Followers

Tuesday, August 31, 2010

Selamat Hari Merdeka.



SELAMAT HARI MERDEKA YANG KE 53....

MERDEKA JIWA, MERDEKA FIKIRAN...

SAYANGI NEGARA ANDA..

SAYANGI MALAYSIA....

Monday, August 30, 2010

Di Mana Wira Melayu?

Dalam posting sebelum ini, saya membuat kesimpulan orang Melayu perlukan wira dan icon yang sinonim dengan Melayu. Sedih apabila melihat pemimpin Melayu - terutama dalam UMNO - semakin lembik dan lembik. 

Kita merindui sentuhan menteri seperti King Ghaz, Tun Dr. Ismail, Harun Idris, Jaafar Albar dan Tun Mahathir yang berani, lantang, vocal dan meletakkan kepentingan Melayu mengatasi gaji, kereta rasmi, driver, bodyguard dan kelebihan-kelebihan lain sebagai menteri.

Seperti salah satu komen yang dibuat oleh pembaca saya, hari ini orang dah tak bercakap tentang kepentingan Melayu. Seorang pembaca lain pula mengingatkan saya, hanya saya dan Ibrahim Ali yang sudah out of date - masih bercakap tentang kepentingan Melayu. Saya rasa mereka bercakap sinis, tidak bermaksud demikian tetapi lebih kepada fed up dengan trend yang ada sekarang. 

Saya teringat dalam tahun 1990an, perbualan saya dengan seorang pegawai kanan kerajaan yang bersimpati dengan parti Melayu Semangat 46. Beliau meramalkan UMNO akan berkubur selepas era Mahathir. Beliau menyifatkan Mahathir sebagai 'UMNO's last lion'. Sebagai orang condong kepada Semangat 46, beliau tentu menggemari Tengku Razaleigh Hamzah.

Anehnya pada ketika itu, semua orang menganggap Anwar Ibrahim pengganti Tun Mahathir. Namun hakikatnya tidak berubah walaupun Anwar sendiri tidak menjadi PM atau pengganti Tun Mahathir. Hakikat pandangan beliau 'pemimpin selepas Mahathir adalah lembik' kekal hingga kini. Kita ambil dari Tun Slumberjack.

Dalam pool kepimpinan negara selepas berlaku pertembungan Anwar-Ghapar 1993 adalah Dato Najib, Tan Sri Muhyidin Yasin, Tan Sri Muhamad bin Haji Mat Taib sebagai Naib Presiden dan Rahim Tamby Cik sebagai Ketua Pemuda. Anwar sendiri menjadi TPM, kemudian dipecat pada tahun 1999.

Tun Abdullah yang tercicir dari team wawasan kembali memenangi kerusi Naib Presiden apabila Tan Sri Mat Taib meletak jawatan kerana isu membawa wang ke Australia yang tidak diisytihar. Rahim Tamby Cik juga meletakkan jawatan kerana terlibat dengan skandal seks remaja bawah umur.

Tun Abdullah menjadi PM selama lima tahun telah menyemaikan bibit-bibit kelemahan UMNO. Beliau yang kononnya transparent, demokratik dan lenient membenarkan wujud NGO-NGO yang suka membuat tuntutan berbagai - termasuk yang melibatkan hal-hal sensitif orang Melayu seperti kedudukan agama Islam dan hak istimewa orang Melayu. Atas nama kebebasan bersuara dan liberal berbagai tuntutan demi tuntutan yang dibuat. Pemimpin haram seperti HINDRAF dibiarkan berleluasa atau dikenakan hukuman minima.

Polisi beliau yang tidak in control itu membawa bencana kepada BN dalam pilihanraya 2008. Malaysia perlukan pemimpin yang tegas dan berani. Malaysia perlukan Lee Kuan Yew versi Melayu. Tun Mahathir dalam kelasnya yang tersendiri. Lee Kuan Yew bukan seorang yang liberal dan demokratik dalam menangani kaumnya sendiri. Kuku besi yang bersalut baldu, tetapi itu rahsia kejayaan Lee Kuan Yew. Baca posting Outsyed the Box tentang statement 'kuku besi' Lee Kuan Yew di sini.  

Sudah lebih dari setahun kepimpinan dari seorang PM humanist (dan sedikit hipokrit)  bernama Abdullah Badawi kepada Dato Seri Najib. Keadaan masih tidak berubah. DAP berjaya meniup semangat perkauman, hari demi hari. Kerajaan masih nampak tidak 'in control'.

Melayu dihina, dinista dan diperlakukan berbagai seperti membaling kepala babi ke dalam masjid, melempar cat, menulis artikel seperti artikel Micheal Chicken bahawa  Melayu bukan bangsa dan Tanah Melayu ini asalnya Tanah Cina. Jika api-api kecil ini tidak dipadamkan saya bimbang orang Melayu yang sudah tidak mempercayai pemimpin mereka akan mengambil tindakkan sendiri.

Lebih melukakan apabila adik PM, anak kepada Tun Abdul Razak iaitu Nazir dalam usaha untuk memujuk kaum Cina, secara gurau yang bagi saya sangat melampau dan tidak lucu mengakui beliau sendiri keturunan pendatang seperti Tun Tan Cheng Lock! Tun Razak, nasionalis dan hero orang Melayu diakui oleh anaknya sendiri sebagai pendatang tanpa mengambil kira hakikat dari mana saja di Kepulauan Melayu ini adalah dari induk Melayunya(Tun Razak kaum Bugis dari keturunan Makasar). Baca sini.

Seperti ramalan pegawai kerajaan berkenaan, Anwar yang dijangka menjadi PM juga lembik. Beliau yang menawar package demi package kepada kaum Cina yang terpaksa di saingi oleh Presiden UMNO. Jika wira orang Melayu tidak akan muncul, saya rasa bangsa Melayu tidak layak survive sebagai bangsa. 

Kata Hitler, bangsa yang lemah hanya layak berkubur. Saya ulangi:

                                                   "WE NEED A HERO!"





Sunday, August 29, 2010

DAP Menemui Dirinya Kembali

Dalam satu posting saya bulan Ogos ini berkaitan dengan perihal parti-parti Malaysia, kecuali PKR yang masih bayi, saya menyimpulkan semua parti yang sudah berumur 50 tahun ke atas bagaikan nyanyuk. Mereka menghadapi krisis pertengahan umur dan sudah lupa peranannya masing-masing. Rupanya DAP tidak. DAP yang bijak memainkan kad rasis merupakan 'DAP at its best'. Isu perkauman sedang bermaharajalela di mana-mana.

DAP, dalam keghairahan UMNO dan PAS menjadi liberal tetap utuh dengan anti-Melayu dan anti-Islamnya. Sebagai haiwan politik, sudah tentu mereka akan berubah warna. mengurangkan kegarangan atau tone warna mereka yang sebenar tetapi DAP tetap DAP.

DAP berjaya membuatkan PAS yakin boleh menggunakan mereka tanpa menyedari PAS digunakan sebagai pemecah Melayu. Seperti kata blogger Kickdefella, "sampai bila PAS akan anjakkan pintu golnya?" Ini merupakan kes klasik penjajahan minoriti ke atas majoriti. Siapa yang membunuh, mengusung dan menjungkir balikkan jenazah Tok Janggut? Semua yang terlibat adalah Melayu agen British. Jika British yang lakukan sendiri mungkin boleh menimbulkan ketegangan kaum dan agama. British gunakan Melayu yang sanggup jadi talibarut.

Sementara PAS sudah menganjak dan makin menganjak pintu golnya, PAS mengorbankan prinsip Islamnya. Mereka yakin, "DAP nak tulong Islam, nak tulong PAS". Jika ditilik kebenarannya, DAP tetap utuh dengan ideologinya, pertama anti-Melayu dan kedua anti-Islam. Penolakkan hudud yang dinyatakan dengan jitunya oleh Karpal Singh sebagai bukti. Kemudian, dalam usaha untuk menganjak lagi pintu golnya, Nik Aziz berkata itu pandangan peribadi. Akhirnya seluruh DAP bersepakat mengatakan mereka menolak kerajaan Islam. Namun PAS, dan juga UMNO, semakin ingin menunjukkan liberalnya mereka. Tipikal Melayu.

DAP semakin yakin mereka boleh memerintah Melayu dengan menggunakan PAS atau Melayu PKR sebagai boneka. Ini bukan mustahil, sila rujuk posting Kickdefella dibawah tajuk: Memahami Perpecahan Melayu dari sudut orang biasa. Saya percaya untuk masa terdekat ini, mereka akan menggunakan PM Melayu hingga mereka benar-benar mencengkam barulah akan ada PM dari bangsa Cina.

Hanya UMNO dan PAS yang sudah nyanyuk rupanya. DAP menemui dirinya semula. Dibantu oleh MCA dan Gerakan. Teringat pula saya lagu tema series 'Cover Up' yang popular dalam tahun 1980an: 'We need a hero'. Orang Melayu memang memerlukan hero.

Friday, August 27, 2010

Kami Menuntut Hukuman Setimpal.

Ini bukan isu rasis, yang salah tetap salah dan yang benar tetap benar. Dalam blog Lim Kit Siang, sentiasa menceritakan penganiayaan kaum Cina oleh kerajaan UMNO dan orang Melayu. Saya ikuti blognya dan jika ada ruang, walau sikit pun beliau akan eksploit untuk menjadikan sesuatu isu itu rasis.

Baru-baru ini isu Puan Siti Inshah telah trigger kesedaran Melayu, mereka sering dalam keadaan defensif. Seperti biasa Melayu dituduh rasis; dengan hanya menunjukkan sokongan terhadap kejadian yang belum tentu benar salahnya - hanya dispin oleh DAP. Kita para blogger kena bangkit mengingatkan pemimpin Melayu yang semakin hari semakin bacul - bertindak berdasarkan fakta dan bukan hendak memuaskan hati golongan rasis.

Peristiwa bakar gereja mendapat tekanan oleh DAP, seperti biasa. Anwar Ibrahim pun bertempiklah di forum negara-negara luar yang  Malaysia sudah kehilangan tolenrasi beragamanya. KDN bertindak segera, menemui dalang yang membakar gereja. Mereka - orang Melayu - segera dibicarakan dan dihukum. 

Di Negeri Sembilan, empat orang remaja Cina menyimbah cat dan membaling botol arak di sebuah surau Taman Pulai Impian boleh diselesaikan dengan bersalam-salaman dan minta maaf. Baca sini. Jika di India, kejadian menyerang rumah ibadat kaum hindu boleh mencetuskan pergaduhan kaum. 

Mana perginya Anwar Ibrahim? Takut untuk berkata-kata? maklumlah undi kaum Cina sekarang ini sangat berharga. Menyerang surau merupakan tindakkan paling barbarian yang berani dilakukan. Surau dan masjid merupakan rumah Allah, mana menteri Melayu yang berani kedepan mengutuk perbuatan ini? Mana DAP yang mengaku liberal, yang sebenarnya hanya bertindak jika melibatkan kaum Cina. Mana pemimpin UMNO? Ketua Pemuda? Mana pergnya mujahid-mujahid PAS? Takut tak diundi oleh kaum Cina ke?

Tidak pula kita dengar ada orang Cina yang mati dek rusuhan kaum. Belum lagi. Masih rasis ke Melayu?

Jika Melayu yang menyerang kuil atau tokong Cina, kita lihatlah akan bangkit DAP, MCA, NGO-NGO, PAS sendiri dan mungkin Khairy Jamaludin sebagai Ketua Pemuda yang lupa dia dari parti mana. Kononnya UMNO menggalakkan rasis. 

Peristiwa menyimbah cat ini peristiwa sebagai penanda aras sejauh mana kerajaan sanggup berlembut. Mereka sudah menyerang institusi suci orang Islam. Kita tidak boleh menyelesaikannya dengan hanya bersalam-salaman. Kerajaan perlu mengambil tindakan segera. KDN perlu bertindak cepat walaupun mereka hanya remaja.

Jika remaja Cina terlepas, selepas ini remaja Melayu pula mungkin akan bertindak. Racism mesti dihentikan di sini, sekarang. 



Wednesday, August 25, 2010

Hentikan Politik Perkauman.

Beberapa hari lepas saya menulis tentang politik perkauman, dalam tajuk 'Hukuman Untuk Rasis - Hanya Melayu'. Posting itu berkenaan desakan chauvanist yang menuntut Melayu melutut minta maaf kerana kononnya mengeluarkan kata-kata rasis. Mereka juga menuntut Melayu itu dihukum sekeras-kerasnya. Sejarah rasis Malaysia sebenarnya adalah sejarah DAP. DAP parti rasis, menyuburkan rasis dan menggalakkan rasis. Baca posting Che Det di sini.

Saya minta ahli politik DAP menghentikan politik rasis mereka. DAP sebagai parti rasis, menuduh Melayu rasis. Ingat, DAP tidak menuduh hanya UMNO rasis tetapi DAP menuduh keseluruhan orang Melayu sebagai rasis. UMNO sudah berusaha sebaik mungkin untuk menjadi liberal, namun masih tidak melepasi piawaian DAP.  Mungkin PAS tidak kerana PAS sudah dijinakkannya. Mana-mana Melayu yang tunduk kepada mereka, walaupun non political tidak pula DAP anggap rasis.

Politik rasis DAP ini merupakan politik yang merbahayakan. Baru-baru ini MCA sudah terikut-ikut rentak DAP tanpa mengambil kira perasaan orang Melayu. Jika berlaku soal ungkit-mengungkit dibuat oleh orang Melayu, ini kerana mereka merasakan kaum Cina dan India sudah melampau. Dan permainan ini tidak akan berkesudahan.

Permainan DAP ini persis seperti menjelang 13 Mei 1969. Apabila kewarasan berfikir orang Melayu sudah hilang dan kesabaran sudah tiada, tidak kira alaf mana zaman mana dan betapa liberalnya Melayu, mereka tetap akan mengamuk. UK's Boy boleh lupakan hasrat mereka untuk pulang. Malaysia memang akan jadi politik primitif. Soalnya, siapa yang mula-mula membakar politik perkauaman? Jawapannya: DAP and always DAP.

Ada artikel menarik dari sahabat blogger saya, Papa Gomo tentang 13 Mei 1969. Beliau membuat 'homework' yang teliti, termasuk pandangan Tunku Abdul Rahman berkaitan 13 mei 1969. Baca sini
Semua orang Melayu wajib baca artikel ini, terutama golongan muda. Lihat jika Melayu gagal bersatu, bagaimana mereka menginjak-injak maruah dan harga diri Melayu.

Saya bersimpati dengan kaum Cina yang tidak termasuk dalam golongan rasis. Saya  mempunyai ramai kawan Cina yang baik dan tidak rasis. Ada yang sangat rapat dengan saya. Ada yang banyak membantu saya walau kami bukan sebangsa. Ada yang lebih mulia akhlak dan peribadi dari orang Melayu sendiri. Jika berlaku rusuhan kaum, kemarahan yang tidak rasioanal tidak akan mengenal ini. Semua kaum Cina akan menerima bahana. Saya tidak mahu ini berlaku.

Kepada DAP saya mohon hentikan politik rasis anda yang sangat sia-sia.  

Saya teringat filem Godfather. Dalam satu babak, Vito Carleone menasihati anaknya Micheal Carleone, jika ada sesiapa dikalangan Carleone family yang cuba arrange meeting dengan Berzini, orang itu adalah pengkhianat. Saya menasihati pengundi Melayu, jika ada sesiapa yang bekerjasama dengan DAP untuk memerintah, tidak kira atas alasan apa, orang itu perkhianat Melayu.






Tuesday, August 24, 2010

Perkasa Sebagai Parti

Rocky's Bru memberi kemungkinan ini dalam blognya.Baca entry PARTI Pribumi Perkasa Negara?

Dalam bulan Ogos ini juga, saya pernah memberi verdict peribadi tentang Perkasa dibawah posting Perkasa: Penilaian Peribadi. Pada 24 Julai, saya menulis tentang Parti Melayu Ketiga. Baca sini. Dalam posting itu saya sudah lama meramalkan, lambat laun Perkasa akan menjadi parti politik juga.

Dalam posting saya yang terdahulu, saya mencadangkan Perkasa kekal sebagai 'pressure group' untuk kepentingan Melayu dari menjadi sebuah parti. Namun sebagai sebuah NGO yang mewakili Melayu, saya faham jika mereka ingin menjadi parti politik kerana sebagai NGO mereka hanya mampu berarak, protes, buat laporan polis dan berpidato berapi-api. Mereka tetap tidak mempunyai kuasa.

Perkasa merupakan neo UMNO lama, atau UMNO sekarang dalam versi yang radikal. Mereka juga tidak disenangi oleh sesetengah pemimpin UMNO yang menganggap politik a'la Perkasa merupakan politik kuno. Kononnya dalam alaf baru ini, sesetengah pemimpin berkelulusan Oxford atau UK's Boys sudah tidak percaya politik  radikal seperti Perkasa. Satu fakta yang mereka lupa, majoriti Melayu masih menganggap politik 'kuno' itu sebagai hero. Ini menjadikan mereka - UK's Boy - tidak popular dikalangan majoriti Melayu. Perkasa terus menjadi icon; Ibrahim Ali menjadi 'hero' kepada perjuangan Melayu.

Sebagai carbon copy UMNO, Perkasa disertai oleh ramai ahli UMNO yang tidak mendapat tempat, golongan muda yang berkebolehan dan intelek tetapi terpinggir  dalam sistem UMNO sekarang yang mengutamakan pemimpin berduit dan bukan terpelajar. Dalam erti kata lain, dari segi jangka panjang, Perkasa menyediakan platform leadership yang lebih baik dan telus. Ia tidak berpaksikan kepentingan projek dan 'jual beli undi'. Belum lagi.

Rocky's Bru berpendapat, jika Perkasa terdorong menyertai PKR, DAP dan PAS, pengakhiran pemerintahan BN memang akan menjadi kenyataan. Saya sedikit meragui ini kerana sebagai parti yang memperjuangkan Melayu, Perkasa akan menghadapi masalah dengan DAP. Namun dalam politik, seperti kata Bismarck, segalanya mungkin. Jika ia benar berlaku, Perkasa menyalahi tabiinya sebagai parti Melayu. Jika Perkasa ingin kekal bebas, ia turut melemahkan UMNO kerana mereka berebut pengundi yang sama iaitu pengundi Melayu.

Saya percaya Perkasa sebagai parti Melayu yang muda dari UMNO, segak dan tidak terpalit mana-mana lumpur akan menjadi popular tetapi seperti yang saya simpul dalam posting saya dulu, saya meragui kemampuan Perkasa menyaingi gergasi UMNO. Saya juga percaya politik lambat laun akan merosakkan kesucian perjuangan Perkasa kerana sebagai parti, matlamat adalah kuasa. 

Mari kita renung kisah Pemberontakkan Taiping di China ketika diakhir pemerintahan Manchu. Manchu ditentang oleh orang ramai kerana korupsi. Manchu tidak jatuh walaupun banyak pemberontakan ketika itu seperti Pemberontakan Boxer dan gerakan islah 'Gerakkan Menguatkan Diri'. Rahsia keutuhan Manchu adalah musuh-musuh mereka juga berpecah dan senang Manchu mengalahkan musuh-musuhnya satu persatu. 

Apabila muncul Pemberontakan Taiping, Manchu berhadapan dengan musuh baru. Taiping mementingkan rakyat, pada awal pemberontakan mereka popular dikalangan rakyat. Manchu hampir tewas dengan pengaruh Taiping dikalangan rakyat biasa Cina. Malangnya selepas mendapat sikit kuasa, pemimpin Taiping sudah mula suka bermewah-mewah, menjadi corrupted dan menindas rakyat. Tidak susah untuk Manchu memusnahkan Taiping selepas itu.

Peringatan kepada Perkasa, jangan jadi seperti Taiping.

Monday, August 23, 2010

Melayu Sudah Tidak Perlukan Tongkat

Saya teringat kata-kata Tun Mahathir. Beliau pernah berkata jangan kita bangga jika kita dibantu, hanya orang lemah yang perlu dibantu, hanya orang yang cacat perlukan tongkat. Malangnya bagi sesetengah orang Melayu, ditolong merupakan kebanggaan. 

Banyak saya jumpa orang yang ditolong oleh dasar DEB, terutama dalam pendidikan, kemudian mereka menjadi liberal kerana pergaulan dengan 'golongan terpelajar'. Mereka juga yang bising tentang affirmative action, minta dihapuskan. Tun Mahathir juga berkata, sangat memalukan apabila kita sendiri menggunakan tongkat, selepas berjaya mendesak kerajaan membuang tongkat untuk membantu generasi akan datang. Saya merujuk kepada pendidikan, bukan persoalan 'orang kaya' DEB.

Ini saya ambil dari blog Penarik Beca. Untuk bacaan penuh, baca sini.

Untuk tahun 2010 ini, peruntukan kepada MARA yang ditubuhkan untuk membantu orang-orang Melayu, dicantas-cantas sampai betul-betul ciput sehingga berjumlah RM374,537 juta sahaja bagi tahun 2010 berbanding RM883,785 juta pada 2009.

Bagi IKM, peruntukan untuk 2010 hanya RM143 juta berbanding RM403 juta bagi tahun 2009. Giat MARA hanya mendapat RM16 juta bagi tahun 2010 berbanding RM28 juta bagi 2009. Bagi MRSM dan Koleh Sains MARA pula, peruntukan hanya tinggal RM115 juta untuk tahun 2010 berbanding RM254 juta pada tahun 2009 (sila lihat juga rajah di bawah mengenai jumlah pelajar dan pelatih yang dicantas-cantas jumlahnya oleh kerajaan Umno BN di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak jumlahnya supaya betul-betul kecil dan tak payahlah keluar duit banyak-banyak untuk meningkatkan mutu pendidikan orang-orang Melayu).

Pendidikan sangat penting kepada mana-mana bangsa yang hendak menjadi 'first world mentality'. Kepada Melayu liberal, bergembiralah, doa anda sudah dimakbulkan. Saya sendiri tahu lambat laun tongkat tidak diperlukan. Tidak sangka ianya secepat ini. Maafkan saya bangsaku kerana tidak boleh berbuat apa-apa.

Sunday, August 22, 2010

Intepretasi Kenyataan Nazir Tun Razak

Di Kongres Ekonomi yang di anjurkan oleh MCA, setelah Presidennya menuntut antaranya menghapuskan secara berperingkat kuota 30% ekuiti bumiputera, semacam ada satu keresahan dikalangan Melayu. Perbuatan MCA itu bagai trigger ketegangan kaum. Kebetulan diekori oleh kenyataan rasis dikatakan dibuat oleh individu seperti Nur Inshah dan terbaru seorang pengetua dari Kedah. Baca sini

Dalam kongress yang sama, adik Perdana Menteri iaitu CEO CIMB, Nazir Razak dijemput untuk memberi ceramah dalam majlis berkenaan. Kenyataan beliau, "DEB telah dinodai"(in English: NEP was bastardised) menjadi sensasi. Blogger Big Dot Com mempersoalkan kenyataan itu dibawah tajuk Which Eco-system Nazir Razak come from?

Rocky's Bru juga turut mengulas dibawah posting "Strangely, Malays have been very succesful bankers". Beliau sebenarnya quote kenyataan Tun Mahathir dalam blog Tun sebelum ini, dimana Tun menerangkan antara kejayaan DEB, sangat kebetulan pula dengan kejayaan Nazir walaupun kenyataan "NEP was bastardised" dinyatakan kemudian oleh Nazir. Dengan ringkas dan a' la Melayu, Rocky's Bru berkias tanpa DEB yang sudah dinodai, tidak mungkin Nazir akan menjadi CEO paling muda dalam sejarah banking di Malaysia ini.

Persoalan DEB memang dilema. Pada setengah orang, DEB merupakan kegagalan kerana salah pelaksanaannya, memyuburkan amalan korupsi, kroni, dan memberi lesen kepada golongan elit UMNOputra atas nama affirmative action untuk menjarah harta negara. Pada setengah orang seperti Tun Dr. Mahathir DEB ada kejayaannya walaupun tidak sepenuhnya. 

Saya nyatakan persoalan DEB ini sebagai dilema kerana, boleh dikatakan tidak ada orang Melayu yang mencapai kejayaan selepas DEB dilaksanakan dalam pendidikan dan ekonomi tanpa bantuan DEB.Melalui affirmative action, jurang ekonomi antara kaum sedikit sebanyak berjaya dikurangkan. Melalui pendidikan dengan Uitm, biasiswa tajaan MARA dan sebagainya berjaya melahirkan golongan profesional.

Apabila Nazir berkata DEB telah dinodai, telah lari dari maksud asal seperti rancangan Allahyarham Tun Razak, beliau berkata benar. Sebelum ini, Nazir sebenarnya menyokong DEB ini diteruskan tetapi perlu dikaji semula. Baca blog Datuk A. Kadir Jasin. Dalam Mingguan Malaysia, 20 Jun Nazir berkata:

“Bagi saya, matlamat DEB membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat masih relevan dan perlu dikekalkan, tapi pada masa sama kita perlu menambah satu lagi matlamat (iaitu) membina dan mewujudkan masyarakat Bumiputera yang lebih kompetitif. Ini sangat penting untuk memastikan kelangsungan orang Melayu…”

Kelemahan DEB hanya satu: gagal mewujudkan daya saing Melayu untuk berjuang secara terbuka. Jutawan Melayu yang memperolehi faedah dari dasar affirmative action ini sangat bergantung kepada kerajaan. Mereka bagaikan tidak mahu bersaing secara terbuka walaupun mampu. Bantuan kerajaan ini bagaikan candu kepada mereka. 

Sementara saya menyokong DEB ini diteruskan dengan pembaharuan seperti wujudkan daya saing Melayu untuk bersaing secara global dan dengan kaum lain, saya juga minta DEB tidak membantu lagi mereka yang sudah berjaya dan gagal berjaya. Kerajaan pernah memberi 54billion saham sebagai ekuiti dalam usaha mencapai matlamat 30%, sayangnya hanya 2billion saja yang kekal di tangan bumiputera. 

Ada golongan mencadangkan, blacklist sahaja mereka yang menjual pegangan ekuiti itu kerana mengkhianti amanah yang diberi. Saya setuju kerana jika kerajaan perlu bantu dan bantu orang yang sama, sampai bila matlamat itu tidak akan sampai. Dan 'orang yang sama' itu selalunya golongan yang mempunyai acces kepada kuasa. Ini sebenarnya yang dibenci rakyat. Dan mungkin ini maksud Nazir 'was bastardised'. 

Masalah Nazir pula adalah perkataan yang digunakan oleh beliau: "the NEP was bastardised" ini agak kasar kepada sesetengah pihak. Ada bunyi-bunyi seperti kritikan kepada era selepas pemerintahan ayahanda Nazir sendiri. Mungkin ini menimbulkan rasa tidak senang hati pihak tertentu yang masih setia kepada 'The Wise Man'. 

Oleh kerana Nazir, dan ramai Melayu yang berjaya merupakan product DEB, ini menyebabkan rasa tidak senang hati ini bertambah-tambah. Logiknya, tanpa DEB yang 'was bastardised', Nazir sendiri tidak mungkin menjadi CEO paling muda. Beliau anak bekas Perdana Menteri dan adik kepada Perdana Menteri sekarang. Benarkah beliau naik kerana meritokrasi semata-mata? Kata Napoleon: "Ability is nothing without orppotunity". Ramai orang yang lebih brilliant diluar kelompok elit tetapi mereka tiada acces. Tiada acces ertinya tiada peluang. KJ yang brilliant semasa Pak Lah sudah menjadi dungu sekarang ini kerana hilang acces.

Meminjam ungkapan Datuk A. Kadir Jasin terhadap kekalutan politik hari ini, semua masalah timbul sebenarnya kerana kelemahan komunikasi. Tun Mahathir merupakan 'great communicator' walaupun bukan 'great orator'. Beliau eloquonce

Ini kata-kata A. Kadir Jasin dalam komennya terhadap posting diblog Rocky's Bru:

"Maybe Sdr Rocky's Bru our leaders, be they political or business, are no longer able or capable of communicating their ideas (if the have one) clearly, cleverly and intellectually.
They may be highly schooled and hold important jobs, but they are unable to articulate their thoughts.
So when they attempt to communicate their ideas, they are unable to do so in the correct form, context and perspective.
Partly because they do not train their minds to think conceptually. They hardly write and take public speaking for granted.

Thank you"

Kekeliruan timbul hanya kerana perkataan 'the NEP was bastardised', disebalik niat baik Nazir yang dilupakan.



Friday, August 20, 2010

Hukuman Untuk Rasis - Hanya Melayu.


Pekerja UMNO yang mati dibunuh oleh pekerja Parti Buruh menjelang 13 Mei 1969

Perkembangan rasis yang makin menarik. Seorang Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Abdul Rahman Putra, Kulai, Puan Siti Inshah Mansor didakwa membuat kenyataan rasis dengan mengatakan murid Cina sebagai pendatang(ada yang mengatakan balik ke China) dan murid India yang memakai gelang sebagai seperti anjing.

Sebanyak 17 laporan polis telah dibuat dan beliau bakal didakwa di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan, membawa hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali. Lim Kit Siang mendesak beliau dipecat, Chua minta beliau di tukar kepada kerja-kerja kurang penting sahaja. Baca sini.

Ketua Pemuda BN dan UMNO, Khairy Jamaludin juga membuat kenyataan rasmi pendirian Pemuda BN dalam isu ini. baca sini. Rocky's Bru pula membuat ulasan menarik tentang nasib dua wanita, seorang di USA dan seorang di Malaysia kerana dilabelkan rasis. Baca sini.

Ini satu lagi episod yang memalukan. Rasis, atas nama apapun memang wajar diselar. Isunya adalah bagaimana sesuatu golongan itu memainkan sentimen dan menuntut 'keadilan'. Apabila Namewee menghina Negaraku, Islam dan bahasa Melayu, Lim Kit Siang berlembut dan sedikit mempertahankan pemuda berusia 24 tahun itu. Namewee juga memprovokasi kemarahan orang Melayu tetapi kerana dia Cina pejuang keadilan seperti Lim Kit Siang tidak minta dia dihukum dengan keras. Dua tindakkan rasis, dua penilaian berbeza, dua spin yang berbeza dan dituntut 'keadilan' yang berbeza.

Selepas beberapa bulan, Kerajaan Malaysia sendiri sudah melupakan tindakkan tidak patriotik Namewee, apa lagi orang Melayu. Sepatutnya beliau dilucutkan kerakyatannya. Tapi itulah 'keadilan' orang Melayu, suka menghukum bangsa sendiri untuk memuaskan hati kaum lain.

Datuk Ahmad Ismail juga menjadi mangsa 'polisi' ini. Beliau digantung selama 3 tahun dari memegang jawatan sebagai Ketua Bahagian UMNO Bukit Bendera kerana membuat kenyataan berdasarkan fakta kaum Cina keturunan pendatang. Aneh, UMNO dari Presiden hingga ke Ketua Pemuda tidak menuntut apa-apa tindakkan kepada Presiden MCA baru-baru ini selepas Chua minta dihapuskan kuota 30% ekuiti bumiputera. 

Hanya Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyidin Yasin 'berbalas pantun' dengan Chua, tapi selepas itu tidak ada 'suara keras' dari UMNO. Pergerakan Pemuda lebih berminat mendesak kerajaan menghukum Siti Inshah dari bangkit mempertahankan Timbalan Presidennya.

Datuk Nasir Safar didesak untuk meletakkan jawatan kerana membuat kenyataan yang juga rasis. Pemimpin HINDRAF yang memburuk-burukkan nama baik Malaysia tidak pula ditarik kewarganegaraannya. Dua kesalahan, hanya Melayu perlu dihukum. Ultra kiasu tidak akan puas. Saya mengesyaki mereka akan menuntut lebih banyak 'darah' Melayu yang dilabelkan rasis hingga Melayu dalam ketakutan. Rasis memang menjijikkan, tetapi hukuman yang double standard yang saya persoalkan. 

Melayu lain hanya diam, kerana mudah lupa. Cina dan India mempunyai ingatan yang lama. Peristiwa Siti Inshah ini akan menjadi 'modal' mereka hingga ratusan tahun nanti, Percayalah.

Saya teringat posting Jebat Must Die tentang 13 Mei. Baca sini. Dalam tiga instalment, beliau menceritakan tentang kematian seorang pekerja UMNO bernama Kasim bin Omar telah dibunuh oleh orang Cina dari Parti Buruh pada 24 April. Allahyarham juga telah disimbah mukanya dengan cat merah. Pemimpin UMNO mengkebumikan beliau secara senyap-senyap kerana bimbang berlaku rusuhan kaum. Rusuhan tetap berlaku pada 13 Mei 1969 apabila Parti DAP dan Gerakan menang dan keterlaluan menghina Melayu. 

Saya rasa tidak ramai orang Melayu yang mengingati Allahyarham. Mari kita baca Al Fatihah buat beliau. Baca juga talkin untuk kuasa Melayu yang kian terhakis, malap dan bakal berkubur.

Al Fatihah.


Thursday, August 19, 2010

Racism Hanya Untuk Kaum Lemah

Saya pernah tulis racism adalah senjata kaum lain untuk melemahkan 'fighting spirit' orang Melayu.  Racism juga adalah senjata untuk mewujudkan rasa bersalah Melayu agar jangan mengungkit-ungkit soal siapa penduduk asal Tanah Melayu. Baca sini. Sementara kita tidak dibenarkan menjadi 'racist', mereka boleh saja menjadi racist atas nama human right. 

Mengapa HINDRAF tidak dianggap gerakan perkauman, tetapi Perkasa dilabel perkauman. Begitu juga Siqui dan Dhong Zhou, kononnya mereka bercakap tentang 'hak-hak istimewa kaum Cina', tetapi mereka tidak racist. Selepas Pilihanraya umum 2008, perkauman sudah menjadi bagaikan 'bom jangka', boleh meledak bila-bila saja. Baca blog Lim Kit Siang. Tun Mahathir juga pernah menulis tentang racism. Baca sini.

Benarkah politik Malaysia sudah tidak berdasarkan kaum seperti didakwa PKR? Jika benar mengapa isu ini menjadi makin popular sekarang dibandingkan dengan era sebelum ini. Jika Melayu bercakap tentang hak mereka, Melayu adalah racist, jika kaum lain bercakap, itu adalah 'human right'. Jadilah kita bangsa Melayu sebagai bangsa yang apologetik.

Dalam facebook, saya mencadangkan Ahli Parlimen Melayu tanpa mengira parti buat usul agar Malaysia dinamakan semula Tanah Melayu. Saya cadangkan bahasa Malaysia dinamakan semula bahasa Melayu. Ada yang komen ini adalah racism, mentaliti dunia ke tiga.

Saya masih ingat, masih belum lama lagi ketika pemerintahan Kennedy, seorang kulit hitam Amerika dikawal oleh National Guard atas arahan Presiden untuk membolehkan beliau belajar bersama-sama orang kulit putih. Tidakkah Amerika mempunyai mentaliti dunia pertama?

Benarkah negara-negara dunia pertama seperti England, German, Belanda, Sepanyol tidak racist? Samuel Etoo pernah di ejek sebagai beruk Afrika oleh orang Sepanyol. Mengapa jika Melayu Malaysia bercakap pasal jatidiri mereka terus dilabel racist? Saya tidak kata racist elok tetapi mengapa kita mengkelaskan sesuatu  bangsa itu double standard? Pemikiran dunia pertama boleh racist tetapi tidak pemikiran dunia ketiga.

Akhirnya saya buat kesimpulan, jika kita lemah da tidak menguasai ekonomi, kita buat apa pun salah. Racism hanya untuk kaum lemah. Bangsa kuat tidak dilabelkan racist tetapi 'superior race'. Itu hak orang kuat.








Wednesday, August 18, 2010

MCA = DAP

Kita sudah lihat permuafakatan MCA dan DAP. Tidak perlu duduk semeja. Tidak perlu bersatu. Tidak perlu ada 'sami besar' untuk menyatukan mereka dalam hal kepentingan Cina. Kaum Cina hanya perlu disatukan oleh DNAnya. Tak pula dipecahkan oleh agama mereka.

Mula-mula Tony Pua minta dihapuskan diskaun 10% untuk bumiputera bagi rumah mewah. MCA tidak menyangah desakan Tony Pua. Kemudian Chua Soi Lek minta dikurangkan 30% pegangan ekuiti bumiputera secara beransur-ansur. DAP tak membantah.

Bila PAS mahu sedar? Bila UMNO mahu sedar? Ke mana Melayu perlu buang undi. Baik pencaturan UMNO dan PAS, kedua-duanya menguntungkan kaum Cina. Jika UMNO mencadangkan sesuatu, walaupun untuk kebaikan Melayu, PAS akan menyambut dengan curiga. Begitu juga sebaliknya. Jika MCA meninggalkan BN, UMNO kelihatan keseorangan dan PR akan lebih kuat tapi adakah PAS untung?

Sudah makin nyata sekarang, politik Malaysia sudah bukan BN melawan PR, tetapi Melayu melawan Cina. Majoriti bukan jaminan Melayu akan kekal berkuasa. Minoriti yang tersusun, kemas dan mempunyai siasah yang tinggi boleh saja berkuasa.

MCA sudah tanpa segan silu membelasah UMNO dan memalukan Timbalan Presiden apabila Chua Soi Lek membalas teguran Tan Sri Muhyidin Yasin. Baca sini. Ke mana perginya Pemuda UMNO? Sibuk bermain twitter keputusan Man United versus Newcastle?

Walaupun Chua Soi Lek berkata 13 Mei peristiwa silam dan kita perlu mengikut peredaran zaman, tapi emosi dan sentimen tetap sama tidak kira zaman mana. Adakah Hitler membakar semangat orang German berdasarkan rasionality dan logik? Dan tidak mustahil peristiwa seperti 13 Mei boleh berlaku. 

Seperti kata Tun Razak, semuanya bergantung kepada orang Melayu. Jika mereka gembira, dan jika mereka tidak gembira. 

Tuesday, August 17, 2010

Mitos

Jenazah Tok Janggut dimalukan kerana menentang British.

Dalam dunia ini begitu banyak mitos. Mitos sebenarnya tidak mengandungi kebenaran. Kadang-kadang ada yang suka saja mempercayainya tanpa melakukan kaji selidik dengan bukti empirical. Ada yang menggunakan mitos ini untuk memomok-momokkan sesuatu atau untuk menaikkan martabat sesuatu golongan. Penjajah pernah membuat mitos orang Melayu malas. Penulis istana membuat mitos raja-raja Melayu keturunan Alexander, dewa dan kadang-kadang Rasulullah. 

Mitos tidak perlu benar. Mungkin ada sikit-sikit kebenaran yang ditokok tambah. Namun mitos boleh menjadi pegangan psikologi sesuatu bangsa. Dalam bukunya, The Myth of Lazy Natives, Syed Husein Al-Atas membuktikan bahawasanya mitos pribumi malas hanya digunakan oleh penjajah untuk melemahkan psikologi kaum pribumi. 

Di Indonesia, Belanda menguar-uarkan kemalasan pribumi hanya kerana enggan menyertai sistem tanaman paksa mereka. Dari segi logik, apa faedah tanaman kepada bumiputera Indonesia zaman penjajahan Belanda kerana yang akan meraih keuntungan merupakan orang Belanda. Memang wajar pribumi malas kerana mereka tidak ada kepentingan dalam keuntungan Belanda.

Di Tanah Melayu dahulu orang Melayu dikatakan malas kerana enggan membanting tulang memakmurkan Great Britain untuk menoreh getah bagi pihak Guthrie dan melombong bijih bagi pihak British. Melayu hanya akan jadi kuli kepada orang Inggeris, sedangkan pembesar Melayu mendapat elaun yang sedikit hasil bumi sendiri. Jika Melayu ingin melawan, takut dengan 'gunboat diplomacy' orang Inggeris, atau takut menjadi seperti nasib Tok Janggut di Kelantan.

Orang Melayu begitu damai dengan tanaman mereka, hidup sebagai petani dan tidak terlibat dengan aktiviti ekonomi bertaraf dunia, hasil dasar Imperialist orang kulit putih. Di importnya kaum pendatang dari India dan Cina. Maka berkuasalah mereka menjarah ekonomi Tanah Melayu dengan Yap Ah Loy menguasai Kuala Lumpur dan melombong bijih timah. Memang mereka lebih bijak kerana terdedah.

Bukan umat Melayu bodoh tetapi kerana sistem feudal dan kurang pendedahan menjadikan mereka tidak terdedah kepada perniagaan global dan jaringan antarabangsa ketika itu. Rakyat marhein Melayu sangat bergantung kepada orang besar mereka; mungkin hanya pandai berniaga 'buluh kasap'.

Apabila Melayu sudah pandai sikit, cuba menuntut kemerdekaan untuk mentadbir sendiri negara tercinta yang sudah 'kehausan' hasil bumi ini dijarah oleh Inggeris 'Si Bajak Laut'(pirate), Inggeris mengenakan syarat untuk merdeka bersama dengan masalah yang mereka bawa: kaum Cina dan India. Pihak Inggeris yang membawa permasalahan, orang Melayu yang terpaksa menanggungnya. Bukan setahun dua tetapi berabad-abad selagi wujudnya negara Malaysia.

Mitos mengatakan adanya sosial kontrak. Mungkin Wikipedia kata bukan fakta jadi kita namakan dia mitos. Kemudian diciptakan pula mitos baru: Melayu juga bukan penduduk asal Tanah Melayu. Haish, macam mana jika kita kata Cina bukan penduduk asal Tanah Besar Cina? Apa kata Wikipedia?

Melayu bukan bangsa bodoh. Melayu cuma bangsa kurang tahu, kata Datuk A.Samad Said dalam novelnya Hujan Pagi. Mustahil bangsa Melayu yang baru merdeka selama 50 tahun dapat menyaingi budaya kaum Cina yang sudah wujud 4000 tahun. Seperti kata Stalin, "bit by bit, we learned."

Mitos mengatakan kita mencipta DEB untuk mengembalikan 'hak orang Melayu' yang terampas oleh penjajah selama ratusan tahun. Orang mendatang lebih berjaya dan makmur, bukan hanya kerana faktor malas atau rajin. Sesuatu sudah berakar umbi dalam jiwa Melayu - mereka menjadi inferiority complex dan kurang keyakinan.

Selama 40 tahun DEB dilaksanakan dengan jaya dan cacat cela, matlamat 30% tidak kesampaian. Hanya 19% saja. Logik berkata 81% lagi kek ekonomi dikuasai oleh kaum pendatang, atau keturunan mereka. Semalam diadakan Kongress Ekonomi MCA. Antara tuntutan mereka adalah minta dikurang 30% ekuiti bumiputera secara beransur-ansur. 

Mitos mengatakan, DEB atau pegangan ekuiti ini melembabkan ekonomi Malaysia. Mitos mengatakan IMF kurang setuju cara Malaysia ditadbir kerana memberati satu kaum iaitu Melayu. Mitos juga mengatakan, ini punca FDI kita merundum sebanyak 81%. Dan kita mempercayai saja mitos yang mereka cipta, menjadikan kita bersikap merendah-rendah meminta maaf.

Anehnya, realiti yang sebenar ekonomi dikuasai oleh kaum lain. 81% lebih besar dari 19%. Simple math. Jadi berapa sebenarnya keadilan bagi mereka untuk mengagihkan kek ini? 100%?

Affirmative action bukan tongkat. Ia hanya instrument untuk membolehkan Melayu bersaing nanti. 40 tahun bukan lama. British yang menjajah dan kaum pendatang yang bersekutu dengan Inggeris sudah lama menjarah ekonomi Tanah Melayu - ketika Melayu masih bangsa petani. Sudah ratusan tahun mereka melakukan tanpa kawalan. Bagi Melayu masa lagi.

Sekarang nasib bangsa Melayu bergantung kepada Perdana Menteri, yang datang dari keturunan pembesar Melayu juga. Jika dulu, rakyat dan pembesar sangat intim. Pembesar seperti bapa dan rakyat merupakan anak. Tapi itu dulu, zaman mitos dan legenda.

Jika Demang Lebar Daun lupa waadatnya, maka Melayu sudah tidak terikat pada janjinya lagi.




Sunday, August 15, 2010

Apabila Persekutuan Hilang Cengkaman.

Malaysia merupakan negara persekutuan atau federation. Seperti Amerika, ini bermakna beberapa buah negeri bergabung dan mewujudkan persekutuan yang dinamakan Malaysia. Seperti juga UAE. Dalam perlembagaan Malaysia dinyatakan bidangkuasa persekutuan dan negeri. Ada juga tanggungjawab bersama. 

Perkara-perkara seperti tanah dan galian adalah bidangkuasa negeri. Perkara-perkara seperti pendidikan dan keselamatan melibatkan ketenteraan dan polis bidangkuasa persekutuan. Perjalanan pentadbiran nampak cantik jika parti yang sama memerintah Persekutuan, juga memerintah negeri. 

Buat julung-julung kali dalam Pilihanraya Umum ke 12, beberapa negeri yang secara tradisinya diperintah oleh kerajaan Persekutuan jatuh ke tangan pembangkang. Mereka adalah Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Perak walaupun yang akhir ini kembali ke BN. Kelantan memang selama 20  bersendirian menjadi negeri pembangkang. 

Ada dua berita yang boleh menggugat kerajaan Persekutuan yang dilakukan oleh negeri yang diperintah pembangkang. Pertama DAP ingin Pulau Pinang sebagai negeri autonomi. Baca sini. Hasrat ini dinyatakan oleh Malaysia Kini, Pulau Pinang sepatutnya mempunyai autonomi sendiri. Isu ini timbul setelah berlaku pertelingkahan antara Lim Guan Eng sebagai Ketua Menteri dengan SDO(State Development Officer) yang merupakan pegawai persekutuan dan tidak berasa perlu setia kepada Ketua Eksekutif Negeri.

Saya rasa isu ini tidak perlu ditimbulkan. Apabila kerajaan negeri diperintah oleh parti pembangkang, secara tidak langsung ianya merupakan autonomi selagi tidak bercanggah dengan peruntukkan perlembagaan. Artikel yang menuntut autonomi ini redundant, dan cara menangani seseorang pegawai kerajaan baik negeri atau persekutuan merupakan siasah atau kebijaksanaan seseorang ketua eksekutif. Disini pentingnya kuasa budi bicara kerana sebagai pegawai, beliau mempunyai bidangkuasa dan sebagai Ketua Menteri, Lim Guan Eng juga mempunyai bidangkuasa. 

Apa yang boleh kita bincangkan adalah, ulterior motif politik DAP. Mereka sebenarnya sedang bermain dengan api apabila mencadangkan kononnya mereka perlu kuasa autonomi. Secara tersirat mereka cuba mendakwa kebolehan mereka mentadbir terhalang oleh kuasa persekutuan. Oleh itu, jika ada kepincangan pentadbiran mereka - seperti merosotnya pelaburan sebagai contoh - adalah kerana red tape kerajaan persekutuan. Dengan ini mereka membakar semangat majoriti kaum Cina yang kemajuan Pulau Pinang ini terhalang kerana kejamnya kerajaan BN. DAP seperti 'bapa'nya PAP cuba menjadi duri dalam daging kepada persekutuan seperti yang dilakukan oleh Singapura di zaman Tunku Abdul Rahman.

Kita tinggalkan dulu Pulau Pinang. Kita perhatikan perkembangan yang berlaku di Kelantan. Baca sini. Kelantan telah mengeluarkan dinar emas dan dirham perak mereka sendiri. Kononnya dalam usaha untuk menjadikan Kelantan negeri Islam. Mengikut laporan yang dimuatkan oleh Rocky's Bru, dinar emas dan dirham perak ini digalakkan dalam Quran, kata penguasa Kelantan. Saya belum jumpa mana-mana surah menyatakan demikian, jika pembaca ada terjumpa tolong berikan saya nama surah berkenaan sebagai rujukan.

Tindakkan Kelantan ini jelas bercanggah dengan Akta Bank Pusat Malaysia 2009(Bahagian VIII).Baca sini. Dalam akta berkenaan, clause 62(1) jelas menyatakan hanya Bank Negara yang berhak mengeluarkan currency dalam bentuk wang kertas atau syilling. Saya hairan bagaimana pentadbiran Kelantan boleh membuat keputusan untuk menggunakan dinar dan dirham sebelum berunding dan mendapat kelulusan Bank Negara.

Adakah tindakkan ini calculative act atau impromptu? Kelantan tidak mempunya penasihat undang-undang atau tidak mempunyai pakar ekonomi? Adakah ini respond Kelantan terhadap isu royalty minyak? Seperti halnya Pulau Pinang, saya nampak tindakkan ini mencabar persekutuan Malaysia. Dalam kes Kelantan lebih teruk kerana jelas ini bercanggah dengan perlembagaan. Hanya kerajaan Persekutuan yang bertanggungjawab menentukan matawang Malaysia. Adakah selepas ini negeri-negeri dibawah Pakatan Rakyat akan membuat isu demi isu yang mencabar kerajaan Persekutuan seolah-olah mereka negara dalam negara? 

Setakat ini Persekutuan masih tidak menjawab atau membuat apa-apa kenyataan berkenaan dua hal di atas. Baik dari segi politik atau authority, kita masih menanti respond kerajaan persekutuan. Apa yang nyata, jelas kerajaan Persekutuan nampak hilang cengkaman mereka sekarang.

Isu-isu sebegini merupakan batu ukur Perdana Menteri samada beliau mahir atau tidak memanipulasikan perlembagaan. Jika Tun Mahathir masih Perdana Menteri, beliau sentiasa bertindak 'within the law' walaupun dengan cara Machivellian. Seperti Alexander membunuh Promenion, tindakkan itu lebih sebagai 'act of necessity'. Kadang-kadang, kita perlukan 'orang kuat' dan bukan 'orang baik' semata-mata.

"It's even better to act quickly and err, rather than let opportunity slip."
-Carl von Clausewitz, On War

Friday, August 13, 2010

Mahasiswa Berpolitik.

Kabinet memutuskan untuk mengekalkan keputusan melarang mahasiswa dari menyertai politik diluar kampus. Dalam erti kata lain, mahasiswa tidak dibenarkan menyertai mana-mana parti dan bergerak secara aktif. Setelah KSN membenarkan guru-guru gred 41 hingga 48 berpolitik, Khairy Jamaludin juga minta dimansuhkan AUKU iaitu Akta Universiti Kolej Universiti yang melarang para siswazah menyertai parti politik secara aktif.

Akta ini dibuat pada tahun 70an, ketika gerakan pelajar sering berdemostrasi dan menyertai politik jalanan menentang kerajaan. Memang ada yang menyifatkan akta ini bertujuan melindungi kerajaan dari protes mahasiswa yang boleh mempengaruhi masyarakat awam kerana ketika itu mahasiswa dianggap 'opinion leader' dan pemangkin kepada perubahan.

Orang yang bertangungjawab mewujudkan akta ini tidak lain tidak bukan merupakan Tun Dr. Mahathir. Rasional beliau adalah, akta ini ingin melindungi pelajar Melayu yang kebanyakkannya lebih mintat berpolitik dari belajar. Ini menyebabkan ramai mereka tercicir, atau tidak cemerlang dalam pendidikan; dan kerajaan kerugian kerana sebahagian mereka mendapat tajaan biasiswa kerajaan.

Saya berpendapat akta ini patut dihapuskan. Jika kita percayakan seseorang layak mengundi berumur 21 tahun ke atas, mengapa kita tidak mempercayai mahasiswa matang untuk berpolitik selepas berumur lebih 21 tahun. Hujah mereka akan mengabaikan pelajaran tidak boleh digunakan lagi. Ini kerana tidak semua pelajar minat berpolitik dan politik jalanan tidak begitu popular ketika ini. Siswa akan meluahkan perasaan mereka, protes mereka dan sebagainya melalui blog, facebook dan internet. Ini alaf baru.

Jika rasional membenarkan guru berpolitik untuk mewujudkan ramai yang bijak dalam 'pool' calon-calon untuk memimpin negara, mengapa mahasiswa ini dinafikan haknya? Dalam masa yang sama, sesiapa yang berumur lebih 21 tahun ke atas yang bukan mahasiswa dibenarkan pula berpolitik, kemudian kita mengeluh kerana kurangnya orang berkualiti dalam parti-parti untuk diketengahkan. Jika kita menanam lalang, bagaimana kita harap akan tumbuhnya padi?

Baca posting terbaru Rokcy's Bru disini. Jika kerajaan masih tidak mahu berganjak dari keputusan melarang mahasiswa meyertai parti-parti politik, ini merupakan episod menyedihkan bagi Malaysia.


Thursday, August 12, 2010

Perihal Parti-parti Malaysia.

Beberapa hari lepas Presiden MCA Datuk Dr. Chua Soi Lek telah membuat kenyataan yang disalahfahamkan tentang Islam. Beliau sebenarnya quote pendapat blogger Outsyed the Box, Syed Akbar Ali dalam bukunya: Malaysia dan the club of Doom. Buku berkenaan 'mengkaji' kemunduran 57 negara Islam di dunia pada masa ini oleh kerana salah faham penganut tentang Islam sendiri. Akibatnya, mereka menjadi jumud dan tertinggal dari segi ekonomi dan teknologi.

Kenyataan Chua Soi Lek ini mendapat tentangan hebat dari sesetengah orang Islam yang tidak 'mengkaji' dan addicted terhadap isu sensasi. Saya tidak mempertahankan sesiapa tetapi kadang-kadang kita kena rasional sebelum bertindak dan membuat kenyataan. Kaji dulu punca masalahnya. Dr. Chua cuba untuk menyatakan Islam versi PAS itu yang membawa kemunduran dan bukan Islam per se. Sesetengah negara yang termasuk dalam kategori 'Club of Doom' itu mempunyai ciri-ciri 'Islam' versi PAS dan bukan yang mengikut Quran sangat. 

Kemudian kenyataan Dr Chua ini dieksploitkan oleh DAP apabila Khalifah Lim Guan Eng mempertahankan sekutunya PAS. Untuk kepentingan politik DAP, dan meraih undi Melayu yang keliru dengan Pakatan Rakyat, DAP sanggup 'membodek' PAS dengan mengesahkan 'Islam' versi PAS. Kita tahu ini hanya 'madah berhelah' atau kenyataan siasah kerana walau apapun, DAP tidak akan setuju dengan PAS atau apa-apa pemerintahan bercorak Islam. Jika UMNO yang kononnya sekular pun DAP tidak boleh terima, apa lagi PAS yang kononnya Islamik.

Dan dalam usaha untuk diterima oleh pengundi Cina pula, PAS cuba menunjukkan bahawa mereka Islam liberal. Islam adalah Islam dan tidak ada apa yang dikatakan liberal. Ada dua isu yang mana mendapat pujian orang PAS sendiri yang dilakukan oleh Khalid Samad untuk menunjukkan liberalnya mereka. 

Khalid Samad cuba mencari publisiti murahan, atau mengeluarkan 'PAS' dari imej 'club of doom' apabila menghadiri gereja dan menyiarkan risalah di sana. Secara peribadi saya tidak nampak ada salahnya melawat rumah ibadat bukan Islam asalkan tidak mencemar akidah kita tetapi memuji-muji dan mempolitikkan amalan sedemikian demi meraih undi bukan Islam amat menyedihkan. Islam tetap Islam dan sokongan bukan Islam perlu diraih dengan menunjukkan kehebatan Islam dari segi ekonomi, jatidiri dan keadilan; bukan dengan 'if you cannot beat them, you join them'.

Kedua, tentang lawatan Khalid Samad ke kilang Carlsberg. Baca sini. PAS bukan hanya merestui, malah berasa bangga kerana seorang wakil rakyat mereka dapat memecahkan 'taboo'(yang dicipta oleh ulama PAS juga) berkaitan dengan arak dan berani melawat kilang arak. Meminjam ungkapan Mohd Sayuti Omar: "Arak hanya boleh memabukkan dan tidak sampai merosakkan akidah!". Dan kononnya mana tau beliau boleh menukarkan kilang arak itu menjadi masjid.

Anehnya, kerajaan BN tidak pernah bising pun pasal wujudnya kilang arak dan melawat gereja. Jika perbuatan ini dilakukan oleh wakil rakyat UMNO, akan berkokoklah puak PAS tentang haramnya UMNO dan kafirnya pemimpin mereka. Jika DAP cuba menjadi MCA dalam isu Islam untuk menjadikan mereka zimmi, PAS cuba menjadi UMNO dalam usaha mereka menjadi liberal dan sekular. 

MCA membuat ramalan andainya PR memenangi pilihanraya umum ke 13, seorang dari calon PAS akan menjadi PM dan bukan DAP atau PKR.Ini kerana PAS, seperti DAP mempunyai struktur organisasi politik yang tersusun tidak seperti PKR. PAS dipilih kerana Islam dan Melayu yang mana ciri-ciri amat penting untuk memimpin negara majoriti Islam seperti Malaysia. Baca sini.

Bila MCA menyerang PAS, DAP pula membela PAS dalam artikel Why Be Afraid of PAS?. Artikel ini ditulis oleh Kee Thuan Chye dan dimuatkan oleh bapa 'Umar bin Abdul Aziz' PAS iaitu Al Fadhil Lim Kit Siang dalam blognya. Secara ringkas, DAP yakin jika pemimpin PAS menjadi PM Malaysia sekalipun, mereka boleh control PAS kerana jumlah wakil DAP dan bukan Melayu PKR yang ada melebihi PAS. Modelnya adalah Perak semasa diperintah oleh Pakatan Rakyat dibawah MB Boneka Nizar Jamaludin.

Apa yang boleh saya simpulkan, semua parti sudah berumur lebih 50 tahun kecuali PKR. UMNO, MCA, PAS dan DAP sudah lama wujud sebenarnya. Mereka sudah nyanyuk dan sudah keliru dan mengalami krisis pertengahan umur. Mereka juga mengalami krisis identiti - sudah tidak kenal peranan masing-masing. 

PAS keliru brand Islamnya, DAP keliru brand anti-Islamnya, MCA keliru kadang-kadang terhentam polisi BN yang berteraskan dominasi Melayu dan UMNO keliru mereka parti sepatutnya mempertahankan Melayu.
PKR pula parti yang dibuai mimpi kerana mereka masih kanak-kanak.

Dalam perbualan saya dengan seorang pengundi Cina yang atas pagar, beliau masih menyokong BN, tetapi seperti sesetengah penyokong UMNO beliau tidak puas hati dengan MCA. Puncanya bukan kerana ideologi tetapi menurutnya, wakil rakyat MCA menganiaya orang Cina dalam soal tanah untuk diberi kepada kroni-kroni MCA. Bagi UMNO pula, ada wakil rakyat yang berbuat demikian dalam soal projek, tanah, dan saham Felcra. Isu sama sahaja, BN tidak akan jatuh kerana ideologi, tetapi kerana kerakusan pemimpin mereka sendiri. Dan perkara yang sama akan berlaku kepada PR jika mereka memerintah nanti.

Siapa perlu kita undi? Meminjam kata-kata Umar Al Khattab: "Pilihlah yang terbaik antara dua kejahatan." Kepada umat Islam, saya mengucapkan "Selamat Menyambut bulan Ramadhan, selamat berpuasa." 









Tuesday, August 10, 2010

Tentang Tenaga Nuklear.

Ada kegilaan pihak tertentu mencadangkan kawasan Jerantut untuk dijadikan loji nuklear. Saya tidak berminat untuk mengulas perkara remeh tetapi saya rasa terpanggil untuk memberi pandangan. Sebenarnya saya tidak berminat untuk memberi pandangan pun. Di bawah ini saya petik pandangan Syed Akhbar Ali dalam blognya pada Jun 2009. Baca sini. Dan sini.

Ini pandangan Tun Dr Mahathir berkenaan loji nuklear. Baca sini.

Kedua-dua tokoh berkenaan berpendapat nuklear bukan alternatif untuk mencari sumber tenaga yang murah kerana terdedah kepada bahaya. Saya tahu juga pihak yang 'mengilai' loji nuklear ini tidak akan menerima pandangan orang lain. Dan saya juga tidak tahu mengapa saya 'mencemar' blog ini melayan kegilaan mereka.

Mungkin saya sudah meluat.

Tulisan Jawi

Sebenarnya dalam dunia global, perkara ini tidak penting. Tapi inilah paradoksnya dunia, semakin global zaman ini, semakin sesuatu bangsa itu ingin mempunyai jatidiri. Bangsa yang kuat dan besar tidak mahu tenggelam dalam keseragaman globalisasi justeru itu mereka ingin mempunyai identiti yang berlainan.

Ada dua pendapat tentang perkara ini. Golongan yang kononnya moden dan liberal menganggap perkara-perkara remeh seperti bahasa, hak istimewa Melayu dan agama merupakan batu penghalang kepada kemajuan atau tidak mengikut acuan globalisasi. Pihak yang radikal masih berpendapat walau seinci pun; soal agama(Islam) dan perjuangan bangsa tidak boleh dikompromi.

Di lain masa saya akan menulis tentang bahaya mengikut acuan globalisasi secara membuta tuli. Secara tidak langsung kita menghadapi penjajahan alaf baru iaitu penjahanan mental dan ekonomi. Ini era neo-imprealist yang mana Amerika merupakan jaguhnya.

Mempunyai jatidiri bukan sesuatu penghalang kepada menjadi maju dalam dunia global. Walaupun saya penyokong bahasa Inggeris diajarkan dalam sains dan matematik tetapi saya menentang penjajahan budaya hingga menenggelamkan identiti Melayu. Kita lihat kaum yang sudah established seperti Cina, Jepun, Korea dan Arab. Mereka tetap bangga dengan bahasa dan tulisan mereka. Kecuali Arab moden, mereka tetap boleh maju dalam dunia global ini.

Saya makin rimas melihat Malaysia sekarang. Di sesetengah tempat yang dibawah kuasa DAP mencadangkan untuk mempunyai tulisan rasmi jalan dan bangunan dalam tulisan mandarin. Tulisan mandarin bukan asing lagi di Malaysia. Jika pelancong asing salah faham, mereka akan menganggap Malaysia merupakan Chinese based country seperti Taiwan dan Singapura.

Saya minta kerajaan kembali mewajibkan tulisan jawi diajar di sekolah-sekolah. Kemudian wajibkan ia ditulis sejajar dengan tulisan rumi. Jadikan tulisan ini rasmi. Semua rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa wajib boleh menulis dan membaca dalam jawi. Ini merupakan identiti Melayu.

Di Korea, China dan Jepun tulisan mereka kekal dalam bahasa masing-masing. Namun mereka tetap dianggap negara maju. Di Ireland sendiri yang bahasa rasminya Inggeris, tulisan Gaelic tetap ditulis sebelah menyebelah dengan bahasa Inggeris. 

Secara terus terang saya minta tulisan jawi diwajibkan kerana saya tidak mahu identiti Melayu terhakis dan ditenggelami dengan identiti kaum Cina. Mereka perlu mengikut identiti acuan kerajaan Malaysia yang berteraskan Melayu sama ada suka atau tidak. 

Ya saya tahu akan adalah 'sarjana' Cina mengatakan jawi bukan tulisan Melayu tetapi asal dari tulisan Arab. Tulisan Jepun juga bukan asal,dipinjam dari tulisan mandarin tetapi kerana ekonomi Jepun lebih hebat dari China maka tidak ada siapa berani mempersoalkannya.

Terus terang saya bimbang tulisan jawi, bahasa Melayu dan banyak lagi identiti Melayu akan terhakis kerana kelemahan kerajaan kita melayani tuntutan demi tuntutan. Ini bukan hal yang remeh. Secara perlahan kita sudah dijajah dari segi budaya. Keris sudah tidak boleh dipamirkan secara umum lagi kerana bimbang FDI merundum. Dan kita akan percaya saja apa yang 'mereka' katakan.

Saya hanya bimbang Melayu akan hilang dunianya, walaupun Melayu tidak hilang di dunia. Saya bimbang Melayu akan jadi orang asli Australia dan kaum Maori di New Zealand. Mereka ditelan oleh budaya yang lebih superior.




Monday, August 9, 2010

Perkasa : Penilaian Peribadi.



Pada 6 Ogos 2010, Perkasa mengadakan ceramah di Dewan Majlis Daerah Jerantut. Saya telah dipelawa oleh rakan-rakan Jerantut agar dapat hadir mendengar ceramah oleh Presiden Perkasa, Datuk Paduka Ibrahim Ali. Memang saya bercadang untuk hadir mendengar beliau berpidato. Saya pernah menemui beliau secara 'in person' bersama bekas ADUN Pulau Tawar, juga blogger Melayu Raya Daily iaitu Dato' Azizan Yaakob selepas pilihanraya 1999.

Sebelum itu, saya sudah mengenali Datuk Paduka Ibrahim Ali secara reputasi. Beliau seorang yang lantang bersuara, pernah menjadi orang kuat Tengku Razaleigh sebelum kembali menyertai UMNO dan menjadi orang kuat Tun Dr. Mahathir. Beliau juga mempunyai reputasi sebagai orang politik yang 'kuat melompat'. 

Beliau tidak dipilih oleh Pak Lah sebagai Ketua Bahagian Pasir Mas selepas persempadanan semula menjelang Pilihanraya Umum 2004. Kemudian beliau bertanding bebas dengan menggunakan lambang parti PAS dalam Pilihanraya Umum 2008. Mengejutkan, beliau memenangi kawasan Parlimen Pasir Mas.


Datuk Paduka Ibrahim Ali kembali menjadi terkenal selepas wujudnya Perkasa. Beliau merupakan 'hero' kepada sesetengah pihak, 'penjahat' bagi sesetengah pihak lain pula. Ada juga yang menganggap beliau tidak lebih dari hanya sekadar 'opportunist'. Walau apapun, beliau seorang ahli politik yang bewarna warni. Menarik tetapi tidak menjengkelkan seperti KJ. 

Perkasa pula wujud sebagai NGO. Sebagai NGO Perkasa tidak mempunyai aspirasi politik. Kuasa sepatutnya bukan matlamat utama Perkasa. Perkasa hanya wujud sebagai 'pressure group'. Ini berlaku kerana UMNO sendiri sudah gagal menjadi parti yang mengutamakan kepentingan Melayu. 

Namun demikian, ada juga pihak yang menganggap Perkasa merupakan 'carbon copy' UMNO. Ini kerana dalam sesetengah isu, Perkasa nampak kuat menyebelahi UMNO. Ada juga beberapa orang kuat dalam Perkasa secara terang-terang menghentam PAS seolah-olah mereka UMNO. Perkasa bagaikan terpaksa melakukan kerja radikal berkaitan kepentingan Melayu yang mana UMNO tidak boleh lakukan lagi.

Kerja yang mana sayap radikal UMNO seperti Pemuda sendiri tidak mampu untuk lakukan. Pemuda tidak seharusnya menjadi 'comformist'. Pemuda perlu lantang termasuk mengkritik pemimpin UMNO jika lari dari 'agenda Melayu'. Namun Pemuda di bawah KJ merupakan kepimpinan yang lembik. Mereka sudah kena sindrom 'sokong dan setuju'. Dan muncullah Perkasa.

Apabila saya hadir ke ceramah Perkasa, mendengar setiap patah perkataan Datuk Paduka, saya tidak tahu saya amat tertarik mendengar ucapan beliau kerana kebolehan pidato beliau yang berapi-api, atau kerana keihklasan perjuangan beliau dalam membela Melayu. 

Datuk Paduka Ibrahim Ali sering bertempur dengan pemimpin kaum Cina seperti Datuk Ti Lian Ker dan Wee Ka Siongyang menganggap beliau sebagai ahli politik kuno yang hanya tahu membakar semangat perkauman. Beliau juga bertembung dengan Khairy Jamaludin dalam isu mempertahankan kuota biasiswa bumiputera. Beliau sering dikritik oleh Dato Sakmongkol AK47 kerana idea perjuangan Melayu versi Perkasa menurut mereka sangat kuno; terlalu radikal dan tidak sesuai dengan peredaran zaman.

Setelah dua hari saya mendengarkan ucapan Datuk Paduka Ibrahim Ali, saya dapat menghidu sedikit sebanyak ulterior motif pertubuhan NGO ini. Perlu diingat, Datuk Paduka Ibrahim Ali adalah Perkasa dan Perkasa merupakan Ibrahim Ali. Aliran pemikiran beliau penting untuk membaca ke mana hala tuju perjuangan Perkasa. Memang orang yang menyertai Perkasa ramai dan mempunyai motif yang berbagai tetapi mereka bukan yang mencorakkan hala tuju pertubuhan itu.

Saya percaya Perkasa akhirnya akan menjurus ke arah politik juga. Saya tidak menafikan buat masa ini, perjuangan Perkasa dapat mengimbangi  kelemahan UMNO dan PAS dalam memperjuangkan kepentingan Melayu. Perkasa terus mendapat sokongan majoriti senyap Melayu dalam hal-hal berkaitan dengan kepentingan Melayu walau pada perkara yang dianggap ketinggalan zaman.

Meminjam kata-kata Datuk Paduka yang menarik hati saya: "Jika Hang Tuah pernah berkata: Takkan Melayu hilang didunia" dan memang Melayu tidak akan hilang didunia, namun tidak mustahil Melayu akan hilang dunianya". 

Saya rasa ada benarnya perkataan beliau. Melayu sudah hilang Singapura, dan sudah hilang jatidiri seperti bahasa dan adat resam seperti keris. Melayu malu untuk menunjukkan identiti mereka lagi kerana desakan kaum bukan penduduk asal. Di sesetengah kawasan perumahan, Melayu sudah segan untuk azan kuat-kuat. 

Dalam ceramahnya, Datuk Paduka ada mengatakan demi kelangsungan Melayu, jika perlu demokrasi dihapuskan, demokrasi akan dihapuskan. Memang beliau agak radikal namun saya sependapat dengan beliau. Apa guna rasionaliti jika rasionaliti merupakan lesen kepada orang lain menindas orang Melayu dan mempersoalkan perkara basic seperti Islamnya orang Melayu.

Saya pernah menulis tentang mencari parti Melayu ke tiga, buat masa ini saya tidak rasa Perkasa layak untuk menjadi parti yang membawa wadah perjuangan Melayu. Perkasa masih tidak dapat menjadi seperti UMNO pada tahun 1946 dahulu. Jika akhirnya Perkasa menjadi parti politik, ia akan menambah pecah undi Melayu. Buat masa ini saya merasakan Perkasa perlu menjadi NGO, dan menjadi 'pressure group' untuk swing vote orang Melayu atas pagar tanpa menjadi parti politik. Perkasa boleh menjadi penentu parti mana yang perlu disokong asalkan mampu menjaga kepentingan Melayu.

Sebagai 'final verdict' saya secara peribadi, kita masih perlukan banyak pertubuhan NGO seperti Perkasa namun mereka perlu kekal sebagai NGO. Politik lambat laun akan merosakkan mereka.

Pada ceramah 6 Ogos 2010, Perkasa berjaya mendaftarkan ahlinya seramai 200 orang di Jerantut, termasuk saya sendiri mendaftar sebagai ahli Perkasa.










Saturday, August 7, 2010

Apa Sebenarnya 'Hak Melayu'?

Seorang pembaca membuat komen yang agak kesat terhadap Datuk Ti Lian Ker di bawah posting saya bertajuk 'Isytihar Harta'. Memang komen beliau kasar dan tidak relevan dengan posting saya. Saya berbelah bahagi patut saya siarkan atau tidak. Saya juga faham sahaja emosi yang tidak dapat dibendungnya, walau saya tidak setuju bahasa kesat yang beliau gunakan Akhirnya saya memilih untuk menyiarkan.

Untuk berlaku adil, baca sini. Untuk berlaku adil juga, artikel ini tidak di tulis oleh Datuk Ti Lian Ker, hanya disiarkan sahaja. Ianya diambil dari blog loyar buruk, dikatakan  penulis berkenaan merupakan seorang Melayu.

Penulis mendakwa kepalsuan dakwaan apa yang dikatakan 'hak Melayu'. Antara 'hak Melayu' yang dinafikan oleh penulis adalah:

1. Tidak ada diskaun 10% diskaun rumah untuk bumiputera dalam Perlembagaan, lebih tepat lagi Artikel 153.

2. DEB bukan termaktub dalam Artikel 153.

3. Projek kerajaan bukan termaktub dalam Artikel 153.
4. Isu agama seperti pemindahan kuil hindu ke kawasan Melayu bukan 'hak Melayu' juga bukan termaktub dalam Artikel 153.

5. Institusi tertentu PDRM,SPRM dan Kehakiman bukan ekslusif 'hak Melayu', bukan institusi Melayu.

Mari kita berhujah secara rasioanal. 

Penulis mengatakan DEB, kontrak-kontrak,  dan hal-hal perumahan ini memang tidak termaktub secara detail dalam perlembagaan. Tidak juga dalam Artikel 153. Artikel ini memberi kuasa kepadaYang DiPertuan Agong  memelihara 'hak-hak istimewa orang Melayu'. Antara yang disebut adalah tanah rizab Melayu, perkhidmatan awam, permit-permit, lesen dan biasiswa.

Dari apa yang ditulis dalam artikel berkenaan, penulis sudah bosan dengan Artikel 153 digunakan secara berleluasa dalam mempertahankan 'hak Melayu' walaupun tiada dalam perlembagaan. Antara yang disebut adalah diskaun perumahan dan apa yang tertera di atas.

DEB dicapai sebagai hasil Tragedi 13 Mei, apabila jurang pendapatan antara kaum sangat besar. Selama Inggeris menjajah, orang Melayu dan peribumi merupakan bangsa yang paling sedikit beroleh faedah dari penjajahan Inggeris. Affirmative action diwujudkan bagi merapatkan jurang ini yang mana orang Melayu ramai tertinggal dari segi ekonomi dan pendidikan. Perlembagaan hanya menyatakan hal yang sedemikian sebagai 'hak istimewa orang Melayu' dan tidak menyatakan secara detail kerana kena sesuai dengan peredaran zaman. 

Tujuan DEB adalah untuk menyusun semula ekonomi dan memberi peluang kepada bumiputera dan Melayu untuk mencapai pegangan ekuiti sebanyak 30% kekayaan negara. Jika sistem ini gagal kerana ia hanya 'cara' dan bukan 'matlamat', 'hak keistimewaan orang Melayu' perlu diteruskan. Dengan kata lain langkah 'affirmative action' perlu di 'trial and error' hingga mencapai matlamat walaupun tidak dinamakan DEB lagi. 

Kita berdebat soal remeh. Semangat Artikel 153 adalah untuk memberi sedikit advantage kepada bangsa Melayu yang tertinggal dari segi perniagaan dan pendidikan. Jadi soal diskaun 10% perumahan untuk bumiputera, DEB, projek kerajaan dan biasiswa adalah 'alat' atau 'cara' untuk mencapai 'matlamat' menyusun semula ekonomi. 

Memang isu seperti SPRM, PDRM, isu Allah, isu agama seperti kuil dan sebagainya memang dimainkan dalam politik yang sempit. Dan hal sebegini tidak membawa apa-apa faedah kepada agenda memperkasa ekonomi Melayu pun. Ini isu sentimen agama dan adat resam Melayu. Memang perkara sedemikian tidak termaktub dalam Perlembagaan.

Namun adakah peruntukkan kepada sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil termaktub dalam perlembagaan? Memang tidak ada tetapi mengapa Cina menganggap itu sebagai 'hak kaum Cina?'.  Mengapa mereka minta kerajaan membantu sekolah mereka sedangkan kerajaan menyediakan sekolah kebangsaan untuk semua. Kerajaan tidak pernah menafikan hak mereka untuk belajar di sekolah kebangsaan. Dhong Zhou tetap merasakan 'hak Cina dinafikan'. 

Sebenarnya hak kaum Cina adalah bulls*it.


Friday, August 6, 2010

Isytihar Harta

Saya menyambut baik cadangan Pengarah SPRM, Datuk Seri Abu Kasim Mohamed supaya semua ahli kabinet untuk mengisytiharkan harta mereka. Seperti pernah saya tulis, semua rakyat tidak sukakan korupsi tidak kira bangsa, agama dan parti. Jika masih ada yang suka, mereka merupakan yang beroleh faedah dari amalan berkenaan.

Langkah minta menteri mengisytiharkan harta ini merupakan langkah yang baik. Jika ada menteri yang tidak setuju, bererti menteri berkenaan beroleh faedah dari loophole ini. Negara maju mempunyai sistem 'check and balance' yang berkesan. Pemegang jawatan awam seperti ahli politik yang melibatkan dana besar serta duit cukai rakyat perlu dipantau dengan ketat. Memang sifat manusia, sewarak manapun mereka tidak boleh dipercayai untuk menjaga dana negara tanpa kawalan.

Kita sudah bosan mendengar laporan Audit Negara skru yang berharga beratus-ratus, laptop mencecah RM 45,000 dan sebagainya. Habis laporan Audit, media kecoh sekejap, kemudian semua berjalan macam biasa hingga laporan tahun depan. Mungkin sebuah kementerian membeli sepasang terompah berharga ratusan ribu pula. Kemudian kecoh balik. Lepas itu senyap semula. Rakyat sudah tidak mahu diperbodoh-bodohkan setiap masa.

Kemudian semua yang terlibat dalam menguruskan dana awam seperti wakil rakyat, pegawai kerajaan, pegawai-pegawai parti tidak kira parti apa perlu mengisytiharkan harta. Semua ini perlu diserahkan kepada SPRM dan bukan kepada PM. PM juga perlu isytihar harta. Juga kroni-kroni seperti adik-beradik, anak menantu, isteri pertama, kedua, ketiga dan ke empat. 

Jika kita benar, kita tidak perlu takut.  Dengan banyaknya kelonggaran dalam hal ini menyebabkan begitu banyak harta negara diselewengkan. Tiba-tiba kita dengar ada menteri mempunyai rumah di Holland Park, anak menteri membeli Lambogini dan sebagainya. Negara kita sudah menjadi lelucon, mempunyai kemajuan kelas pertama seperti KLIA dan Putrajaya tetapi mentaliti politik kelas ke tiga. Anak menantu semua ada share. Isteri juga.

Sekarang kerajaan kena ihklas memerangi korupsi. Jika menteri memang kaya sebelum menjadi menteri, kita tahu dari mana kekayaan mereka. Jika tidak, kita juga berhak tahu dari mana datangnya kekayaan mereka. Begitu juga wakil rakyat. Dengan sukar bagi wakil rakyat dan menteri untuk membuat duit dengan cara 'luar biasa' atau 'wahyu' maka makin kurang lobi-melobi dan yang berebut hendak memegang jawatan. Semua ini berlaku kerana mereka tahu dengan terpilih menjadi menteri dan wakil rakyat, akan terbukalah gua Ali Baba. 

Oleh kerana saya setuju semua kena ada kawalan, naikkan elaun wakil rakyat dan menteri semunasabah mungkin supaya mereka tidak perlu mencari 'duit lebih'. Mencari 'duit lebih' ini sebenarnya check kosong untuk menjarah harta negara.

Hal yang sedemikian bukan hanya melibatkan kerajaan BN. Saya mencadangkan ini secara universal dan melibatkan semua parti. Ada kecenderungan kepada ahli politik - baik pembangkang dan kerajaan - apabila beroleh kuasa akan menggunakan kuasa untuk membanyakkan 'dana parti'. Husam Musa mengakui beliau perlu mencari 200 juta untuk membolehkan PAS ke Putrajaya.

Di mana datangnya duit sebanyak itu? Tak mungkin dari elaun exco PAS, dari derma ceramah dan yuran ahli PAS. MSO selalu kata ramai business yang dermawan suka menderma untuk PAS kerana menderma 'ke jalan Allah'. Jika sesebuah parti menerima 'derma' dari businessman, sudah tentu akan ada 'imbuhan dunia' nanti jika mereka menang kerana PAS parti 'dunia dan akhirat.'

Isytihar sahaja harta dan biar rakyat nilai. 


Wednesday, August 4, 2010

Mengapa Ahli Politik Corrupted?

Secara umum, rakyat membuat tanggapan bahawa Ahli Parlimen atau ADUN mempunyai banyak duit. Sebenarnya, pembuat undang-undang kita dibayar sangat rendah. Ada baik dan ada buruknya hal yang sedemikian.

Ramai juga yang salah faham kerja pembuat undang-undang ini. Mereka sebenarnya tidak memiliki 'miracle' untuk menjadikan sesuatu kerana mereka hanya pembuat undang-undang dan tidak mempunyai kuasa eksekutif seperti para menteri. Ahli Parlimen dan ADUN biasa mungkin ada peruntukkan tetapi ianya tidak mencukupi untuk menanggung semua masalah pengundinya.

Peranan ADUN dan Ahli Parlimen di kawasan bandar dan kampung juga berbeza. Di kampung tradisional dan felda, mereka dianggap perlu mesra dan melakukan kerja-kerja seperti bergotong royong, dapat hadir ke sebarang kenduri, melawat orang mati dan sakit, rumah kebakaran dan sebagainya. Di bandar, mereka tidak diharap merapati rakyat seperti itu kerana kebanyakkan kawasan bandar pengundi mempunyai expectation yang berlainan.

Sepatutnya, tugas pembuat undang-undang yang asas adalah memahami aspirasi kawasan yang mereka wakili. Mereka juga diharap dapat membawa suara rakyat yang mereka wakili samada di parlimen atau Dewan Undangan Negeri yang mereka wakili.

Kerja-kerja turun ke padang yang saya sebutkan di atas adalah bertujuan memahami kehendak akar umbi. Lama ke lamaan, kerja itu menjadi rutin dan memerlukan wang yang banyak untuk maintance popularity. Contohnya jika musim orang kahwin, yang berhormat diharap boleh hadir ke semua majlis. Sebagai yang berhormat mereka juga akan memberi duit 'salam kokot'. Sebagai yang berhormat mereka kena bagi lebih dan bukan mengikut kemampuan. 

Elaun Ahli Parlimen sekitar RM7000 sahaja, dan ADUN sekitar 5000. Di situlah terletak duit untuk sewa pejabat, bayar kereta, rumah, gaji kerani dan sebagainya. Jika wakil rakyat tidak ada pendapatan lain cuba kita bayangkan bagaimana mereka hendak survive. Bukan semua wakil rakyat kaya.

Oleh kerana mereka perlu kekalkan popularity mereka, kerana dalam politik popular adalah segalanya, ini menyebabkan mereka terpaksa menjadi corrupted. Mungkin memang ada yang sudah corrupted dan bukan kerana hendak menjaga kawasan sangat, tetapi sistem yang kita ada ini menggalakkan wakil rakyat terpaksa mencari 'duit lain'. Dan mencari 'duit lain' ini yang boleh membawa berbagai makna.

Kita tidak boleh berpura-pura masalah ini tidak wujud. Di sesetengah kawasan pengundi membawa bil eletrik, bil air, dan bil sekolah anak-anak. Kita mengeluh tentang politik wang dan rasuah dikalangan pemimpin, tetapi pengundi antara penyebab mereka terpaksa mencari 'duit lebih' diluar elaun mereka. 

Untuk berlaku adil kepada mereka, pengundi perlu berhenti budaya minta wakil rakyat menyelesaikan masalah peribadi seperti bil elektrik, bil talipon, bil air, bil anak sekolah dan sebagainya. Kepada yang tidak mampu, ini kerja Jabatan Kebajikan Masyarakat. 

Kita perlua educate pengundi kita bahawa perkara sedemikian bukan bidang tugas para wakil rakyat. Wakil rakyat manusia biasa juga.