Followers

Wednesday, February 9, 2011

Budaya Demo: Beza Antara Ku Li dengan Anwar Ibrahim

Jumaat lepas, ada puak yang menganjurkan demonstrasi minta Hosni Mubarak meletak jawatan sebagai Presiden. Demonstrasi aman ini menjadi kecoh apabila pihak berkuasa campurtangan dalam usaha meleraikan pihak yang menganjurkan demonstrasi ini.

Ada yang berpendapat, pihak polis dan FRU yang salah kerana mereka mencampuri demonstrasi yang sepatutnya aman. Ada yang mengatakan budaya 'tunjuk perasaan' ini bukan hanya berlaku di Malaysia tetapi di negara-negara lain juga.

Menarik untuk di ulas isu ini. Pertama demonstrasi ini berkaitan 'sokongan moral' kepada rakyat Mesir yang ditindas oleh Hosni Mubarak. Bagi saya, penganjur mengambil kesempatan apabila rakyat Mesir bangkit menentang Presiden mereka walhal sebelum ini mereka tidak pula mengutuk apa-apa tindakan 'kekejaman' Hosni terhadap rakyat Mesir. Ini namanya publisiti murahan.

Demonstrasi, seperti budaya karaoke telah diimport oleh orang Malaysia dengan jayanya tetapi seperti biasa, kita banyak menerima yang buruk dari yang baik. Karaoke bermula di Jepun. Orang Jepun yang rajin bekerja dari pagi hingga malam sangat kurang masa untuk berhibur. Maka diciptakan karaoke, kepada mereka untuk menghibur diri sendiri, menyanyi dan melalak melepaskan perasaan kerana kurang berhibur.

Budaya itu akhirnya sampai juga ke Malaysia. Tapi orang Malaysia, terutama Melayu yang suka berhibur tidak menjadikan karaoke sebagai 'tempat melepaskan kelelahan'. Karaoke menjadi budaya hiburan yang popular dan kita boleh berhibur 24/7 dirumah, dikelab dan dimana-mana sahaja. 

Budaya demonstrasi ini diperkenalkan dengan jayanya oleh Anwar setelah beliau terkeluar dari kabinet. Semasa beliau menjadi ketua pergerakan pelajar, amalan ini memang subur. Saya tidak ingat adanya demonstrasi ala BERSIH, HINDRAF dan sebagainya semasa selama 17 tahun Anwar berada dalam kerajaan.

Adakah Malaysia terlalu bagus hingga tidak ada politik jalanan 'ala gerakan pelajar 70an' semasa Anwar dalam kabinet? Perlu ingat ketika itu Perdana Menteri masih Tun Dr. Mahathir.

Sebaik beliau dipecat, gerakkan reformasi membanjiri jalanan, dan kadang-kadang menganggu perniagaan penjaja-penjaja kecil di kawasan pertempuran mereka dengan polis. Keadilan perlu diberi juga kepada penjaja kecil yang mencari makan sekitar Masjid India, Daya Bumi dan sebagainya. Berapa ramai pemandu teksi, penjaja dan lain-lain kerugian semasa demonstrasi era reformasi Anwar dulu. Mereka juga rakyat.

Hingga kini, cubaan mengimport politik demonstrasi menjadi kebiasaan. Tidak menyertainya, atau menafikannya akan dituduh tidak liberal, tidak demokratik dan sebagainya. Jika ia berjaya diadakan sentiasa secara besar-besaran, ia boleh melumpuhkan ekonomi negara. Kerajaan akan kelihatan jahat dan ini rahsia hasrat sesetengah pemimpin.

Demokrasi boleh disuburkan dengan pembangunan ekonomi. PR yang sudah menawan beberapa negeri hanya perlu buktikan mereka boleh memerintah dengan lebih baik di negeri-negeri pemerintahan mereka. Akhirnya jika benar BN zalim, rakyat akan bangkit juga bukan kerana didalangi oleh mana--mana parti, tetapi oleh kerana perut mereka lapar.

Dan perut rakyat Malaysia belum cukup lapar untuk bangkit seperti Mesir, Tunisia, Yaman dan Revolusi Perancis.

Saya teringat seseorang pernah memberi tahu saya tentang sikap Tengku Razaleigh. Saya kurang ingat apa isu tetapi ketika itu UMNO dibawah Tun Dr. Mahathir pernah membuat seseuatu yang kurang popular kepada kepentingan Melayu. Sekurang-kurangnya itu intepretasi pengikut Tengku Razaleigh.

Beberapa golongan radikal dalam Semangat 46 minta Tengku Razaleigh mengadakan demonstrasi besar-besaran. Saya yakin jika di adakalan ketika itu boleh memberi 'political mileage' yang besar kepada Semangat 46. Namun Tengku Razaleigh menolak cadangan itu.

Perkara berkenaan terlalu emosional hingga ada pengikut Tengku Razaleigh menuduh beliau sebagai 'Melayu Pengecut'. Beliau hanya senyum dan masih menolak cadangan itu. Saya bertanya mengapa beliau menolak mengadakan tunjuk perasaan itu.

Jawapan yang saya terima, walaupun tidak dari mulut Tengku Razaleigh sendiri adalah bagi Ku Li, keselamatan pengikutnya adalah lebih berharga dari hanya sekadar 'political mileage'. Beliau tidak sanggup memperjudikan keselamatan pengikutnya - walaupun mereka sendiri sanggup.

Mungkin Anwar dan Ku Li tidak akan jadi Perdana Menteri Malaysia, tetapi kelas politik mereka berbeza. Saya percaya dengan sumbangan Ku Li dalam Petronas, Bank Bumiputera dan sebagainya, Ku Li akan diingati dalam sejarah sebagai Negarawan kerana beliau selalu bertindak dan berfikir secara negarawan.

Walaupun Allah mentakdirkan jawatan Perdana Menteri bukan untuknya.

1 comment:

hehe said...

"Jawapan yang saya terima, walaupun tidak dari mulut Tengku Razaleigh sendiri adalah bagi Ku Li, keselamatan pengikutnya adalah lebih berharga dari hanya sekadar 'political mileage'. Beliau tidak sanggup memperjudikan keselamatan pengikutnya - walaupun mereka sendiri sanggup."

kalau betulah bagai dikata....saya semakin menghormati Ku Li.. jelas berbeza dengan juara rakyat tersebut....