Followers

Monday, September 28, 2009

Calon

Calon BN di Bagan Pinang masih menjadi tandatanya. Adakah Isa Samad akan dicalonkan dikawasan berkenaan atau tidak masih tidak pasti. Walau apapun, BN perlu menang kali ini kerana sejak Pilihanraya 2008, RPK telah dimenangi oleh pembangkang sebanyak 7 berbalas 1.

UMNO bukan lagi parti yang boleh buat sebarang keputusan tanpa sensitif kepada kemahuan rakyat. Ini bukan lagi zaman 'letak tunggul pun menang' bagi UMNO. Ini zaman setiap ahli politik menjadi perhatian seluruh warga pengundi menilai setiap tindak tanduk mereka.

Ada kedengaran desas desus 'akar umbi' UMNO yang minta Tan Sri Isa dicalonkan semula. Ketua Pemuda dan Ketua Wanita Bahagian sangat kuat minta beliau dicalonkan. Bagaimana dengan silent majority keseluruhannya?

Masalah UMNO dewasa ini adalah, pertentangan antara kehendak bahagian yang inginkan calon mereka yang mungkin tak popular dengan pengundi dan kehendak parti yang ingin calon popular. Jika calon tidak disukai bahagian, mungkin berlaku masalah 'cas keting'.

Tan Sri Isa memberi masalah kepada UMNO jika dicalonkan. Di zaman pengundi menuntut supaya pemimpin yang bukan hanya bersih, malah kelihatan bersih, beliau merupakan calon yang memberi kesan buruk kepada UMNO. Lagipun, memilih calon lama juga membantutkan minat pemimpin muda untuk menyertai UMNO kerana tidak progresif dengan kepimpinan baru.

Saya kira sudah sampai masanya pemimpin dibahagian bekorban sedikit semangat 'group feeling' demi menyelamatkan maruah UMNO. Kita kena akui, sebagai parti yang uzur, UMNO tidak segagah dahulu dan perlu ada pengorbanan dari berbagai pihak.

Meminjam kata Brutus dalam play Shakespeare, "bukan kita tidak sayang Isa, tetapi kita lebih sayangkan UMNO". ("Not because I loved Caesar less, but I loved Rome more.)

Sunday, September 27, 2009

Pengiktirafan

Menteri Penerangan, Datuk Rais Yatim menyarankan agar Peguam Negara mengkaji peruntukkan undang-undang bagi diambil tindakan kepada orang yang membeli gelaran datuk dan membeli ijazah.

Seperti biasa, setiap isu akan ada pro dan con. Ada yang menyokong dan ada yang membantah. Antara motif yang mendorong individu untuk membeli datuk dan ijazah adalah bagi menaikkan lagi mertabat mereka.

Penghargaan memang penting. Namun penghargaan mesti datang dari jasa-jasa yang dilakukan oleh seseorang supaya mereka dikenang. Kecenderungan individu untuk melonjakkan nama mereka dikalangan elit menjadi motivasi mereka hingga sanggup membeli ijazah dan gelaran. Dan orang yang memperolehinya tidak semestinya layak, tetapi berduit.

Saya tidak mahu komen banyak pasal gelaran anugerah istana kerana ini merupakan hak mutlak istana, tetapi membeli ijazah, master dan Ph.d merupakan fenomena yang meresahkan.

Dunia intelektual tidak sepatutnya menjadi manipulasi dunia korporat dan politik. Sesiapa yang memperolehi ijazah, master dan Ph.d yang genuine memang selayaknya mendapat penghargaan kerana mereka menuntu ilmu yang sebenar. Kepada mereka yang 'membeli' hanya untuk menjadikan tiket prestij untuk menjadi 'orang besar' dalam politik dan korporat memang agak keji.

Dalam dunia barat, ramai orang yang tidak cemerlang dalam dunia intelek; 'drop-out' Harvard seperti Bill Gates, Andrew Carnegie, Ford dan sebagainya tetap menjadi gergasi dunia korporat tanpa perlu membeli ijazah untuk meningkatkan 'self-esteem' mereka. Begitu juga ahli politik seperti Churchill yang tidak pernah memasuki kolej juga tidak perlu 'forge' sijil, degree, master dan Ph.d bagi membolehkan mereka menjadi negarawan.

Ini menampakkan sebahagian individu dalam masyarakat kita yang tidak mempunyai jatidiri jika mereka gagal menjadi lulusan menara gading. Kejayaan boleh dicapai tanpa menjadi graduate. Dan tokoh-tokoh yang berjaya tanpa menjadi graduate tidak pernah cuba mengubah curucullum vitae mereka jika memang mereka tidak graduate.

Mereka bangga menjadi self-made dan masyarakat juga mengkagumi selfmade.

Keghairahan membeli ijazah ini menyebabkan akan ramai cambahnya golongan 'pseudo-intellect' yang hanya tempel-tempelan dan tidak boleh menyumbangkan apa-apa pun dalam bidang intelek. Jika mereka menjawat jawatan dalam kerajaan dan politik, ini lebih merbahayakan kerana mereka tidak layak menduduki jawatan itu.

Inilah punca mengapa menipu dan membeli ijazah sepatutnya mejadi kesalahan. Saya menyokong gejala ini dibendung jika tidak begitu banyak menularnya sindrom 'bebalisme'.

Friday, September 18, 2009

Selamat Hari Raya

Tidak lama lagi umat Islam seluruh dunia akan menyambut Aidilfitri. Ramadhan telah meninggalkan kita. Jika pankang umur, tahun depan kita menyambut Ramadhan lagi.

Dikesempatan ini saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada pembaca saya khasnya, dan seluruh umat Islam umumnya. Mohon dimaafkan salah dan silap saya selama ini zahir dan batin.

Intelek

Jika sesebuah negara ditadbir dan diuruskan oleh orang yang tidak mempunyai intelek yang tinggi, atau intelek tidak mencukupi, negara berkenaan akan menghadapi masalah.

Intelek dan intelligent tidak sinonim walaupun berkaitan. Ramai pelajar sekarang ini memiliki inteligent yang tinggi tetapi tidak semestinya intelektual.

Syed Husin Al-Attas pernah menulis dalam 'Intelektual Masyarakat Membangun' tentang sindrom di panggil 'bebalisme'. Bebalisme bukan bererti seseorang itu tidak cerdik atau bebal, malah sangat intelligent. Cuma mungkin mereka tidak intelektual.

Sesuatu yang membimbangkan saya sekarang ini adalah, politik dikuasai oleh orang-orang yang bebalisme. Kadang-kadang, iklim politik itu sendiri membunuh golongan intelktual dari boleh bersaing dalam arena politik.

Ada juga golongan ini tidak berminat sama sekali dengan politik yang tidak matang, kotor dan terlalu rakus. Mereka menjauhkan diri dari politik sama sekali, sedangkan suara dan pandangan mereka perlu didengari.

Jika makin ramai golongan intelek tidak meminati politik, makin ramai pula orang-orang kononnya 'streetfighter' dan ahli politik 'mula dari bawah' ini menguasai jawatan dalam politik.

Jika mereka ini terpilih, dan ramai jumlahnya, bayangkan kesannya kepada negara dengan polisi-polisi yang bakal dibuat oleh mereka. Ahli politik adalah penggubal undang-undang dan pembuat polisi.

Kita pernah lihat contohnya Proffessor Ungku Aziz memberi pandangan tentang sesuatu perkara, sebagai seorang intelektual, beliau akan dicemuh oleh ahli-ahli politik dengan jenteranya yang tersusun. Sudah tentu professor seperti Ungku Aziz tidak setanding propagandanya dengan ahli-ahli politik yang tidak intelektual ini.

Saya rasa masyarakat kita perlu memberi banyak ruang lagi kepada golongan intelek untuk memberi sumbangan dalam membangunkan negara. Dan golongan intelek tidak semestinya pensyarah-pensyarah universiti tetapi saya percaya ramai sahaja mereka ini dalam masyrakat, tidak diendahkan kerana mereka kononnya 'tidak praktikal'.

Semua juga bermula dengan idea. Imagination is more important than knowledge. Kata Einstein.

Tuesday, September 15, 2009

Menghina Negarawan.

MIC, sebenarnya seorang perwakilan sahaja, mencadangkan gambar Tun Dr. Mahathir dikalungkan dengan selipar. Perbuatan itu sangat melampau. Sebagai parti komponen BN, amat biadap jika mencadangkan perkara sedemikian terhadap Negarawan Ulung Malaysia yang pernah memimpin BN selama 22 tahun.

Ramai yang tahu puncanya bermula apabila Tun M memberi pandanga ihklas Datuk Seri Samy Vellu agar berundur dalam usaha meremajakan BN. Datuk Seri Samy minta Tun M jangan campur urusan MIC.

Cadangan perwakilan dari Ampang itu mendapat cemuhan Datuk Seri Samy dan kononnya akan diambil tindakan. Ramai juga menganggap ini cuma drama Tamil berlatarbelakangkan politik Malaysia.

Ramai yang marah dengan tindakan MIC. Penyokong UMNO juga ada yang mencadangkan supaya MIC diambil tindakan dan dilekuarkan dari BN.

Saya masih ingat ketika Tun Abdullah mula menjadi PM, ramai juga pembesar UMNO menghina Tun Dr Mahathir. Jika itu adalah cara terbaik, maka UMNO juga kena keluar dari BN atau BN mengamalkan double standard?

Saya tidak kata tindakan MIC betul. Siapa-siapa yang mengkritik Tun sebagai orang yang membawa Malaysia ke taraf ini memang tidak patut. Seperti kes Kartika, mengapa ada yang dirotan dan ada yang tidak.

Jika nak adil, UMNO juga perlu diambil tindakan, setidak-tidaknya pada individu yang kuat menghentam Tun.

Benar saya makin tidak faham dengan politik 'yes man'.

Sunday, September 13, 2009

Al-Imam

Posting ini berkaitan khusus dengan konsep kepimpinan atau pemerintahan Islam. Selepas baginda S.A.W wafat, baginda tidak menunjukkan kepada siapa kepimpinan umat Islam selepas kewafatan baginda secara tuntas. Melalui tingkahlaku, baginda mengamanahkan Saidina Abu Bakar Al-Siddiq r.a menjadi imam ketika beliau sakit.

Selepas baginda wafat, Abu Bakar r.a menjadi khalifah dan bukan tanpa saingan. Puak Ansar juga bermesyuarat untuk melantik pemimpin dikalangan mereka sehingga mereka diingatkan "hendaklah pemimpin terdiri dari bangsa Quraish'. Maka terlantiklah Abu Bakar sebagai 'khalifah' yang bermaksud 'penerus'.

Ini bererti Rasulullah tidak menerangkan bagaimana pemerintahan umat Islam perlu dilaksanakan secara tuntas. Melalui hadis baginda dan ijtihad dan ijmak umat Islam ketika itu, maka wujudlah khalifah yang bererti 'penerus'.

Khalifah atau 'penerus' ini tidak mempunyai sifat-sifat kenabian. Mereka cuma sahabat yang memahami pemikiran rasulullah dan akan bertindak berdasarkan sunnah baginda. Ini menerangkan mengapa dalam pemerintahan Abu Bakar r.a yang singkat, beliau tidak membuat sebarang ijtihad terhadap polisi Rasulullah S.A.W sebelum baginda wafat.

Abu Bakar Al-Siddiq merupakan 'penerus' dalam ertikata sebenar. Selepas Abu Bakar r.a meninggal dunia, oleh kerana umat Islam banyak masalah selepas wafat Rasulullah, beliau membuat keputusan melantik orang yang dikira paling layak ketika itu iaitu Omar Al-Khattab.

Omar r.a pula merupakan 'khalifah' kepada khalifah Rasulullah S.A.W atau 'penerus' kepada 'penerus' Rasulullah. Ketika itu, hampir keseluruhan Semenanjung Arab sudah memeluk Islam. Oleh kerana khalifah ketika itu merupakan 'Amirul Mukminin', maka kuasa pemerintahannya terhad. Omar r.a banyak berkompromi dengan gabenor-gabenor dan panglima-panglima perang yang sibuk meluaskan empayar Islam.

Kebanyakkan keputusan setempat menggunakan budi bicara gabenor dan panglima perang dikawasan masing-masing dan khalifah akan dimaklumkan sahaja. Dengan kata lain, amat kurang pengaruh khalifah ketika itu terhadap empayar Islam diluar Mekah dan Madinah.

Selepas Omar r.a meninggal dunia, Uthman bin Affan terpilih oleh syura untuk menjadi khalifah. Omar tidak menunjukkan penggantinya kerana beliau minta umat Islam berijtihad memilih khalifah seterusnya tanpa dipengaruhi oleh beliau.

Selama Omar r.a menjadi khalifah, Islam telah meluas dengan penaklukan yang meluas. Beberapa tempat seperti Mesir dan Parsi menjadi jajahan Islam. Ini memerlukan sistem politik yang berlainan dengan cara Abu Bakar r.a dan Omar r.a. Di sini bermula tindakan Uthman r.a yang melantik kebanyakkan gabenor dari suku Ummayah iaitu suku Uthman sendiri.

Sejarahwan ada menyifatkan ini sebagai nepotisme tetapi kita tidak boleh menyalahkan Uthman. Realiti politik ketika itu memaksa beliau memilih gabenor dari kalangan orang yang beliau percayai. Dengan kata lain, Uthman cuba memperolehi sedikit pengaruh pemerintahan dijajahan Islam dan mengurangkan autonomi gabenor. Beliau menuntut sedikit kuasa 'sekular' jika boleh kita sifatkan demikian.

Seperti yang kita tahu, polisi Uthman itu memakan diri beliau sendiri dan akhirnya beliau terbunuh. Muncul pula Ali r.a sebagai khalifah seterusnya. Kali ini, konsep khalifah sebagai penerus kepada penerus tidak berlaku lagi. Ini kerana realiti politik Islam ketika itu sudah berubah.

Amirul Mukmikin bukan hanya perlu ketua kepada orang Mekah dan Madinah atau Muhajirin dan Ansar sahaja yang sudah menjadi minoriti tetapi menjadi ketua kepada seluruh umat Islam samada berbangsa Quraish, suku-suku Badawi, dan suku-suku Arab yang ada yang merupakan raja bagi kaumnya sebelum kedatangan Islam.

Menyedari hakikat perubahan dari hanya menguruskan awalin Islam seperti Muhajirin dan Ansar kepada menguruskan empayar Islam maka Ali menolak untuk menjadi khalifah jika beliau tidak dapat menggunakan ijtihadnya.

Ali berbeza dengan Uthman, menuntut bukan hanya kuasa 'sekular' seseorang khalifah tetapi juga menuntut kuasa keagamaan. Beliau mencuba seperti baginda S.A.W untuk menjadi pemimpin dan imam sekaligus kepada umat Islam. Malangnya, beliau tidak mempunyai sifat kenabian kerana rasulullah S.A.W merupakan nabi terakhir. Umat Islam yang dipimpinnya juga ketika itu bukan orang seperti Muhajirin dan Ansar tetapi ramai yang baru memeluk Islam.

Saidina Ali menghadapi tentangan dari sahabat Rasulullah seperti Zubair dan Talhah malah balu Rasulullah seperti Aisyah. Beliau juga mendapat tentangan dari Muawiyah dan akhirnya pengikutnya sendiri, golongan Khawarij yang akhirnya membunuh beliau. Terbunuhnya Saidina Ali r.a bererti konsep khalifah sebagai Al-Imam juga berakhir.

Jadi konsep Al-Imam yang hendak diterapkan oleh Saidina Ali r.a diteruskan oleh golongan syiah. Seperti pernah saya tulis, syiah mempunyai banyak mazhab dan bukan semua extreme dan bertentangan dengan akidah. Secara umum, syiah cuma percaya keluarga ahlul bait sepatutnya menguasai politik Islam dan percaya kepada konsep Al-Imam iaitu pemimpin kemasyarakatan merupakan 'spiritual leader' sekaligus.

Sejarah membuktikan akhirnya konsep awal khalifah sebagai 'penerus' hilang makna dan fungsinya. Apabila Muawiyah bin Abu Suffian menjadi khalifah, jawatan itu sudah menjadi warisan keluarga Ummayah dan seperti pemerintahan beraja. Cuma Omar bin Abdul Aziz sahaja dari khalifah Ummayah yang cuba menerapkan konsep Al-Imam iaitu kesyumulan seorang ketua - baik dari segi politik mahupun keagamaan.

Rasulullah menunjukkan bahawa Islam progresif dan tidak perlu wujud pemerintahan Islam yang kononnya 'macam ini' dan 'macam itu'. Asalkan tidak menyalahi akidah dan syarak, corak pemerintahan Islam tertakluk kepada keadaan zaman dan keadaan setempat sesuatu bangsa itu - tidak semestinya meniru Islam/Arab atau Islam/Parsi(seperti kepercayaan sesetengah orang terhadap republik Islam).

Kamikaze

Kamikaze, seperti mafia, adalah istilah yang sering disalahtafsirkan. Ramai yang menganggap kamikaze bererti 'suicide' atau membunuh diri. Dalam istilah samurai, membunuh diri adalah hara-kiri atau seppuku dan keduanya mempunyai makna yang berlainan.

Hara-kiri membunuh diri untuk mengelak dari ditangkap oleh musuh, manakala seppuku pula upacara ritual bunuh diri jika seseorang samurai diarah oleh daimyonya.

Kamikaze adalah bermaksud 'angin rahmat' atau divine wind. Saya kurang pasti ketika era mana, mungkin antara 'Onin War' ke 'Sengoku Jidai', Kublai Khan telah menghantar dua ekspedisi ke Jepun untuk menakluk Jepun.

Ekspedisi yang pertama dipatahkan oleh samurai Jepun. Hasil pertembungan itu mengajar Jepun bertempur dengan unit infatri, calvary dan pemanah. Sebelum ini, samurai bertempur dengan kemahiran individu atau 'single combat'.

Kublai Khan menghantar lagi sekali armadanya bagi menakluk Jepun. Kali ini, tanpa perlu berperang, Jepun telah diselamatkan oleh ribut taufan yang memukul habis armada Kublai Khan. Selepas itu, Kublai Khan, tidak menyerang Jepun lagi. Angin itulah yang dinamakan 'kamikaze' atau divine wind.

Ketika Perang Dunia Kedua, Jepun lagi sekali cuba meminjam 'divinity' kamikaze untuk menyelamatkan Jepun. Kali ini, mereka menghantar pilot yang menawarkan diri untuk membunuh diri melanggar kapal perang Amerika dalam Perang Dunia Kedua. Mereka menamakannya 'Kamikaze' sebagai nama yang diharapkan dapat membawa tuah tetapi malangnya, kamikaze kali ini tidak begitu 'divine'.

Oleh kerana squad membunuh diri ini dinamakan kamikaze, maka ramai yang menganggap kamikaze sinonim dengan membunuh diri.

Kamikaze dipinjam dari peristiwa Jepun berperang dengan armada dan tentera Monggol.

Friday, September 11, 2009

Dibangkulsampahkan.

Dalam tahun 1989, ketika DBP memacu kebudayaan, kesusasteraan dan isu-isu semasa dengan makalah seperti Dewan Sastera, Dewan Masyarakat dan berbagai dewan-dewan lagi, saya tertarik dengan satu istilah yang dipopularkan(tetapi tidak kekal) iaitu : 'dibakulsampahkan'.

'Dibakulsampahkan' bermaksud rejection. Penolakkan oleh sesuatu atau seseorang terhadap karya-karya secara khasnya dan apa saja secara umumnya. Ketika itu, ada isu bahawa medan sastera seperti cerpen hanya menerbitan karya-karya penulis establish seperti A.Samad Said, Jihaty Abadi dan berbagai.

Banyak karya-karya yang 'dibakulsampahkan' oleh editor jika penulis yang tidak 'berjenama' menghantar karya mereka. Ini kerana lantaran mereka yang tiada track record atau dikenali, atau editor malas membaca kerana nama mereka tidak mapan maka karya mereka terus 'dibakulsampahkan'.

Menarik isu dibakulsampahkan ini.

Ketika George Lucas hendak menerbitkan Star Wars, ramai production house menolak skripnya. Star Wars dianggap cereka yang mengarut dan tidak boleh diterima masyarakat. Cerita yang terlalu fantasi dan 'keangkasaan'.

Lucas tidak pernah kecewa walaupun karyanya dibakulsampahkan. Beliau mencuba dan mencuba tetapi masih ditolak oleh hampir keseluruhan production house. Akhirnya, beliau terpaksa menjual hak merchandise untuk membiayai pembikinan Star Wars. Apabila dilancarkan, Star Wars telah menjadi sebuah filem yang sangat berjaya malah telah mencipta cultnya dalam dunia perfileman.

Kita tidak tahu mungkin 'masterpiece' apa yang kita bakulsampahkan jika kita editor.

Kisah 'dibakusampahkan' juga berlaku dalam business. Kisah askar pencen yang cuba menjual recepi menggoreng ayam juga satu legenda. Askar pencen itu telah menemui dari seorang pelabur ke seorang pelabur untuk membiayai resepinya tetapi tiada yang mahu.

Ketika beliau berumur 70an akhirnya ada seseorang yang berani dan munculnya Kentucky Friend Chicken(KFC) sebagai syarikat makanan segera yang berjaya. Jika pelabur mula-mula berani, mungkin mereka boleh membuat duit dengannya.

Sebenarnya banyak kisah rejection merupakan permata-permata yang berharga. Ada yang berjaya dan ada yang terus hilang tanpa dikesan. Kepada sesiapa yang pernah direject oleh apa dan siapapun ingatlah, kadang-kadang bukan kita tidak berharga, mungkin penilai tidak tahu menghargai.

Perpatah Melayu berkata: "Hanya jauhari yang mengenal maknikam."

Thursday, September 10, 2009

Aku

Hari ini saya teringatkan Chairil Anwar, penyair Angkatan 45. Peristiwa-peristiwa yang berkembang dalam hidup saya membuatkan saya teringatkan sajak 'Aku' beliau.


Aku

Bila sampai waktu,
ku tahu tak seorang kan merayu,
tidak juga kau,
tidak perlu sedu sedan ini,

Aku ini binatang jalang,
dari kumpulannya terbuang,
biar peluru menembus kulitku,
aku akan tetap meradang menerjang,
luka dan bisa kubawa berlari,

Berlari,
hingga hilang pedih dan peri,
dan aku akan lebih tidak peduli.

Aku mahu hidup seribu tahun lagi.

Chairil Anwar


Malangnya, beliau meninggal dunia ketika berusia 28 tahun. Manusia sentiasa bersendirian.

Tuesday, September 8, 2009

Semuanya Bermula Dengan Salina.

Saya mula membaca sastera serius ketika saya di Tingkatan Satu. Saya, seperti kebanyakkan pelajar sezaman kurang mahir berbahasa Inggeris. Mungkin pelajar sekolah Victoria Institution, St. John dan berbagai sekolah aliran Inggeris boleh menguasai Inggeris lebih baik dari kami.

Salina karya Datuk A.Samad Said merupakan karya serius yang pertama saya baca. Sebelum ini saya ada membaca AHAD, Tenggelamnya Kapal van Der Vick tetapi yang menjebakkan saya ke karya yang bertaraf 'antarabangsa' adalah Salina.

Selepas itu saya menjadi ketagih karya-karya beliau. Saya mula membaca Sungai Mengalir Lesu, Langit Petang, Adik Datang, Daerah Zeni dan Hujan Pagi. Saya mula berjangkit ke karya Shahnon Ahmad seperti Ranjau Sepanjang Jalan, Srenggege, Sutan Baginda, Al-Syiqaq dan Tunggul-tunggul Gerigis.

Kemudian saya membaca semua karya-karya Sasterawan Negara seperti Rimba Harapan, Anak Titiwangsa dan Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur karya Keris Mas, karya-karya Arena Wati seperti Sandera, Lingkaran dan tiga triloginya: Bunga Dari Kuburan, Kuntum Tulip Biru dan Sakura Mengorak Kelopak.

Memang kemudiannya saya berjangkit ke karya-karya Pramoedya Ananta Toer, Mochtar Lubis, Budi Dharma dan Umar Khayyam dari Indonesia, tetapi kerancakkan dan kegagahan sastera Melayu/Malaysia ketika itu membanggakan saya. Lantas menjuruskan saya kepada pembaca karya serius.

Apabila saya boleh menguasai Bahasa Inggeris dengan baik, sudah tentu saya akan mengunyah karya-karaya Hemingway, Steinbeck, Kafka, Kawabata dan Mishima tetapi saya masih merindui sentuhan penulis Melayu/Malaysia yang mapan seperti Pak Arena, A.Samad Said dan sebagainya.

Saya menulis topik ini kerana saya menyedari betapa lusuhnya iklim sastera tempatan. Saya terbaca blog Dr. Musa Bakri yang menacabar sesiapa boleh menunjukkan mana kedai buku yang menjual novel Salah Asuhan dan Siti Nurbaya karya Marah Rosli.

Malah jika saya hendak membeli semula karya-karya Pramoedya, saya sudah tidak menemuinya di mana-mana kedai buku. Adakah ini kerana generasi kini tidak menghargai sastera lagi sebagai 'fine art'? Atau terlalu saintifik kah bangsa kita hingga langsung meninggalkan santapan jiwa dari penulis-penulis agung Melayu.

Bahkan, ketika di Barat masih mengkagumi William Faulkner, James Joyce, Anthony Burgess dan Saul Bellow, adakah masyarakat Malaysia mengabaikan seni dan seniman mereka sendiri. Tanpa khalayak, akan berkuburlah penulis dan para seniman.

Adakah sistem pendidikan yang kononnya mementingkan sains menyebabkan masyarakat merasakan sastera dan seni subjek yang tidak komersial.

Sebagai penutup posting kali ini, saya ingin meninggalkan kata-kata Tun Dr. Mahathir apabila mengulas tentang sastera Malaysia satu ketika dulu: "Para penulis kita juga boleh menulis dengan baik seperti Hemingway dan Pramoedya Ananta Toer jika mereka menulis kerana mutu dan mutu semata-mata bukan kerana commersialsm."

Pemikiran rasioanal seperti Tun juga menghargai 'fine art'. Terutama warisan bangsa kita.