Followers

Saturday, April 4, 2009

Patah Tumbuh, Hilang Berganti.

Pada 2hb April 2009, Tun Abdullah telah mengadap baginda Yang Di Pertuan Agong, menyembahkan surat perletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia.

Pada 3hb April 2009, 10 pagi, secara rasmi Dato' Seri Najib Tun Abdul Razak mengangkat sumpah menyimpan rahsia dihadapan Yang Di Pertuan Agong. Rasmilah beliau Perdana Menteri Malaysia yang ke enam.

Maka sempurna peralihan kuasa yang dijanjikan.

Tun Abdullah telah menjadi Perdana Menteri selama 5 tahun. Memang singkat waktu pentadbiran beliau, tetapi atas desakan ramai, beliau akhirnya melepaskan jawatan Perdana Menteri.

Namun begitu, termaktub juga dalam sejarah, beliau Perdana Menteri Malaysia yang ke lima.

Siaran tv tidak kurang juga menyiarkan perjalanan, jatuh bangun dan liku-liku politik Tun Abdullah. Seperti biasa adat resam masyarakat Melayu, yang akan pergi akan dibumbui dengan kata-kata manis dan indah sahaja.

Tun Abdullah orangnya sangat lembut, terpancar pada air muka beliau kelembutan dan sifat kebapaan beliau. Justeru itu mungkin ada dikalangan orang yang rapat dan beliau kasihi telah mengambil kesempatan atas kelembutan beliau.

Menjadi ketua sebuah kerajaan, sifat kebapaan sahaja tidak mencukupi. Beliau perlu lebih tegas, terutama dalam menangani isu negara. Beliau perlu mendisiplinkan crony dan kaum keluarganya sebagai keluarga kepada ketua negara, mereka tidak boleh mencampuri, apa lagi mencaturi pentadbiran negara.

Munculnya 'Tingkat Empat' adalah satu kesilapan.

Beliau juga perlu faham, sebarang reformasi yang hendak dilakukan tidak boleh dibuat secara tergesa-gesa. Beliau terlalu cepat hendak menukar arah tuju yang telah dibuat oleh Tun Mahathir dengan hanya sekelip mata.

Dalam dunia sedang menuju ke arah globalisasi, trend juga sudah ke arah nano, kita terlalu ghairah menumpukan ke arah pertanian. Sesiapa yang mengikuti perkembangan dunia tahu, pertanian merupakan tamadun 'first wave' society.

Beliau juga, jika tidak langsung - secara tidak langsung- membenarkan kuncu-kuncunya bertentangan dengan Tun Mahathir.

Menurut Tun Mahathir dalam blognya Che Det, ada mengatakan beliau terpaksa keluar UMNO kerana pemimpin UMNO tidak dibenar berjumpanya, pandangan beliau tidak didengari malah di cemuhi, bahkan Dato' Seri Najib sebagai Timbalan Presiden pun tidak dibenar menemui Tun Mahathir.

Tun Mahathir, sebagai negarawan ulung, juga kalah bertanding untuk menjadi perwakilan UMNO bahagian Kubang Pasu

Menteri-menteri yang menangis ketika Tun Mahathir mengumumkan persaraannya pula menghentam tanpa segan silu kerana Tun Mahathir mengkritik pentadbiran Tun Abdullah. Di sini sifat pak turut kita amat membimbangkan kerana sudah bertaraf 'menteri'.

Selain dari Menteri-menteri bagaikan 'diarah' untuk menghentam Tun Mahathir, media juga turut cuba mengurangkan kredibiliti Tun Mahathir. Hanya pilihanraya 2008 saja mengejutkan pentadbiran Tun Abdullah dari dibuai mimpi indah.

Seperti Avram Grant yang menggantikan Jose Maurinho sebagai pengurus Chelsea, beliau lebih menumpukan kesalahan pendahulunya(predecessor) dari memikir bagaimana nak menang Liga.

Namun Tun Abdullah juga mencuba membuat beberapa reformasi yang baik seperti menaik-taraf Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia, Suruhanjaya Perlantikan Hakim dan menjaga hubungan baik dengan kakitangan kerajaan. Soal hasil kedua suruhanjaya itu, hanya sejarah yang akan menilai tetapi setidak-tidak beliau sudah memulakan.

Kepada Dato' Seri Najib, sebagai orang Pahang saya berbangga mempunyai Perdana Menteri orang Pahang. Liku-liku yang bakal beliau hadapinya juga bukan kepalang kerana beliau mewarisi masalah baik dalam kerajaan, parti mahupun iklim ekonomi dunia yang sedang meruncing.

Terlalu awal untuk menilai beliau. Buat masa ini secara rasmi beliau hanya melepas tahanan ISA seramai 13 orang. Tindakan beliau yang paling dinanti-nantikan adalah pembentukkan jemaah kabinetnya.

Siapa yang masuk, siapa yang keluar membayangkan hala tuju perjuangan beliau. Kita dengan sabar memerhatikan tindak-tanduk beliau seterusnya. Jika beliau mendengari suara keramat rakyat(general will) jangan lantik pemimpin perasuah walaupun mereka menang jawatan dalam parti.

Dalam ucaptama beliau sebagai Presiden UMNO, beliau berucap "SAFKANLAH kepada saya sekumpulan pemimpin yang ampuh dan padu. Bariskanlah kepada saya satu pasukan yang setia, berintegriti, berkebolehan lagi dedikasi."

Meminjam ungkapan Datuk A. Kadir Jasin. jangan sampai saf berintegriti yang diharapkan Dato' Seri Najib menjadi saf membawa mati jika perasuah tetap mendapat tempat dalam barisan kabinet beliau.

No comments: