Manusia tidak boleh dilahirkan dan dibesarkan sendirian. Sebegitu banyak 'tangan-tangan yang tak nampak' menyumbang pembesaran, kedewasaan seseorang insan. Ketika anak sulung saya berumur kurang dari sebulan, dan kami masih di Ireland, seorang perempuan tua Irish menanyakan umurnya. Kemudian dia berkata: "Now we know how helpless we were,' merujuk kepada keadaan infant yang segala bergantung kepada kedua ibubapa mereka dalam semua hal.
Semasa saya masih di darjah empat, guru Bahasa Melayu saya menerangkan apa maksud pantun 'pisang emas dibawa berlayar'.
"Pisang emas dibawa berlayar,
masak sebiji di atas peti,
hutang emas boleh dibayar,
hutang budi dibawa mati."
Sudah tentu selain dari rhythm yang menarik, kami tidak memahami kedalaman falsafahnya.
Lantas dia memberi perumpamaan yang melekat hingga ke hari ini ke dalam kepala saya. Katanya, katakan kamu tidak ada duit dan kamu lapar, kawan kamu belanja kamu makan nasi lemak harga 30sen(memang itu harganya ketika itu), selepas itu jika kamu bayar seringgit, dua ringgit atau sepuluh ringgit sekalipun, kamu tak dapat membalas budinya.
Ajaran itu melekat dalam kepala saya, walau saya tidak faham sepenuhnya tapi saya tahu saya perlu menghargai jasa baik orang ke atas saya, walau sekecil mana pun. Dan saya akui, menjadi manusia yang lemah, saya bukanlah sepenuhnya berterima kasih ke atas orang yang berbudi kepada saya. Atau mungkin saya tidak mengenanginya langsung.
Saya menulis hal ini kerana saya bimbang melihat gelagat generasi muda. Budaya berterima kasih atau menghargai jasa makin terhakis seperti makin terhakisnya budaya memahami pantun seloka Melayu yang mempunyai banyak kebijaksanaannya.
Kita boleh lihat di media sosial, ramai anak-anak muda makin tidak menghormati sistem yang setidak-tidaknya boleh membawa keamanan kepada mereka. Anggota polis, askar dan sebagainya dihina, dinista dan dilempar perkataan yang tidak menunjukkan langsung rasa terima kasih kepada mereka.
Dan ianya tidak berhenti di situ sahaja. Guru-guru, mungkin ibubapa makin kurang dihormati kerana ramai mereka merasakan mereka 'begitu hebat' tanpa bantuan sesiapa pun. Keangkuhan dan kebencian menjadi kebanggaan mereka.
Saya akui sendiri saya kurang berterima kasih kepada mereka yang berjasa. Kepada ibu saya, nenek saya, ayah saya, adik-beradik, bapa saudara terutama yang membesarkan saya selepas bapa saya meninggal, guru-guru saya; malah pengutip sampah depan rumah saya walaupun mereka dibayar gaji, pekerja IWK, polis dan tentera yang mewujudkan keamanan. Saya kurang bersyukur kepada rahmat dan rezeki yang Allah telah kurniakan kepada saya.
Saya sentiasa marah dan rasa mereka tidak berlaku adil kepada saya, walaupun sebenarnya mereka banyak jasa dan budi yang tidak mampu saya bayar walau dengan emas sebanyak mana pun. Sekarang masanya saya perlu menghayati dan melaksanakan kebijaksanaan dari pantun Melayu ketika saya berumur 10 tahun.
"Biar banyak mana pun salah kami," kata Sutan Shahrir, Perdana Menteri Indonesia yang pertama, "namun tidak tahu berterima kasih bukan satu darinya".
1 comment:
Aku Hensem
Syukur, seperti Islam, adalah satu rahmat yg hanya diberi kepada org2 tertentu pada zaman ini.
Hope can be one of them
Post a Comment