Followers

Tuesday, November 10, 2009

Penguasa Agama

Saya rasa saya perlu menulis lagi tentang kemelut 'polemik' Dr. MAZA dengan beberapa penguasa agama. Selepas penangkapan beliau, berbagai-bagai pihak memberi penerangan dan kenyataan. Isu penahanan Dr. Asri bukan besar, beliau hanya seorang individu yang berilmu yang dinafikan hak mengajar oleh penguasa agama.

Disebalik tidak besarnya isu ini, berbagai kepincangan dapat dilihat terhadap mentaliti dan dasar 'tutup pintu' golongan penguasa agama, atau ulama atau authority agama. Berbagai kenyataan yang mengelirukan juga timbul dan ramai orang Islam makin keliru dengan Islam yang sepatutnya mudah dan simple.

Dr. Mashita mempertahankan tindakan JAIS dengan hujah, tauliah merupakan amalan sejak zaman Syadina Ali lagi. JAIS sendiri mempertahankan tindakan mereka apabila menyediakan peruntukkan undang-undang yang dicipta manusia.

Sementara Menteri Besar Johor pula mengeluarkan kenyataan di Johor tidak perlu tauliah dan siapa-siapa boleh mengajar asal berlandaskan ajaran Islam.

Banyak sungguh pendapat dan saya tahu ramai yang keliru. Soalnya, individu yang ditangkap bukan seorang Ayah Pin, Ashaari Muhamad atau Rasul Melayu cuma berbeza pandangan dari segi feqah dan dalam banyak hal menangani kemelut penguasa agama yang tidak efficient.

Islam agama mudah. Al-Quran yang diturunkan juga mudah difahami dan untuk dijadikan panduan. Jika kita kembali ke zaman Rasulullah, apabila Muaz bin Jabbal dihantar oleh Rasulullah ke sebuah kampung dan bertanya bagaimana cara sepatutnya beliau memutuskan hukum yang tidak jelas dalam Quran dan sunnah Rasulullah, baginda menyatakan gunakan ijtihad Muaz.

Jelas ijtihad tidak salah selagi berpandukan Al-Quran dan sunnah. Kebetulan Islam di Tanah Melayu ini dibawa oleh pengikut Imam Syafii maka mazhab ini menjadikan kita jumud dan taklid. Apa jadi jika mazhab Hanafi di ikuti oleh nenek moyang kita? Adakah kita akan menutup pintu kepada mazhab Syafii pula?

Ini menunjukkan kita tidak mengikuti ajaran Rasulullah yang meminta kita kembali ke Al-Quran dan Sunnah, malah terlebih-lebih fanatik dengan mazhab sendiri. Islam agama progressif dan kita tidak boleh menutup pintu kepada pendapat baru - selagi ianya tidak bercanggah dengan akidah.

Ketika Imam Syafii diikuti ramai, beliau pernah cuba dibunuh oleh pengikut Imam Hambali yang terlalu fanatik dengan mazhabnya. Sejarah nampaknya berulang lagi di sini apabila kita menutup pintu kepada apa-apa reformasi baru kerana jumud dengan ajaran lama sedangkan Islam agama universal dan Al-Quran bukan menjadi panduan berdasarkan ijtihad ulama silam sahaja.

Malah Dr. Mashitah sendiri mengakui tidak ada salah ajaran Wahabi kerana penguasa Mekah dan ramai Islam Arab Saudi menganut ajaran itu. Kalau tidak salah mengapa hendak disekat? Ada pula ulama lain kata Wahabi bukan ahli sunnah wal jamaah dan ini mengelirukan lagi umat Islam.

Dr. Asri sendiri menafikan dia bukan berpegang mazhab wahabi dan bertanya apa wahabi itu. Bagi saya, penguasa agama perlu bertoleransi dengan banyak pendapat samada mengikut fahaman tradisional atau tidak. Menangkap seorang yang tidak berbahaya yang berceramah di rumah persendirian dengan 30 anggota polis dan 20 penguasa JAIS sangat tidak perlu jika hanya hendak tunjuk kuasa sahaja.

Kemudian selepas ditangkap, tidak ada tuduhan pula yang dibuat. Ini bukan sahaja mencabuli hak seorang pedakwah, malah mencabuli hak asasi seseorang. Ditangkap, tidak dikenakan tuduhan dan jika ini berlaku JAIS boleh menangkap sesiapa sahaja kerana tidak perlu menyediakan peruntukkan undang-undang mengapa dia ditahan. Kelemahan ini memalukan kerana memang penguasa agama terkenal tidak cekap melaksanakan tugas.

Jika kita bimbangkan akidah penganut Islam dari terpesong, adalah kerja penguasa agama untuk 'educate' umat Islam dengan akidah yang betul dari menangkap orang khalwat, minum dan menyerbu kedai-kedai ekor.

Mereka juga perlu menyelesaikan segera masalah isteri teraniaya yang tidak diceraikan dan memudahkan urusan perkahwinan jika mereka ingin dihormati. Ramai anak muda yang lebih rela bersekedudukan kerana proses kahwin dan belanja sangat tinggi dan ini menjadi kewajipan mereka menjadi lebih pro-aktif dalam mendidik mereka. Menangkap khalwat tidak akan menyelasaikan masalah.

Dan akhir sekali, saya bimbang dengan kuasa yang diberi kepada mereka, mereka menjadi seperti institusi agama Kristian yang mana Bishop dan Cardinal sangat powerful untuk 'excomunnicate' sesiapa yang mereka rasa perlu - termasuk musuh politik mereka.

Jika ini berlaku, kita menggunakan agama untuk berkuasa dan sangat menyimpang dari ajaran Rasulullah. Wallahualam bissawab.

Sunday, November 8, 2009

Dilaram Check

Ketika catur menjadi kegilaan ramai di Baghdad zaman Khalifah Al- Makmun, ada seorang penggila catur yang sering berjudi apabila bermainnya. Beliau yang sudah gila judi, akhirnya telah tidak mempunyai apa-apa untuk di pertaruhkan, akhirnya mempertaruhkan isterinya, yang bernama Dilaram.

Dalam satu permainan, beliau menemui jalan buntu dan hampir kalah. Jika beliau kalah, maka akan tergadailah isterinya. Isterinya yang sangat menyayanginya, ada disebelahnya semasa beliau membuat gerakan seterusnya. Isterinya yang juga pandai bermain catur nampak penyelesaian dalam gerakan seterusnya.

Isterinya mencadangkan satu gerakan dan berkata: : "gerakkan gajah kamu dan selamatkan aku."

Akhirnya gerakkan itu mensyahmatkan(checkmate) raja musuh. Oleh dek nasihat isterinya, pemain catur itu berjaya menyelamatkan rumahtanggannya. Gerakan itu dinamakan 'Dilaram Check' oleh para ahli strategi catur.

Di zaman moden ini, PAS setuju membuat bai'ah akan menceraikan isteri mereka talak tiga andai mereka melompat keluar parti jika terpilih dan menang sebagai wakil rakyat. Ini merupakan pertaruhan paling berkesan PAS, parti 'Islam' yang memperjudikan rumahtangga politikus mereka bagi berada dalam barisan 'Islamik' mereka.

Menurut Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad amalan ini tidak salah kerana sahabat Rasulullah sanggup bergolok-bergadai dan berpisah dengan isteri kerana perjuangan. Memang ada sahabat yang menceraikan isterinya jika mereka enggan beriman dengan Allah dan Rasulullah tetapi menceraikan isteri kerana tukar parti ini amat jahiliyah amalannya.

Seperti permainan catur tadi, isteri tidak patut dipertaruhkan kerana permainan politik. Gunakan akal yang waras dan syariah sekalipun, logik kah bai'ah ini? Jika kita menerima isteri kita dengan nama Allah dan setuju dalam perjanjian menjaga kerukunan rumahtangga dengan nama Allah, bolehkan kita menghina akad ini hanya kerana hendak bermain politik?

Nampak gayanya isteri-isteri ahli politik PAS perlu menjadi seperti Dilaram, yang boleh membaca gerakan musuh setapak dari suami mereka, jika tidak tergadai rumahtangga.

Wednesday, November 4, 2009

Witch Hunt

Pada suatu ketika dahulu di Eropah, juga Amerika, gereja di beri kuasa untuk mencari dan membunuh sesiapa yang dianggap pengamal sihir. Di Sepanyol, Spanish Inquisator merupakan intitusi yang digeruni kerana mereka boleh menuduh dan membakar sesiapa sahaja yang mereka labelkan 'pengamal sihir.'

Apabila pemikiran rasional menular di Eropah pada zaman Englightment, kekuasaan gereja di cabar dan ramai orang Eropah meninggalkan agama kerana yakin agama hanya dogma.

Islam sebaliknya sebuah agama yang mengamalkan toleransi. Di dalam Islam tidak ada institusi gereja dan paderi. 'Kasta' ulama merupakan ciptaan yang terkemudian. Syadina Umar sendiri pernah dicabar pendapatnya oleh orang biasa sahaja dan beliau hanya tersenyum apabila seorang pemuda mengatakan jika Umar tidak betul, dia akan betulkan dengan pedangnya.

Kita tidak faham mengapa Islam dizaman moden ini sudah semakin hilang rasionalismenya. Tidak ada toleransi bukan hanya dengan agama lain, malah tidak boleh tidak sependapat atau tidak boleh mempunyai mazhab yang lain.

Seperti juga perbezaan pendapat dua sahabat besar, Ali bin Abi Talib dan Zubair Ibnu Awwam, umat Islam terutama yang menganggap mereka ulama tidak menunjukkan sebarang toleransi dengan ajaran yang tidak sealiran dengan mereka - walaupun akidah sama.

Penahanan Dr. Asri adalah episod yang memalukan. Sebagai seorang bekas Mufti Perlis, logikkah beliau mengajar menyalahi akidah Islam seperti Ayah Pin? Jika dari segi feqah beliau mempunyai pandangan sendiri, saya rasa kita perlu juga mendengar hujah beliau.

Atas nama agama, orang-orang dungu dalam masyarakat yang menguasai jawatan dan pangkat berselindung disebalik jawatan menunjukkan kuasa tidak ubah seperti Spanish Inquistor dan Witch Hunter.

Ada seorang pembaca muda saya pernah menyatakan, beliau enggan membaca pendapat-pendapat tentang agama kerana banyak sangat tafsiran. Anak muda ramai yang keliru dan tindakan dungu beberapa orang 'ulama' juga menjadikan Islam sebagai lelucon.

Akhirnya saya masih ingat kata-kata ini:

"Dalam dunia ada dua golongan:

Satu yang beragama tetapi tiada otak,
satu yang berotak tapi tiada agama."


Betapa kita umat Islam merindui golongan yang berotak dan beragama.

Monday, October 26, 2009

Sindrom 'Yang Terbaik Hingga Kini'.

Pada 23hb Oktober iaitu hari Jumaat yang lepas, Datuk Seri Najib Tun Razak telah membentangkan bajet 2010. Saya tidak mahu mengulas mengenai intipati bajetnya kerana sudah ramai yang mengulasnya. Saya membaca akhbar Berita Harian keesokkannya dan saya terbaca tajuk: "Bajet 2010: Yang Terbaik Hingga Kini'.

Erm, tahun lepas ramai orang komen macam itu juga. Selepas Tun Abdullah membentang bajetnya yang sangat tidak popular kemudiannya, akhbar melapurkan 'Yang Terbaik Hingga Kini.' Adakah ini satu lagi sindrom bebalisme?

Apalah susah sangat kita nak berterus terang? Apa salahnya kita hanya melaporkan intipati bajet dan reserve komen kita setelah ianya dilaksanakan. Begitu juga apabila mana-mana Perdana Menteri baru memberi ucapan; atau Presiden parti yang baru memberi ucapan, temuramah sesiapa pun jawapannya: "yang terbaik hingga kini".

Saya tidak tahu apa barometer 'yang terbaik hingga kini' itu. Mungkin sesiapa yang baru menjawat jawatan penting merupakan 'yang terbaik hingga kini.' Atau mungkin setiap polisi baru, bajet baru atau kabinet baru komen semestinya melepasi piawaian: "yang terbaik hingga kini."

Journalisme sekarang sudah perlu lebih professional. Kurangkan hiasan-hiasan kerana khalayak pembaca makin bijak dan analitikal. Kita perlukan seorang budak yang menyatakan secara jujur bahawasanya 'Maharaja Telanjang' kerana jelas baginda 'telanjang'.

Please, don't insult our intelligent!

Saturday, October 24, 2009

Ukhwah

Kebijaksanaan baginda S.A.W mengsaudarakan orang Muhajirin dengan orang Ansar. Bermulalah ummah dalam Islam iaitu persaudaraan orang mukminin tanpa mengira suku atau bani. Sekian banyak ajaran Islam dan hadis Rasulullah menekankan ukhwah atau persaudaraan dalam Islam.

Ukhwah Melayu Islam terbentuk pada 11 Mei 1946 apabila kepentingan Melayu/Islam terancam. Semua pertubuhan Melayu yang selama ini berselerakan dan berpecah, setuju meleburkan perbezaan mereka dan membentuk UMNO.

Selepas Dato' Onn diberi syarat untuk merdeka bersama kaum Cina dan India, dan setelah usul membawa masuk kaum lain ke dalam UMNO ditolak, Dato Onn keluar dari UMNO dan tempatnya di isi oleh Tunku ABdul Rahman. Ukhwah Melayu/Islam masih utuh dengan UMNO merupakan wadah perjuangan.

Malangnya, ada seorang dari Biro Agama UMNO, bernama Tuan Haji Ahmad Fuad keluar dari UMNO kerana kecewa bukan beliau menerajui kepimpinan tertinggi UMNO tetapi Tunku. Maka wujudlah Parti Islam SeMalaysia atau PAS.

Sejak mula, wujudnya PAS adalah berlandaskan kekecewaan merebut kuasa cuma bertopengkan Islam. Dan ukhwah Melayu/Islam berpecah. UMNO sudah ada saingan sebuah parti Melayu lain yang kononnya lebih Islamik.

Peristiwa 13 Mei 1969 tidak akan berlaku jika PAS yang 'memerangi' saudara UMNOnya membantu mengalahkan UMNO dan memecahkan undi Melayu/Islam lantas memberi ruang kepada musuh Islam sebenar DAP dan Gerakan(ketika itu) berkuasa. Seterusnya meletuslah rusuhan kaum.

Hingga kini, PAS masih bercita-cita untuk menjadi sebuah parti Melayu terbesar menggantikan UMNO. Ini dinyatakan sendiri oleh orang kuat Datuk Nik Aziz, Husam Musa. Sekarang mari kita lihat apa jadi kepada ukhwah sesama PAS sendiri.

Sejak cakap-cakap tentang UG(Unity Goverment) disuarakan oleh beberapa golongan dalam PAS, iaitu golongan Presiden Parti sendiri iaitu Datuk Haji Hadi, ukhwah PAS sendiri nampaknya semacam ada yang tidak kena.

Pertandingan merebut jawatan no 2 diantara Husam Musa dengan Nasharudin Mat Isa dilihat sebagai proxy pertembungan idea antara Nik Aziz yang tidak mahu bekerjasama dengan BN dengan Haji Hadi yang berminat dengan UG ini. Keputusan memihak kepada orang kuat Haji Hadi iaitu Nasharudin Mat Isa.

Setelah sekian lama, luka ini bagaikan sudah sembuh, tetapi parut masih ada. Nik Aziz bagaikan mahu melukakan semula parut ini dengan mencadangkan EGM perlu diadakan supaya PAS boleh memberi kepastian kepada silent majority pendirian sebenar PAS. Ini kenyataan penuh beliau dalam blognya:

“Dengan Muktamar Khas yang boleh menjelaskan dan memutuskan banyak perkara ini, puak-puak atas pagar yang membuat swing votes dan mempengaruhi keputusan pilihan raya juga akan berpuas hati samada nak swing atau tak nak swing lagi kerana mereka sudah dijelaskan oleh keputusan Muktamar Khas berkenaan. Mereka jelas.”

Jadi PAS pun dah kena penyakit EGM juga seperti MCA. Kita sudah lihat natijahnya EGM MCA. Nik Aziz sendiri menyatakan dengan jelas antara tujuan EGM adalah hendak membincangkan isu 'dua tiga kerat pemimpin bermasalah'.

Sudah terang lagi bersuluh, ke mana perginya EGM ini. Nama Hasan Ali dan Mustafa Ali disebut kerana tidak sudah-sudah hendak menghidupkan isu UG ini. Walaupun tidak secara nyata tetapi nama Haji Hadi juga terbabit apabila beliau mengungkap: "Bila Mesyuarat Agong tak mahu tukar Presiden, misalnya maka tidak mengapalah. Kita pakat-pakat belalah."

Wah dah makin serius bunyinya 'Tuan Guru' ni. Jika mengikut EGM MCA, akhirnya kedua-dua orang nombor 1 dan nombor 2 terkeluar. Jika PAS hendak menyaingi UMNO sebagai parti Melayu terbesar, ukhwah perlu dijaga dan jangan berpecah.

Mungkin juga, ukhwah PAS adalah seperti 'ukhwah' penubuh parti ini iaitu Ustaz Fuad. Mungkin ukhwah mereka bererti tinggalkan kawan apabila tidak sependapat. Mungkin ukhwah mereka bermakna 'cas keting'.

Kita tunggu dan lihat sahaja.

Friday, October 23, 2009

Che


Ernesto 'Che' Guevara mati ditembak pada 9 Oktober 1967. Dari seorang pelajar perubatan yang bergelar doktor, Che akhirnya disedari oleh Fidel Castro sebagai seorang yang lebih dari hanya sekadar doktor kepada gerila yang dipimpinnya. Dia merupakan nadi kepada pergerakan revolusi gerila Cuba yang menumbangkan regim Batista tajaan Amerika.

Che dalam bahasa Argentina bermakna 'buddy' dan nama itu menjadi legenda apabila tokoh ini dihukum mati oleh kerajaan Bolivia. Seorang Marxist tegar, mempunyai daya intelek yang tinggi, sangat 'stoic' dan berpegang pada prinsip perjuangan, Che merupakan komunis yang dedikated.

Walaupun beliau kelahiran Argentina, tetapi beliau sangat dihormati di Cuba lantaran dedikasi beliau kepada perjuangan proletariat. Malah, beliau merupakan orang nombor dua dalam gerakan gerila Castro, selepas Castro sendiri.

Semasa kecilnya beliau merupakan pesakit asma, tetapi penyakit itu yang menjadikan beliau seorang yang 'determine', pembaca yang serius dan membina sifat tidak mahu mengalahnya.

Sebagai penganut fahaman Marxist yang 'pious', Che menolak untuk menerima gaji sebanyak USD 1000 sebagai Menteri Kewangan Cuba, cuma menerima gaji asalnya USD250 sebagai Comandantate. Beliau yang naive terkejut apabila melawat Soviet melihat anggota Politburo Soviet yang hidup mewah sedangkan 'comrades' mereka kebuluran.

Che tidak dapat menerima hakikat itu dan sangat kecewa apabila 'kesucian' komunis dicemari. Che merupakan intelektual yang hidup bersama orang ramai dan bukan seorang elit. Beliau mencipta manual perang gerila dan cuba membantu gerakan-gerakan proletariat di serata dunia: dari Congo hingga ke Bolivia, beliau bercita-cita menjadikan Amerika Selatan bebas dari cengkaman kapitalis. Beliau meniru heronya; Simon Bolivar.

Che menemui ajalnya di Bolivia dan gagal dalam usahanya menyatukan golongan proletariat Amerika Selatan. Beliau meninggal ketika berusia 39 tahun. Sebaik beliau meninggal, Che menjadi legenda dan ikon popular kepada anak-anak muda generasi Beattles.

Hampir dimerata dunia, imej Che dicetak di baju-baju, mural, saputangan keys, dimug dan berbagai souviner. Ironinya, Che dibunuh oleh kerajaan Bolivia bertujuan untuk menyekat pengaruhnya, tetapi kematiannya mengabadikan beliau.

Hingga kini, imej popular potret Che merenung dengan tajam masih menjadi ikon kepada golongan 'non-comformist.' Malah, ada peminatnya yang tidak mengetahui siapa sebenarnya Che. Berbagai rekaan yang sangat jauh dari fakta yang kita dengari tentang beliau.

Walau apapun, Che merupakan seorang yang unik dalam sejarah.

Thursday, October 22, 2009

Idea Sejarah

Dalam ruangan pembaca Star 16 Oktober 2009, Vincent Ow meluahkan kebimbangannya betapa buta sejarahnya generasi muda Malaysia. Beliau terkejut apabila seorang pelajar kolej tidak mengenali gambar Gandhi. Beliau menanya kepada beberapa orang lagi rakannya dibawah umur 25 tahun dan ada yang menyangka Gandhi merupakan Mr. Bean!

Terkejut dengan penemuannya, beliau mencuba nama beberapa tokoh terkemuka dunia seperti Napoleon, Gengkiz Khan, Reagan, Tatcher, Gorbachev dan lain-lain. Bahkan mereka mengenali Hitler melalui filem Valkrie lakonan Tom Cruise.

Beliau mencuba nama-nama tokoh tempatan: Francis Light, JWW Birch, Ahmad Boestamam, Ibrahim Yaakob dan Loke Yew; malangnya mereka mengetahui Loke Yew kerana adanya jalan Loke Yew tanpa mengetahui siapa tokoh berkenaan.

Apabila generasi muda kita menjadi demikian, amat jelas memang ada kepincangan dalam sistem pendidikan kita. Saya masih ingat ketika masa saya tingkatan 4, kabinet menukar dari nama Kementerian Pelajaran kepada Kementerian Pendidikan.

Tugasan kementerian ini bukan hanya memberi pelajaran, tetapi mendidik, tetapi jelas kita gagal mendidik generasi kita menjadi hands on dengan banyak peristiwa penting dunia. Bahkan, gagal memahami sejarah negara bangsa sendiri.

Tidak hairan jika ramai anak muda kita yang terpelajar kurang memahami mengapa komunis dibenci di serata dunia. Pernah saya berbual dengan seorang pelajar, beliau tidak tahu bahawa German pernah dibelah dengan dua idelogi: German Barat dengan kapitalis dan German Timur dengan komunisme. Ramai juga yang tidak faham singificant runtuhnya Tembok Berlin pada tahun 1989.

Baru 20 tahun, kepentingan sejarah ini sudah dilupai; atau lebih tepat lagi tidak diketahui.

Saya rasa sistem pendidikan kita terlalu ghairah melahirkan 'pasaran kerja' dan pelajar merupakan komoditinya. Kita tidak mementingkan pengetahuan am, pembangunan peribadi dan jatidiri.

Saya setuju dengan Vincent Ow yang mana tajuk suratnya: Need to revamp history syllabus, kefahaman sejarah memang perlu diterap ke generasi mudah dengan bersungguh-sungguh, bukan hanya sekadar melepas batuk ditangga.

Tidak hairan jika ada yang menganggap Chin Peng perjuang kemerdekaan dan PKM sebagai parti yang sah.

Memalukan.

Wednesday, October 21, 2009

Blog

Dalam blog rakan saya, penulis Where Would the Magic Compass Take Me Today, dia menyatakan dia terdorong untuk berblog apabila teringat siri Doogie Howser.

Dalam siri berkenaan, di akhir cerita Doogie akan meluahkan sebarang pandangan, kejutan, perasaan dan apa saja pendapat dalam PCnya. Sudah tentu ianya hanya semacam journal atau diari dan tiada pembaca lain kecuali dirinya kerana ianya tidak disambung dengan internet. Perkataan blog juga tidak wujud masa itu.

Sering kita melihat contengan atau graffiti, diari, kertas, buku nota dan berbagai untuk kita meluahkan perasaan kita. Blog boleh dibaca oleh sesiapa sahaja dan mungkin penulis mengharap ada pembaca walaupu berkenaan hal yang sangat peribadi.

Jika dahulu, kita akan berjumpa dengan pakar jiwa terlatih untuk meluahkan perasaan, tetapi generasi X dan Y lebih suka meluahkan dalam blog - kadang-kadang hal yang sangat personal. Di Facebook, ada yang suka maki memaki dan biar semua khalayak pembaca mengetahui 'peperangan' mereka.

Saya makin tidak faham atau mungkin terlalu tua dengan 'gap generation' ini. Saya masih merasakan manusia perlu ada privasi dan perlu ada rahsia sendiri berkaitan dengan hal-hal peribadi. Dan jika ada masalah 'dalaman' atau pertelingkahan, elok di selesaikan dengan cara bersemuka dan 'behind closed door'.

Blog bukan sahaja tempat kita melontarkan perasaan, juga menjadi medan propanda parti-parti politik. Anak-anak muda yang ghairah meluahkan perasaan mungkin rasa 'kawasan' mereka dicerobohi oleh orang-orang tua yang menjadikan blog tempat 'perang cyber'. Dan mereka beralih ke Facebook dimana merupakan network sosial yang lebih muda dan terbuka bagi mereka dan paling penting 'apolitical'.

Akhirnya blog juga jadi tempat berkarya dan menghasilkan seni. Ada seniman yang tidak kisah pada 'honorarium' yang mementingkan karyanya di 'dengari' sahaja menjadikan blog tempat berkarya. Tiada editor. Tiada cencorship. Tiada superior. Wow, syurga bagi seniman.

Ringkasnya, manusia memang suka meluahkan suka-duka mereka. Ini membezakan kita dengan species lain: imagination. Sebelum saya mengakhiri posting ini, suka saya mengungkapkan kata-kata John Steinbeck pada dedicationnya kepada sahabatnya dalam East of Eden:

Dear Pat,
You came upon me carving some kind of little figure out of wood and you said, “Why don’t you make something for me?”
I asked you what you wanted, and you said, “A box.”
“What for?”
“To put things in.”
“What kind of things?”
“Whatever you have,” you said.
Well, here’s your box. Nearly everything I have is in it, and it is not full. Pain and excitement are in it, and feeling good or bad and evil thoughts and good thoughts- the pleasure of design and some despair and the indescribable joy of creation.
And on top of these are all the gratitude and love I have for you.
And still the box is not full.

JOHN



Ya, kotak ini memang masih belum penuh, walau sebanyak mana di isi pun.

Wednesday, October 14, 2009

Bravo Datuk Seri Hishamudin!

Utusan Malaysia melaporkan tentang beratus-ratus rakyat Malaysia berketurunan Cina menolak untuk kekal sebagai warganegara Malaysia kini mendapati mereka tidak bernegara!(Utusan Malaysia-12hb Oktober 2009)

Ini kerana mereka tersalah tafsir peruntukkan British Oversea Citizen(BOC) yang menyatakan rakyat yang lahir di Melaka dan Pulau Pinang(negeri-negeri Selat) merupakan warganegara British.

Undang-undang ini tamat pada tahun 2002 apabila British membatalkannya dan BOC tidak mengiktiraf mereka sebagai warganegara British dan boleh menetap di England. Antara 'mangsa'nya merupakan seorang arkitek yang berumur 34 tahun dan menjadi pencuci pinggan di England.

Menurut laporan Utusan Malaysia lagi, mereka bingung kerana bukan sahaja tidak diterima sebagai warganegara England, tetapi hilang kerakyatan Malaysia. Setelah mendapati mereka gagal 'menikmati rumput hijau diseberang sana', mereka ingin kembali ke 'neraka negara mengamalkan diskiriminasi'.

Hasrat mereka tidak semudah itu. Perbuatan tidak patriotik ini bukan tanpa akibat. Mereka dimaklumkan mereka bukan lagi warganegara Malaysia. Saya suka mengungkapkan sepenuhnya kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamudin yang boleh kita dapati dalam blog Jebat Must Die:


“people who had renounced their Malaysian citizenship would be treated the same way as any foreigner when they

applied for it.

And it could be even harder as their applications would cast doubts on their intentions and loyalty to the country, he added.

Hishammuddin said it was sad that there were people who renounced their citizenship without understanding the severity of their action.

“When they realise that the situation in the other country was not what they had hoped for, it is not easy to reverse their decision. I hope that people can take this as a lesson.”

Ini baru anak jantan. Bravo Datuk Seri!





Monday, October 12, 2009

Rakyat

Tan Sri Isa Samad menang dengan majoriti 5,435 di Bagan Pinang. Beliau meraih 8,013 undi berbanding lawannya Zulkefly Mohamad Omar meraih sebanyak 2,578 undi. Ada beberapa mesej menarik dari Pilihanraya Kecil Bagan Pinang ini.

Pertama, sejak Pilihanraya Umum ke 12, BN telah tewas sebanyak 7 pilihanraya berbalas 1. Dari 8 pilihanraya berkenaan, Batang Ai dimenangi oleh BN manakala Parlimen Kuala Terengganu milik BN telah jatuh ke tangan pembangkang.

Kedua, dalam ketujuh-tujuh kemenangan PR, mereka berjaya menakluk satu kerusi BN manakala BN tidak pernah berjaya menakluk kerusi PR. BN hampir berjaya melakukanya di Manik Urai dengan mengurangi majoriti 65 undi PAS di 'homegrown'nya.

Ketiga, kemenangan BN di Bagan Pinang telah menaikkan moral BN kerana dengan majoriti yang besar dan undi kaum Melayu, Cina dan India memilih BN, menunjukkan pembangkang salah strategi meletak calon PAS ditempat yang 'sekular.' PAS kekal sebagai parti rural dan tidak dapat diterima di tempat yang komersial.

Keempat, kekalahan PAS di Bagan Pinang sudah boleh diramal sebelum pengundian apabila banyak kekecohan berlaku, protes terhadap undi pos. Tidak seperti ditempat PAS menang, apabila tiada protes terhadap 'pengundi hantu' kita tahu PAS confident akan menang.

Kelima, PR mulai panik walaupun sudah menang 7 RPK berturut-turut. Dalam blog-blog pemimpin mereka seperti Azmin Ali mengutuk rakyat Bagan Pinang yang memilih Tan Sri Isa sebagai perasuah. Beliau membidas 'citarasa' rakyat Malaysia yang suka pengamal rasuah. Begitu juga dengan YB Zulkifly Nordin, juga menyalahkan rakyat Bagan Pinang kerana mengundi koruptor.

Keenam, setelah diberi mandat 7 kali berturut-turut menang dan sekali tidak memihak kepada mereka, Pakatan Rakyat akan menyalahkan semua pihak dari SPR,SPRM, PDRM, UMNO, MCA,MIC,BN dan akhirnya pengundi sendiri i.e 'Rakyat'.

Siapa sebenarnya 'rakyat' yang hendak mereka perjuangkan jika 'rakyat' ini diperlekehkan bila tidak memihak kepada mereka? Hanya Lim Kit Siang yang mengajak rakan-rakannya memuhasabahkan diri. Memang menjadi pembangkang lebih senang dari memerintah kerana dinegeri yang mereka tadbir begitu banyak masalah 'tidur sebantal, tapi mimpi lain-lain.'

Dan rakyat adalah suara keramat, kata semua orang politik.

Saturday, October 10, 2009

Allah

Saya akui saya bukan authority yang boleh bercakap pasal ini. Dan isu ini juga boleh mengundang kontroversi. Namun saya ada jumpa fakta yang menarik dan ini boleh diketengahkan di sini.

Ketika saya membaca tafsir Al-Quran dalam bahasa Inggeris oleh Abdullah Yusuf Ali, saya terjumpa fakta dalam pendahuluannya tentang nama Allah. Sebelum wahyu di turunkan kepada Baginda S.A.W, Kaabah merupakan rumah ibadat orang Arab dan dinamakan Rumah Allah walaupun oleh orang Quraish Jahiliyah.

Quraish pula tidak pula hanya menyembah Allah, tetapi juga menyembah berhala yang kononnya anak Allah dan berbagai berhala lain seperti Latta dan Uzza. Allah menurunkan Nabi Muhamad S.A.W sebagai Rasul yang membetul semula akidah agama warisan Nabi Ibrahim ini.

Seperti dalam Surah Al-Ikhlas, Allah menyatakan bahawa Allah, A Supreme Being, God atau Tuhan hanya Satu, tidak beranak dan tidak diperanakkan dan ini merupakan intipati kepada ajaran Islam. Menyekutukan Allah, dan percaya ada Tuhan selainNya maka syirik dan bukan dari golongan Islam.

Saya menulis isu ini kerana pihak gereja ingin memakai nama Allah juga bagi tuhan mereka. Dan seperti era pra-Islam, pihak jahiliah juga merujuk salah satu dari tuhan mereka sebagai Allah. Seperti yang ditegas dalam surah Al-Ikhlas, Allah itu cuma satu dan tidak beranak dan diperanakkan.

Apa yang diperkecohkan selama ini hanya rujukan kepada apa yang agama masing-masing hendak percayai dan selagi ia tidak mengikut lunas ajaran yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W, ianya tidak bererti apa-apa.

Friday, October 9, 2009

Pembuat dan Pelaksana Dasar

Di sesebuah negara moden yang mengamalkan demokrasi, sesebuah parti yang menang majoriti boleh membentuk kerajaan. Parti berkenaan akan mengemudikan hala tuju negara berkenaan selama mandat yang diberi dalam pilihanraya hingga pilihanraya berikutnya.

Sesebuah parti politik merupakan pembuat dasar. Orang yang melaksanakan dasar yang dibuat oleh pemimpin politik merupakan pegawai kerajaan. Apa akan jadi jika pelaksana dasar ie pegawai kerajaan tidak kemas atau engkar dalam melaksanakan dasar yang dibuat oleh kerajaan?

Dalam Berita Harian hari ini, kerajaan mengumumkan pemberian kontrak dan urusannya akan selesai dalam masa 14 hari tidak berbulan-bulan seperti sebelum ini. Ketika Tun Abdullah mula-mula menjadi PM kita sudah dengar janji yang hampir serupa ini tetapi hakikatnya kontraktor tetap menderita dengan 'karenah birokrat'.

Di mana salahnya?

Jika kita ambil pengalaman jiran kita Singapura,Lee Kuan Yew membuktikan, wawasan beliau yang luarbiasa itu tidak akan tercapai jika tanpa bantuan 'brilliant goverment servant'. Dalam kata lain, tidak kira betapa hebat pun polisi, jika pelaksana dasar buat kerja separuh hati dan tidak cemerlang, dasar itu tidak akan ke mana. Ini sebab mengapa salah satu tugasan Lee Kuan Yew apabila beliau menjadi Perdana Menteri Singapura adalah mendisiplinkan pegawai kerajaan.

Di Malaysia ketika era Tun Mahathir yang mewarisi keusangan birokrasi pasca Inggeris telah dikemaskini oleh Tun sendiri sebelum beliau menlancarkan gagasan perkasa beliau iaitu Wawasan 2020. Kita masih ingat innovasi yang dibuat oleh Tan Sri Ahmad Sarji bersama Tun Mahathir dalam mendisiplinkan pegawai kerajaan dengan punch card dan berbagai lagi.

Dan masalah yang sama dihadapi oleh mana-mana pembuat dasar jika jentera kerajaan sebagai pelaksana dasar tidak memberi kerjasama yang sepatutnya. Apatah lagi sekarang ini dengan jentera kerajaan yang besar - 1 juta orang anggota - boleh membuat tuntutan politik yang berbagai dan tidak memahami dasar kerajaan serta menyokong parti lawan begitu hebat cabaran kepada parti pemerintah.

Segala-galanya akan ditanggung oleh kerajaan kerana rakyat akan menilai setiap lima tahun walaupun ada antara masalah wujud kerana kelemahan jentera kerajaan melaksanakan dasar. Jadi amat mustahak bagi mana-mana pemerintah mem'overhaul' jentera kerajaan ini dahulu sebelum membuat apa-apa tindakan yang lain.

Wednesday, October 7, 2009

Dinasti

Pemerintahan beraja terjadi apabila kuasa pemerintahan turun dari bapa ke anak. Jawatan itu akhirnya menjadi monopoli keluarga raja. Di negara yang mengamalkan demokrasi, kuasa terletak ditangan 'rakyat'. Namun ianya tidak semudah itu.

Demokrasi sepatutnya membenarkan orang yang berkebolehan memimpin tanpa mengira keturunannya. Namun demokrasi yang olirgarki boleh menyebabkan anak kepada pemerintah akan akhirnya menjadi pemerintah. Kita akui mereka boleh jika memang layak, tapiada yang hanya 'meminjam' nama besar bapa-bapa mereka sahaja.

Di Asia terutamanya yang sering dikaitkan dengan 'despotism' kecenderungan ini memang nyata. Jiran kita, Singapura walaupun mengamalkan demokrasi namun 'dinasti' Lee Kuan Yuew amat berpengaruh hingga anaknya menjadi Perdana Menteri ke tiga Singapura. Begitu juga Korea Utara, India dan berbagai lagi.

Akhirnya kelihatan keluarga besar tertentu yang membolot jawatan tertinggi sebuah negara. Lama-kelamaan, keluarga besar ini akan menjadi satu kelas tersendiri dalam mencatur politik negara mereka. Maka muncullah kumpulan elit yang berpaksikan keluarga tertentu dan disokong oleh golongan tertentu - walaupun dalam satu parti yang sama.

Dalam abad ke 21 ini,politik kepuakan(tribal politik) masih mendapat tempat di Asia. Di Malaysia, kita sudah bagaikan boleh meramal siapa bakal Perdana Menteri selepas era Datuk Seri Najib, yang kebetulan anak Perdana Menteri yang kedua.

Jadi anak-anak kepada bekas Perdana Menteri ini membentuk satu wadah perjuangan baru yang bermatlamat menaikkan puak mereka. Jika didalam empayar Rom, mereka ini golongan 'optimate' dan bukan 'homo novus'(orang baru). Ada cubaan dari luar untuk menganggu corak ini tetapi kecundang kerana dek asyik masyuk dengan populariti sendiri.

Dan penyokong hanya akan sokong jika calon berkenaan ada 'brand' tanpa memikirkan kualiti. Saya tidak kata ini salah atau betul cuma menceritakan trend politik yang mendatang. Cuma, politik makin menjadi boring dan predictable.

Monday, October 5, 2009

Kesetiaan.

Pada tahun 1993, ketika arus Anwar Ibrahim sedang melanda kuat politik UMNO apabila beliau menentang penyandang Timbalan Presiden ketika itu, Tun Ghaffar Baba, ada seorang penulis yang mapan menggunakan nama pena 'Lanang Sejagat' mengulas tentang peristiwa itu dalam Utusan Malaysia. Lanang Sejagat merupakan editor Utusan ketika itu( saya tidak perlu dedahkan siapa beliau yang sebenarnya).

Tun Ghappar menjadi 'mangsa' pertama dan terakhir undi bonus yang diperkenalkan. Menurut sistem ketika itu, sesiapa yang mendapat pencalonan dari bahagian akan memperolehi undi bonus sebanyak 10peratus. Anwar berjaya memperolehi hampir keseluruhan bahagian ketika itu dan Encik Ghappar (beliau menerima anugerah Tun selepas bersara dari politik - satu tradisi yang dipinjam dari budaya British) hanya mendapat 7 bahagian.

Ini bermakna, Encik Ghappar telah tewas sebelum pengundian yang sebenar dari bahagian bermula dan beliau melepaskan jawatan itu tanpa bertanding. Ulasan dari Lanang Sejagat sungguh menarik perhatian saya: "tiada brand 'loyalty' dalam politik".

Ini kerana Encik Ghappar merupakan orang yang membuka UMNO di Sabah dan umum memandang Sabah yang mempunyai bahagian terbesar merupakan kubu kuat beliau. Namun realiti politik tidak demikian apabila Anwar turun dengan jentera yang tersusun, kewangan yang kukuh(beliau Menteri Kewangan ketika itu) dan 'restu'(beliau menggunakan restu Tun Mahathir) dari Perdana Menteri.

Ini realiti politik dulu, kini dan selamanya. Memang dalam politik tidak ada 'brand loyalty' seperti yang dikatakan oleh Lanang Sejagat. Apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim pula 'jatuh' dalam politik UMNOnya, ramai juga yang lari meninggalkannya. Begitu juga dengan Tun Dr. Mahathir apabila beliau menyerahkan kuasa: orang-orang kuatnya sendiri menghentam dasar beliau walaupun mereka bersama Tun memutuskan dasar itu.

Setiakawan atau setia-kan-wang merupakan slogan Ketua Pemuda UMNO sekarang iaitu Khairy Jamaludin. Tanpa kuasa dan tanpa sanction bapa mentua sebagai PM, masih setiakan orang-orang KJ?

Dan oleh menyedari hakikat ini, Voltaire pernah mengatakan: "Lord, protect me from my friends, I know how to take care of my enemies". Seperti biasa manusia akan bertindak mengikut kepentingan mereka dan tidak ada kawan dan musuh sejati dalam politik.

"Yet each man kills the thing he loves
by each let this to be heard,
some does with a bitter look,
some with a flattering word,
a coward does it with a kiss,
a brave man with a sword."

-Oscar Wilde dalam poem 'The Ballad of Reading Gaols'.

Awas, apa yang bidalan Melayu sifatkan : "sokong yang membawa rebah".

Monday, September 28, 2009

Calon

Calon BN di Bagan Pinang masih menjadi tandatanya. Adakah Isa Samad akan dicalonkan dikawasan berkenaan atau tidak masih tidak pasti. Walau apapun, BN perlu menang kali ini kerana sejak Pilihanraya 2008, RPK telah dimenangi oleh pembangkang sebanyak 7 berbalas 1.

UMNO bukan lagi parti yang boleh buat sebarang keputusan tanpa sensitif kepada kemahuan rakyat. Ini bukan lagi zaman 'letak tunggul pun menang' bagi UMNO. Ini zaman setiap ahli politik menjadi perhatian seluruh warga pengundi menilai setiap tindak tanduk mereka.

Ada kedengaran desas desus 'akar umbi' UMNO yang minta Tan Sri Isa dicalonkan semula. Ketua Pemuda dan Ketua Wanita Bahagian sangat kuat minta beliau dicalonkan. Bagaimana dengan silent majority keseluruhannya?

Masalah UMNO dewasa ini adalah, pertentangan antara kehendak bahagian yang inginkan calon mereka yang mungkin tak popular dengan pengundi dan kehendak parti yang ingin calon popular. Jika calon tidak disukai bahagian, mungkin berlaku masalah 'cas keting'.

Tan Sri Isa memberi masalah kepada UMNO jika dicalonkan. Di zaman pengundi menuntut supaya pemimpin yang bukan hanya bersih, malah kelihatan bersih, beliau merupakan calon yang memberi kesan buruk kepada UMNO. Lagipun, memilih calon lama juga membantutkan minat pemimpin muda untuk menyertai UMNO kerana tidak progresif dengan kepimpinan baru.

Saya kira sudah sampai masanya pemimpin dibahagian bekorban sedikit semangat 'group feeling' demi menyelamatkan maruah UMNO. Kita kena akui, sebagai parti yang uzur, UMNO tidak segagah dahulu dan perlu ada pengorbanan dari berbagai pihak.

Meminjam kata Brutus dalam play Shakespeare, "bukan kita tidak sayang Isa, tetapi kita lebih sayangkan UMNO". ("Not because I loved Caesar less, but I loved Rome more.)

Sunday, September 27, 2009

Pengiktirafan

Menteri Penerangan, Datuk Rais Yatim menyarankan agar Peguam Negara mengkaji peruntukkan undang-undang bagi diambil tindakan kepada orang yang membeli gelaran datuk dan membeli ijazah.

Seperti biasa, setiap isu akan ada pro dan con. Ada yang menyokong dan ada yang membantah. Antara motif yang mendorong individu untuk membeli datuk dan ijazah adalah bagi menaikkan lagi mertabat mereka.

Penghargaan memang penting. Namun penghargaan mesti datang dari jasa-jasa yang dilakukan oleh seseorang supaya mereka dikenang. Kecenderungan individu untuk melonjakkan nama mereka dikalangan elit menjadi motivasi mereka hingga sanggup membeli ijazah dan gelaran. Dan orang yang memperolehinya tidak semestinya layak, tetapi berduit.

Saya tidak mahu komen banyak pasal gelaran anugerah istana kerana ini merupakan hak mutlak istana, tetapi membeli ijazah, master dan Ph.d merupakan fenomena yang meresahkan.

Dunia intelektual tidak sepatutnya menjadi manipulasi dunia korporat dan politik. Sesiapa yang memperolehi ijazah, master dan Ph.d yang genuine memang selayaknya mendapat penghargaan kerana mereka menuntu ilmu yang sebenar. Kepada mereka yang 'membeli' hanya untuk menjadikan tiket prestij untuk menjadi 'orang besar' dalam politik dan korporat memang agak keji.

Dalam dunia barat, ramai orang yang tidak cemerlang dalam dunia intelek; 'drop-out' Harvard seperti Bill Gates, Andrew Carnegie, Ford dan sebagainya tetap menjadi gergasi dunia korporat tanpa perlu membeli ijazah untuk meningkatkan 'self-esteem' mereka. Begitu juga ahli politik seperti Churchill yang tidak pernah memasuki kolej juga tidak perlu 'forge' sijil, degree, master dan Ph.d bagi membolehkan mereka menjadi negarawan.

Ini menampakkan sebahagian individu dalam masyarakat kita yang tidak mempunyai jatidiri jika mereka gagal menjadi lulusan menara gading. Kejayaan boleh dicapai tanpa menjadi graduate. Dan tokoh-tokoh yang berjaya tanpa menjadi graduate tidak pernah cuba mengubah curucullum vitae mereka jika memang mereka tidak graduate.

Mereka bangga menjadi self-made dan masyarakat juga mengkagumi selfmade.

Keghairahan membeli ijazah ini menyebabkan akan ramai cambahnya golongan 'pseudo-intellect' yang hanya tempel-tempelan dan tidak boleh menyumbangkan apa-apa pun dalam bidang intelek. Jika mereka menjawat jawatan dalam kerajaan dan politik, ini lebih merbahayakan kerana mereka tidak layak menduduki jawatan itu.

Inilah punca mengapa menipu dan membeli ijazah sepatutnya mejadi kesalahan. Saya menyokong gejala ini dibendung jika tidak begitu banyak menularnya sindrom 'bebalisme'.

Friday, September 18, 2009

Selamat Hari Raya

Tidak lama lagi umat Islam seluruh dunia akan menyambut Aidilfitri. Ramadhan telah meninggalkan kita. Jika pankang umur, tahun depan kita menyambut Ramadhan lagi.

Dikesempatan ini saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada pembaca saya khasnya, dan seluruh umat Islam umumnya. Mohon dimaafkan salah dan silap saya selama ini zahir dan batin.

Intelek

Jika sesebuah negara ditadbir dan diuruskan oleh orang yang tidak mempunyai intelek yang tinggi, atau intelek tidak mencukupi, negara berkenaan akan menghadapi masalah.

Intelek dan intelligent tidak sinonim walaupun berkaitan. Ramai pelajar sekarang ini memiliki inteligent yang tinggi tetapi tidak semestinya intelektual.

Syed Husin Al-Attas pernah menulis dalam 'Intelektual Masyarakat Membangun' tentang sindrom di panggil 'bebalisme'. Bebalisme bukan bererti seseorang itu tidak cerdik atau bebal, malah sangat intelligent. Cuma mungkin mereka tidak intelektual.

Sesuatu yang membimbangkan saya sekarang ini adalah, politik dikuasai oleh orang-orang yang bebalisme. Kadang-kadang, iklim politik itu sendiri membunuh golongan intelktual dari boleh bersaing dalam arena politik.

Ada juga golongan ini tidak berminat sama sekali dengan politik yang tidak matang, kotor dan terlalu rakus. Mereka menjauhkan diri dari politik sama sekali, sedangkan suara dan pandangan mereka perlu didengari.

Jika makin ramai golongan intelek tidak meminati politik, makin ramai pula orang-orang kononnya 'streetfighter' dan ahli politik 'mula dari bawah' ini menguasai jawatan dalam politik.

Jika mereka ini terpilih, dan ramai jumlahnya, bayangkan kesannya kepada negara dengan polisi-polisi yang bakal dibuat oleh mereka. Ahli politik adalah penggubal undang-undang dan pembuat polisi.

Kita pernah lihat contohnya Proffessor Ungku Aziz memberi pandangan tentang sesuatu perkara, sebagai seorang intelektual, beliau akan dicemuh oleh ahli-ahli politik dengan jenteranya yang tersusun. Sudah tentu professor seperti Ungku Aziz tidak setanding propagandanya dengan ahli-ahli politik yang tidak intelektual ini.

Saya rasa masyarakat kita perlu memberi banyak ruang lagi kepada golongan intelek untuk memberi sumbangan dalam membangunkan negara. Dan golongan intelek tidak semestinya pensyarah-pensyarah universiti tetapi saya percaya ramai sahaja mereka ini dalam masyrakat, tidak diendahkan kerana mereka kononnya 'tidak praktikal'.

Semua juga bermula dengan idea. Imagination is more important than knowledge. Kata Einstein.

Tuesday, September 15, 2009

Menghina Negarawan.

MIC, sebenarnya seorang perwakilan sahaja, mencadangkan gambar Tun Dr. Mahathir dikalungkan dengan selipar. Perbuatan itu sangat melampau. Sebagai parti komponen BN, amat biadap jika mencadangkan perkara sedemikian terhadap Negarawan Ulung Malaysia yang pernah memimpin BN selama 22 tahun.

Ramai yang tahu puncanya bermula apabila Tun M memberi pandanga ihklas Datuk Seri Samy Vellu agar berundur dalam usaha meremajakan BN. Datuk Seri Samy minta Tun M jangan campur urusan MIC.

Cadangan perwakilan dari Ampang itu mendapat cemuhan Datuk Seri Samy dan kononnya akan diambil tindakan. Ramai juga menganggap ini cuma drama Tamil berlatarbelakangkan politik Malaysia.

Ramai yang marah dengan tindakan MIC. Penyokong UMNO juga ada yang mencadangkan supaya MIC diambil tindakan dan dilekuarkan dari BN.

Saya masih ingat ketika Tun Abdullah mula menjadi PM, ramai juga pembesar UMNO menghina Tun Dr Mahathir. Jika itu adalah cara terbaik, maka UMNO juga kena keluar dari BN atau BN mengamalkan double standard?

Saya tidak kata tindakan MIC betul. Siapa-siapa yang mengkritik Tun sebagai orang yang membawa Malaysia ke taraf ini memang tidak patut. Seperti kes Kartika, mengapa ada yang dirotan dan ada yang tidak.

Jika nak adil, UMNO juga perlu diambil tindakan, setidak-tidaknya pada individu yang kuat menghentam Tun.

Benar saya makin tidak faham dengan politik 'yes man'.

Sunday, September 13, 2009

Al-Imam

Posting ini berkaitan khusus dengan konsep kepimpinan atau pemerintahan Islam. Selepas baginda S.A.W wafat, baginda tidak menunjukkan kepada siapa kepimpinan umat Islam selepas kewafatan baginda secara tuntas. Melalui tingkahlaku, baginda mengamanahkan Saidina Abu Bakar Al-Siddiq r.a menjadi imam ketika beliau sakit.

Selepas baginda wafat, Abu Bakar r.a menjadi khalifah dan bukan tanpa saingan. Puak Ansar juga bermesyuarat untuk melantik pemimpin dikalangan mereka sehingga mereka diingatkan "hendaklah pemimpin terdiri dari bangsa Quraish'. Maka terlantiklah Abu Bakar sebagai 'khalifah' yang bermaksud 'penerus'.

Ini bererti Rasulullah tidak menerangkan bagaimana pemerintahan umat Islam perlu dilaksanakan secara tuntas. Melalui hadis baginda dan ijtihad dan ijmak umat Islam ketika itu, maka wujudlah khalifah yang bererti 'penerus'.

Khalifah atau 'penerus' ini tidak mempunyai sifat-sifat kenabian. Mereka cuma sahabat yang memahami pemikiran rasulullah dan akan bertindak berdasarkan sunnah baginda. Ini menerangkan mengapa dalam pemerintahan Abu Bakar r.a yang singkat, beliau tidak membuat sebarang ijtihad terhadap polisi Rasulullah S.A.W sebelum baginda wafat.

Abu Bakar Al-Siddiq merupakan 'penerus' dalam ertikata sebenar. Selepas Abu Bakar r.a meninggal dunia, oleh kerana umat Islam banyak masalah selepas wafat Rasulullah, beliau membuat keputusan melantik orang yang dikira paling layak ketika itu iaitu Omar Al-Khattab.

Omar r.a pula merupakan 'khalifah' kepada khalifah Rasulullah S.A.W atau 'penerus' kepada 'penerus' Rasulullah. Ketika itu, hampir keseluruhan Semenanjung Arab sudah memeluk Islam. Oleh kerana khalifah ketika itu merupakan 'Amirul Mukminin', maka kuasa pemerintahannya terhad. Omar r.a banyak berkompromi dengan gabenor-gabenor dan panglima-panglima perang yang sibuk meluaskan empayar Islam.

Kebanyakkan keputusan setempat menggunakan budi bicara gabenor dan panglima perang dikawasan masing-masing dan khalifah akan dimaklumkan sahaja. Dengan kata lain, amat kurang pengaruh khalifah ketika itu terhadap empayar Islam diluar Mekah dan Madinah.

Selepas Omar r.a meninggal dunia, Uthman bin Affan terpilih oleh syura untuk menjadi khalifah. Omar tidak menunjukkan penggantinya kerana beliau minta umat Islam berijtihad memilih khalifah seterusnya tanpa dipengaruhi oleh beliau.

Selama Omar r.a menjadi khalifah, Islam telah meluas dengan penaklukan yang meluas. Beberapa tempat seperti Mesir dan Parsi menjadi jajahan Islam. Ini memerlukan sistem politik yang berlainan dengan cara Abu Bakar r.a dan Omar r.a. Di sini bermula tindakan Uthman r.a yang melantik kebanyakkan gabenor dari suku Ummayah iaitu suku Uthman sendiri.

Sejarahwan ada menyifatkan ini sebagai nepotisme tetapi kita tidak boleh menyalahkan Uthman. Realiti politik ketika itu memaksa beliau memilih gabenor dari kalangan orang yang beliau percayai. Dengan kata lain, Uthman cuba memperolehi sedikit pengaruh pemerintahan dijajahan Islam dan mengurangkan autonomi gabenor. Beliau menuntut sedikit kuasa 'sekular' jika boleh kita sifatkan demikian.

Seperti yang kita tahu, polisi Uthman itu memakan diri beliau sendiri dan akhirnya beliau terbunuh. Muncul pula Ali r.a sebagai khalifah seterusnya. Kali ini, konsep khalifah sebagai penerus kepada penerus tidak berlaku lagi. Ini kerana realiti politik Islam ketika itu sudah berubah.

Amirul Mukmikin bukan hanya perlu ketua kepada orang Mekah dan Madinah atau Muhajirin dan Ansar sahaja yang sudah menjadi minoriti tetapi menjadi ketua kepada seluruh umat Islam samada berbangsa Quraish, suku-suku Badawi, dan suku-suku Arab yang ada yang merupakan raja bagi kaumnya sebelum kedatangan Islam.

Menyedari hakikat perubahan dari hanya menguruskan awalin Islam seperti Muhajirin dan Ansar kepada menguruskan empayar Islam maka Ali menolak untuk menjadi khalifah jika beliau tidak dapat menggunakan ijtihadnya.

Ali berbeza dengan Uthman, menuntut bukan hanya kuasa 'sekular' seseorang khalifah tetapi juga menuntut kuasa keagamaan. Beliau mencuba seperti baginda S.A.W untuk menjadi pemimpin dan imam sekaligus kepada umat Islam. Malangnya, beliau tidak mempunyai sifat kenabian kerana rasulullah S.A.W merupakan nabi terakhir. Umat Islam yang dipimpinnya juga ketika itu bukan orang seperti Muhajirin dan Ansar tetapi ramai yang baru memeluk Islam.

Saidina Ali menghadapi tentangan dari sahabat Rasulullah seperti Zubair dan Talhah malah balu Rasulullah seperti Aisyah. Beliau juga mendapat tentangan dari Muawiyah dan akhirnya pengikutnya sendiri, golongan Khawarij yang akhirnya membunuh beliau. Terbunuhnya Saidina Ali r.a bererti konsep khalifah sebagai Al-Imam juga berakhir.

Jadi konsep Al-Imam yang hendak diterapkan oleh Saidina Ali r.a diteruskan oleh golongan syiah. Seperti pernah saya tulis, syiah mempunyai banyak mazhab dan bukan semua extreme dan bertentangan dengan akidah. Secara umum, syiah cuma percaya keluarga ahlul bait sepatutnya menguasai politik Islam dan percaya kepada konsep Al-Imam iaitu pemimpin kemasyarakatan merupakan 'spiritual leader' sekaligus.

Sejarah membuktikan akhirnya konsep awal khalifah sebagai 'penerus' hilang makna dan fungsinya. Apabila Muawiyah bin Abu Suffian menjadi khalifah, jawatan itu sudah menjadi warisan keluarga Ummayah dan seperti pemerintahan beraja. Cuma Omar bin Abdul Aziz sahaja dari khalifah Ummayah yang cuba menerapkan konsep Al-Imam iaitu kesyumulan seorang ketua - baik dari segi politik mahupun keagamaan.

Rasulullah menunjukkan bahawa Islam progresif dan tidak perlu wujud pemerintahan Islam yang kononnya 'macam ini' dan 'macam itu'. Asalkan tidak menyalahi akidah dan syarak, corak pemerintahan Islam tertakluk kepada keadaan zaman dan keadaan setempat sesuatu bangsa itu - tidak semestinya meniru Islam/Arab atau Islam/Parsi(seperti kepercayaan sesetengah orang terhadap republik Islam).