Followers

Monday, August 9, 2010

Perkasa : Penilaian Peribadi.



Pada 6 Ogos 2010, Perkasa mengadakan ceramah di Dewan Majlis Daerah Jerantut. Saya telah dipelawa oleh rakan-rakan Jerantut agar dapat hadir mendengar ceramah oleh Presiden Perkasa, Datuk Paduka Ibrahim Ali. Memang saya bercadang untuk hadir mendengar beliau berpidato. Saya pernah menemui beliau secara 'in person' bersama bekas ADUN Pulau Tawar, juga blogger Melayu Raya Daily iaitu Dato' Azizan Yaakob selepas pilihanraya 1999.

Sebelum itu, saya sudah mengenali Datuk Paduka Ibrahim Ali secara reputasi. Beliau seorang yang lantang bersuara, pernah menjadi orang kuat Tengku Razaleigh sebelum kembali menyertai UMNO dan menjadi orang kuat Tun Dr. Mahathir. Beliau juga mempunyai reputasi sebagai orang politik yang 'kuat melompat'. 

Beliau tidak dipilih oleh Pak Lah sebagai Ketua Bahagian Pasir Mas selepas persempadanan semula menjelang Pilihanraya Umum 2004. Kemudian beliau bertanding bebas dengan menggunakan lambang parti PAS dalam Pilihanraya Umum 2008. Mengejutkan, beliau memenangi kawasan Parlimen Pasir Mas.


Datuk Paduka Ibrahim Ali kembali menjadi terkenal selepas wujudnya Perkasa. Beliau merupakan 'hero' kepada sesetengah pihak, 'penjahat' bagi sesetengah pihak lain pula. Ada juga yang menganggap beliau tidak lebih dari hanya sekadar 'opportunist'. Walau apapun, beliau seorang ahli politik yang bewarna warni. Menarik tetapi tidak menjengkelkan seperti KJ. 

Perkasa pula wujud sebagai NGO. Sebagai NGO Perkasa tidak mempunyai aspirasi politik. Kuasa sepatutnya bukan matlamat utama Perkasa. Perkasa hanya wujud sebagai 'pressure group'. Ini berlaku kerana UMNO sendiri sudah gagal menjadi parti yang mengutamakan kepentingan Melayu. 

Namun demikian, ada juga pihak yang menganggap Perkasa merupakan 'carbon copy' UMNO. Ini kerana dalam sesetengah isu, Perkasa nampak kuat menyebelahi UMNO. Ada juga beberapa orang kuat dalam Perkasa secara terang-terang menghentam PAS seolah-olah mereka UMNO. Perkasa bagaikan terpaksa melakukan kerja radikal berkaitan kepentingan Melayu yang mana UMNO tidak boleh lakukan lagi.

Kerja yang mana sayap radikal UMNO seperti Pemuda sendiri tidak mampu untuk lakukan. Pemuda tidak seharusnya menjadi 'comformist'. Pemuda perlu lantang termasuk mengkritik pemimpin UMNO jika lari dari 'agenda Melayu'. Namun Pemuda di bawah KJ merupakan kepimpinan yang lembik. Mereka sudah kena sindrom 'sokong dan setuju'. Dan muncullah Perkasa.

Apabila saya hadir ke ceramah Perkasa, mendengar setiap patah perkataan Datuk Paduka, saya tidak tahu saya amat tertarik mendengar ucapan beliau kerana kebolehan pidato beliau yang berapi-api, atau kerana keihklasan perjuangan beliau dalam membela Melayu. 

Datuk Paduka Ibrahim Ali sering bertempur dengan pemimpin kaum Cina seperti Datuk Ti Lian Ker dan Wee Ka Siongyang menganggap beliau sebagai ahli politik kuno yang hanya tahu membakar semangat perkauman. Beliau juga bertembung dengan Khairy Jamaludin dalam isu mempertahankan kuota biasiswa bumiputera. Beliau sering dikritik oleh Dato Sakmongkol AK47 kerana idea perjuangan Melayu versi Perkasa menurut mereka sangat kuno; terlalu radikal dan tidak sesuai dengan peredaran zaman.

Setelah dua hari saya mendengarkan ucapan Datuk Paduka Ibrahim Ali, saya dapat menghidu sedikit sebanyak ulterior motif pertubuhan NGO ini. Perlu diingat, Datuk Paduka Ibrahim Ali adalah Perkasa dan Perkasa merupakan Ibrahim Ali. Aliran pemikiran beliau penting untuk membaca ke mana hala tuju perjuangan Perkasa. Memang orang yang menyertai Perkasa ramai dan mempunyai motif yang berbagai tetapi mereka bukan yang mencorakkan hala tuju pertubuhan itu.

Saya percaya Perkasa akhirnya akan menjurus ke arah politik juga. Saya tidak menafikan buat masa ini, perjuangan Perkasa dapat mengimbangi  kelemahan UMNO dan PAS dalam memperjuangkan kepentingan Melayu. Perkasa terus mendapat sokongan majoriti senyap Melayu dalam hal-hal berkaitan dengan kepentingan Melayu walau pada perkara yang dianggap ketinggalan zaman.

Meminjam kata-kata Datuk Paduka yang menarik hati saya: "Jika Hang Tuah pernah berkata: Takkan Melayu hilang didunia" dan memang Melayu tidak akan hilang didunia, namun tidak mustahil Melayu akan hilang dunianya". 

Saya rasa ada benarnya perkataan beliau. Melayu sudah hilang Singapura, dan sudah hilang jatidiri seperti bahasa dan adat resam seperti keris. Melayu malu untuk menunjukkan identiti mereka lagi kerana desakan kaum bukan penduduk asal. Di sesetengah kawasan perumahan, Melayu sudah segan untuk azan kuat-kuat. 

Dalam ceramahnya, Datuk Paduka ada mengatakan demi kelangsungan Melayu, jika perlu demokrasi dihapuskan, demokrasi akan dihapuskan. Memang beliau agak radikal namun saya sependapat dengan beliau. Apa guna rasionaliti jika rasionaliti merupakan lesen kepada orang lain menindas orang Melayu dan mempersoalkan perkara basic seperti Islamnya orang Melayu.

Saya pernah menulis tentang mencari parti Melayu ke tiga, buat masa ini saya tidak rasa Perkasa layak untuk menjadi parti yang membawa wadah perjuangan Melayu. Perkasa masih tidak dapat menjadi seperti UMNO pada tahun 1946 dahulu. Jika akhirnya Perkasa menjadi parti politik, ia akan menambah pecah undi Melayu. Buat masa ini saya merasakan Perkasa perlu menjadi NGO, dan menjadi 'pressure group' untuk swing vote orang Melayu atas pagar tanpa menjadi parti politik. Perkasa boleh menjadi penentu parti mana yang perlu disokong asalkan mampu menjaga kepentingan Melayu.

Sebagai 'final verdict' saya secara peribadi, kita masih perlukan banyak pertubuhan NGO seperti Perkasa namun mereka perlu kekal sebagai NGO. Politik lambat laun akan merosakkan mereka.

Pada ceramah 6 Ogos 2010, Perkasa berjaya mendaftarkan ahlinya seramai 200 orang di Jerantut, termasuk saya sendiri mendaftar sebagai ahli Perkasa.










1 comment:

Anonymous said...

Salam tuan, satu kupasan yang ringkas tetapi menarik perhatian saya, sesungguhnya bangsa melayu memerlukan satu platform radikal seperti Perkasa dalam memperjuangkan kehendak dan hak orang melayu. UMNO dan PAS tidak mampu untuk memberi nafas baru dalam mempertahankan hak-hak peribumi sepertimana yang diperjuangkan oleh Perkasa. Sesungguhnya, saya amat merasakan perlunya Perkasa menjadi kuasa 'check and balance' bagi menentang kafir-kafir dalam Malaysia yang kita cintai ini.