Followers

Friday, June 5, 2009

Sejarah Nusantara

Saya terdorong menulis posting ini kerana geram membaca sesetengah blog dan komen yang menyangkal Melayu penduduk peribumi Malaysia. Saya juga tidak puas hati apabila mereka komen Melayu adalah berasal dari kebudayaan Indonesia. Saya pernah menulis tentang ini dalam posting 'Nusantara' dan saya janji ini bukan ulangan atau redundancy.

Sebelum kedatangan penjajah dan kaum lain ke alam Melayu ini, nusantara dikenali dengan nama kepulauan Melayu. Kepulauan Melayu ini meliputi Semenanjung Tanah Melayu, Sumatera, Jawa, Sulawesi, Filipina dan beberapa kepulauan kecil seperti Karimun, Riau, Bantam dan lain-lain.

Sebelum Parameswara menjadikan Melaka sebagai pusat pemerintahannya, Semenanjung Tanah Melayu sudah mempunyai kerajaan Melau seperti Langkasuka, Patani dan Funan. Melayu sudah menduduki dan mendirikan kerajaan di Semenanjung Tanah Melayu sebelum Parameswara mendirikan Melaka.

Pada ketika itu, Selat Melaka merupakan lalulintas kelautan yang sibuk kerana ia menghubungkan perdagangan antara Barat dan Timur termasuk antara India dan China. Muncul kerajaan Melayu di Jambi dari Pulau Sumatera menguasai lalulintas Selat Melaka. Kerajaan entreport seperti Srivijaya telah menguasai Selat Melaka dan menaungi negeri-negeri di Semenanjung Tanah Melayu.

Sriwijaya wujud dalam abad ke 7, jauh sebelum istilah Indonesia wujud lagi. Kerajaan Sriwijaya ini merupakan pemerintah de facto Sumatera, termasuklah kerajaan-kerajaan kecil di Semenanjung Tanah Melayu. Sudah ramai orang Melayu yang tinggal di sana kerana konsep 'negara' tidak wujud di alam Melayu ketika itu kecuali konsep 'kerajaan' iaitu berpangsikan raja.

Tanah-air atau nation-state tidak wujud dalam dunia Melayu kerana kewilayahan ditentukan oleh Raja. Konsep bangsa bagi orang Melayu ketika itu adalah rumpun bangsa Melayu. Mereka percaya mereka dari rumpun yang besar cuma dari pecahan etnik sahaja seperti minangkabau, jawa, bugis dan sebagainya.

Sementara Sriwijaya menguasai lalulintas Selat Melaka, Jawa pula diperintah oleh raja-raja kecil dan masih belum bersatu. Jawa mula bersatu dibawah Airlangga, seorang Raja yang datangnya dari Bali. Nama baginda juga bermakna "Yang Menyeberangi Air' iaitu dari Pulau Bali ke Pulau Jawa.

Ketika empayar Sriwijaya berada dipuncak, Jawa masih kucar-kacir. Dihari perkahwinan Airlangga ketika baginda berusia belasan tahun, Sriwijaya menyerang Jawa dan menyebabkan Airlangga terpaksa melarikan diri ke dalam hutan. Baginda bersumpah akan menyatukan pulau Jawa dan akan turun takhta apabila baginda berusia 40 tahun.

Serangan Sriwijaya itu bukan berniat untuk menakluk, lebih berniat menghukum. Ini memberi ruang kepada Airlangga dan menyatukan Jawa. Benar seperti sumpahnya, setelah menyatukan Pulau Jawa baginda turun takhta dan menjadi pertapa. Menurut dongeng dalam Babad Tanah Jawa, baginda minta seorang sakti untuk membelah Pulau Jawa supaya Putera Baginda boleh memerintah tanpa perang saudara.

Perang tetap berlaku dan terpecah Pulau Jawa oleh putera Airlangga sebagai Jawa Barat dan Jawa Timur. Dalam masa yang sama, Sriwijaya di ambang keruntuhannya kerana empayar itu telah diserang oleh Raja Chola dari India. Runtuhnya Sriwijaya bererti runtuhnya kekuasaan Melayu yang menguasai selat Melaka dan memberi ruang untuk dinasti dari Jawa ini menguasainya suatu ketika nanti.

Keturunan Airlangga ini menemui kemusnahannya apabila muncul Ken Arok dari Tumapel. Ken Arok hanya seorang petani tetapi berjaya mengalahkan dinasti Airlangga dan Ken Arok mengasaskan dinasti Singosori pada 1200an. Keturunan Ken Arok, iaitu Kertanegara memerintah dari tahun 1268-1292 telah berminat hendak menguasai bekas empayar Sriwijaya di Selat Melaka.

Baginda yang juga dikenali dengan nama 'Jaka Dolog' terpaksa berhadapan dengan ancaman Kublai Khan yang menghantar utusan minta Raja itu membayar ufti kepadanya. Berhadapan dengan krisis ini, Kertanegara tidak dapat meneruskan cita-citanya untuk menguasai Selat Melaka tetapi mencipta apa yang ahli sejarah namakan 'Pa-Malayu' atau Holy Alliance dengan jiran-jirannya di Nusantara bagi melawan armada Kublai Khan.

Dalam usahanya untuk menguasai politik Melayu, Kertanegara telah menghantar seorang tokoh politik Melayu yang beribukan Jawa keraton bernama Adiyawarman yang mana keturunannya menjadi pemerintah Pagar Ruyong.

Sedang Kertanegara bersiap-siap untuk menentang tentera Kublai Khan, baginda menghantar tenteranya ke luar Pulau Jawa dan lupa keturunan Airlangga, musuh tradisi Singosori menunggu masa untuk bertindak. Jayakatwang, keturunan Airlangga mengunakan kesempatan ini ketika Singasori kurang tentera dan menyerang Kertanegara. Baginda terbunuh ketika mengadakan acara 'Bhairawa' iaitu acara minum tuak.

Menantu Kertanegara, Raden Wijaya melarikan diri dari Keraton. Ketika tentera Kublai Khan sampai, Raden Wijaya memaklumkan raja yang menghina tentera Kublai Khan itu telah mati. Oleh kerana tidak mahu pulang kosong, tentera Monggol bersekutu dengan Raden Wijaya memerangi Jayakatwang. Akhirnya taktik melagakan musuh itu memberi faedah kepada Raden Wijaya kerana walaupun Monggol berjaya mengalahkan bekas musuh mentuanya, tentera Monggol sendiri banyak yang berkurang kerana penyakit dan terbunuh semasa memerangi Jayakatwang.

Kesempatan ini digunakan oleh Raden Wijaya yang berpura-pura menyebelahi Monggol memerangi Jayakatwang. Mahir dengan taktik gerila di hutan kepulauan Jawa, Raden Wijaya berjaya mengalahkan tentera Kublai Khan. Baginda lantas mendirikan sebuah dinasti yang mendominasi kepulauan Melayu melalui penguasaan selat Melaka sebelum munculnya Melaka.

Raden Wijaya merupakan pengasas Majapahit.

Majapahit merupakan kekuasaan laut seperti Sriwijaya dan kebetulan muncul ketika Sriwijaya sudah hampir runtuh. Dibawah Mahapatih Gajah Mada, Majapahit merupakan kuasa yang mengantikan Sriwijaya. Majapahit menakluk Sumatera dan menguasai selat Melaka.

Di ambang kejatuhan Majapahit, seorang putera Palembang dan waris kepada keturunan Sriwijaya telah muncul dan memberontak terhadap kekuasaan Majapahit. Baginda diserang oleh Majapahit dan melarikan diri ke Temasik. Di sana baginda diterima baik oleh Orang-orang Laut yang mana tulang belakang empayar Sriwijaya. Baginda digelar 'Sang Aji Palembang'. Baginda adalah Parameswara.

Kedatangan Parameswara ke Temasik dan ke Melaka bukan penghijrahan seperti kaum Cina dan India ke Tanah Melayu. Seperti yang saya pernah tulis, Indonesia adalah istilah yang diberi oleh syarikat Hindia Belanda kepada pulau-pulau Nusantara setelah Belanda dan Inggeris membahagikan 'sphere of influence' mereka melalui Perjanjian Inggeris-Belanda 1824.

Selama berabad-abad sebelum kedatangan penjajah Barat, nusantara sudah mempunyai pemahaman politik mereka. Konsep Malaya dan Indonesia tidak ada sebelum Perjanjian 1824. Melayu berkembang dengan budaya masing-masing sementara Jawa pula, walaupun dalam rumpun bangsa Melayu mengembangkan kebudayaan dan bahasa mereka sendiri.
Jika mereka mengatakan Melayu subculture kepada kebudayaan Indonesia, kebudayaan mana? Jawa? Minangkabau? Bugis? Ambon? Irian Jaya?

Melaka menjadikan dunia Melayu lebih diterima. Bahasa Melayu yang kemudiannya menjadi asas kepada bahasa Malaysia dan Indonesia merupakan bahasa lingua franca ketika dizaman kegemilangan empayar Melaka .

Apabila Sultan Mahmud Marhum Kampar dikalahkan oleh Portugis, baginda berundur ke Johor dan meneruskan dinasti Bukit Seguntang di Johor. Keturunan baginda memerintah dari Kepulauan Riau kerana empayar itu dikenali Empayar Johor-Riau.

Bahasa Melayu moden yang dipertuturkan oleh orang Malaysia, Brunei, Singapura dan Indonesia berasal dari Pulau Riau. Mengatakan ianya kebudayaan Indonesia salah sama sekali kerana dari worldview orang nusantara ketika itu tiada Malaya dan Indonesia.

Apabila Inggeris menjajah Tanah Melayu dan Indonesia dijajah oleh Belanda, lama ke lamaan memberi peribadi dan watak politik yang berbeza antara dua negara dari rumpun bangsa Melayu ini. Apabila sejarah diajar disekolah, ianya hanya akan mengambil kira sejarah Malaysia dari zaman Melaka. Sukatan sejarah kita ditentukan oleh geopolitik dan tidak mengambil kira nusantara sebagai sebahagian dari sejarah Malaysia juga.

Tidak hairan jika kaum keturunan pendatang menganggap Melayu itu adalah subculture kepada Indonesia sedangkan istilah Indonesia itu sendiri wujud jauh selepas Perjanjian Inggeris Belanda 1824 - ketika nasionalis Indonesia ingin memberi indentiti perjuangan kemerdekaan Indonesia.

Sejarah Melayu sudah wujud sejak zaman alam Melayu dikenali dengan nama Nusantara.

3 comments:

Ertyqa~ said...

saya bersetuju dengan pandangan saudara berkenaan dengan sejarah asal usul melayu dengan Indonesia...
saye pelik juga kenapa ramai bercakap yang kite nie berasal dari kebudayaan indonesia padahal melayu da wujud lame da sebelum kedatangan parameswara...
sorry saya tak bangga bile orang berkata begitu,seolah2 memberitahu yang kite nie keturunan jawa juga la...
walaupown saya tak la terlalu pandai dalam hal2 kebudayaan,tapi nie la pandangan saya...
hehehe sekian..

AKK-KAY said...

Mungkin tak saya salah kalau saya mempercayai asal melayu dari budaya indonesia sama seperti saya mempercayai 'man are from apes'? sejarah mungkin seperti yang ditulis berjela-jela di atas, tak tercapai oleh akal saya bila menyentuh bab sejarah.
Cuma jikalau diambil secara fakta, tiada yang dua itu sama, apatah lagi jika satu berasal dari yang lagi satu.

Anonymous said...

Kerajaan awal bangsa Mala berpusat di Kedah Tua. Sebuah kerajaan yg menganut Ajaran Ibrahim, ajaran mengesa dan mentauhidkan Mahapencipta, mengamalkan ibadah korban, tidak menyembah patung maupun berhala. Ajaran Ibrahim dikembangkan oleh Raja Agung Iskandar Zulkarnaen di Selatan dan Utara India, kemudian ke Campa sebelum ke Kedah Tua. Antara kerajaan Bangsa Mala yg lain menganut Ajaran Ibrahim termasuk Kerajaan Langkasuka, Pahang Tua, Terengganu Tua dan Johor lama. Manakala Kerajaan Jawaka dan Medang Merdalong pula menerima Buddha dan Kerajaan Grahi menerima Hindu. Kerajaan Kedah Tua lari ke Kedah Kandis dan kemudiannya membuka kerajaan baru KEDAH JAMBI di Nusantara yg kemudiannya dikenali sebagai Sumatera akibat diserang kerajaan gabungan Hindu Buddha. Begitu juga dng Kerajaan Pahang Tua yg turut lari ke seberang membuka Kerajaan KUANTAN sengigi di Sumatera, Kerajaan Terengganu Tua mmbuka Kerajaan Terengganu Riau dan Kerajaan Johor Lama membuka Kerajaan Johor Riau di Sumatera juga diakibatkan oleh serangan Kerajaan gabungan Hindu Buddha. Manakala Kerajaan Langkasuka yg berpusat di Kelantan Tua pula lari mmbuka kerajaan Kelantan Siak di Sumatera, sejak itu Ajaran Ibrahim berkembang pula di Sumatera. Kerajaan Bangsa Mala yg menerima Ajaran Ibrahim digelar MALA-UR. UR adalah nama Negara tempat kelahiran Nabi Allah Ibrahim dibawah Kerajaan Cheldina. Kerajaan Bangsa Mala Jawaka akhirnya juga menerima kekalahan setelah diserang oleh gabungan Kerajaan Melayu dari Seberang dan melarikan diri ke pulau yg kemudiannya dipanggil Pulau Jawa, begitu juga dng Kerajaan Grahi dan Medang Merdalong turut lari di pulau yg sama dan membentuk Kerajaan Sunda dan Kerajaan Medang Kamulan di Tanah Jawa. Semua kerajaan di Sumatera yg juga bergelar Kerajaan dan Bangsa Mala-Ur asalnya adalah di Semenanjung begitu juga dengan Kerajaan Jawa, Medang dan Sunda.