Followers

Sunday, June 28, 2009

Bukan Kerana Periuk Nasi Sahaja

Sebenarnya tajuk posting ini dari buku Konosuke Matsushita, 'Not For Bread Alone.' Kembali ke tahun 1987, saya masih tidak mahir berbahasa Inggeris terlalu ghairah hendak membaca tetapi hanya mampu membaca terjemahan yang diterjemahkan :'Bukan Kerana Periuk Nasi Sahaja'.

Konosuke Matsuhita adalah pengasas Nasional iaitu barangan eletronik yang menguasai pasaran elektrik pada masa itu. Dalam buku itu yang separuh memoir dan separuh teori pengurusan ala-Jepun beliau menerangkan bagaimana beliau sendirian membangunkan perusahaan kecil itu hingga menjadi gergasi dunia.

Baginya, perjuangan memertabatkan syarikatnya merupakan perjuangan patriotik dan bukan hanya hendak menjadi kaya dan berlagak dan menunjuk-nunjuk. Itu sebab beliau menjenamakan barangannya sebagai : Nasional.

Jika objektifnya kekayaan semata-mata, setelah mengumpulkan begitu banyak harta, beliau boleh bersara dan tidak perlu bekerja keras lagi. Beliau meneruskan juga jerih payah menjadi usahawan kerana matlamat kebanyakkan usahawan bukan hanya kerana duit, kepuasan menyediakan peluang pekerjaan, menyumbang kenaikan ekonomi negara, membantu golongan susah, membantu penyelidikan dan berbagai lagi tanggungjawab sosial.

Saya banyak berbincang dengan rakan-rakan yang sejiwa dengan saya. Melihat golongan Melayu usahawan yang menjadi kaya, dan terpisah dari kelompok Melayu mereka, kemudian merasakan mereka bijak kerana berjaya tetapi tidak pula seperti Matsushita yang mampu membawa kemajuan kepada bangsanya.

Seperkara yang saya ragui, benarkan mereka berjiwa usahawan atau hanya sekadar menikmati loteri kerajaan atau 'kebajikan' dalam dunia 'technically-know-who' korporat dan politik?

Saya juga pernah memberi pendapat bahawa kerajaan sudah makin tidak mampu membantu golongan Melayu yang mengambil peluang dari konsep keseimbangan 'ekuiti bumiputera' ini. Kebanyakkan faedahnya dirasai oleh apa yang dilabelkan oleh pembangkang sebagai 'UMNOputera' dan bukan bumiputera lagi.

Di dalam UMNOputera itu pula masih ada yang tertinggal dan terbiar kerana kecenderungan atasan menjaga golongan berjawatan dan perwakilan yang boleh mengundi mereka dalam Perhimpunan Agong UMNO.

Selain dari politik wang, ini boleh membobrokkan parti terbesar Melayu ini kerana kita menggalakkan orang Melayu menjadi malas berusaha dan hanya mengasah kemahiran membodek dan mengampu pemimpin.

Siapa usahawan Melayu seperti Matsushita, Henry Ford, Carnagie, Dunlop dan Honda?

Golongan yang mendapat faedah tadi itu pula tidak berusaha mewujudkan usahawan Melayu yang lain sebaliknya menunjuk-nunjuk kemewahan, berkereta besar, 'welcome to BBC'(Billionaire Boys Club), bongkak dan angkuh. Tiada inisiatif dari mereka untuk membangunkan usahawan kecil Melayu yang tiada access kepada 'technically-know-who' tadi.

Saya ambil contoh di Bangladesh. Muhamad Yunus, seorang usahawan Bangladesh memenangi Hadiah Nobel untuk keamanan kerana banyak membantu orang susah di Bangladesh. Bantuan beliau bukan dalam bentuk derma tetapi beliau mewujudkan Bank Grameen dan memberi pinjaman kepada perniaga-perniaga kecil malah peminta sedekah. Beliau memberi makna baru kepada dunia pinjaman dengan kaedah 'mikrofinance'.

Beliau membantu usahawan kecil yang tiada bermodal dan memberi pinjaman kepada peminta sedekah hingga hanya 10usd untuk membeli patung-patung mainan dan gula-gula. Sambil meminta sedekah mereka boleh belajar berniaga dan akhirnya beliau berjaya membebaskan ramai juga bangsanya dari kemiskinan.

Semangat usahawan sebegini kita ingin lihat dari golongan yang merasakan mereka 'usahawan' tetapi sebaliknya hanya mendapat kontrak dari kerajaan. Saya pernah lihat 'usahawan' golongan ini yang tidak habis belajar tingkatan tiga pun dan hanya berbekalkan skill pandai membodek dan 'entertain' atasan sahaja beliau mengumpul jutaan. Dalam dunia 'usahawan' Melayu: "Even monkeys can make money as long as they know the right person."

Sikap golongan ini akan membebankan kerajaan dan ini punca DEB tidak dapat mencapai matlamat 30% ekuiti dipegang oleh bumiputera. Jika semua hendak dibebankan ke atas kerajaan, lama ke lamaan kerajaan pun tidak mampu kerana bukan hanya Melayu sahaja warganegara Malaysia dan boleh mengundi.

Kepada 'usahawan' dan usahawan Melayu, fikirkanlah. Bukan hanya kekayaan penting dan fikirkan juga bangsa Melayu. Saya setuju, apa yang kita buat, seperti kata Matsushita: Not for bread alone.

2 comments:

YANG GAMBI said...

Kalau ada pun usahawan Melayu yang hanya menjaga periok, masih dalam kategori baik juga, tapi yang paling teruk golongan yang menabur pasir dalam peiuk nasi orang lain....

sri tribuana said...

hanya usahawan Melayu yg boleh tolong balik usahawan Melayu, kalau x semua sebahagian.