Followers

Thursday, December 13, 2012

Pembohongan Baling Secara Terperinci.

Semalam saya mendapat panggilan telefon dari Tan Sri Zainudin Maidin. Beliau membaca posting saya sebelum ini. Sebagai wartawan yang terlibat secara langsung menyiasat 'Peristiwa Baling 1974', Tan Sri berasa perlu memberi saya info yang tepat.

Pada tahun 1974, Tan Sri diminta oleh Ketua Pengarang Utusan, Tan Sri Mazlan Nordin menyiasat kekecohan yang dibuat oleh sekumpulan gerakan pelajar yang diketuai oleh 'Fidel' dan 'Che' palsu. Menurut Tan Sri Zam, beliau telah berjumpa dengan doktor, OCPD, Penolong Pegawai Daerah dan beberapa orang kampung dalam usaha menyiasat dakwaan bahawa di bumi bertuah Malaysia ini ada orang yang mati kebuluran.

Asas dari kekecohan ini berasal dari harga getah yang makin merudum. Ketika itu harga komoditi di Malaysia ini jatuh dengan teruk. Akibatnya penduduk kampung sangat merasai jerih payah kerana getah adalah pendapatan penduduk luar bandar.

Keadaan ini telah dieksploit oleh 'Che' dan 'Fidel' palsu. Kononnya mereka jaguh penduduk luar bandar. Kononnya mereka jaguh rakyat marhein. Mereka menghasut rakyat supaya membenci kerajaan. Mereka sangat keterlaluan hingga berbohong adanya penduduk Baling yang mati kebuluran.

Menurut Tan Sri Zam sebagai wartawan yang menyiasat kejadian sebenar, tidak ada kematian pun di Baling ketika itu. Cerita tentang penduduk Baling mati kelaparan itu hanya 'pure fiction', hanya rekaan semata-mata. Propaganda yang tidak mengenal batasan etika.

Ada juga peristiwa lucu dari propaganda 'penduduk mati kebuluran' ini. Berita adanya 'kematian' akibat kebuluran ini akhirnya sampai ke pengetahuan komunis yang masih ada saki bakinya ketika itu. Maka keluarlah komunis seramai 20 orang membawa ubat-ubatan dan makanan untuk penduduk kampung. Sebijak-bijak propagandist  komunis, mereka juga  menjadi mangsa pembohongan Anwar dan Hishamudin Rais.

Pelajar Che wannabe seperti Hishamudin Rais itu sepatutnya menumpu kepada pelajaran universiti, bukan membuat kecoh di sana sini. Begitu juga Anwar yang tidak cemerlang dalam Pengajian Melayunya. Mereka membuang masa dan usaha kerajaan untuk menaiktaraf bumiputera dengan menjalankan polisi 'Affirmative Action' yang dikritik oleh DAP.

Tun Dr. Mahathir adalah Menteri Pelajaran pada tahun itu. Tun memang wajar memperkenalkan AUKU pada tahun 1971, kerana Melayu-Melayu seperti Anwar dan Hishamudin ini 'membakar' duit pembayar cukai. 

Kerajaan memperuntukkan jumlah yang banyak bagi pendidikan Bumiputera, dengan harapan ramai bumiputera lahir terpelajar, mendapat kerja baik, atau mendapat ilmu supaya boleh pergi jauh dalam pernigaan tetapi mereka lebih suka berdemo dan membuat pembohongan.

Akhirnya kedua mereka ditahan dibawah ISA. Mereka menimbulkan kekecohan tanpa asas. Kemudian menuduh kerajaan zalim. 

Modus operandi ini masih berlangsung. Anwar dan Hishamudin menurunkan ilmu kepada Safwan Anang, Adam Adli dan sebagainya. Asasnya adalah fitnah: kerajaan zalim. 

Kerajaan yang sedang menyuap mulut mereka.








1 comment:

Mona Bijan said...

Ada cerita nih dalam buku Tan Sri Zam. Tajuk dia "HARI ITU SUDAH BERLALU" kalau tak silap.