Seringkali kita mendengar orang pandai, atau rasa pandai atau mengaku pandai agama akan berkata, Islam syumul dan sekularisme bukan cara Islam. Saya setuju dengan ungkapan berkenaan. Saya rasa hampir keseluruhan orang Islam akan setuju. Mungkin juga keseluruhan orang Islam yang bersetuju tetapi masih ada persoalan: mengapa masih wujud apa yang dikatakan sekular itu?
Paling ketara dalam politik. Ahli politik Islam, atau yang membawa panji Islam, atau yang menggunakan Islam sebagai 'selling point' mereka akan mengatakan dalam Islam politik dan Islam bersatu dan bukan politik lain dan Islam lain. Mereka yang mengungkapkan tidak boleh pula memberi contoh dimana politik Islam selepas terbunuhnya Syadina Uthman bin Affan. Saya sudah membariskan bukti-bukti sejarah bahawa politik selepas terbunuhnya Khalifah yang ke tiga itu sudah tidak 'islamik' lagi - jika boleh dikatakan demikian.
Sekadar untuk mengulangi hujah berkenaan, mari kita ungkap semula. Fitnah berleluasa selepas terbunuh Uthman bin Affan dan banyak hadis palsu yang direka ketika itu. Ahli politik Islam seperti Muawiyah banyak menggunakan helah seperti menjunjung Quran untuk berdamai palsu. Selepas terbunuhnya peribadi gemilang Islam seperti Ali bin Abi Talib, politik Islam bertambah huru hara dengan muncul puak Syiah, Khawarij, Ummayah dan Abbasiyah yang mempunyai politik cacat cela dan sangat jauh dengan apa yang dikatakan 'politik Islam' itu.
Sudah tentu ilmuwan akan berhujah politik Rasulullah. Rasulullah merupakan rasul. Baginda telah mendapat wahyu dan ulama sekarang walaupun so called 'spiritual leader' sudah tidak mendapat wahyu lagi. Jika peribadi sehebat Ali bin Abi Talib tidak dapat menyatukan ummah seperti politik Rasulullah walaupun Ali ditarbiah oleh Rasul sendiri, apa lagi hanya sekadar 'mursyidul am' yang mendapat pendidikan di Timur Tengah atau Pakistan sahaja.
Jadi jelas politik sebenarnya memecahkan ummah. Bermula mazhab atau sect dalam Islam adalah kerana perbezaan politik. Syiah dan ahli sunnah berasal dari perbezaan politik sedangkan Islam hanya satu dan rasulullah tidak mengajar mazhab-mazhab. Apabila nature politik itu sendiri kotor dan memecahkan tidak ada sebenarnya yang dikatakan politik Islam. Semua politik adalah kuasa dan mencari pengaruh. Plain and simple.
Jika ada perdebatan dengan hadis dan nas hanya perdebatan akedemik, secara praktikalnya politik tetap keji.
Sekularisme asalnya datang dari Barat. Ini kerana sistem feudal barat memberi kuasa kepada Raja sebagai tuan tanah dan dibantu oleh kuasa rohani seperti Papacy atau kegerejaan Vatican. Ketika Zaman Gelap di Eropah, masalah apa yang dikatakan sekularisme ini tidak melanda ummah kerana dalam Islam pemikiran saintifik dan rasional adalah intipati ajaran Islam dengan Quran sebagai panduan.
Permulaan Islam seperti di zaman Abbasiyah ulama merupakan bijak pandai yang menguasai ilmu seperti Quran dan juga ilmu sains seperti fizik, kimia, biologi, geografi dan sebagainya. Memang istilah sekular tidak pernah wujud kerana ilmuwan Islam menguasai keseluruhan ilmu. Ini berlainan dengan Barat. Cleric mereka hanya menguasai hal-hal kerohanian dan sering bertelingkah dengan ilmuwan sains. Akhirnya terpisahlah gereja dan sains.
Apabila Barat meninggalkan gereja atau muncul gerakan Protestant oleh Marthin Luther yang protes terhadap monopoli penafsiran Bible oleh Vatican, Barat menjadi maju dizaman Enlighment.Mereka mula menguasai perdagangan dengan menguasai lalu lintas perdagangan, menguasai ilmu sains dan pemikiran rasional. Dalam dunia Islam pula, makin ramai ulama-ulama faqahi yang muncul dan menguasai Raja-raja Islam serta membuat fatwa yang melemahkan kebolehan berfikir orang Islam. Di sini bermula kemerosotan tamadun Islam persis zaman Gereja pula apabila Raja memberi kuasa kepada ulama untuk menafsirkan agama mengikut kehendak mereka. Dan bukan tidak berlaku penafsiran ini dibuat mengikut kepentingan politik ulama ataupun Raja berkenaan.
Kononnya orang Islam tidak boleh menafsir Quran tanpa pra-syarat ilmu seperti mereka. Dengan kuasa yang ada pada ulama berkenaan, akhirnya lumpuhlah pemikiran rasioanal orang Islam dan ummah makin terkongkong dan terkongkong dalam kepompong agama. Sebenarnya ini yang memisahkan Islam dengan keduniaan kerana apabila ulama berkenaan hanya menguasai ilmu kerohanian dan faqahi maka berlaku sekularisme. Ummah yang ingin maju dari segi keduniaan terpaksa melihat model diluar Islam kerana jawapannya tiada dalam Islam - kerana ilmuwan Islam gagal memberi jawapan.
Seperti yang pernah saya tulis dalam posting 'Persoalan Yahudi', apabila orang Islam(read Arab) ingin membuat 'Islamic Banking'(still read Arab) maka mereka terpaksa rujuk kepada Yahudi yang menguasai sistem kewangan dunia sekarang. Dan ulama faqahi pula masih bertingkah. Ada yang kata interest bukan riba(Tantawi) dan jika mengikut Mazhab Hanafi bank Islam juga haram tapi Syafie kata halal. Umat Islam diseluruh dunia sebenarnya 'lawless'.
Lebih teruk lagi apabila ulama faqahi membuat fatwa terhadap ilmu yang mereka tidak kuasai. Semasa umat Islam menutup pintu mereka daripada ilmu 'orang kafir', di luar dunia Islam telah membangun dengan pesat sistem kewangan dan banking moden, kemajuan sains dan teknologi yang bebas dari moral seperti klon, permanian beradas dan muncul ilmu-ilmu baru yang tidak difahami oleh ulama tradisional. Dan pernah seseorang bertanyakan 'ustaz' apa hukum main facebook!
Berlakunya sekularisme dalam dunia Islam bukan salah orang lain, tetapi salah ulama juga yang hanya menguasai ilmu keagamaan dan kerohanian sedangkan jika mereka mendakwa Islam syumul mengapa mereka langsung meninggalkan keduniaan? Dan lengkap bererti ada dunia dan ada akhirat, menguasai ilmu akhirat sahaja menjadikan mereka yang sekular.
Banyak yang perlu dilakukan untuk menjadikan Islam syumul semula. Dan kita memerlukan generasi ulama yang juga syumul, bukan yang hanya tahu menghukum.


