus' dalam ertikata sebenar. Selepas Abu Bakar r.a meninggal dunia, oleh kerana umat Islam banyak masalah selepas wafat Rasulullah, beliau membuat keputusan melantik orang yang dikira paling layak ketika itu iaitu Omar Al-Khattab.

Omar r.a pula merupakan 'khalifah' kepada khalifah Rasulullah S.A.W atau 'penerus' kepada 'penerus' Rasulullah. Ketika itu, hampir keseluruhan Semenanjung Arab sudah memeluk Islam. Oleh kerana khalifah ketika itu merupakan 'Amirul Mukminin', maka kuasa pemerintahannya terhad. Omar r.a banyak berkompromi dengan gabenor-gabenor dan panglima-panglima perang yang sibuk meluaskan empayar Islam.

Kebanyakkan keputusan setempat menggunakan budi bicara gabenor dan panglima perang dikawasan masing-masing dan khalifah akan dimaklumkan sahaja. Dengan kata lain, amat kurang pengaruh khalifah ketika itu terhadap empayar Islam diluar Mekah dan Madinah.

Selepas Omar r.a meninggal dunia, Uthman bin Affan terpilih oleh syura untuk menjadi khalifah. Omar tidak menunjukkan penggantinya kerana beliau minta umat Islam berijtihad memilih khalifah seterusnya tanpa dipengaruhi oleh beliau.

Selama Omar r.a menjadi khalifah, Islam telah meluas dengan penaklukan yang meluas. Beberapa tempat seperti Mesir dan Parsi menjadi jajahan Islam. Ini memerlukan sistem politik yang berlainan dengan cara Abu Bakar r.a dan Omar r.a. Di sini bermula tindakan Uthman r.a yang melantik kebanyakkan gabenor dari suku Ummayah iaitu suku Uthman sendiri.

Sejarahwan ada menyifatkan ini sebagai nepotisme tetapi kita tidak boleh menyalahkan Uthman. Realiti politik ketika itu memaksa beliau memilih gabenor dari kalangan orang yang beliau percayai. Dengan kata lain, Uthman cuba memperolehi sedikit pengaruh pemerintahan dijajahan Islam dan mengurangkan autonomi gabenor. Beliau menuntut sedikit kuasa 'sekular' jika boleh kita sifatkan demikian.

Seperti yang kita tahu, polisi Uthman itu memakan diri beliau sendiri dan akhirnya beliau terbunuh. Muncul pula Ali r.a sebagai khalifah seterusnya. Kali ini, konsep khalifah sebagai penerus kepada penerus tidak berlaku lagi. Ini kerana realiti politik Islam ketika itu sudah berubah.

Amirul Mukmikin bukan hanya perlu ketua kepada orang Mekah dan Madinah atau Muhajirin dan Ansar sahaja yang sudah menjadi minoriti tetapi menjadi ketua kepada seluruh umat Islam samada berbangsa Quraish, suku-suku Badawi, dan suku-suku Arab yang ada yang merupakan raja bagi kaumnya sebelum kedatangan Islam.

Menyedari hakikat perubahan dari hanya menguruskan awalin Islam seperti Muhajirin dan Ansar kepada menguruskan empayar Islam maka Ali menolak untuk menjadi khalifah jika beliau tidak dapat menggunakan ijtihadnya.

Ali berbeza dengan Uthman, menuntut bukan hanya kuasa 'sekular' seseorang khalifah tetapi juga menuntut kuasa keagamaan. Beliau mencuba seperti baginda S.A.W untuk menjadi pemimpin dan imam sekaligus kepada umat Islam. Malangnya, beliau tidak mempunyai sifat kenabian kerana rasulullah S.A.W merupakan nabi terakhir. Umat Islam yang dipimpinnya juga ketika itu bukan orang seperti Muhajirin dan Ansar tetapi ramai yang baru memeluk Islam.

Saidina Ali menghadapi tentangan dari sahabat Rasulullah seperti Zubair dan Talhah malah balu Rasulullah seperti Aisyah. Beliau juga mendapat tentangan dari Muawiyah dan akhirnya pengikutnya sendiri, golongan Khawarij yang akhirnya membunuh beliau. Terbunuhnya Saidina Ali r.a bererti konsep khalifah sebagai Al-Imam juga berakhir.

Jadi konsep Al-Imam yang hendak diterapkan oleh Saidina Ali r.a diteruskan oleh golongan syiah. Seperti pernah saya tulis, syiah mempunyai banyak mazhab dan bukan semua extreme dan bertentangan dengan akidah. Secara umum, syiah cuma percaya keluarga ahlul bait sepatutnya menguasai politik Islam dan percaya kepada konsep Al-Imam iaitu pemimpin kemasyarakatan merupakan 'spiritual leader' sekaligus.

Sejarah membuktikan akhirnya konsep awal khalifah sebagai 'penerus' hilang makna dan fungsinya. Apabila Muawiyah bin Abu Suffian menjadi khalifah, jawatan itu sudah menjadi warisan keluarga Ummayah dan seperti pemerintahan beraja. Cuma Omar bin Abdul Aziz sahaja dari khalifah Ummayah yang cuba menerapkan konsep Al-Imam iaitu kesyumulan seorang ketua - baik dari segi politik mahupun keagamaan.

Rasulullah menunjukkan bahawa Islam progresif dan tidak perlu wujud pemerintahan Islam yang kononnya 'macam ini' dan 'macam itu'. Asalkan tidak menyalahi akidah dan syarak, corak pemerintahan Islam tertakluk kepada keadaan zaman dan keadaan setempat sesuatu bangsa itu - tidak semestinya meniru Islam/Arab atau Islam/Parsi(seperti kepercayaan sesetengah orang terhadap republik Islam).

3 comments:

YANG GAMBI said...

Salam, bermulanya umat Islam berpecah selepas 4 khalifah utama yang tuan sebutkan tadi, kenapa ?

sri tribuana said...

saya ada tulis dlm posting 'Siapa Betul?'. Sila rujuk ke posting berkenaan. Terima kasih.

Anonymous said...
This comment has been removed by a blog administrator.