Followers

Tuesday, July 20, 2010

Asabiyah

Saya sudah lama ingin menulis tentang ini, tetapi keadaan tidak mengizinkan. Kebetulan penyatuan dua parti Melayu terbesar - PAS dan UMNO - disebut-sebut semula. Saya rasa sangat tepat masa ini untuk menengahkan pendapat saya tentang asabiyah - salah satu senjata PAS dalam siri mengkafir dan menyesatkan UMNO.

Sebuah hadis berbunyi: "Bukan dari kalangan kami orang yang menyeru kepada asabiyah". Memang asabiyah bermaksud kepuakkan, chauvanist dan semangat tribal yang lebih menebal hingga mengatasi Islam. Asabiyah bukan sinonim dengan nationalis yang mana puak PAS melaung-laungkan kononnya UMNO sesat kerana berasaskan bangsa iaitu Melayu. Mari kita bincang.

Arab jahiliyah sangat terkenal suka berpuak dan menyayangi puak atau kabilah mereka melebihi segalanya. Mereka sangat fanatik hingga membunuh-bunuh dalam soal yang remeh demi mempertahankan puak mereka tanpa mengira siapa salah dan siapa benar. Dengan kefanatikan mereka itu, puak sudah menjadi 'agama' kepada mereka iaitu diyakini benar tanpa melihat logik lagi. Ini dinamakan dogma.

Kedatangan Islam menyebarkan deen atau way of life sebenar dan Rasulullah tidak boleh menerima kesucian kabilah  mengatasi Islam. Islam bukan agama tetapi deen. Agama boleh dibentuk dari apa saja kepercayaan - hippies yang percayakan kebebasan, sukan bola yang menyebabkan peminat membunuh diri, mencari nirwana dengan memfanakan diri seperti Buddha, segolongan fanatik kepada 'ulama' seperti Guyana tragedi. Ringkasnya, apa saja yang kepercayaan terhadap sesuatu nilai hidup yang dogma merupakan agama.

Asabiyah yang taksub kepada kabilah ini tidak dibenarkan oleh Rasulullah. Namun demikian, dalam sebuah hadis yang lain berbunyi: "Hendaklah pemimpin kamu terdiri dari bangsa Quraish". Rasulullah tidak asabiyah apabila berkata demikian. Rasulullah sendiri datang dari kaum ini. Ada rasioanalnya hadis berkenaan.

Selepas wafat Rasulullah, kaum Ansar berkira-kira untuk melantik khalifah dikalangan kaum Ansar kerana mereka sebenarnya yang banyak membantu muslimin dari kaum Quraish yang menjadi penghijrah(muhajirin). Abu Bakar dan Umar segera menemui ketua mereka diperjumpaan yang diadakan oleh orang Ansar.  Segera Umar mengingatkan orang Ansar hadis berkenaan. Oleh kerana iman kaum Ansar yang mengatasi segala, dan mereka setuju untuk membai'ah Abu Bakar. 

Mengapa Quraish? Jika tidak berasaskan bangsa seperti dakwaan PAS sudah tentu Ansar juga layak menjawat jawatan khalifah. Mereka juga komited terhadap Islam. Mereka menjadi penaung kepada muslim Quraish ketika orang Muhajirin sangat lemah ditindas oleh bangsa Quraish sendiri. Dalam konteks ini, di Malaysia ini ada kah orang Quraish dalam kabilah PAS?

Ibnu Khaldun menggariskan empat kriteria dalam memilih pemimpin iaitu berilmu, adil, mampu dan tidak cacat pancaindera hingga menjejaskan tugasnya. Hadis yang kedua itu dimasukkan oleh beliau dalam kategori 'mampu'. Ini kerana hatta sebelum kedatangan Islam kaum Quraish sangat terkenal sebagai kaum paling dihormati dan digeruni dikalangan kabilah Arab. 

Bukan tanpa sebab kaum Quraish ini mendapat penghormatan yang tinggi sebelum kedatangan Islam. Mereka terkenal sebagai kaum yang kuat asabiyahnya mengatasi kaum lain. Di usik puak mereka maka akan bangun seluruh Quraish lain. Jika Rasulullah sendiri bukan kaum Quraish, mungkin sudah lama baginda sendiri dibunuh. Pada peringkat awal Islam, kaum Quraish tidak berani menyentuh Rasulullah kerana baginda mendapat perlindungan Abi Talib dan kerana baginda datang dari Bani Hashim yang disegani. Kabilah lain lebih-lebih lagi tidak berani membunuh baginda. Bayangkan jika Rasulullah orang Badawi?

Oleh kerana Quraish merupakan tribe yang kuat kerana mereka pedagang yang berjaya, memiliki organisasi kepuakan yang tinggi, asabiyah yang melampau ketika zaman jahiliyah, kemampuan ketenteraan menjadikan mereka sebagai teras kepada kabilah Arab yang lain. Mereka merupakan focal point di mana kabilah Arab yang lain mudah bernaung dengan mereka. Secara siasah(malas nak guna 'politik', sebab siasah bahasa Arab, bagi PAS nampak Islamik) wajarlah hadis baginda Rasulullah minta pemimpin Islam sendiri dari kaum Quraish.

Islam menentang asabiyah yang membenarkan puak sendiri walaupun terang-terang melakukan kesalahan dan kezaliman. Kita lihat walaupun Islam turun sebagai deen yang universal, bukan untuk orang Arab sahaja, Rasulullah tidak pula membuang identiti Arabnya. Beranikah puak PAS mengatakan Islam itu Arab dan Arab itu Islam? Sudah tentu tidak namun PAS berjanggut, berserban, menggunakan bahasa Arab seperti muktamar, deewan, hudud dan sebagainya. Rasulullah tetap dalam peribadi Arabnya kerana baginda lahir dan dibesarkan dalam budaya itu.  

Dalam konteks Malaysia, Melayu adalah majoriti penduduk di negara ini. Majoriti ummah Islam juga terdiri dari bangsa Melayu walau kita ada India Islam, Cina Islam, Orang Asli Islam dan sebagainya tetapi mereka minoriti. Sewajarnya kekuatan Melayu itu adalah kekuatan Islam. Parti yang mempertahankan Melayu adalah masuk dalam golongan 'mampu' seperti hujah Ibnu Khaldun. PAS kena hentikan dusta mereka disini, jika tidak mereka bertanggungjawab memecah dan melemahkan Islam.

Selepas PRU ke 12, Perak gagal membentuk kerajaan kerana tidak ada parti yang majoriti. PAS, DAP dan PKR masih belum bergabung seperti BN. Mufti Perak ketika itu melihat bahaya Islam jika tidak disatukan. Dalam sebuah hadis lain, Rasulullah pernah bersabda: "Jika ada dua muslim yang bertelagah, damaikan mereka." 

Mufti Perak menawarkan khidmat sebagai orang tengah untuk menyatukan UMNO dan PAS. Usaha murni Mufti berkenaan dipandang sepi oleh PAS. Mereka memilih untuk bekerjasama dengan PKR dan DAP - semua orang tahu DAP parti chauvanist Cina dan menolak negara Islam.

Dalam kenyataan terbaru Salehudin Ayub dan Mahfuz Omar, mereka menghentam Tan Sri Harussani kerana 'mencampuri urusan politik' dan beliau 'hanya mufti yang bertanggungjawab urusan agama sahaja'. Pelik, Haji Hadi yang berkata kita tidak perlu jadi Nasrani atau Yahudi tetapi kita tidak Islam jika kita kata politik lain agama lain. Sekarang apa sudah jadi? Baca sini

Menurut kedua-dua Naib Presiden PAS itu, buat masa ini PAS masih komited dengan DAP dan PKR. Mari kita lihat logik 'agama' PAS di sini. UMNO, seburuk manapun mereka, adalah parti Islam dan orang Islam. Sejahat-jahat UMNO tidak akan meruntuhkan Islam. Bagaimana DAP? Jelas DAP menolak apa sahaja berbentuk Islam dan Islamik. Dengan setia mereka kepada kabilah Pakatan Rakyat, PAS sebenarnya asabiyah yang dilarang oleh Islam - iaitu mempertahankan puak mereka(PKR dan DAP) walaupun salah!

Dan salah seorang Naib Presiden PAS, Mahfuz Omar merupakan orang yang tidak ada ilmu, sudah keluar dari syarat Ibnu Khaldun yang pertama untuk menjadi pemimpin. Dan berani beliau menolak cadangan dan menista seorang ulama seperti Mufti Perak. Saya sendiri bukan golongan taksub kepada ulama tetapi setidak-tidaknya ilmu Mufti Perak jauh lebih tinggi dari Mahfuz Omar. Tapi oleh kerana PAS menganggap mereka agama mengatasi Islam, sudah tentu ulama kangkung seperti Mahfuz Omar lebih valid pendapatnya.

Syadina Umar Al Khattab r.a berkata: "Islam akan musnah kerana orang alim yang tersilap langkah, perdebatan orang munafiq tentang al-Quran dan pemimpin yang khianat dan menyesatkan."

Jika PAS ingin taat dengan kabilah Pakatan Rakyatnya, kononnya setia pada DAP untuk memerangi rasuah, bubarkan PAS, buat parti lain yang tidak menggunakan Islam. Cukup-cukuplah menyesatkan umat Islam yang terkeliru.




4 comments:

Anonymous said...

Gerakan untuk mengASSOBIYAHkan PAS selalu berlaku bro bila ada muktamar untuk memilih pemimpin. Yg dari Kelantan dan Terengganu lebih Isle dari yg lain..

Antihipokrit

Anonymous said...

saya dah cakap,pemimpim pas kebanyakan nye tidak berilmu,mereka banyak mengabui mata penyokong dgn kopiah saja...

sri tribuana said...

Salam anon 3:02 dan Anon 11:53,

Seeloknya jangan campur baurkan parti dengan Islam. Islam tidak pernah tertegak dengan demokrasi.

Anonymous said...

Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya.(ali-imran 3:103)