Followers

Monday, February 14, 2011

Merantau Ke Deli


masjid al mashun
Dalam kunjungan saya ke Medan, banyak pemandangan yang tidak pernah saya lihat di Malaysia ada di sini. Medan sebelum ini dibawah kekuasan Sultan Deli.

Saya pernah membaca novel Hamka: 'Merantau ke Deli', tapi saya tak tahu selama ini Deli adalah Medan moden. Ada istana Maimun di sini, dulunya tempat bersemayam Sultan-sultan Deli. Malah masjid Mashun, tempat saya solat Jumaat itupun dibina oleh Sultan Deli.

Sekarang, kesultanan Deli hanya tinggal kenangan dan dalam lipatan sejarah sahaja. Orang Indonesia sangat menghargai kemerdekaan jiwa dan 'kuasa rakyat'. Mereka memang 'orang-orang republik.

Hari pertama saya melawat sekolah Hikmatul Fadillah. Sekolah ini sekolah swasta. Saya didatangi oleh sekumpulan remaja yang bertutur dalam bahasa Inggeris. Memahami Inggeris sebagai bahasa global, mereka cuba mengikuti peredaran zaman dan mengenepikan sentimen bahasa mereka. Dan anak-anak muda dalam lingkungan 11 hingga 15 tahun ini mampu bertutur  bahasa Inggeris dengan baik.


Bahkan di Medan juga saya temui Parti Keadilan. lambangnya hampir sama cuma Parti Keadilan di Malaysia warna biru, dan bulan sabitnya vertical, bulannya pula menghadapi antara satu sama lain. Di Medan, sabitnya mempunggungi antara satu sama lain.

parti keadilan






Di sini banyak saya temui 'beautiful little people'. Mereka golongan berpendapatan rendah seperti abang beca. Beca mereka, ada yang dikayuh, ada yang menggunakan kapcai disewa beli dan sepertinya teksi malaysia, perlu dibayar sewa hariannya.

Pada 12hb Februari 2011, saya menghadiri  program anjuran Yayasan Hikmatul Fadillah bersama isteri abang-abang beca. Program ini semacam program membasmi kemiskinan, bezanya ia tidak dijana oleh kerajaan tetapi hanya NGO seperti Yayasan berkenaan.

Bersama suami-suami yang menghantar isteri mereka berseminar.


Turut hadir dalam majlis berkenaan adalah Bapak Gus Irawan,  Direktor Utama Bank Sumut iaitu sebuah bank syariah. Beliau juga calon Gabenur Medan dari parti Golkar.

Bank Sumut banyak membantu golongan marhein. Menurut Bapak Gus Irawan, sudah seramai tiga puluh tiga ribu kaum ibu di Sumatera telah dibantu oleh Bank Sumut. Bank Sumut akan memberi mereka modal untuk memulakan perusahaan mereka dengan interest yang sangat rendah. Konsep ini hampir sama dengan konsep Syameen Bank di Bangladesh yang memberi pinjaman walaupun kepada pengemis serendah 10USD.

Beautiful little peoples


Mereka menggalakkan rakyat mereka berusaha dengan memberi modal. Alhamdulillah menurut Bapak Gus Irawan, kaum ibu yang meminjam selama ini dapat membayar pinjaman mereka dengan baik. Yayasan Hikmatul Fadillah akan mengatur perkara yang sama iaitu menyediakan dana samada pinjaman dari Bank Sumut dan juga melalui koperasi dan derma orang ramai.

Saya kagum melihat kesungguhan NGO mereka membantu golongan berpendapatan rendah. Di Indonesia, tidak seperti Malaysia, orang susah atau pribumi tidak dibantu oleh agensi seperti MARA dan TEKUN. Namun semangat mereka untuk bekerja, menambah pendapatan dan berusaha mengatasi kebanyakkan orang Melayu kita di Malaysia.

Mungkin kerana untuk survive dan tidak disuap, mereka berusaha sekeras-kerasnya mencari kehidupan yang lebih baik. Salam dari Deli.



No comments: