Followers

Saturday, January 30, 2010

Hujan emas, hujan batu

Ini kali kedua saya ke Republic Ireland. Pada 25 Januari 2010, 6.50 waktu tempatan, penerbangan Etihad mendarat di Dublin. Pada Ogos 2009 ketika kali pertama ke Dublin, saya teringatkan antologi James Joyce; 'The Dubliners.".

Musim sejuk sudah mula usai, sisa-sisa kesejukan masih dirasai. Pilot mengumumkan, cuaca Dublin 1darjah Celcius. December 2009, salji turun dan suhu sesejuk -5. Saya kira bertuah kerana tidak sempat melalui kesejukan bulan December lalu. Salji turun di Galway, kata sesetengah orang kali pertama sejak 60 tahun lalu.

Saya merupakan seorang 'internet junkie'. Seperti junkie yang lain, saya tidak boleh berpisah dengan komputer dan sudah tentu internet. Dari Dublin ke Galway mengambil masa 2.45minit ke 4 jam bergantung bas apa yang saya naiki.

Kali ini saya menaiki bas Go-bus, yang telah dibayar online sebelum saya menjejaki bumi Ireland lagi. Ia mengambil masa 2.45 minit, lebih pantas dari bas sebelum ini yang mengambil masa selama 4 jam untuk ke Galway.

Bas bertolak pukul 7.45am. Bas disini sangat punctual. Walaupun sudah hampir pukul 8, hari masih gelap. Subuh habis pukul 8.30 am disini. Saya menaiki bas untuk ke Galway. Saya terpandangkan tulisan yang menyatakan bas ini mempunyai wifi bergerak.

Saya menghabiskan masa dalam bas dengan online facebook, membaca blog dan membalas email. Bas tidak bergerak laju, sekitar 80 ke 100km sejam saja. Perjalanan tidak membosankan kerana saya ada akitiviti didalam bas - yang saya gemari pula.

Saya cuba bandingkan dengan negara saya, Malaysia. Jika saya hendak balik nanti, saya tidak boleh order tiket online. Perjalanan dari KLIA ke KL Sentral dengan menaiki bas membosankan walaupun hanya sejam kerana tiada wifi dalam bas. Apa yang dipanggil jalurlebar atau broadband di Malaysia lambat walaupun sewa bulanan tinggi.

Tapi tak adilkan membandingkan Malaysia dengan negara maju. Saya faham ada benda sukar untuk dikejar kemajuannya, ada sesetengah sengaja dibiarkan begitu seperti broadband dan streamyx untuk memberi keuntungan semaksimum mungkin kepada oligarki tertentu dengan mengenakan charge yang mahal dan perkhidmatan yang tidak seberapa. Sebagai rakyat, kita tidak ada pilihan.

Dalam pilihanraya pun kita tidak ada pilihan. Dua-dua buntut hitam samada kuali ataupun belanga.

Malam di sini membosankan. Semuanya tutup awal kecuali pub dan pangung wayang. Nak 'mengeteh' malam-malam tiada warung mamak atau warung teh tarik. Beer saya tak minum. Pub saya tak suka.

Masa-masa sebegini saya rindukan Malaysia. Ada teh tarik tak kira pukul berapa hingga 5 pagi, boleh lepak diluar kerana cuaca tidak sejuk. Walaupun bas tidak sepuntcual bas disini, dalam bas tidak ada wifi dan internet tidak selaju di sini, Malaysia sangat saya cintai.

Hujan emas ditempat orang, hujan batu ditempat sendiri, namun saya tetap sayangkan tempat sendiri.

No comments: