Followers

Tuesday, April 12, 2011

Shiri/Swiri

Filem blockbuster a'la Hong Kong dan Hollywood pertanda kejayaan ekonomi Korea Selatan.

Pernah atau tidak kita terfikir, bagaimana satu bangsa yang mempunyai kebudayaan sama dan bertutur bahasa yang sama, sanggup terpisah dan berbunuh-bunuhan kerana ideologi? Korea Selatan dan Korea Utara merupakan satu contoh bahawa ideologi telah memisahkan mereka. Bukan pula sekadar memisah malah mereka bermusuhan hingga berperang kerana ideologi.

Selatan menganut fahaman kapitalis, Utara pula komunis dan kedua ideologi ini merupakan ciptaan Barat. Orang sanggup saja berpecahpelah kerana berlainan pendapat. Kadang-kadang berlaku juga dalam agama.Di Timur Tengah, Arab Islam mazhab sunni berbunuh-bunuhan dengan Arab Islam mazhab Shiah. Kedua-dua menyembah Allah yang sama.

Pada tahun 1999, hanya ada tiga filem yang menakjubkan saya. Matrix arahan Wachowski Brothers, sebuah filem Hong Kong arahan Tsu Hark bertajuk Time and Tide; dan Shiri, filem Korea arahan Kang Je-gyu.

Kejayaan ekonomi Korea Selatan ketika era 'miracle of Pacific Rim' memungkinkan lahirnya sebuah filem Korea yang menembusi pasaran antarabangsa. Filem ini memakan belanja yang sangat besar. Di luar Korea, filem ini dinamakan Shiri, sementara di Korea sendiri, filem ini dinamakan Swiri.

Korea merupakan bangsa yang gigih. Sebelum ini, saya pengagum Jepun. Saya mengkagumi Jepun kerana ianya satu-satu bangsa Asia yang mampu mengejar kemodenan Barat selama 45 tahun sahaja. Saya masih meragui keupayaan Korea. Seperti Malaysia, Korea masih negara pertanian dalam sekitar tahun 1970an.

Namun kini, Korea Selatan telah berkembang pesat. Korea Selatan, seperti Jepun, berkiblatkan Amerika. Kereta mereka sudah boleh menyaingi kereta Jepun. Begitu juga dengan barangan elekrik. Samsung sudah menjadi jenama besar. Dengan kepantasan yang hampir sama dengan keupayaan Jepun mengejar Barat, ada sesuatu sifat bangsa yang istimewa dalam peribadi bangsa Korea ini.

Saya menjadi hairan, bagaimana bangsa sehebat Korea ini boleh berpecah hingga menjadi musuh kerana fahaman. Bayangkan jika mereka sebagai satu bangsa dan satu negara. Shiri merupakan filem yang mendambakan penyatuan Korea Selatan dan Korea Utara. 

Dalam filem ini, beberapa elit risikan Korea Utara berjaya menembusi sistem pertahanan Korea Selatan. Kebencian yang melampau komunis Korea Utara terhadap Korea Selatan  telah membuat perancangan yang teliti bagi menembusi sistem perisikan Korea Selatan. Mereka menghantar beberapa elit wanita mereka dengan membuat pembedahan plastik hingga tidak dikenali latar belakangnya, dan berkahwin dengan pegawai tinggi keselamatan Korea Selatan.

Shiri merupakan nama species ikan yang hidup di sungai-sungai Korea. Nama saintifiknya adalah coreoleuciscus splendidus. Ikan ini hidup di sungai-sungai Korea baik dari Selatan atau dari Utara. Shiri akhirnya akan kembali bersatu di sungai besar tanpa mengetahui ia datang dari sungai Utara atau sungai Selatan Korea. Kedua-duanya merupakan ikan 'bangsa' Korea.

Fahaman politik telah memisahkan mereka. Saya menulis tentang Korea dan pemecahan satu bangsa yang sama ini sebagai amaran, jika Melayu sendiri gagal mengawal fanatik mereka terhadap sesuatu fahaman, Melayu juga boleh berpecah seperti Korea Selatan. Untuk memecahkan bangsa amat mudah, menyatukannya mengambil masa beberapa generasi.

Bangsa German bersatu setelah Napoleon mewujudkan Confideration of the Rhine, Sebelum itu, German berpecah kepada beberapa states yang bertutur bahasa yang sama, tetapi dipisahkan oleh negara-negara kecil seperti Ausria, Prusia dan Bavaria. 

German benar-benar bersatu sebagai negara apabila Bismarck menyatukan mereka, dikenali dengan Second Reich. Holy Roman Empire dibawah Austria dianggap sebagai First Reich, dan sudah tentu, dibawah Hitler sebagai Third Reich yang terkenal itu.

Dan hanya ada satu faktor yang menyatukan mereka: semangat kebangsaan. Dan jangan kita percaya jka ada orang mengatakan nasionalis tidak Islamik.

 Hati-hati jika tidak kita boleh jadi seperti Korea: terpisah selatan dengan utara walaupun satu bangsa.



No comments: