Followers

Tuesday, February 2, 2010

Jalan Getir


Akhirnya kes liwat Saiful Azlan Bahari ke muka pengadilan. Setelah puas menggunakan taktik tunda akhirnya Anwar menghadapi juga perbicaraan. Perbicaraan ini bagaikan ulangan perbicaraan kes liwat 1998. Ia bukan hanya trial jenayah, ia juga merupakan trial masa depan politik Anwar dan PKR.

Setelah bersumpah di masjid dengan bersaksikan Quran, Mohamad Saiful Bahari terus menjadi tumpuan. Beliau sudah menunjukkan keberaniannya bersumpah cara muqabalah, sekarang beliau bersedia untuk menghadapi perbicaraan mahkamah 'dunia' pula. Belum diambil kira 'amount of pressure' dari pengikut Anwar lagi yang sudah dari awal spin 'theory conspiracy', satu modal yang di recycle.

Anwar hadir dengan rombongan yang besar, termasuk beberapa Menteri Besar seperti Nik Aziz dan Khalid Ibrahim dan Lim Kit Siang, pemimpin de facto DAP. Sementara Saiful pula hadir dengan bapa, lawyer dan beberapa orang sahaja. Menurut laporan beberapa blogger, beliau kelihatan tenang menghadapi tekanan ribuan penyokong Anwar.

Secara kebetulan, beberapa isu menarik sedang melanda Pakatan 'Rakyat' sekarang ini. Kritikan Zahrain Mohd Hashim seorang ahli Parlimen PKR, cara diktator Lim Guang Eng mentadbir Pulau Pinang, pertelingkahan antara Zulkifle Nordin dari PKR dan Khalid Samad dari PAS tentang isu Allah menampakkan pakatan sudah menjadi haru biru. Mereka tidak solid seperti BN dalam hala tuju 'perikatan'(alliance) mereka.

Walauapapun, nasib Anwar akan ditentukan dimahkamah samada beliau dapat menjadi PM atau tidak setelah 16 September 2008 gagal. Kita saksikan ketentuan Illahi.

Saturday, January 30, 2010

Hujan emas, hujan batu

Ini kali kedua saya ke Republic Ireland. Pada 25 Januari 2010, 6.50 waktu tempatan, penerbangan Etihad mendarat di Dublin. Pada Ogos 2009 ketika kali pertama ke Dublin, saya teringatkan antologi James Joyce; 'The Dubliners.".

Musim sejuk sudah mula usai, sisa-sisa kesejukan masih dirasai. Pilot mengumumkan, cuaca Dublin 1darjah Celcius. December 2009, salji turun dan suhu sesejuk -5. Saya kira bertuah kerana tidak sempat melalui kesejukan bulan December lalu. Salji turun di Galway, kata sesetengah orang kali pertama sejak 60 tahun lalu.

Saya merupakan seorang 'internet junkie'. Seperti junkie yang lain, saya tidak boleh berpisah dengan komputer dan sudah tentu internet. Dari Dublin ke Galway mengambil masa 2.45minit ke 4 jam bergantung bas apa yang saya naiki.

Kali ini saya menaiki bas Go-bus, yang telah dibayar online sebelum saya menjejaki bumi Ireland lagi. Ia mengambil masa 2.45 minit, lebih pantas dari bas sebelum ini yang mengambil masa selama 4 jam untuk ke Galway.

Bas bertolak pukul 7.45am. Bas disini sangat punctual. Walaupun sudah hampir pukul 8, hari masih gelap. Subuh habis pukul 8.30 am disini. Saya menaiki bas untuk ke Galway. Saya terpandangkan tulisan yang menyatakan bas ini mempunyai wifi bergerak.

Saya menghabiskan masa dalam bas dengan online facebook, membaca blog dan membalas email. Bas tidak bergerak laju, sekitar 80 ke 100km sejam saja. Perjalanan tidak membosankan kerana saya ada akitiviti didalam bas - yang saya gemari pula.

Saya cuba bandingkan dengan negara saya, Malaysia. Jika saya hendak balik nanti, saya tidak boleh order tiket online. Perjalanan dari KLIA ke KL Sentral dengan menaiki bas membosankan walaupun hanya sejam kerana tiada wifi dalam bas. Apa yang dipanggil jalurlebar atau broadband di Malaysia lambat walaupun sewa bulanan tinggi.

Tapi tak adilkan membandingkan Malaysia dengan negara maju. Saya faham ada benda sukar untuk dikejar kemajuannya, ada sesetengah sengaja dibiarkan begitu seperti broadband dan streamyx untuk memberi keuntungan semaksimum mungkin kepada oligarki tertentu dengan mengenakan charge yang mahal dan perkhidmatan yang tidak seberapa. Sebagai rakyat, kita tidak ada pilihan.

Dalam pilihanraya pun kita tidak ada pilihan. Dua-dua buntut hitam samada kuali ataupun belanga.

Malam di sini membosankan. Semuanya tutup awal kecuali pub dan pangung wayang. Nak 'mengeteh' malam-malam tiada warung mamak atau warung teh tarik. Beer saya tak minum. Pub saya tak suka.

Masa-masa sebegini saya rindukan Malaysia. Ada teh tarik tak kira pukul berapa hingga 5 pagi, boleh lepak diluar kerana cuaca tidak sejuk. Walaupun bas tidak sepuntcual bas disini, dalam bas tidak ada wifi dan internet tidak selaju di sini, Malaysia sangat saya cintai.

Hujan emas ditempat orang, hujan batu ditempat sendiri, namun saya tetap sayangkan tempat sendiri.

Wednesday, January 27, 2010

Bermain dengan api


Ada sesuatu yang tidak kena dengan Malaysia sekarang ini. Bermula dengan isu penggunaan nama 'Allah' oleh Roman Catholic, hingga isu gereja terbakar, serangan ke atas surau oleh beberapa individu yang tidak bertanggungjawab hingga ke kepala babi di lempar ke surau di Taman Datuk Harun dan Taman Sentosa.

Saya melihat ini isu keselamatan negara bukan isu politik lagi. Keselamatan negara bermula dengan sentimen yang tidak dibendung, bukan hujah dan retorik politik. Malangnya, para ahli politik(poli-tikus) masih cuba bermain dengan api tentang isu ini.

Orang Melayu-Islam di Malaysia memang unik. Mereka mesti Islam untuk menjadi Melayu mengikut perlembagaan dan bukan melalui DNA ibu bapa mereka sahaja sebagai Melayu. Dan isu Allah perlu dilihat dalam konteks setempat.

Saya pernah tulis isu ini kerana Allah hanya satu rujukan kepada Supreme Being dan Islam menyembah dan beriman dengan Allah mengikut akidah ajaran Rasulullah S.A.W. Majoriti umat Islam diluar Malaysia agak liberal dalam soal penggunaan Allah ini kerana berakar umbikan budaya mereka yang memahami Allah sebagai 'Tuhan' walaupun sebelum kerasulan baginda S.A.W.

Di Malaysia lain isunya kerana orang Melayu automatik Islam, sudah tentu bagi mereka isu Allah sesuatu yang besar kerana tidak pernah ada agama lain menggunakan nama Allah kecuali Melayu-Islam. Seperti yang saya katakan, ini menjadi sentimen yang jika tidak dibendung boleh mewujudkan ketegangan kaum dan agama. Sesuatu yang sangat 'unMalaysian'.

Walaupun Melayu-Islam Malaysia agak fanatik dalam soal Islam, tetapi mereka tidak pernah aggressif dan tidak pernah menjadi pencetus jika tidak mereka rasakan adanya pencerobohan dalam hal-hal Islam. Di sini bermula masalah kerana mereka merasakan, penggunaan nama itu mencabar harga diri dan identiti Melayu di Tanah Melayu yang dinamakan Malaysia.

Pihak berkuasa perlu mengambil segera 'pre-emptive' action, tanpa mengira dari parti mana dan agama apa seperti berlaku sebelum ini. Ini gunanya ISA, jika sudah termasuk dalam Akta Hasutan.

Sementara itu, Datuk Seri Anwar sebagai 'haiwan politik' seperti biasa mengekpolitasi kejadian ini bagi menarik undi bukan Melayu dan memberi gambaran betapa tidak tolerannya Malaysia. Dalam articlenya di Wall Street Journal, beliau menyelar kerajaan kerana tidak melindungi pengamal agama lain yang minoriti. Beliau membawa isu pembakaran gereja dan kuil sikh dan tidak menghiraukan kejadian surau yang cuba dibakar dan kepala babi dilemparkan ke surau.

Presiden ABIM dan perjuang Islam tahun 1970an yang melonjakkan namanya dipentas politik Malaysia sebagai wira Islam dan 'incorruptable' bertukar seperti chameleon menjadi tokoh liberal yang memperjuangkan hak minoriti.

Isunya disini, apabila gereja dibakar, kemudian surau, sentimen kaum tidak akan dapat dibendung lagi tanpa mengira siapa salah, siapa yang memulakan dan sebagainya. Dengan ringkas, sudah tidak ada lagi logik apabila sentimen orang Melayu menjadi 'avalanche'.

Perbuatan seorang berdua yang lunatic,membakar gereja atau surau secara isengan tidak boleh dicetuskan lagi menjadi api permusuhan kaum. Jangan main api, nanti Malaysia juga yang 'terbakar'.

Sunday, January 24, 2010

Payung

Almarhum Sultan Iskandar Al Haj Ibni Almarhum Sultan Ismail Al Khalid telah mangkat pada 22 Januari lepas. Saya mengucapkan takziah atas kemangkatan baginda.

Beberapa bulan lepas, Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan, Almarhum Tuanku Jaafar juga telah mangkat. Sultan-sultan - individu yang ditabalkan sebagai sultan - datang dan pergi tetapi institusi ini kekal.

Institusi kesultanan sudah lama wujud dalam jiwa orang Melayu, lebih lama dari Malaysia sendiri. Seperti halnya yang lain, institusi ini mengalami dugaan dan cubaan dalam meneruskan kesinambungannya.

Di England ketika zaman Oliver Cromwell, mereka memancung raja mereka apabila Parliment bertentangan dengan Royalist. Hanya selepas matinya Cromwell, orang Inggeris kembali ke sistem beraja kerana mereka tidak menemui penyelesaian siapa selepas Cromwell yang boleh menerajui England.

Di Perancis, rakyatnya mengguling dan memancung juga rajanya ketika zaman Revolusi Perancis. Perancis bergolak dengan ramai jiwa terbunuh hingga Napoleon mengembalikan 'law and order' dengan harga beliau sebagai Maharaja.

Di Malaysia, selama berabad-abad, intistusi ini juga mengalami ujian getirnya juga untuk meneruskan kesinambungannya. British pernah mengugut untuk menghapuskan isntitusi ini, apabila UMNO dan orang Melayu bangkit menentang Malayan Union, British faham sentimen antara rakyat dan rajanya sangat kuat.

Di zaman Tun Mahathir, lagi sekali insitusi ini menghadapi cabaran. Raja-raja Melayu boleh dibawa ke mahkamah khas jika mereka melanggar undang-undang. Ini mengurankan kekebalan mereka sebelum ini.

Kebanyakkan generasi Melayu muda akan kehairanan kepentingan institusi ini selain dari melihatkan mereka sebagai redundant dan costly. Malah ada Melayu liberal yang mengimpikan negara republik.

Secara teori kepentinga Melayu di jaga oleh parti Melayu terbesar dan paling berpengaruh. Dan kita menganggap ini sebagai 'lumrah' tanpa mengambil kira perubahan politik yang bakal belaku atau akan berlaku suatu hari nanti.

Kita mempercayai bulat-bulat, orang-orang politik 'kita' akan sentiasa dapat menjaga kepentingan Melayu. Kita lupa, tujuan politik dalam negara demokrasi adalah memenangi pilihanraya tanpa mengira harga. Jika kepentingan Melayu perlu digadai, atau kesucian Islam sendiri, atas nama liberal, saya fikir semua parti politik akan melakukannya

Beberapa kejadian menarik selepas pilihanraya 2008 membuktikan betapa institusi beraja ini benteng terakhir orang Melayu. Apabila parti lemah, sultan merupakan tempat bernaung. Apabila kesucian Islam tidak dapat dibela oleh ahli politik yang 'liberal' - walaupun dari parti yang meletakkan nama 'Islam' dalam namanya - raja-raja Melayu muncul sebagai benteng terakhir mengembalikan maruah dan harga diri Melayu-Islam.

Isu Allah merupakan kayu ukur kekuatan Melayu-Islam, kayu ukur kebolehpercayaan kita kepada jaguh-jaguh politik 'Islam' dan 'Melayu', dan akhirnya kita memerlukan institusi ini kerana dua sebab - para baginda tidak dipilih rakyat, diberi kuasa oleh perlembagaan dan askar-askar mengangkat sumpah setia kepada Agong dan bukan orang politik. Dan kata Mao Tse Tong: "Political power grow out of the barrel of guns."

Kita masih perlu payung ini

Saturday, January 23, 2010

Teori Konspirasi

Pada tahun 1998, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah dipecat dari kabinet sebagai Timbalan Perdana Menteri oleh Tun Dr. Mahathir. Itu merupakan 'kontreversi' terakhir Tun sebelum beliau melepaskan kuasa.

Datuk Seri Anwar yang telah lama membina kekuatan dan pengaruh dalam UMNO telah dilihat selama ini sebagai Mahathir's 'blue eyes' boy. Pemecatan ini memang mengejutkan. Kemudian muncullah teori konspirasi dari pihak Datuk Seri Anwar mengapa beliau dipecat.

Semuanya, mengikut golongan Anwarist(ketika itu PKR tiada lagi) telah dirancang dengan teliti, difabricate, dan konspirasi tertinggi melibat individu-individu berkuasa yang hampir dengan Tun. Antara nama yang disebut adalah Peguam Negara sekarang ini, Ghani Patail, Ketua Polis Negara, Rahim Nor, Hakim Augustine Paul dan Setpol Tun, Datuk Aziz Shamsudin.

Kebetulan, hampir tidak jauh dari tahun berkenaan, Mel Gibson melakunkan watak orang yang obssess dengan konspirasi dalam filem 'Conspiracy Theory'.

Tahun 2010 ini, lagi sekali teori konspirasi ini muncul. Sebenarnya, teori konspirasi memang sentiasa muncul jika ada persoalan yang tidak dapat diselesaikan secara tuntas. Ada ruang untuk 'spekulasi' maka akan adalah teori konspirasi.

Tun Mahathir, seperti biasa akan mencetuskan kontroversi. Kali ini berkenaan dengan serangan September 11. Beliau menyatakan serangan ini adalah lakonan USA untuk meyakinkan dunia betapa merbahayanya pengganas Arab-Muslim.

Ini memberi reason'd tat kepada USA untuk menyerang Iraq. Sejak zaman Hellenestic, Barat walaubagaimana barbarian pun akan mengunakan reason d'tat untuk menyerang negara lemah. Ini merupakan sebahagian 'kesucian' diplomasi mereka.

Kemudiannya, menurut penulis blog Outsyed The Box, bekas President Italy, Francesco Cossiga juga percaya serangan itu hanya siasah USA untuk membenarkan mereka mencampuri urusan Timur Tengah yang mempunyai emas hitam.

Pembaca boleh baca sendiri hujah mereka dalam blog Tun dan blog Outsyed The Box. Dan hujah mereka memang bukan clan-calang: berakar umbikan logik yang kuat. Apa yang menarik perhatian saya, dunia memang sentiasa mempunyai teori konspirasi.

Pembunuhan Kennedy, pembunuhan Martin Luther Kings, September 11, Da Vinci Code, Roswell, pemecatan Datuk Seri Anwar dan berbagai lagi. Adakah ianya benar? Nama pun teori.

Tapi kata perpatah Melayu: "Jika tidak ada angin bertiup, masakan pokok bergoyang."

Wednesday, January 20, 2010

Cawan Kosong

Saya rasa ramai yang sudah mendengar cerita tentang seorang guru Zen dengan muridnya. Dan muridnya juga bukan calang-calang orang. Murid yang ingin berguru dengan guru Zen ini juga menguasai beberapa cabang disiplin ilmu.

Apabila beliau mendengar guru Zen ini amat bijaksana sedangkan dia tahu, guru ini tidak sepertinya yang boleh menguasai ilmu fizik, matematik, geografi dan berbagai lagi dan dia hairan dimana terletak kebijaksanaan guru ini.

Guru Zen ini melayan tetamu yang ingin menjadi muridnya dengan mengadakan acara minum teh. Beliau menuang teh ke dalam mangkuk bakal muridnya hingga penuh dan hingga melimpah. Muridnya sangat hairan mengapa beliau berbuat demikian.

Menurutnya, jika kita ingin menguasai ilmu baru, kita kena mengosongkan dulu fikiran kita dan tidak boleh dibentuk oleh disiplin ilmu yang lain. Seperti cawan penuh, ditambah lagi tehnya akan melimpah dan melimpah kerana fikiran lama 'refuse to go.'

Kebanyakkan kita adalah seperti murid berkenaan, terlalu taksub dan cling dengan idea lama dan tidak dapat menerima pembaharuan. Setiap kali ada tokoh 'mujadid' kita akan tentang kerana menyalahi konvensyen.

Marilah kita kosongkan 'cawan' kita untuk menerima input baru.

Saturday, January 16, 2010

Corat Carit

Apabila Presiden Amerika mengangkat sumpah sebagai presiden, mereka diminta mengangkat sumpah dengan kitab suci masing-masing. Hingga kini, hanya penganut agama Kristian sahaja yang menjadi presiden Amerika. Sudah pasti mereka akan bersaksikan Bible.

Kita bayangkan permintaan Herald menggunakan nama 'Allah' diperluaskan hingga ke Amerika. Sekarang ini, ketika mengangkat sumpah, di akhir upacara, presiden akan mengatakan: "so help me God."

Hingga kini mereka semuanya Kristian. Bayangkan Herald, dan presiden Amerika yang beragama Kristian berikrar: "so help me, Allah."

Update: Cuba tukar lagu kebangsaan England: 'God Save The Queen' kepada 'Allah Save The Queen'. Kepada Herald, kalau nak bawa ke mahkamah pun, fikirkan akibatnya walaupun boleh menang.

Wednesday, January 13, 2010

Paradoks

Sejarah, kata sesetengah orang, sentiasa mempunyai 'sense of irony'.

Akira Kurosawa dituduh sebagai pro western, sedangkan dalam filem-filemnya sering menonjolkan adat resam dan budaya Jepun. Filem-filem terkenalnya seperti Roshimon, Yojimbo, Seven Samurai, Ran, Sanjuro, Hidden Fotress dan Madadayo menonjolkan watak dan peribadi Jepun dalam erti kata yang sebenar. Malangnya, di Jepun beliau dilihat sebagai pengarah filem yang 'sesat' dan mengutamakan nilai-nilai kebaratan.

Peter Ilyich Tchaikovsky sebagai seorang komposer muzik dari Rusia juga sering dituduh oleh pengkritiknya sebagai seorang komposer yang terlalu 'kebaratan.' Anehnya, karya-karya beliau seperti Swan Lake, Nutcraker, Sleeping Beauty dan berbagai lagi sangat kuat mempunyai pengaruh folklore Rusia.

Di Malaysia, Tun Mahathir seorang dituduh diktator, 'Maha Firaun' dan pengamal kroni. Anehnya, beliau, seperti katanya sendiri, merupakan 'diktator' yang meletak jawatan dan melepaskan kuasa. Di zaman beliau, ahli kabinetnya mencabar beliau, Timbalannya sendiri pernah mencabarnya dan beliau tidak pernah membenar anaknya memegang jawatan dalam parti dan kerajaan. Mokhzani pernah memegang Bendahari Pemuda kemudian melepaskan jawatan apabila bapanya tidak menyetujui perlantikannya selagi beliau PM.

Paradoksnya, tokoh yang liberal, tidak mencari harta berjuta, emas bertimbun menggalakkan anak menantunya menguasai parti dan kerajaan.

Paradoks, paradoks.

Sunday, January 10, 2010

Negeri Tiada Undang-undang

Sebelum membaca posting ini sila rujuk kepada blog 'Outsyed The Box' di sini: http://syedsoutsidethebox.blogspot.com/

Dalam posting 'Penang Selangor Cowboy Town' beliau menceritakan enam kejadian di Penang kegiatan kongsi gelap berleluasa. Ada kes pembunuh upahan, bom tangan bagi menguggut orang awam memberi 'duit perlindungan', dan berbagai lagi pembaca boleh baca sendiri.

Menurut beliau, kebetulan Penang dan Selangor mempunyai pengaruh DAP dan sebelum ini pun kita terdengar YB Liu, wakil rakyat DAP terlibat dengan kongsi gelap di Selangor. Mujur Perak, walaupun diperintah oleh PAS tetapi kerajaan boneka DAP cepat ditawan semula oleh Barisan Nasional.

Ramai yang berkata, sesiapa memerintah pun sama saja kerana hak istimewa orang-orang Melayu dipelihara oleh Perlembagaan. Memang sama tetapi kita boleh lihat kecenderungan DAP, parti cauvanis Cina yang melaungkan slogan 'Malaysian Malaysia' ini lebih cenderung mencorak negeri mereka dengan cara tradisi kaum Cina: triad, pelacuran, judi dan minuman keras.

Mahukah kita melihat Persekutuan Malaysia ditadbirkan demikian rupa? Mungkin kita kena tanya Nik Aziz, kerana dia minat DAP lebih dari UMNO.

Friday, January 8, 2010

Tolenrasi Agama

Menurut laporan dalam blog Rocky Bru, sebuah gereja telah dibakar di Kuala Lumpur. Terlalu awal untuk menyatakan apa puncanya dan siapa dalang yang mengkhiantinya. Kebetulan isu kontroversi menggunakan nama 'Allah' sedang hangat, perbakaran gereja ini berlaku boleh mendatangkan ketegangan jika tidak ditangani dengan baik.

Islam agama yang sangat bertolenrasi dengan penganut agama lain. Dalam sejarah Islam, tidak pernah penguasa atau pemerintah Islam melakukan ketidakadilan kepada penganut agama lain. Semasa zaman pemerintahan Syaidina Umar, beliau sangat melarang menganggu ahli kitab yang mengakui ketuanan Islam i.e kafir zimmi atau kafir yang tidak memusuhi Islam.

Hingga ke zaman Usmaniyah di Turki, terkenal dengan sifat tolenrasi sultan-sultan Usmaniyah terhadap penduduk bukan Islam dalam kekuasaan mereka. Bertrand Russel sendiri pernah mengakui, pemerintah Islam lebih adil dan saksama terhadap penganut agama lain berbanding dengan pemerintah Kristian didalam kekuasaan mereka.

Quran juga banyak menegaskan Allah tidak suka kepada 'oppressor' atau penindas atau pelampau. Allah minta berlaku adil kepada umat manusia walaupun yang tidak Islam kecuali yang jelas dan nyata menentang Islam.

Mari kita kembali ke jalan Allah, berlaku adil dan dapat menerima kewujudan agama lain dan lebih terbuka. Lagipun perbuatan sebegini akan memberi nama buruk kepada Islam yang bermakna 'sejahtera'.

Wednesday, January 6, 2010

Akidah

Isu yang sedang hangat diperkatakan sekarang adalah penggunaan 'Allah' oleh gereja dan bimbang mengelirukan akidah orang Islam di Malaysia terutamanya.

Saya pernah menulis dalam posting 'Allah' sebelum ini yang mana kaum musriyikin juga mengakui Allah sebagai salah satu dari tuhan mereka. Mereka juga mempunyai berhala lain dan antaranya dikatakan anak Allah.

Islam adalah kesinambungan ajaran yang dibawa oleh rasul-rasul terdahulu. Umat terdahulu diutuskan rasul dengan panduan dan wahyu diturunkan oleh Allah bagi menerangkan kebenaran bagaimana ajaran sepatutnya.

Antaranya, Allah sebagai Tuhan, God atau Supreme Being tidak beranak, diperanakkan, tiada sekutu dan rakan kongsi. Allah itu Tunggal. Ahad.

Setiap ajaran rasul itu lama kelamaan akan mengalami penyelewengan. Allah akan menurunkan rasul lagi bagi membetulkan akidah umat manusia hingga zaman nabi dan rasul terakhir, Rasulullah Muhamad Al-Mustafa S.A.W.

Jelas dalam surah Al-Ikhlas, Allah menurunkan wahyu bahawasanya, tiada kompromi bagi golongan mengatakan Dia beranak,diperanakkan dan mempunyai sekutu.

Soal di Arab, Dia dirujuk sebagai Allah dan sebelum kedatangan Islam, musyrikin juga memanggil salah satu dari tuhan mereka sebagai Allah hingga muncul Rasulullah S.A.W membawa ajaran yang mendapat petunjuk dari wahyu Allah sendiri melalui Al-Quran: Kalamullah.

Memang Malaysia sebuah negara unik. Orang Melayu menurut perlembagaan mesti Islam samada mereka menghayati akidah yang sebenar atau tidak. Agama lain bagi orang Melayu merupakan 'unthinkable'.

Kebimbangan penggunaan Allah bagi agama Kristian yang mempercayai Trinity mendapat tentangan dari orang Melayu/Islam kerana sifat Ketunggalan Allah sendiri menurut ajaran Islam. Di negara kelahiran Islam sendiri mempunyai Arab Kristian dan Arab Muslim dan Allah bagi mereka cuma perkataan merujuk kepada Tuhan. Bagi Muslim, Ahad atau Tunggal dan bagi Kristian Trinity: 3 dalam 1.

Masalah timbul kerana penerimaan Islam yang secara automatik dan dogma, serta 'kebakaan' tanpa mendalami akidah yang sebenar menyebabkan Melayu menjadi kadang-kadang fanatik. Isu disini sudah bukan soal akidah tetapi menjadi isu politik, emosi dan sentimen.

Untuk kita menampan unsur-unsur luar, menjadi cabaran kepada orang muslimin terpelajar, ulama-ulama, orang alim atau 'knowlegable' mentarbiah umat Islam Melayu tentang akidah yang sebenar. Dan serangan terhadap akidah muslimin sudah lama berlaku diseluruh dunia kerana seringkali sesuatu bangsa selain Melayu menganut agama yang berbagai.

Ini bukan masalah baru hingga menerobosnya akidah yang salah seperti Din Illahi di India, wahdatul wujud ajaran Ibnu Arabi yang mempunyai unsur-unsur Hindu, ajaran Ibnu Rushd yang membela ahli falsafah Greek yang menurut Imam Ghazali sebagai 'Tahafut' dan bertentangan dengan akidah merupakan isu lama.

Soal sesat akidah orang Melayu seperti ajaran rasul Melayu, Asyaari Muhammad dengan Aurad Muhammadiyah dan Ayah Pin sepatutnya lebih perlu dibimbangi dan ditangani dengan lebih luwes kerana mereka menyerang Islam dari dalam.

Kristian dan Yahudi sudah dinyatakan dalam surah 'Al-Kafirun' agama mereka agama mereka dan Islam adalah agama kita. Sudah jelas dan tidak perlu bimbang tentang ajaran mereka.

Friday, January 1, 2010

2010

Hari ini merupakan hari pertama tahun 2010. 1 Januari 2010. Kita ada 10 tahun lagi, menuju ke Wawasan 2020. Wawasan(atau slogan?) yang tidak dilaungkan lagi. "Melayu mudah lupa", kata penggerak wawasan berkenaan.

18 December 2009 ketika menyambut Awal Muharam, menyambut tahun baru Hijrah. Manusa moden menganut setidak-tidaknya 2 calendar - calendar Islam untuk mengingati hari-hari keagamaan dan calendar Gregion untuk mengingati hari-hari keduniaan.

Secularisme memang menjadi 'golden straight jacket'. Kita tiada pilihan. Tahun Hijrah akan dirujuk apabila kita hendak berpuasa, raya(Fitri dan Adha), Maulidur Rasul, haji dan Muharam. Sementara calendar ciptaan Julius Caesar pula untuk kita mengingati Hari Buruh,Hari Guru, Hari Ibu, Hari Bapa dan Valentine Day. Dunia moden memang untuk Barat sementara kita hanya Pak Turut.

Selamat Tahun Baru. Selamat Menyambut Tahun 2010. Untuk mengingati penguasaan Barat ke atas zaman ini, malah mereka boleh memakai nama Allah untuk Tuhan Bapa mereka, suka saya ungkap kata-kata Rabindranath Tagore ketika beliau memberi ucapan ketika lawatannya ke Amerika Syarikat. Turut hadir, bakal Presiden Amerika yang hanya senator ketika itu iaitu Franklin Delano Roosevelt.

Ini ucapan Tagore:

"The age belongs to the West, and humanity must be grateful to you because of your science. But you have exploited those who are weak, and humiliated those who are helpless with this gift. A great portion of the world suffer from your civilisation."

Benar? Lihatlah Iraq, Afghanistan,Abu Gharib, Guatanamo dan Cuba.

Monday, December 28, 2009

Ketuanan Melayu

Saya tertarik membaca article Datuk A. Kadir Jasin dalam blognya tentang sikap kedua-dua parti terbesar Melayu iaitu UMNO dan PAS yang kononnya mengikut 'trend'. Saya juga memang bersetuju dengan pendapat beliau tentang ketakutan kedua-dua parti berkenaan - Melayu dan Islam - dilabel sebagai terlalu rasis dan extremist.

Ada suatu sudut lagi yang menarik tentang hakikat takut dilabel rasis dan extremist ini. Silent majority Melayu juga sebenarnya sudah tidak kisah mengenai 'ketuanan Melayu' itu. Seperti dalam tulisan posting saya 'Menyusu Kera Di Hutan', ramai juga Melayu yang apolitical bersimpati dengan sikap rasis kaum lain. Kononnya kaum lain tidak mendapat pembelaan dan keadilan.

Mereka sendiri kadang-kadang lahir dari product DEB - satu langkah affirmative action - bagi mengurangkan jurang ekonomi antara Melayu dan bukan Melayu terutamanya kaum Cina. Mereka kebanyakkan golongan professional seperti doktor, peguam, akauntan dan berbagai yang ditaja oleh kerajaan bukan kerana mereka brilliant jika dibanding dengan kaum lain - hanya kerana mereka brilliant dikalangan bumiputera.

Kurangnya tekanan atau urgency dari golongan silent majority Melayu ini jika dibanding dengan kaum-kaum lain menyebabkan parti-parti politik - pembangkang atau pemerintah - membuat keputusan untuk membuat konsensi dengan pengundi kaum bukan Melayu yang menuntut 'hak' mereka. Seperti katak, mungkin hanya dua tiga ekor sahaja tetapi mereka lantang dan ini menyebabkan parti-parti akan akur dan terpaksa melayani tuntutan mereka.

Jika ada beberapa orang kuat parti yang lantang bersuara tentang 'ketuanan Melayu' ini, mereka akan dikenakan tindakan - setidak-tidaknya amaran seperti Ketua UMNO Bukit Bendera, Ahmad Ismail yang digantung keahliannya kerana hanya menyatakan fakta kaum Cina merupakan keturunan pendatang.

Dari Parti Keadilan Rakyat, kita boleh rasa keresahan YB Zulkifli Nordin apabila kepentingan Melayu terhimpit dan beliau bangun mempertahankan sedangkan ia sangat bertentangan dengan dasar parti mereka yang liberal. Dalam UMNO terdapat pemimpin yang terpaksa meminta maaf kerana hanya mencium keris.

Semuanya boleh kita simpulkan, kepentingan Melayu adalah 'sumpahan' kepada parti-parti politik kerana takut hilang sokongan kaum bukan Melayu yang memang agenda mereka pun melabelkan kita sebagai cauvanis dan rasis. Dan kita menari mengikut gendang mereka.

Betapa kita merindukan orang kuat yang tidak takut tidak popular seperti Tun Dr. Mahathir dalam mempertahankan yang hak dari yang batil.

Saturday, December 26, 2009

Kematian Birokrat

Saya tidak baca pun buku Authur Miller 'Death of a Salesman' tapi tajuk posting ini meminjam tajuk playnya.

Dunia sudah berubah bukan. Dalam Future Shock, Alvin Toffler pernah meramalkan perubahan ini pada tahun 1970an. Seperti explorer fizikal macam Christopher Columbus, lakaran peta dunia yang belum ditemui tidak semestinya tepat, tapi setidak-tidaknya ia menjadi panduan kepada bagaimana melayari 'uncharted territory'.

Jika kita kembali menonton 'Space Oddessey 2001' karya Stanley Kubrick, yang di hasilkan sebelum manusia pertama mendarat ke bulan, bukankah lucu gambara 'keangkasaan' yang ingin digambarkan oleh beliau, kerana sewajarnya begitu: beliau tiada 'precedent'.

Dalam siri t.v semasa saya kecil dahulu: 'Space 1999' langsung tidak sama dengan keadaan sekarang. Banyak perkembangan dan ledakan ilmu masih belum muncul ketika artis mengkhayalkan masadepan.

Macam mana jika kita hidup zaman nano tetapi perancangan dirangka oleh ahli politik dan birokrat mentaliti zaman Revolusi Industri? Bagaimana jika sistem pendidikan yang menyonsong arus masadepan dirangka oleh para birokrasi yang tenat(dying) mentalnya untuk memahami realiti baru?

Bagaimanakah masadepan anak-anak kita jika kita masih merangka dan merancang masadepan - dalam pendidikan terutamanya - dengan peninggalan silam? Jika kita melahirkan ramai sangat birokrat dengan harapan makan gaji dengan kerajaan, jadilah kita negara kebajikan: kerajaan mencari pendapatan dengan mencukai usahawan untuk menampung 1.2 juta pegawai kerajaan.

Lama kelamaan kerajaan akan keletihan melayan 'karenah birokrasi' yang bukan bererti 'red tape'. Minta bonus. Naik gaji etc etc tanpa mengira apa produktiviti yang sewajarnya.

Semasa Dasar Pengswastaan Tun Mahathir dahulu, kita biasa dengar perkataan 'Reinventing Goverment' yang bermakna kita mengurangkan kakitangan kerajaan, menggalakkan pertumbuhan swasta(kerana mereka yang membawa duit) dan melicinkan jentera kerajaan dengan mengurangkan 'chain of command'nya.

Sekarang Malaysia sudah kembali ke generasi selepas merdeka. Kebanyakkan graduate bercita-cita bekerja dengan kerajaan kerana 'terjamin'. Jika tidak pun bekerja dengan swasta. Dengan kata lain, kita menggalakkan anak-anak muda hidup dari 'paycheck' ke 'paycheck' dan sangat kurang menggalakkan mereka menjadi usahawan.

Jika kecekapan para birokrat diukur dengan kepandaian menghabiskan bajet, usahawan pula diukur dengan mewujudkan peluang pekerjaan, membuat duit dan menambah hasil negara.

Pilihan ditangan kita tetapi zaman nano ini, birokrat adalah seperti dinosour, a dying species.

Tuesday, December 22, 2009

Kejujuran Sesama Penyangak

Honesty among the crooks.

Jika duit merupakan segalanya, bahkan keselamatan negara boleh diperlekehkan. Enjin General Electric J85-GE-21 yang bernilai RM50juta telah dicuri dan di 'dismantle'kan. Mustahil enjin aircraft sebesar itu boleh diseludup tanpa disedari jika tidak ada konspirasi terancang.

Seorang brigdier jeneral dan 40 kakitangan tentera telah dipecat. Dipecat? Mereka sepatutnya di bicarakan di mahkamah tentera dan dihukum mati. Ini kerana membabitkan keselamatan negara.

Duit penting. Rasuah memang banyak, tetapi kalau sampai ini pun kita bertimbangrasa susah la. Beberapa blogger terkenal minta diadakan Suruhanjaya Di Raja bagi menyiasat hal ini. Mereka antaranya Datuk A. Kadir Jasin, Rocky Bru dan Barking Magpie.

Manakala kita bergelut dengan masalah keselamatan negara yang tiada kompromi, Lim Kit Siang tidak habis-habis mengejar 'hantu' masa silamnya. Beliau minta diadakan Suruhanjaya Di Raja juga bagi menyiasat projek pembinaan selama 22 tahun Tun Dr. Mahathir sebagai PM yang melibatkan kos 100billion.

Masih belum belajarkah? Jangan tendang bola dah kempis nanti sakit kaki sendiri.

Saturday, December 19, 2009

Tanduk Rusa

Masa saya kecil dahulu, saya ada terbaca kisah cerita rakyat perihal seekor rusa yang mempunyai tanduk yang cantik dan sering berbangga dengan tanduknya. Rusa itu sangat membenci kakinya, kerana kakinya kecil dan kurus.

Suatu hari, rusa berkenaan telah dikejar harimau. Ia berlari dan berlari sementara harimau mengejar dan mengejar. Kaki buruk yang tidak disukainya itulah yang membawa ia jauh dari harimau berkenaan. Malangnya, rusa berkenaan gagal menyelamatkan diri kerana tanduk kebanggaannya tersangkut dicelah-celah pokok-pokok yang rendang.

Sebelum menemui ajalnya, rusa itu sedar kaki buruknya itu lebih berfaedah dari tanduk cantik kebanggaannya selama ini. Dan tanduk itu yang sebenar membawa malapetaka. Ini jadinya apabila 'blessing' bertukar menjadi 'curse'.

Jepun merupakan sebuah negara yang mempunyai'sumpahan'(curse) kerana tiada sumber asli. Dari hanya sebuah negara mundur pertanian diperintah oleh kelas tentera(shogun) akhirnya menjadi kuasa besar industri. Jepun pula menukar 'sumpahan' mereka menjadi 'blessing'.

Banyak negara yang asalnya negara miskin sumber asli tetapi kerana sikap dan karakter mereka akhirnya berjaya menjadi negara besar. Banyak pula negara yang kaya dengan sumber asli gagal menjadi negara maju kerana sikap dan karekter. Akhirnya, seperti rusa tadi, sumber asli kita menjadi punca kegagalan dan menukar 'blessing' menjadi 'curse'.

Kerja ahli politik dan pegawai kerajaan adalah menguruskan dengan elok sumber asli ini. Membawa teknologi dan sumber ekonomi terbaru yang boleh menggantikan sumber asli seperti balak, kelapa sawit, timah, emas, getah dan reserve minyak apabila sumber ini kering nanti.

Perkara ini terlalu simple, mungkin kerana simple kita tidak fikir ianya penting. Sama ada kita di rahmati dengan 'tanduk' atau tidak, tetapi karakter kita yang menentukan kejayaan dan bukan 'tanduk' berkenaan.

Your character is your detiny.

Friday, December 18, 2009

Maal Hijrah.

Mengikut kalendar Islam hari ini merupakan tahun 1431. Pada mulanya, ummah tidak mempunyai tahun Islam. Orang-orang Arab menamakan tahun mengikut peristiwa tahun berkenaan seperti Tahun Gajah, tahun kelahiran Rasulullah, merupakan diambil sempena peristiwa Abrahah menyerang Mekah.

Bulan-bulan dalam Islam merupakan bulan-bulan Arab jahiliyah juga, cuma tahun tidak ditentukan. Apabila Syadina Umar Al-Khattab r.a mempunyai masalah untuk merancang takwim, beliau menyebut nama bulan, kemudian ditanya oleh pegawainya, tahun bila beliau memanggil sahabat terdekat bermusyuawarah tentang itu.

Syadina Ali r.a mencadangkan peristiwa Hijrah perlu diambil sebagai titik tolak dalam sejarah ummah, hijrah atau peralihan dari bangsa pagan, musyrik dan penyembah berhala kepada ummah pimpinan Rasul-Allah yang diutuskan oleh Allah S.W.T bagi mengEsakan Tuhan yang satu dan menjadi mukminin.

Hijrah diambil sebagai kalendar Islam dan ini bermakna, sudah 1431 tahun peristiwa hijrah Rasulullah dan sahabat dari Mekah ke Madinah membentuk ummah dan negara Islam yang pertama. Kemudian Islam menjadi agama sejagat yang dianuti oleh ramai umat manusia bukan di Semenanjung Arab, tetapi seluruh dunia.

Selamat tahun baru. Selamat menyambut awal Muharram.

Tuesday, December 15, 2009

Rahsia Tun M

Jika kita masih ingat, Tun Mahathir orang paling suka kontroversi. Beliau bergaduh hampir dengan semua institusi dan individu. Beliau pernah berkonfrontasi dengan Raja-raja Melayu, malah tidak keterlaluan jika dikatakan beliau yang mendisiplinkan para 'baginda'.

Beliau bergaduh dengan institusi kehakiman, menyebabkan terpecatnya Tun Salleh Abbas. Beliau juga telah memusnahkan karier politik musuh-musuhnya. Tun Musa Hitam, Tengku Razaleigh dan Anwar Ibrahim semua tidak setanding dengannya.

Beliau bergaduh dengan George Soros, pelobi Yahudi, Al Gore, Keating(bekas Perdana Menteri Australia) dan Amerika Syarikat, Great Britain; beliau juga mengkritik kepincangan sistem kapitalis, kepura-puraan demokrasi Barat dan berbagai lagi.

Namun beliau tetap popular di mata rakyat. Mengapa?

Jawapannya senang, sementara beliau bergaduh dengan tokoh-tokoh dunia dan nasional, Tun M pastikan kebajikan rakyat didahului. Slogan 'rakyat didahulukan' sebenarnya sudah ada dizamannya cuma tidak dilaung-laungkan.

Beliau menentang kenaikkan minyak petrol dan diesel, walaupun subsidi membebankan kerajaan, beliau boleh mengawal harga-harga barang, tidak menaikkan yuran makanan dari 1Rm ke 3Rm.

Jadi PM kata berpuashati dengan KPI Menteri-menterinya. Adakah rakyat berpuas hati? Adakah terbela rakyat dengan harga barang yang naik dan kos sara hidup makin meningkat sedangkan pegawai kerajaan dan menteri-menteri masih berbelanja besar soal yang tidak berkaitan dengan kebajikan rakyat.

Kita menjadi juara dalam pertandingan yang kita juga hakim. Nemo judex in causa sua. Maknanya tiada siapa boleh menghakimi dirinya sendiri atau maxim itu lebih dikenali dengan nama 'Rule of bias'.

Walaupun Tun Mahathir menyelamatkan company anaknya sendiri, rakyar tidak bangun memberontak kerana jika kebajikan rakyat dijaga, orang tidak fikir sangat pasal ketelusan, rules of law dan sebagainya.

Belajarlah dari kegagalan rejim yang lepas, Dinasti Tingkat 4. Those who forget the past, condemned to repeat it. Kata Santayana.

Sunday, December 13, 2009

Sekadar Cetusan

Saya masih tiada mood hendak mengulas tentang banyak isu-isu semasa seperti 'Sham-murai' Melayu, isu royalty minyak, isu BTN dan akhirnya isu pandangan unik Tengku Razaleigh tentang 'rahmat' minyak yang sebenarnya sumpahan.

Politik tetap politik dan isu akan datang dan pergi. Dibahas, dibincang kemudian dilupai.

Perpecahan ummah yang mana dibentuk oleh Rasulullah juga bermula dengan politik. Ada beberapa corat coret yang suka saya kemukakan di sini agar menjadi renungan kita bersama.

Ini kata-kata Syadina Umar Al-Faruq r.a ketika melantik wali-walinya:

"Sesungguhnya aku bukan melantik kamu untuk darah orang muslim. Aku juga tidak melantik kamu kepada harta mereka. Aku melantik kamu untuk menyeru mereka menunaikan solat, menyamaratakan hak, berlaku adil tanpa sebarang diskriminasi dan membahagikan harta rampasan di antara mereka. Jangan memukul tentera muslimin kerana itu merendahkan mereka, jangan menuduh mereka kafir, mengurung dan menyeksa mereka. Sentiasa mengajar al-Quran, kurangkan meriwayat hadis daripada Rasulullah dan bertakwalah kepada Allah s.w.t..."

Dalam buku 60 Kehidupan Sahabat karya Khalid Muhammad Khalid, Al-Faruq melarang Abu Hurairah banyak sangat meriwayatkan hadis kerana bimbang orang Islam keliru dengan Al-Quran. Dalam sirah Nabi Muhammad karya Muhammad Hussein Haykal, ketika baginda S.A.W hendak wafat, baginda ingin meninggalkan wasiat bertulis tetapi ditentang oleh Umar kerana bimbang Al-Quran menjadi seperti Injil dan bercampur aduk dengan kata-kata Al-Masih.

Rasulullah tidak jadi menuliskan wasiatnya. Umum sangat maklum Umar Al-Khattab sangat menyayangi dan menyanjungi Rasulullah. Beliau minta Al-Quran dibaca, didalami dan difahami kerana Al-Quran merupakan kata-kata Allah sendiri melalui baginda S.A.W.

Umar juga menebang pokok yang mana dibawahnya Perjanjian Hudaibiah dibuat kerana ramai orang Islam yang terkemudian bersolat di situ kerana kononnya keramat.

Jadi jika ulama sekarang hendak menjadikan hal-hal remeh seperti soal bidaah yang baik seperti tahlil, talkin, qunut dan sebagainya punca-punca pepecahan ummah, fikirkan semula. Adakah Umar Al-Khattab juga wajar di labelkan sebagai anti-ahlisunnah waljamaah?

Lagi kata-kata beliau yang menarik hati saya:

"Jika kamu melihat orang alim menyintai dunia, jauhkan dia dari agamamu kerana sesungguhnya setiap yang menyintai akan tenggelam dalam apa yang dicintainya."

"Islam akan musnah kerana orang alim yang tersilap langkah, perdebatan orang munafiq tentang al-Quran dan pemimpin yang khianat dan menyesatkan."

Dalam Islam, solat merupakan hubungan langsung dengan Allah dan kita tidak perlu orang tengah seperti cardinal atau bishop atau pope.

Wallahualambissawab.

Friday, December 11, 2009

Jalan Pulang

Saya memohon maaf kepada pembaca kerana lama tidak posting apa-apa yang baru. Agak lama saya tidak menulis. Saya dalam proses 'soul-searching' dan lebih banyak merenung diri sendiri dari persekitaran. Alangkah jauhnya tersasar saya selama ini dari jalan Allah.

Sesungguhnya Allah memberi hidayah kepada siapa yang Dia suka, dan tidak kepada siapa yang juga Dia suka. Sebagai muslim dan mukmin, kita kena pasrah apa saja takdir yang ditentukan olehNya, disamping berusaha sedaya upaya kerana kita tidak tahu masa depan.

Alhahdulillah, saya menemui jalan kembali, seperti dalam 'AlFatihah', "tunjukkanlah kami jalan yang lurus".

Syukur kepada Allah.