Followers

Sunday, December 13, 2009

Sekadar Cetusan

Saya masih tiada mood hendak mengulas tentang banyak isu-isu semasa seperti 'Sham-murai' Melayu, isu royalty minyak, isu BTN dan akhirnya isu pandangan unik Tengku Razaleigh tentang 'rahmat' minyak yang sebenarnya sumpahan.

Politik tetap politik dan isu akan datang dan pergi. Dibahas, dibincang kemudian dilupai.

Perpecahan ummah yang mana dibentuk oleh Rasulullah juga bermula dengan politik. Ada beberapa corat coret yang suka saya kemukakan di sini agar menjadi renungan kita bersama.

Ini kata-kata Syadina Umar Al-Faruq r.a ketika melantik wali-walinya:

"Sesungguhnya aku bukan melantik kamu untuk darah orang muslim. Aku juga tidak melantik kamu kepada harta mereka. Aku melantik kamu untuk menyeru mereka menunaikan solat, menyamaratakan hak, berlaku adil tanpa sebarang diskriminasi dan membahagikan harta rampasan di antara mereka. Jangan memukul tentera muslimin kerana itu merendahkan mereka, jangan menuduh mereka kafir, mengurung dan menyeksa mereka. Sentiasa mengajar al-Quran, kurangkan meriwayat hadis daripada Rasulullah dan bertakwalah kepada Allah s.w.t..."

Dalam buku 60 Kehidupan Sahabat karya Khalid Muhammad Khalid, Al-Faruq melarang Abu Hurairah banyak sangat meriwayatkan hadis kerana bimbang orang Islam keliru dengan Al-Quran. Dalam sirah Nabi Muhammad karya Muhammad Hussein Haykal, ketika baginda S.A.W hendak wafat, baginda ingin meninggalkan wasiat bertulis tetapi ditentang oleh Umar kerana bimbang Al-Quran menjadi seperti Injil dan bercampur aduk dengan kata-kata Al-Masih.

Rasulullah tidak jadi menuliskan wasiatnya. Umum sangat maklum Umar Al-Khattab sangat menyayangi dan menyanjungi Rasulullah. Beliau minta Al-Quran dibaca, didalami dan difahami kerana Al-Quran merupakan kata-kata Allah sendiri melalui baginda S.A.W.

Umar juga menebang pokok yang mana dibawahnya Perjanjian Hudaibiah dibuat kerana ramai orang Islam yang terkemudian bersolat di situ kerana kononnya keramat.

Jadi jika ulama sekarang hendak menjadikan hal-hal remeh seperti soal bidaah yang baik seperti tahlil, talkin, qunut dan sebagainya punca-punca pepecahan ummah, fikirkan semula. Adakah Umar Al-Khattab juga wajar di labelkan sebagai anti-ahlisunnah waljamaah?

Lagi kata-kata beliau yang menarik hati saya:

"Jika kamu melihat orang alim menyintai dunia, jauhkan dia dari agamamu kerana sesungguhnya setiap yang menyintai akan tenggelam dalam apa yang dicintainya."

"Islam akan musnah kerana orang alim yang tersilap langkah, perdebatan orang munafiq tentang al-Quran dan pemimpin yang khianat dan menyesatkan."

Dalam Islam, solat merupakan hubungan langsung dengan Allah dan kita tidak perlu orang tengah seperti cardinal atau bishop atau pope.

Wallahualambissawab.

No comments: