Followers

Friday, May 29, 2009

Nyanyi Sunyi Seorang Negarawan


Tun Dr. Mahathir menulis dua artikel dalam blognya yang menggambarkan beliau sudah letih dilabelkan berbagai oleh media massa - asing dan tempatan -, rakyat dan ramai golongan. Dua artikelnya: 'Mahathirism' dan 'Extremist' secara tidak langsung membayangkan beliau sudah lemas dengan berbagai label, terutama diusia tuanya.

Beliau dilabel 'ultra malay' oleh Lee Kuan Yew dulu. PAS memanggil beliau 'Maha Firaun', media Barat pernah melabelkan beliau diktator, kekadang exteremist. Begitu banyak labelnya jika saya hendak membariskannya di sini, tetapi cukup sekadar yang mampu saya ingat di atas.

Beliau juga dianggap tidak demokratik, tyrant dan despotic. Ironinya, beliau antara dua presiden UMNO yang pernah dicabar. Satu lagi adalah Tun Hussin Onn, dicabar oleh Sulaiman Palestin. Tun sendiri dicabar oleh Tengku Razaleigh Hamzah hingga membawa terpecahnya UMNO dan wujudnya Parti Melayu Semangat 46.

Bekas Perdana Menteri Liberal 'Flip Flop' Tun Abdullah yang kononnya bapa demokrasi bersifat kuku besi pula. Beliau tidak dicabar walaupun menyerahkan kerusi sesudah banyak kerosakkan dilakukan oleh beliau dan menantunya, Khairy Lord of the Flies.

Saya melihat banyak penentangan dizaman Tun Mahathir tentang idea-ideanya seperti pengswastaan, jambatan Pulau Pinang, Proton dan banyak lagi. Di zaman Tun Abdullah, semua menteri kabinet, pemimpin sayap seperti Pemuda, Wanita dan Puteri terkena apa yang Tun Musa Hitam sifatkan 'sindrom setuju dan sokong."

Apabila Datuk Mukhriz menyifatkan ucaptama Tun Abdullah dalam perhimpunan Agung UMNO tahun 2007 sebagai "tiada yang baru", beliau dikecam oleh kebanyakkan pemimpin UMNO terutama dari Ketua Pemuda ketika itu. Malah ada ura-ura hendak mengambil tindakan terhadap beliau sebagai exco Pemuda hingga memaksa beliau meminta maaf.

Mengucapkan sesuatu yang benar sahaja sudah akan diambil tindakan? Siapa lagi tidak demokratik?

Tun Dr. Mahathir adalah tokoh yang selalu kontrovesial. Beliau tidak memilih jalan popular dalam menentukan dasarnya. Beliau banyak memperjudikan nasib politiknya dengan bersikap 'betul' dan tidak difahami dari menjadi popular. Beliau sendiri yang pernah berkata: "Saya disini bukan untuk popular." dan 'Saya tidak kisah orang akan ingat saya atau tidak."

Beliau seorang yang 'blunt', direct dan 'honest'. Sifat ini sahaja sudah menyalahi tabii Melayunya. Kebanyakkan orang Melayu sukakan pemimpin yang lembut dan cakap berlapik walaupun pepat diluar rencong di dalam.

Akibat sifatnya yang sering offensive, blunt dan kadang-kadang sarcastic, beliau kurang popular dan hampir tewas kepada Ku Li dan hanya menang dengan majoriti tipis sebanyak 46 undi. Aneh dalam kareer politiknya, setelah beliau melalui arus yang payah, beliau akan terus menerus menjadi dominan dan lebih popular - walaupun populariti itu datang dari polisinya yang 'betul' dan 'tepat' dan bukan propaganda atau 'image projection'.

Beliau tetap beliau.

Media Barat, bahkan Amerika sendiri kurang meminati beliau kerana beliau merupakan 'bad boy' bagi mereka. Semua orang - walaupun jaguh liberal dan demokrasi - sukakan comformist. Tun seorang yang rebellious dan tidak percaya kepada sistem yang ada kecacatan.

Contohnya, Tun tidak setuju dengan sistem globalisasi dan bahkan 'kapitalis' kerana memberi kelebihan kepada golongan yang sudah sedia kuat dan bermodal. Bagi Barat, segalanya perlu ditentukan oleh pasaran.

Seperti yang dapat kita baca dalam blognya, Tun memang tidak setuju dengan banyak perkara tentang sistem kewangan antarabangsa seperti currency, spekulasi yang sangat jauh dari perdagangan yang sebenar, eksploitasi kaum pemodal seperti banker-banker, tiada kawalan terhadap penjarah kewangan(currency raider) dan berbagai lagi.

Pada tahun 1997 ketika ekonomi Asia diserang penyangak matawang, ramai yang tidak senang dengan sifat 'rebellious' beliau dan menyalahkan polisinya yang 'combactive' dan kurang 'diplomatic' terhadap media dan dunia Barat. Beliau juga mencari formulanya sendiri untuk menyelesaikan kemelut itu

Datuk Nor Mohamed Yaacop dalam artikelnya menceritakan bagaimana beliau dipanggil Tun, dan minta pandangannya tentang apa yang berlaku terhadap krisis itu. Diringkaskan cerita, mereka menemui formula tanpa perlu menjadi hamba kepada IMF. Antara polisinya adalah menambat matawang ringgit kepada 1 USD = RM 3.8. Menurut Datuk Nor, polisi ini bukan menjamin 100% berjaya. Ianya berjaya kerana 'hands on' approach Tun.

Dalam masa yang sama, Menteri Kewangan ketika itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula menjadi 'budak baik' Amerika, disambut dengan karpet merah, 21 das tembakan meriam. Beliau sudi bekerjasama dengan IMF dan tidak senang juga dengan sikap 'rebelious' Tun terhadap sistem kapitalis.

Tun ada menulis artikel dalam TIMES pada September 1999, bertajuk 'Call Me a Heretic'. Dalam artikel itu Tun menyatakan Barat sudah banyak tersilap dalam melaksanakan polisinya. Contohnya mereka membakar orang hidup-hidup zaman Inquistor Sepanyol kerana menuduh orang Christian sihir dan selama beratus tahun kepercayaan itu diteruskan baru Barat sedar ianya silap.

Kata beliau lagi, Malaysia tidak sanggup menunggu ratusan tahun menjadi Pak Turut kepada cacacela dalam sistem kapitalis Barat. Akhirnya sebelum beliau bersara pada tahun 2003, ekonomi Malaysia pulih tanpa menjadi hamba IMF. Walaupun Malaysia bukan lagi 'harimau Asia', tetapi Tun mengembalikan maruah dan harga diri Malaysia.

Tun mempunyai tabiat tidak boleh mendiamkan diri jika beliau sedar ada salah dalam sesuatu perkara. Ini berlaku apabila beliau mengkritik pentadbiran Tun Abdullah. Apabila pertemuan diadakan, selepas meminta maaf dan menunjukkan kesediaan mendengar, bertangis ratap seperti Datuk Seri Rafidah, mereka sangka Tun akan berpuashati.
Tun seorang yang berorientasikan 'result'. Beliau sendiri berkata 'tidak ada masalah personal antara saya dan Datuk Seri Abdullah dan juga Rafidah, ini bukan masalah antara Mahathir dan mereka, ini masalah dasar dan cara mentadbirkan negara."

Sifat zaman mudanya yang berani bersuara mengkritik Tunku Abdul Rahman hingga beliau dipecat dibawa hingga kini. Beliau bukan orang yang mengikut arus, jika arus itu tidak benar.

Dalam artikel Mahathirsm, beliau membangkitkan perkara Datuk Seri Muhyidin Yassin membuat sidang media untuk memberi jaminan kenaikkan Datuk Seri Najib tidak akan mengembalikan 'Mahathirsm'.

Dalam artikel 'Extremist', beliau berkata: "I am ready to surrender to the extremists, to pay the ransom demanded." Dan memilukan saya bila beliau berkata: "Anything for a quiet life. I want to be a member of the silent majority and just acquiesce. However the habit of a lifetime just refuse to go."

Untuk Tun, 'Nyanyi Sunyi Tun' sudah didengari. Tun sudah termaktub dalam sejarah sebagai Negarawan Ulung. Sejarah tidak boleh mengubahnya, walaupun oleh musuh-musuh Tun sendiri.



Nota kaki: Tajuk posting ini saya ubah suai dari memoir Pramoedya: 'Nyanyi Sunyi Seorang Bisu(Mute Soliloquy)' yang menceritakan pengalaman beliau dibuang ke Pulau Buru.


No comments: